PENUH garis masa (timeline) di media sosial bercerita perihal siang ikan dalam beberapa hari ini. Pelbagai komen-komen ditinggalkan oleh warga siber.
Ada yang mengecam, tidak kurang juga yang memandangnya dari sudut positif dan tenang.
Sedarlah setiap orang ada kekurangan masing-masing. Tiada siapa yang sempurna sepenuhnya. Pasti ada ‘kecacatan’ di mana-mana.
Sebab itulah manusia dijadikan berpasang-pasangan dan dianjurkan berkahwin yang menjadi sunnah Rasulullah SAW. Bukan sahaja untuk berkasih sayang dan memenuhi tuntutan fitrah, tetapi juga saling melengkapi antara satu sama lain.
Baik kaum Adam mahupun Hawa, raikanlah perbezaan masing-masing biarpun mungkin salah seorang atau kedua-dua mereka tidak pandai siang ikan.
Dalam hidup berumah tangga, pendakwah Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek atau lebih dikenali sebagai Ustaz Hanafi menjelaskan, walaupun beras di dapur dibeli oleh suami, tetapi isteri yang melakukan tugas-tugas memasak.
“Kena saling melengkapi dan memberi sokongan antara satu sama lain,” kongsinya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.
Penceramah itu kemudian berkongsikan beberapa pesanan al-Quran berkaitan suami dan isteri untuk sama-sama kita ambil peringatan serta amalkan.
Berikut penjelasan beliau:
1. Seorang isteri mintalah ampun daripada suami. Pasangan pula maafkanlah.
Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu; oleh itu awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan (mereka) serta mengampunkan kesalahan mereka (maka ALLAH akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya ALLAH MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah at-Taghabun, ayat 14)
2. Taatlah perintah suami agar melabuhkan pakaian.
Itulah yang lebih sesuai dan terbaik untuk wanita beriman.
ALLAH SWT berfirman: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) ALLAH adalah MAHA PENGAMPUN, lagi MAHA MENGASIHANI.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)
3. Taat perintah suami selagi tidak bertentangan dengan perintah ALLAH SWT dan rasul.
Kepada para suami pula, didiklah isteri masing-masing dengan penuh hikmah dan jangan menyusahkan pasangan.
Firman ALLAH SWT: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana ALLAH telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan, dan juga kerana orang orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka. Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada ALLAH dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama, dengan pemuliharaan ALLAH dan pertolongan-NYA. Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya ALLAH MAHA TINGGI, lagi MAHA BESAR.” (Surah an-Nisa’, ayat 34)
Demikian perkongsian Ustaz Hanafi untuk sama-sama kita ambil ibrah daripadanya.
Ujar beliau, kunci kebahagiaan dalam rumah tangga adalah iman dan takwa kepada ALLAH SWT.
“Di samping itu, saling memahami, menghormati dan tolak ansur antara suami isteri.
“Tak penting pun pandai siang ikan atau tidak. Apa yang utama adalah ketaatan kepada ALLAH dan rasul serta suami tercinta,” ungkapnya.
Sinar Harian