Hati keras, sukar terima nasihat jika terus berbuat dosa

BANYAK kajian menyaksikan pengabaian ketara terhadap solat dalam kalangan masyarakat. Antaranya penyelidikan dijalankan Norzila Ahmad (2019) dan Azhar Mohd Nawi (2021).

Solat Subuh dan Asar didapati antara ibadah yang sering diremehkan. Bahkan, hasil tinjauan mendapati, hanya 54 peratus responden solat lima kali sehari dengan lengkap.

Sedangkan ujar Pengarah Pusat Islam, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Che Yaacob, orang yang meninggalkan solat telah melakukan dosa besar.

“Andai dia beriktikad bahawa solat itu wajib, tetapi tidak menunaikannya kerana malas, maka dihukumkan sebagai ‘fasik’. Bagaimanapun, jika dia mengingkari kefarduan solat dan mengatakan ia tidak wajib, ulama bersepakat mengatakan dirinya telah ‘kafir’.

“Oleh itu segeralah memohon keampunan ALLAH SWT dan bersyahadah kembali,” katanya sambil mengingatkan agar umat Islam tidak memandang remeh dosa besar berkenaan.

Bukan itu sahaja, beliau mengingatkan agar menjauhi tujuh dosa besar yang boleh menjerumuskan diri ke lembah hina.

Ia termasuklah perbuatan syirik, sihir, membunuh, riba, salah guna harta anak yatim, lari dari medan perang dan membuat tuduhan palsu.

Selagi bergelar manusia, tidak mungkin mereka langsung tidak membuat kesilapan kerana begitulah lumrahnya hidup insan.

Bagaimanapun ujar Ahmad, sifat ALLAH YANG MAHA PEMURAH dan MAHA MENGASIHANI hamba-NYA serta sentiasa menerima taubat pendosa mengatasi segalanya.

Disebabkan itu katanya, kita disuruh sentiasa memohon keampunan dengan beristighfar setiap hari tanpa jemu.

“Sedangkan Rasulullah SAW yang maksum pun mengucapkan lebih 70 kali istighfar setiap hari, inikan pula kita insan biasa. Di samping itu, dosa kita boleh terhapus dengan melakukan ibadah seperti berwuduk dan mendirikan solat.

“Para ulama menjelaskan, dosa-dosa kecil boleh gugur apabila seseorang mengerjakan amalan soleh seperti menunaikan solat, bersedekah dan membantu orang dalam kesusahan.

Dosa umpama kotoran

Besar mana pun dosa, masih ada ruang untuk membersihkan diri.

“Ia umpama pakaian yang dicemari kotoran. Apabila dibasuh, akan kembali bersih. Bahkan, Nabi Muhammad mengingatkan bahawa dosa umpama kotoran yang perlu dicuci setiap hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescata digilap hatinya. Sebaliknya apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-Raan yang ALLAH nyatakan: Sebenarnya! (Ayat-ayat KAMI itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.” (Hadis Riwayat an-Nasai)

Menjawab satu soalan, Ahmad berkata: “Dosa kepada ALLAH seperti perbuatan maksiat boleh terhapus dengan amal ibadah, istighfar dan bertaubat. Ia jauh lebih mudah berbanding dosa terhadap manusia lain.

“Apabila seseorang membuat fitnah dan menzalimi orang lain dengan memukul atau mendera mereka, dia telah melakukan suatu dosa yang sukar diampun kecuali setelah dia mendapatkan kemaafan daripada orang yang dizaliminya.

“Bahkan, untuk mendapatkan kemaafan manusia di dunia ini mudah jika dibanding dengan kesukaran mendapatkan kemaafan daripada seseorang di akhirat nanti.”

Maafkan orang

Menyambung hujah, beliau mengingatkan agar kita sentiasa bermaafan kerana perbuatan tersebut adalah amalan mulia, sesuai dengan anjuran Rasulullah.

Beliau kemudian menceritakan kisah seorang Badwi yang merupakan ahli syurga, beliau sentiasa mendoakan orang lain dan memaafkan kesalahan semua orang sebelum tidur.

Namun andai orang yang dizalimi sudah dijemput Ilahi, jelas beliau, terdapat tiga pendekatan boleh dilakukan untuk meraih kemaafan.

“Pertama, si pendosa tadi hendaklah bertaubat kepada ALLAH dan memohon keampunan daripada dosa dilakukan.

“Kemudian, doakan juga orang yang dizaliminya, selain melakukan amalan kebaikan seperti bersedekah, berwakaf dan meniatkan ganjaran pahala kepada individu yang dizaliminya tadi. Seterusnya, hubungkan silaturahim dengan waris-waris si mati. Andai melibatkan kesalahan harta seperti berhutang, hendaklah dikembalikan harta orang yang dizaliminya kepada ahli warisnya,” ujarnya.

“Ini kerana tidak dapat dinafikan kesukaran seseorang untuk istiqamah dan melepaskan diri daripada ketagihan.

“Antara sebab seseorang berbuat dosa adalah terpengaruh dengan bisikan syaitan. Maka apabila seseorang tidak bertaubat dengan alasan tidak mahu mempermainkan taubat, ketahuilah bahawa dia sebenarnya telah tertipu dua kali oleh syaitan. Pertama, tertipu kerana telah melakukan dosa dan kedua, diperdaya kerana enggan bertaubat,” katanya.

Sinar Harian