Mencari ilmu yang benar

SECARA kasar, ilmu sekarang nampak banyak dan luas. Kolej dan universiti tumbuh di mana-mana. Perisian internet yang menyediakan segala macam maklumat juga wujud dengan banyaknya.

Malah salah satu perisian internet canggih terkini, Chat-GPT telah dinobatkan oleh jurnal akademik, Nature, sebagai salah satu daripada Scientist of the Yearnya. Ini kali pertama anugerah Scientist of the Year jurnal Nature ini dianugerahkan kepada entiti bukan-manusia.

Logiknya, dengan ilmu yang banyak begini, manusia tentulah menjadi semakin baik, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang mempunyai peluang akses yang luas kepada sumber ilmu daripada kolej, universiti dan perisian-perisian internet tersebut. Malangnya ini tidak benar-benar berlaku.

Kenapakah begitu?

Jawapannya berkisar kepada tiga perkara. Pertama, hakikat ilmu. Kedua, sifat ilmu. Dan ketiga, kaedah penyampaian ilmu tersebut.

Dalam perkara pertama, pada hakikatnya ilmu yang ada sekarang adalah sangat sedikit dalam nisbah ilmu ALLAH SWT.

ALLAH berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah Tuhanku, walaupun KAMI tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.” (Surah al-Kahfi, ayat 109)

Begitulah banyaknya ilmu ALLAH

llmu yang ada pada manusia sekarang dan sebelum ini pun, hanyalah sekadar ilmu yang dikurniakan ALLAH sahaja. Ini diakui oleh para Malaikat, seperti yang difirmankan sendiri oleh ALLAH dalam firman-NYA yang bermaksud: “Malaikat itu menjawab: “MAHA SUCI ENGKAU (Ya ALLAH)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa yang ENGKAU ajarkan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU jualah yang MAHA MENGETAHUI, lagi MAHA BIJAKSANA.” (Surah al-Baqarah, ayat 32)

Bawa ke syurga

Top of Form

Berita Telus & Tulus menerusi E-Mel setiap hari!

Bottom of Form

Manusia kena sentiasa menerima hakikat akan betapa sedikitnya ilmu mereka, walau nampak sehebat mana pun, agar mereka tidak takbur dan sombong dengan ilmunya.

Jika tidak, ilmu yang mereka miliki itu bukanlah ilmu yang benar. Ilmu tersebut tidak membina sifat-sifat terpuji (mahmudah) dan tidak melindungi mereka daripada sifat-sifat terkeji (mazmumah). Ia tidak membawa mereka ke syurga dan tidak dapat menyelamatkan mereka daripada neraka.

SEHEBAT mana pun seseorang, jangan kedekut dengan ilmu yang dimiliki.

Hakikat sedikitnya ilmu ini diperkuatkan lagi dengan perkara kedua, yakni sifat ilmu itu sendiri. Ilmu yang nampak berlambak itu tidak semestinya semuanya boleh dikatakan ilmu. Ia mungkin bersifat pengetahuan atau maklumat sahaja. Ia belum tentu boleh dikatakan ilmu yang benar.

Ilmu yang benar ialah ilmu tentang kebenaran, yang menghasilkan pemikiran, tindakan dan amalan yang benar mengikut kehendak ALLAH SWT dan Rasulullah SAW, serta melahirkan manusia yang memiliki rasa bertuhan dan rasa kehambaan yang mendalam terhadap ALLAH. Jika ilmu tersebut tidak memenuhi kriteria ini, maka ia bukan ilmu yang benar.

Ilmu dan kebenaran merupakan dua perkara yang tidak boleh dipisahkan. Ilmu adalah proses untuk sampai kepada kebenaran, manakala kebenaran adalah matlamatnya. Ilmu itu adalah alat (means), bukan matlamat (an end in itself).

Dengan matlamat kebenaranlah maka manusia boleh mencapai matlamat akhir, yakni keredaan ALLAH (mardhatillah).

Kata-kata seperti “ilmu untuk kepentingan ilmu” adalah tidak benar, apatah lagi ilmu untuk tujuan yang sia-sia.

Jaga adab, berkat hidup

Jika ilmu benar begini dapat dikuasai oleh manusia, maka tidak adalah lagi perbuatan sia-sia, kelakuan jahat, hiburan melalaikan, trend negatif di media sosial dan segala macam sikap yang merosakkan diri, masyarakat dan negara. Ilmu benar begini secara dinamik mampu mencorak peribadi baik manusia, lebih daripada yang mampu dicorakkan oleh peraturan, undang-undang, penguatkuasaan dan hukuman.

Bagaimanakah mendapat ilmu yang benar begini?

Jawapannya berkait rapat dengan faktor ketiga, yakni kaedah penyampaian ilmu. Sekarang kaedah penyampaian ilmu dilakukan dengan pelbagai cara, daripada secara bersemuka (face to face, f2f) hinggalah kepada secara maya (online).

Walau apapun cara, satu elemen yang menentukan dapat tidaknya ilmu yang benar ialah adab antara guru dengan murid. Perkara

ini mudah dilakukan dalam kaedah penyampaian ilmu secara bersemuka, tetapi dalam kaedah penyampaian ilmu secara

maya, bagaimanakah adab ini boleh dipertahan dan diamalkan?

Malah dalam kes mempelajari sesuatu melalui perisian seperti Google, Wikipedia, Chat-GPT dan sebagainya, siapakah guru sebenarnya, dan kepada siapakah murid perlu beradab?

Persoalan ini patut difikir dengan serius. Tanpa adab guru-murid, ilmu yang benar tidak dapat dicapai. Para ulama telah menyampaikan pengalaman mereka dalam soal hubungan adab guru-murid ini dengan pencapaian dan penguasaan ilmu.

Misalnya, Habib Umar memberitahu muridnya: “Seorang penuntut ilmu tidak akan mendapatkan setitis pun (walaupun sedikit) ilmu yang bermanfaat jika dia tidak menghormati gurunya.”

Al-Imam Ali bin Hasan Al-Aththas pula mengatakan: “Memperoleh ilmu, futuh dan cahaya yakni terbukanya hijab batin, adalah sesuai kadar adabmu terhadap gurumu. Kadar besarnya gurumu di hatimu, maka demikian pula kadar besarnya dirimu di sisi ALLAH tanpa ragu.” (Al-Manhaj As-Sawiy: 217)

Habib Abdullah Al-Haddad juga mengatakan: “Paling bahayanya bagi seorang murid, adalah berubahnya hati gurunya daripadanya. Seandainya seluruh wali dari Timur dan Barat ingin memperbaiki keadaan si murid itu, nescaya tidak akan mampu kecuali setelah gurunya reda kembali.” (Adab Suluk Al-Murid: 54)

Jadi, dalam mencari ilmu yang benar dan menggunakannya secara bermanfaat, tiga perkara di atas, yakni hakikat ilmu, sifat ilmu dan kaedah penyampaian ilmu, perlu diberi tumpuan dan dihayati sungguh-sungguh. Inilah antara asas pendidikan berteraskan Islam.

***Prof Emeritus Muhammad Syukri Salleh (Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia)

Sinar Harian