RAMAI manusia ‘sangkut‘ di akhirat bukan disebabkan dosa dengan ALLAH SWT, tetapi melibatkan urusan dosa sesama manusia.
Perbuatan itu termasuklah dosa menjaja aib orang lain yang boleh menjadikan seseorang tergolong dalam kelompok muflis pada hari akhirat.
Pendakwah bebas, Ahmad Izzhar Ahmad Nazri atau lebih dikenali sebagai Da‘i Izzhar menjelaskan, perkara itu ada disebutkan jelas menerusi hadis masyhur.
Rasulullah SAW pernah bertanyakan sahabatnya: “Tahukah kamu sekalian, siapakah orang muflis itu?“ Sahabat menjawab: “Orang muflis menurut kami ialah orang yang tidak memiliki wang dan harta benda.“Baginda kemudian membalas: “Sesungguhnya orang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang pada hari kiamat kelak datang dengan ibadah solat, puasa dan zakat, tetapi ia dulu selalu mencaci-maki orang ini, memfitnah orang itu, memakan harta orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan memukul orang ini. Maka diberikan kepada setiap orang tadi daripada pahala kebaikannya…“ (Hadis Riwayat Muslim)
“Bayangkan, semua pahala amal ibadah dan kebaikan habis begitu sahaja diberikan kepada orang yang diumpat, dicaci dan pernah dibuka aibnya.
“Akhirnya, dia pergi akhirat tanpa sebarang pahala amalan. Umpama tidak buat sebarang amalan pun sebelum ini. Sebab itulah kita sentiasa beringat agar diri tidak tergolong dalam kelompok orang yang muflis di akhirat asbab membuka cela dan pekung manusia lain,“.
Lantaran itu, motivator tersebut mengingatkan kita agar tidak sewenang-wenangnya membuka keaiban orang lain termasuk di media sosial masing-masing.
Memetik kata-kata gurunya, Maulana Ahmad Lutfi Muharam, secara asasnya mendedahkan aib itu haram dan dilarang dalam Islam kecuali dengan beberapa syarat yang ketat.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidaklah seseorang hamba menutup aib hamba yang lain, melainkan ALLAH tutup aib hamba yang pertama tadi pada hari kiamat.“ (Hadis Riwayat Muslim) Dalam satu riwayat lain daripada Ibn Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang mencari-cari aib (atau kelemahan) saudaranya yang Muslim, nescaya ALLAH akan membuka aibnya walaupun dia berada di dalam rumahnya.“ (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Da‘i Izzhar, andai ia difahami dan dihayati secara mendalam, pasti kita akan berkira-kira atau goyah untuk menjatuhkan air muka orang lain.
“Pada hari akhirat nanti, semua amalan kita akan ditayangkan di padang mahsyar. Semua orang boleh lihat termasuk pasangan, anak-anak dan ibu bapa kita. Pasti kita risau semua orang tahu akan perbuatan kita di dunia dan dosa dilakukan di belakang manusia.
“Sebab itulah ALLAH tawarkan kepada sesiapa yang menutup aib saudaranya, maka segala cela dirinya juga akan terpelihara sama ada di rumah apalagi di akhirat nanti.
“Seperkara lagi, suka saya ingatkan, sesiapa yang mencari-cari aib orang lain sebenarnya bukanlah menjaga tepi kain orang, tetapi seolah-olah dia sengaja menyelak kain orang demi mencari aib saudaranya yang lain. ALLAH akan buka aibnya nanti,“ tegasnya.
Audit diri
Benar, untuk menjadi baik bukanlah suatu yang mudah dan memerlukan mujahadah yang tinggi.
Bagaimanapun, Da‘i Izzhar memberikan kata-kata peringatan tegas yang menggentarkan sanubari.
Katanya, yakinlah bahawa setiap huruf yang dilontarkan dari bibir mahupun tulisan mahupun diterjemahkan oleh tindak-tanduk kita akan diaudit oleh ALLAH SWT.
“Andai seseorang percaya dengannya, kita akan gentar untuk mengeluarkan kata-kata mahupun mencoretkan komen mahupun tulisan,“ ujarnya.
Ketahuilah bahawa manusia yang banyak menyakiti ialah orang yang disakiti, kata penceramah bebas itu mengulas dari konteks psikologi.
Mengertilah, individu yang banyak melukakan orang lain ialah orang yang sebenarnya banyak terluka, terangnya.
“Mungkin dia sakit, secara mental atau emosi. Itulah caranya untuk mereka meluahkan kesakitan dan emosi iaitu menerusi media sosial.
“Bila datang saja isu-isu tular, dia komen. Bukan komen jadi punca utama, tetapi disebabkan oleh hati yang terlalu sakit, masih belum berdamai dengan takdir atau mungkin juga dirinya pernah difitnah dulu.
“Faktor hati banyak menyebabkan orang menyakiti seseorang yang lain,“ katanya.
Sibukkan diri dengan ALLAH Justeru, beliau mengingatkan agar kita sentiasa memeriksa hati masing-masing agar tidak jadi individu sedemikian.
“Antara tanda hati seseorang sakit itu apabila kita menyakitkan orang lain. Bagaimana pula tanda hati yang sihat? Kita suka beri kebaikan dan membuatkan orang lain rasa yang baik,“ ujarnya.
Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Da‘i Izzhar menjelaskan beberapa penyebab yang memicu keserabutan dalam hidup seseorang hingga menggugat ketenangan.
Jelas beliau, puncanya adalah disebabkan kita terlalu sibuk tentang orang lain dan mengaturkan hidup mereka.
Sepatutnya, beliau mengingatkan agar kita menyibukkan diri tentang mengenal dan mendekati ALLAH SWT supaya dirinya sentiasa dipandang di sisi-NYA.
“Sesiapa yang berbuat demikian, hatinya akan sihat dan kurang sesak. Malah, dirinya akan banyak berdamai dengan takdir,“ ungkapnya.
Sinar Harian