SEMENANJUNG TANAH MELAYU LAMA

Pada masa dahulu, semenanjung Tanah Melayu turut meliputi wilayah Segenting Kra yang kini termasuk di dalam wilayah Negara Thai dan Myanmar. Penduduk di Negeri Patani bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kelantan (Yawi) sementara penduduk Melayu daripada wilayah Setul hinggalah ke Rundung dan Pulau Dua (Kawthoung) di dalam wilayah Myanmar pada hari ini bertutur dalam Bahasa Melayu dialek Kedah.

Penduduk Melayu di kawasan ini bukanlah pendatang, sebaliknya merupakan kaum pribumi yang telah menduduki kawasan ini sejak zaman berzaman, iaitu warisan daripada Kerajaan Srivijaya dan Langkasuka.

Binaan di Rundung (Ranong) yang menjelaskan sempadan sebenar bumi Melayu dan Siam, Selepas kejatuhan Kerajaan Siam yang berpusat di Ayuthia pada tahun 1767 akibat serangan Burma, telah bangkit satu kuasa Thai iaitu Kerajaan Thonburi di bawah pemerintahan Raja Taksin. Raja Taksin ini telah menyerang Kerajaan-kerajaan Melayu di Negeri Ligor, Cahaya, Rundung, Terang, Ghraibi, Bukit, Bedalung dan Singgora. Negeri Patani terselamat daripada serangan tersebut. Walaubagaimanapun, benteng terakhir negeri Melayu ini kemudiannya berhadapan dengan serangan demi serangan daripada pihak Thai.

Anglo-Siamese Treaty, 1909, yang dibuat antara British dengan pihak Thailand telah memisahkan sama sekali semenanjung Tanah Melayu kepada dua bahagian. Perjanjian ini dibuat tanpa melibatkan perbincangan dengan Raja-raja Melayu di negeri-negeri yang berkenaan. Wilayah-wilayah milik Melayu daripada Patani, Singgora, Setul hinggalah ke segenting Kra telah diakui British sebagai hak milik Thai.

Nama-nama tempat yang berbaur Melayu di kawasan segenting Kra juga telah diubah kepada sebutan dalam Bahasa Thai. Di bawah ini dinyatakan kembali nama sebenar antara sebahagian kawasan-kawasan di bahagian selatan Siam dalam Bahasa Melayu yang telah di’Thai’kan untuk peringatan dan rujukan kita semua serta generasi akan datang khasnya.

Phuket (Bukit). Nama lain ialah Tongkah.
Thalang (Tanjung Salang)
Yala (Jala)
Betong (Betung)
Bannang Sata (Benang Setar)
Raman (Reman)
Kabang (Kabae / Kabe)
Krong Pinang (Kampung Pinang)
Narathiwat (Menara)
Tak Bai (Tabal)
Rueso (Rusa)
Su-ngai Kolok (Sungai Golok)
Su-ngai Padi (Sungai Padi)
Tanyongmat (Tanjung Mas)
Buketa (Bukit Tar)
Pattani (Pantai Ini)
Sai Buri (Selindung Bayu @ Teluban)
Yaring (Jaring)
Krue Sae (Gersik)
Panare (Penarik)
Yarang (Jarang @ Binjai Lima)
Songkhla (Singgora) bermaksud ‘Bandar Singa’
Chana (Chenok)
Na Thawi (Nawi)
Thepha (Tiba)
Saba Yoi (Sebayu)
Ranot (Renut)
Sadao (Sendawa)
Samila Beach (Pantai Bismillah)
Satun (Setul)
Khuan Don (Dusun)
Phang Nga (Pungah). Ada sumber lain mengatakan daripada nama ‘Kuala Bunga’.
Ko Similan (Pulau Sembilan)
Ko Panyee (Pulau Panji)
Ko Phi Phi (Pulau Pi Ah Pi)
Takua Pa (Kupa)
Phattalung (Bedalong / Merdelong)
Trang (Terang)
Ranong (Rundung)
Krabi (Ghraibi)
Chaiya (Cahaya)
Nakhon Si Thammarat (Nagara Sri Dharmaraja / Bandar Sri Raja Dharma). Nama lama bagi negeri ini ialah ‘Tambralingga /Ligor’.
Tenasserim (Tanah Seri). Dalam wilayah negara Myanmar (Burma) pada hari ini.

Malaysia pada hari ini sebenarnya hanya mewarisi separuh daripada wilayah asal semenanjung Tanah Melayu.

Sumber dari Melayu

Credit:
Serombong Kapal Reloaded
Sengal Paranormal Team – SEPAT

Gangguan Wanita Bermulut Koyak Di Jepun Tahun 1979

Ilustrasi Kuchisake Onna (sumber phantasmaunloaded)

Menurut legenda, Kuchisake Onna adalah seorang wanita yang hidup di Jepun pada zaman Heian. Menurut cerita rakyat Jepun, dia adalah isteri atau gundik dari seroang samurai. Namun, Kuchisake dikenali kerana sikap sombongnya. Dia diketahui sering melakukan hubungan sulit di belakang suaminya.

Suaminya yang telah mengetahui kelakuan Kuchisake dengan berang telah menyerang dan membelah mulut Kuchisake dari telinga ke telinga. Suaminya kemudian mengatakan bahawa dia kini sudah tidak cantik lagi.

Kuchisake sering menutupi wajahnya (sumber Urban Legends: Kuchisake-onna – House of Tortured Souls)

Menurut maklumat, Kuchisake Onna sering menutupi mulutnya yang telah koyak itu dengan topeng dan sering menghantui penduduk bandar di tengah malam. Dikisahkan bahawa, apabila dia bertemu orang di jalanan terutama kanak-kanak atau lelaki muda, dia akan menanyakan “adakah dirinya cantik”.

Jika orang yang ditanya menjawab “ya” maka dia akan membuka topeng tersebut dan bertanya lagi “adakah dia masih cantik”. Sudah tentu mangsanya akan sangat terkejut dan menjawab “tidak”. Setelah itu, dia akan membunuh mangsanya dengan gunting, sabit, atau senjata-senjata tajam yang lain.

Menurut cerita yang disebarkan, apabila mangsanya menjawab bahawa dia tetap cantik, dia akan gembira dan membebaskannya. Namun, maklumat lain mengatakan dia tetap akan mengikut mangsanya lalu membunuhnya ketika mereka berada di hadapan pintu rumah.

Mangsa Kuchisake termasuk kaum wanita (sumber Yokai.com)

Bukan sekadar lelaki, dia juga menjadikan wanita sebagai mangsanya. Jika mangsanya wanita, maka dia akan merobek mulut mereka dan jika mangsanya adalah kanak-kanak maka dia akan memakannya.

Kisah lain yang diceritakan, ketika dia menanyakan kepada wanita “adakah dirinya cantik”, jika jawapannya “tidak” maka dia akan membunuh wanita tersebut.

Jika jawapannya “ya” maka dia akan berkata “aku akan membuatmu secantik diriku” lalu dia merobek mulut mangsanya dari telinga sampai telinga.

Rata-rata mangsanya yang terselamat memberikan jawapan yang membingungkan seperti “begitulah” sehingga dia perlukan waktu untuk menghukumnya dan saat itulah mangsanya akan segera meyelamatkan diri.

Cara lain untuk selamat dari jelmaan yang amat mengerikan ini adalah dengan memberikannya gula bewarna kuning tua yang amat disukainya. Namun, dia tidak dapat makan bila mengenangkan akan penderitaannya.

Jepun tahun 1979 (Footage.framepool)

Kisah dari jelmaan wanita bermulut robek ini mula menghantui Jepun pada musim bunga dan musim panas tahun 1979, ketika khabar ini tersebar tentang gadis bermulut robek yang mengenakan topeng telah memburu kanak-kanak.

kisah ini tersebar dengan cepat sehingga pihak polis telah meningkatkan kawalan dan pihak sekolah mengarahkan para pelajar pulang secara berkelompok. Pada tahun 2004, Korea Selatan terganggu dengan adanya laporan tentang wanita memakai topeng berbaju merah mengejar kanak-kanak.

Pada tahun 2007, pihak berkuasa menemukan beberapa catatan lama dari akhir 1970-an tentang seorang wanita yang sedang mengejar budak-budak kecil namun telah dilanggar kereta dan meninggal dunia. Ironinya, mulut wanita itu kelihatan terkoyak dari telinga ke telinga.

Kisah Kuchisake Onna telah mengispirasi sebuah filem bertajuk The Slit Mouthed Woman pada tahun 2007.

Credit : Jasson King Fans Official

SMILEY: MOYANG SEGALA EMOJI

Emoji.

Siapa yang tidak kenal dengan emoji atau emoticon ini? Kehadiran emoji digital diumpama mengembalikan semula kegemilangan tulisan Hieroglif yang pernah digunakan oleh rakyat Mesir kuno pada suatu ketika dahulu. Tulisan Hieroglif merupakan salah satu tulisan bergambar yang digunakan oleh masyarakat Mesir kuno untuk menggambarkan sesuatu peristiwa, rekod atau catatan yang terjadi pada masa pemerintahan dinasti-dinasti Mesir kuno. Tulisan sebegini kebanyakannya ditemui di dinding dalaman piramid, kuil sembahan ataupun di makam para raja dan bangsawan Mesir kuno.

Sebagaimana yang kita ketahui, simbol emoji terdiri daripada beberapa bentuk riak wajah seperti senyum, sedih, sakit, takut dan pelbagai macam lagi.

Emoji digital pertama diciptakan oleh Shigetaka Kurita ketika beliau bekerja di syarikat telekomunikasi NTT Docomo do Jepun pada tahun 1999. Seterusnya, emoji mula diperkenalkan pada masyarakat pada tahun 2007 oleh syarikat Apple Inc dan ia semakin digunakan secara meluas oleh pengguna media sosial untuk berinteraksi sesama mereka sehingga ke hari ini melalui beberapa proses penambahbaikan pada watak-watak emojinya. Selain bertujuan membawa suatu mesej atau maksud tertentu, emoji juga dinobatkan sebagai salah satu bahasa antarabangsa yang sangat mudah difahami.

Tetapi tahukah anda, simbol emoji senyum atau yang dikenali sebagai Smiley, pernah tergambar di atas sebuah artifak purba yang diyakini berumur hampir 2,000 SM dahulu?

Sebelum penemuan artifak yang akan diceritakan, kita akan melihat penemuan emoji Smiley di atas sebuah dokumen milik seorang peguam dari tahun 1635 M.

SMILEY TRENCIN (1635 M)

Pada bulan Februari 2017 lalu, para pengkaji National Archive of Trencin dari Slovakia, telah menemui sehelai dokumen rasmi yang berusia hampir 382 tahun (2019, 384 tahun), yang dimana, di dalamnya ditemui sebuah emoji senyum bertulisan tangan.

Emoji senyum tersebut berada di bawah sebuah tandatangan seorang peguam yang diyakini bernama Jan Ladislaides. Para pengkaji berpendapat, Jan Ladislaides melukis emoji dibawah tandatangannya sebagai salah satu bentuk kegembiraannya mengesahkan sebuah dokumen yang lengkap. Peter Brindza, ketua dalam penyelidikan dokumen terbabit mengungkapkan, yang emoji senyum tersebut mungkin sebuah emoji yang paling lama di dalam dunia ataupun hanya di daerah Trencin sahaja.

Rekod emoji senyum milik Jan Ladislaides yang diyakini sebagai penemuan emoji terlama di dunia tidak bertahan lama apabila pada bulan Mei 2017, ahli arkeologi dari Universiti Bolognia, Itali, menemui sebuah bekas minuman dari tapak arkeologi di daerah Karkamis, Turki yang berhampiran dengan sempadan negara Syria.

SMILEY KARKAMIS (2,000 SM).

   

Tapak arkeologi Karkamis merupakan tapak kota kuno Karkamis (Dewa Karmis) yang dahulunya pernah diperintah oleh empayar Hittie (1600 SM-1178 SM) yang mana bekas empayarnya merangkumi negara moden sekarang iaitu Turki, Syria, Lebanon dan Cyprus. Kota Karkamis pernah diperintah oleh tamadun Hittie, Neo-Assyria dan Rom.

Kawasan ini mula dikaji dan digali oleh ahli penyelidik dari pihak Muzium British pada sekitar tahun 1878 sehingga 1881, 1911 sehingga 1914 dan 1919 sehingga 1920. Penggalian seterusnya dilancarkan di antara tenaga gabungan dua buah negara, iaitu dari Turki dan Itali pada tahun 2011.

Pada tanggal 2 Mei 2017 yang lalu, seramai 25 orang ahli arkeologi gabungan dari Universiti Bolognia dari Itali, Gaziantep Metropolitan dan Sanko Holdings dari Turki, bertanggungjawab dalam misi penggalian tapak arkeologi Karkamis, telah menemui beberapa artifak purba peninggalan tamadun Hittie dan tamadun Rom.

Ketika penggalian di salah sebuah makam di tapak Karkamis, mereka telah menemui pelbagai benjana atau bekas yang menyimpan makanan atau minuman yang kebanyakannya berusia hampir 2,000 SM. Diantara penemuan tersebut, ahli arkeologi lebih terpesona dengan sebuah bekas yang dipermukaannya terpapar lukisan seakan-akan Smiley. Penemuan ini seterusnya mengejutkan mereka dan beberapa pendapat dan teori dikemukakan berdasarkan kajian, diantaranya adalah:

1. Bekas ini digunakan untuk menyimpan sherbet, iaitu sejenis minuman manis.

2. Tujuan lukisan yang dilukiskan di atas bekas air ini masih belum dikenalpasti.

Nikolo Marchetti, profesor dari Universiti Bolognia, yang bertanggungjawab memimpin misi penggalian di Karkamis selama 7 tahun lamanya, meringkaskan pendapatnya yang kemungkinan ini adalah emoji paling tertua di dunia yang pernah ditemui oleh manusia.

Bekas air Smiley dan beberapa artifak lain dibawa ke Muzium Arkeologi Gazeantep di Turki, untuk dikaji dan disimpan sebagai salah satu koleksi oleh pihak muzium.

Pada tahun 2018 lepas, pihak Turki telah mengumumkan untuk membuka tapak arkeologi kota kuno Karkamis kepada umum. Para pengunjung dapat melihat sisa runtuhan istana, kuil sembahan, beberapa buah tugu dan beberapa sisa peninggalan binaan tamadun Rom dan Neo-Assyria.

Rekod Smiley Karkamis sebagai emoji tertua di dunia masih utuh sehingga ke hari ini. Adakah suatu hari nanti, akan ditemui emoji Smiley lainnya yang lebih tua usianya daripada Smiley Karkamis?

Entahlah. Yang penting, dalam hidup ini, sentiasalah tersenyum walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran. Kalau bekas air buruk ini mampu lagi tersenyum girang setelah 2,000 tahun lamanya terkubur di dalam makam dan ia dipandang bernilai di mata sejarawan, bagaimana pula anda?

Yeah.. senyumlah walaupun muka buruk. Hanya orang yang tertentu sahaja yang mampu melihat betapa bernilainya disebalik senyumanmu.

Sumber rujukan:

1. Catatan Penggalian Arkeologi Karkamis: https://turkisharchaeonews.net/…/july-2017-turkish-archaeol…

2. Pembukaan Muzium Arkeologi Karkamis: https://www.aa.com.tr/…/turkey-ancient-hittites-cit…/1510283#

3. Oldest Emoji: https://www.google.com/…/worlds-oldest-emoji-discovere…/amp/

4. Tentang Profesor Nicolò Marchetti: https://unibo.academia.edu/Nicol%C3%B2Marchetti

Credit: Yoo Mat

Unusual Friendship

Boleh dikatakan sangat jarang dan sangat aneh sebenarnya untuk lihat peristiwa yang mana seekor serigala dan seekor beruang itu hidup bersama-sama seperti sahabat macam ni.

Kebiasaannya, kedua-dua pemangsa ini akan bersaing diantara satu sama lain untuk mendapatkan makanan.

Walau bagaimanapun, ‘pasangan’ serigala (Canis lupus) betina, dan beruang (Ursus arctos) jantan, diketahui meluangkan masa bersama untuk 10 hari berterusan. Malah kedua-dua haiwan pemangsa ini turut didapati berkongsi buruan (makanan) masing-masing.

Credit :
Jurugambar Lassi Rautiainen.
Shahmil Hafiz Syed Kamaruddin

BORNEO AIRWAYS

Oleh Haslina Bujang

AIR Asia, MAS dan Malindo merupakan antara syarikat penerbangan awam yang gah namanya seantero dunia dan ianya juga turut menjadi pilihan pelanggan untuk ke Borneo. Jika ingin tambang yang murah maka pilihlah Air Asia kerana “Now everyone can fly” dan jika ingin nampak lebih bijak tinggi di awan mungkin Malindo Air akan menjadi dambaan dengan mottonya “Smarter Way To Stay High”.

Untuk mereka sentiasa membayangkan layanan kelas pertama, tiada salahnya membayar tambang lebih sedikit dengan menggunakan perkhidmatan Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) kerana disinilah “Malaysian Hospitality” bermula.

Pulau Borneo itu cukup besar keluasannya dan penduduknya mendiami Pulau Borneo berselerak dan selain daripada itu ianya juga mempunyai empat negara di dalamnya iaitu wilayah Sarawak dan Sabah, Malaysia; Negara Brunei Darussalam dan Kalimantan, Republik Indonesia. Pengangkutan air sudah tentu menjadi pengangkutan yang popular daripada dahulu sehinggalah sekarang selain ada sesetengah tempat sudah mampu dihubungi dengan jalan darat.

Menyelusuri sejarah pengangkutan udara di Borneo sebenarnya sudahpun ada sejak menjadi tanah-tanah jajahan pentadbiran British Borneo. Sekitar tahun 1957, pihak pentadbiran British Borneo mendapati keperluan untuk adanya satu perkhidmatan udara bagi menghubungkan tiga tanah jajahan mereka di Borneo begitu mendesak sekali.

Untuk itu, mereka telah sepakat untuk menubuhkan sebuah syarikat penerbangan yang dinamakan Syarikat Borneo Airways Limited pada masa itu. Selain menjadi penghubung paling pantas antara tiga wilayah jajahan British di Borneo, syarikat ini juga turut menyediakan penerbangan penumpang, kargo dan mel udara langsung dari Borneo ke Singapura.

Pada tahun 1962, sebuah syarikat penerbangan yang dinamakan Sabah Airways Limited kepunyaan Straits Steamship Company Limited menghadapi kengkangan kewangan yang meruncing untuk terus beroperasi. Pada ketika itulah, Borneo Airways Limited telah membeli saham-saham syarikat lantas mengambilalih kesemua operasinya. Sabah Airways dan Borneo Airways Limited bergabung dan dijenamakan semula dengan nama Borneo Airways.

Tanggal 16 September 1963, Sabah dan Sarawak membentuk Negara Malaysia bersama-sama dengan Singapura dan Malaya turut memberi tempias ke atas operasi perkhidmatan udara yang disediakan oleh Borneo Airways. Ini kerana pada masa itu segala hal ehwal perkhidmatan penumpang, kargo dan mel udara daripada Sabah mahupun Sarawak telah diambilalih sepenuhnya oleh Malayan Airlines yang menyediakan penerbangan antara Singapura-Kota Kinabalu dan Singapura-Kuching. Sementara itu Borneo Airways hanya dibenarkan untuk beroperasi dengan menyediakan perkhidmatan penumpang dan kargo bagi wilayah Borneo sahaja iaitu Sabah, Sarawak dan Brunei.

Pada tahun 1965, Singapura secara rasminya telah keluar daripada Malaysia lantas menubuhkan syarikat penerbangan sendiri yang dikenali sebagai Singapore Airlines. Malayan Airlines yang dijenamakan semula pada tahun 1963 sebagai Malaysia Singapore Airlines bertindak menukar nama syarikat tersebut kepada Malaysia Airlines. Pada ketika inilah kesemua saham-saham dan milikan Borneo Airways dibeli oleh Malaysia Airlines System dan kesemua urusan pengangkutan udara telah didominasi oleh MAS. Sejak daripada itulah, Borneo Airways yang beroperasi di Borneo dari tahun 1957 terkubur dan hanya diingati di dalam lipatan sejarah penerbangan Borneo.

Jika kita menyoroti sejarah bagaimana operasi pembelian dan penjualan tiket Borneo Airways di Sarawak sebenarnya langsung tidak mempunyai kaunter jualannya sendiri. Sebaliknya urusan pemasaran dan jualan tiket dilakukan oleh sebuah syarikat milik kerajaan yang dinamakan Sarawak Steamship Limited yang beribupejabat di Kuching, Sarawak sebagai agen jualan tiket mereka bagi wilayah Sarawak pada waktu itu. Hanya setelah keseluruhan operasi syarikat diambilalih oleh Malaysia-Singapore Airlines yang kemudiannya menjadi Malaysia Airlines, kesemua urusan diuruskan oleh mereka sendiri.

Sekitar tahun 1997, satu syarikat penerbangan yang dinamakan Borneo Airways ditubuhkan semula namun ianya langsung tiada mempunyai sebarang perkaitan dengan sejarah Borneo Airways 1957. Ini kerana ianya adalah entiti perniagaan yang berlainan yang mana melibatkan Royal Brunei Airlines telah memutuskan perniagaan mereka dengan Hornbill Skyways. Namun begitu “Borneo Airways” yang baru setahun beroperasi pada ketika itu terkubur jua apabila operasinya ditutup atas beberapa masalah yang tidak mampu dielakkan.

#KamekSayangSarawakBah

SUMBER:
Book title “The Fork Once Taken: From The British Crown Colony” by Charles. W. Parton

Borneo Airways.https://www.revolvy.com/page/Borneo-Airways

Borneo Airways. https://www.flightmalaysia.com/borneo-airways.php

History of Malaysia Airlines.https://www.seatmaestro.com/airlines-seating-maps/…/history/

The Sarawak Steamship Company Limited.http://www.sarawaksteamship.com

Credit : The Patriots

World War II

6 Ogos & 9 Ogos 1945

Adalah tarikh keramat bagi penduduk dimuka bumi Jepun yang tidak akan pernah dilupai diseluruh dunia.

Nagasaki & Hiroshima antara daerah di Jepun telah dimusnahkan menggunakan bom atom yang digelar sebagai “LITTLE BOY” & “FAT MAN”.

6Ogos1945,’Little Man’ telah dijatuhkan di Hiroshima kemudian diikuti pada tarikh seterusnya pada 9Ogos1945,’Fat Man’ pula dijatuhkan dikawasan Nagasaki.

Agenda siapakah ini?

Amerika Syarikat yang ketika itu dikepalai oleh Presiden Harry S. Truman.

Bom nuklear ini adalah senjata paling tajam ketika ini bagi memusnahkan sesebuah empayar secara besar-besaran.

Jepun mengistiharkan lebih 70ribu rakyat mereka mati ketika serangan ini berlaku namun bilangan ini tidaklah menemukan kesahihan kerana ada sesetengah dari mangsa terus lupus dengan kesan pengeboman.

Kemudian setiap tahun bilangan mangsa yang mati diaudit dari 70 ribu kepada 140 ribu seterusnya. Mayat2 yang ditemui tidak dapat dikenal pasti identiti kemudian mayat2 tersebut dilupuskan secara besar-besaran.

Dari rekod 140 ribu mangsa telah menjadi lebih 200 ribu rekod kematian dimana ada antara mangsa yang selamat namun masih didalam keadaan yang sangat kritikal kerana kekurangan bantuan perubatan.

Tidak lama selepas tragedi pengeboman,Empayar Jepun menyerah kalah pada 15Ogos1945 dengan beberapa surat akur janji sebagainya.

 

Credit : Salmah Melor

 

8 Cara Bijak Untuk Menyimpan Wang.

Sebagai ibu ayah, kita sentiasa mahu berikan yang terbaik buat anak-anak. Ini termasuklah kestabilan dari aspek kewangan. Mari amalkan 8 tip simpan duit berikut pada tahun ini dan lihat bagaimana ia membina profil kewangan yang lebih baik untuk keluarga anda.

Jika anda sudah pun mempunyai gol tahun ini untuk membina simpanan yang lebih baik untuk keluarga dan anak-anak, mungkin tip ini dapat membantu anda mencapainya.

1. Jangan berbelanja terlalu banyak di pasaraya.
Anda perasan tak? Kadangkala, walaupun sudah buat senarai barangan dapur yang mahu dibeli, anda masih lagi mengambil barangan yang tiada dalam senarai (baca: tidak diperlukan).

Bagaimana kita boleh menyimpan duit jika kita sering terlajak berbelanja? Anda nak tahu bagaimana caranya untuk menahan diri dari berbelanja lebih di pasaraya?

Jangan pergi shopping ketika lapar. Bunyi seperti pelik, tapi itu faktanya. Anda lebih mudah membeli ketika lapar, menyangka anda memerlukannya.

Selain itu, tunggu sehingga anda mempunyai 10 barangan dalam senarai, kemudian barulah pergi ke pasaraya. Anda juga dapat menjimat kos pengangkutan, minyak, tol, dan kos parking.

2. Cuba memasak di rumah berbanding makan di luar.
Ya, ini adalah antara tip simpan duit yang kita selalu dengar, tapi berapa ramai yang telah mengamalkannya?

Susun jadual harian kita dan tetapkan masa untuk memasak di rumah. Pada zaman yang serba mencabar dari segi ekonomi, makan di luar memakan kos yang tinggi.

Setiap wang yang anda jimatkan ketika memasak di rumah, simpannya dalam akaun savings. Anda pasti terkejut melihat berapa banyak simpanan anda di akhir tahun!

3. Tahan diri dari guna kad kredit.
Tip simpan duit ini amat penting diamalkan oleh mereka yang tidak berdisiplin dalam mengguna dan membuat pembayaran kad kredit.

Ya, kad kredit memberikan manfaat kepada mereka yang tahu menggunakannya. Contohnya seperti potongan diskaun istimewa, rebat, atau cash back.

Namun, buat mereka yang tidak pandai menggunakannya, ia boleh menjadi jerat kewangan yang serius.

Jadi, pada tahun ini, sorok kad kredit anda dalam peti ais (biar ia membeku keras dan tak boleh dicabut!). Jangan gunakannya melainkan anda benar-benar terdesak.

Buat bayaran secara cash, ia lebih mudah untuk membuatkan anda berjimat kerana anda nampak cash anda di depan mata.

4. Buat simpanan kecil-kecilan setiap hari.
Mungkin ada antara kita yang merasa menyimpan duit sebanyak RM300 atau RM400 sebulan itu terlalu tinggi. Ia sukar dilakukan.

Jadi, antara tip simpan duit bijak yang boleh anda amalkan pada tahun ini adalah dengan menyimpan secara harian.

Mungkin anda boleh menyimpan sehari RM1 atau RM2 dalam tabung. Pada hujung bulan, anda pasti tersenyum melihat simpanan cash yang ada.

Masukkan ia dalam akaun simpanan atau Tabung Haji pada hujung bulan.

5. Tulis senarai kewangan.
Ramai antara kita hanya berfikir tentang menyimpan wang tetapi sedikit yang mahu benar-benar menulis senarai gol kewangan mereka.

Dengan membuat senarai, lebih mudah dan praktikal untuk anda mengikuti setiap to-do list tersebut. Contohnya, tulis dalam buku nota anda:

• Saya mahu menyimpan RM5 setiap hari dalam tabung.

• Setiap ringgit yang saya jimat kerana tidak beli Starbuck, saya akan simpan dalam tabung
Saya akan membuka fixed deposit akaun dan tolak RM100 daripada gaji bulanan secara automatik.

• Saya akan simpan duit dividen ASB, bayar zakat dan hanya belanjakan 5% sebagai reward kepada diri.

Dengan senarai yang jelas sebegini, anda boleh “tick” setiap to-do yang berjaya dijalankan. Anda pasti berasa puas!

6. Jual apa yang anda tidak perlu
Cuba lihat sekeliling rumah anda. Ada banyak barangan yang anda tidak lagi guna dan perlukan. Jangan buang, sebaliknya jual dan simpan wang tersebut dalam tabung atau akaun simpanan.

Barangan mainan anak, stroller lama, baju lama yang masih elok, barangan elektronik yang tidak digunakan – ini semua barangan berharga yang boleh ditukar kepada cash!

7. Jangan buang barangan yang masih boleh digunakan.
Lagi satu tip simpan duit adalah dengan mengelak daripada membeli barangan yang sama secara berulang-ulang.

Contohnya seperti, beg Ziploc, bekas plastik, peralatan dapur, dan juga uncang teh.

Semua ini boleh digunakan semula. Anda hanya perlu mencucinya sahaja. Setiap ringgit yang dijimatkan, anda simpan dalam tabung.

8. Tukar gaya hidup.
Mungkin ada antara kita suka mengamalkan gaya hidup yang mahal. Apa yang dimaksudkan dengan gaya hidup mahal?

Antaranya adalah seperti berikut dan kami berikan juga alternatif lain.

• Minum kopi mahal – tukar amalan membeli kopi franchis yang mahal kepada kopi segar yang anda brew sendiri di rumah.

• Aktiviti di shopping mall – tukar amalan berbelanja di shopping mall di hujung minggu kepada melawat taman atau tempat aktiviti percuma.

• Percutian yang kerap – percutian memang diperlukan tetapi jika terlampau kerap, anda mungkin tidak dapat berjimat dan menyimpan.

• Amalkan “staycation” iaitu berehat dan melakukan aktiviti kegemaran di rumah
Setiap pengorbanan dan pertukaran gaya hidup pasti membantu anda membina profil kewangan yang lebih stabil dan mantap untuk ahli keluarga anda.

Mari amalkan tip simpan duit di atas dan selamat berjaya!

 

Credit : theAsianparent

Kelebihan Ayat Seribu Dinar

Ayat seribu dinar adalah ayat suci al-Quran yang dipetik dari surah At-Talaaq ayat 2-3 :

Surah At-Talaq: Ayat 2-3

Surah At-Talaaq: Ayat 2-3

Firman Allah SWT yang bermaksud:

{2}……dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya),

{3} Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

KISAH DI SEBALIK AYAT

Diceritakan bahawa seorang saudagar telah membayar sebanyak seribu dinar untuk mendapat ayat ini yang dikatakan fadhilatnya ialah mendapat menyelamatkan pembacanya dari malapetaka. Di dalam perjalanan pulang, kapal saudagar ini telah dipukul ombak dan beliau terus membaca ayat tersebut. Dengan izin Allah SWT, hanya beliau seorang saja yang terselamat dari bencana itu.

KEISTIMEWAAN AYAT SERIBU DINAR

Antara kelebihan dan fadhilat ayat seribu dinar ini ialah :
1. Di baca apabila kita hendak bertawakkal terhadap sesuatu perkara.
2. Menghilangkan keresahan bila di baca di waktu resah.
3. Di baca ketika hendak menaiki kenderaan
4. Jikalau dibaca ayat ini kepada orang yang sedang sakit sebanyak 3 kali dan dihembuskan kepada si pesakit itu dan di jampi pada air sebanyak 3 kali diberi minum, insya Allah si pesakit akan sembuh.

BERHATI-HATI, JANGAN SAMPAI TERLALU TAKSUB!

Dalam masyarakat Melayu fenomena menggunakan tangkal azimat masih lagi wujud sehingga ke hari ini. Berikut dinyatakan beberapa fenomena bid’ah yang telah dikesan:

Penggunaan tangkal azimat seperti ‘ayat seribu dinar’. Penggantungan ‘ayat seribu dinar’ tersebut dianggap sebagai pelaris jualan mereka.
Pergantungan untung rugi pastinya tidak dianggap keseluruhan milik Allah. Ini menjadikan pelaris berkenaan sebagai perantaraan antara makhluk dengan Allah. Dengan penggunaan pelaris berkenaan sedikit sebanyak telah membuka ruang syirik kepada Allah.

Penggunaan tangkal yang diikat pada pinggang. Tangkal tersebut ditulis dengan ayat al-Quran dan dicampur aduk dengan ayat-ayat lain. Tujuan
penggunaan tangkal berkenaan sebagai ‘penguat badan’.

Begitu juga dengan batu azimat. Pengguna berkenaan beranggapan batu azimat tersebut yang mampu menjadikan penggunanya kebal dan mempunyai kuasa aneh.

 

Credit : 1) eSumber dari Portal Online, Majlis Daerah Pekan, Pahang dan 2) Pertembungan Bid’ah al-I’tiqadiyyah dalam Peradaban Masyarakat Melayu oleh Fadzli Adam & Firdaus Khairi Abdul Kadir dari Fakulti Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu

Cara Mengawal Stres

Stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami oleh seseorang apabila  tuntutan tidak dapat dipenuhi.

Stres boleh juga dialami bila berdepan dengan rangsangan yang tidak menyenangkan seperti bau yang busuk, bunyi yang kuat dan kata-kata yang kesat.

Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres.

Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Walau bagaimanapun, stres yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri atau pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah 10B

Kaedah 10B ini adalah :-

  1. bertenang
  2. bernafas dengan dalam
  3. berkata `rilakslah’/ tak mengapa
  4. beribadat
  5. bercakap dengan seseorang
  6. berurut
  7. berehat dan mendengar muzik
  8. beriadah
  9. bersenam
  10. berfikiran positif

Bertenang. 
Setiap kali anda berasa stress atau berasa ketegangan,  bawalah bertenang. Dengan bertenang ia boleh membantu mengurangkan kitaran stres negatif pada peringkat permulaan.

Bernafas dengan dalam.
Lakukan latihan pernafasan yang boleh meningkatkan pertukaran oksigen dan karbon dioksida  dalam sel tubuh bagi mengurangkan ketegangan.

Berkata, ` Relakslah’.
Cuba katakan pada diri sendiri,  saya ni stres, ‘Relakslah’, Tak mengapa atau Tak pe lah, Oklah tu .  Bawalah bersabar.  Kata-kata ni sedikit sebanyak dapat menenteramkan perasaan dan mengurangkan stres.

Beribadat.  
Sekiranya anda mengalami tekanan atau stres anda boleh melakukan ibadat  seperti berzikir dan sembahyang mengikut kepercayaan masing-masing.  Beribadat dapat memberi sokongan emosi dan boleh melegakan perasan seseorang.

Berkongsi perasaan dengan seseorang
Bercakaplah dengan ahli keluarga atau  kawan-kawan rapat anda yang anda percayai dan dapat memahami perasaan anda .  Luahkanlah dan kongsi perasaan anda dengan mereka.
Apabila anda berkongsi perasaan dengan orang lain , anda akan berasa lega dan ini dapat mengurangkan tekanan yang anda hadapi.  Anda akan merasai bahawa masih ada orang yang sayang dan ambil berat tentang diri anda.

Berurut.  
Apabila anda stres pada kebiasaannya otot-otot di bahagian leher dan bahu akan menjadi tegang.  Belajarlah cara urut leher dan bahu kerana urutan ini boleh melegakan tegangan otot dan melancarkan perjalanan darah.

Urutan kaki juga boleh dilakukan untuk mengurangkan stres.

Berehat dan mendengar muzik. 
Apabila anda stres berehatlah sambil mendengar alunan muzik yang  lembut.  Muzik  dapat membantu mengurangkan denyutan jantung yang laju dan tubuh badan anda akan mula relak serta  pernafasan anda akan kembali normal. Ini membuat anda   berasa tenang.  Pilihlah muzik yang lembut dan menenangkan.

Beriadah. 
Luangkan sedikit masa anda untuk melakukan aktiviti  di luar rumah sama ada bersama keluarga atau rakan-rakan.  Lakukanlah aktiviti yang anda sukai.  Beriadah dapat menenangkan fikiran dan membuat anda berasa gembira serta menghilangkan stres.
Bersenam.  
Bersenam juga boleh membantu mengurangkan ketegangan otot dan stres. Dengan  bersenam  ia dapat meningkatkan pengeluaran hormon dan dorfin dan anda akan berasa lega dan tegang.
Antara aktiviti senaman yang boleh anda lakukan ialah berjalan dan bersenam robik.

Berfikiran positif.
Stres  juga boleh berlaku disebabkan prasangka dan salah tafsir kita terhadap sesuatu situasi.  Cubalah berfikiran secara positif di mana anda cuba  melihat kebaikan atau keadaan positif dalam mana-mana situasi yang bersifat negatif.

Kita perlu berfikiran positif untuk meningkat harga diri sendiri.  Pelajarilah cara berfikiran positif kerana ia akan dapat membantu kita menangani stres dengan lebih berkesan.

Dengan melakukan kaedah 10B,  kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh dapat dikurangkan.

Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda

Walau bagaimanapun, kaedah 10B hanya boleh mengawal stres untuk jangka masa pendek.

Punca stres perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres tersebut. Anda juga boleh mengamalkan kemahiran daya tindak yang bersesuaian untuk menangani stres anda.

 

Credit : myhealth.gov.my

Fakta Menarik – Kidal

Anda tahu tak sebenarnya sejak berada dalam kandungan ibu lagi, kita dah boleh tahu bahawa bayi yang dikandungkan itu kidal atau tidak?

Ya, mungkin semuanya hanyalah satu kebetulan je tapi ia kerap terjadi berulang kali. Bayi yang mengarahkan kepalanya ke kiri cenderung menjadi kidal dan begitu juga sebaliknya, bayi yang mengarahkan kepala pada bahagian kanan akan menjadi individu yang menggunakan tangan kanan.

12 fakta menarik tentang individu kidal yang mungkin anda tidak pernah tahu.Check this out!

1. 15 peratus daripada penduduk di seluruh dunia ini adalah bertangan kidal.

2. Bilangan lelaki kidal adalah dua kali ganda berbanding wanita.

3. 20 peratus ahli MENSA (sebuah organisasi bagi individu yang mempunyai IQ tinggi) adalah di kalangan orang kidal.

4. Kebanyakan individu kidal ini mempunyai deria pendengaran yang baik dan kerana itu, mereka mempunyai kelebihan dalam bidang muzik.

5. 40 peratus daripada pemenang pingat emas acara tinju dimenangi oleh golongan kidal.

6. Kebanyakan individu yang berpendidikan tinggi, sebanyak 26 peratus lelaki kidal adalah lebih kaya berbanding lelaki yang menggunakan tangan kanan.

7. Jika kedua ibu bapa adalah kidal, kebarangkalian untuk anak-anak mereka bertangan kidal adalah tinggi.

8. Sebahagian besar kucing betina adalah right-handed, sedangkan kucing jantan kebanyakannya adalah kidal.

9. Orang kidal juga lebih baik dalam menerima rangsangan, jadi tak hairanlah kelebihan ini dapat membantu mereka hebat dalam permainan video.

10. Wanita berumur yang mengandung lebih berpotensi untuk mendapatkan anak yang bertangan kidal.

11. Individu kidal menggunakan tangan kanan lebih kerap berbanding individu tangan kanan, menggunakan tangan kiri. Hanya 50 peratus individu kidal yang memegang tetikus komputer menggunakan tangan kiri.

12. 4 daripada 5 orang yang membangunkan MacBook adalah terdiri daripada individu kidal.

Orang tangan kidal ni juga katanya lebih berseni. Betul ke?

 

Credit : Remaja