Gejala biasa dihadapi manusia, ada kaitan dengan saluran pernafasan
Sedu menyebabkan individu rasa tidak selesa dan merimaskan. Ia adalah keadaan biasa dirasai sama ada bayi, kanak-kanak atau orang dewasa dan pelbagai cara digunakan untuk menghapuskannya.Ada orang berpendapat, sedu berlaku disebabkan angin yang menyerang badan. Dari sudut kesihatan, ia berlaku apabila pengecutan otot diafragma secara berulang kali disebabkan beberapa faktor.
Apabila anda menarik nafas, diafragma tertarik ke bawah untuk membantu menarik udara masuk ke dalam paru-paru. Malah, apabila kita menghembuskan nafas, diafragma menolak udara keluar daripada paru-paru. Ada ketikanya diagfragma menjadi terganggu semasa kita membuat pergerakan menarik ke bawah dalam keadaan tersentap.
Akibatnya, kita menelan udara ke dalam kerongkong secara mengejut dan apabila udara berebut-rebut masuk itu melanggar kotak suara anda, maka terhasillah bunyi sedu.
Persamaan dengan mamalia
Kalangan saintis sejak beratus-ratus tahun lalu menjelaskan sedu tidak mendatangkan faedah berguna kepada manusia.
Pengkaji yang diketuai Christian Straus yang bertugas di Hospital Pitie-Saltpetriere, Paris menjelaskan tersedu membantu mamalia* belajar menyusu kerana siri pergerakan ketika menyusu seperti tersedu membantu mengelak susu memasuki paru-paru.
Beliau percaya, litar atau sirkit otak yang mengawal ventilasi atau pengudaraan insang merentasi dunia mamalia moden termasuk manusia.
Wujud banyak persamaan antara sedu dengan pengudaraan insang dalam kalangan binatang seperti berudu. Salah satu daripadanya, kedua-duanya menghalang paru-paru daripada mengembun.
Mengapa tersedu?
Walaupun sehingga kini sebab kepada kejadian sedu ini masih belum diketahui, jika sedu dihadapi terlalu lama, lebih baik berjumpa doktor untuk rawatan seterusnya kerana dibimbangi terkena sedu yang dipanggil Chronic Hiccup.
Antara gejala sedu berterusan ini kemungkinan dikaitkan penyakit saraf yang diwarisi, kecederaan pada saraf , toksik, penyakit metabolik yang merosakkan saraf, tahap gula yang tinggi dalam darah, gelak berterusan atau selepas mengambil minuman bergas, alkohol, roti kering dan makanan pedas, paru-paru berair dan kesan sampingan ubat.
Dalam satu penyelidikan mengenai sedu yang dianggap munasabah oleh pakar, sekumpulan saintis Perancis mencadangkan wujudnya kaitan di antara sedu dengan evolusi dan fakta yang mengatakan bahawa nenek moyang kita berasal dari laut.
Mereka percaya, ia mungkin menunjukkan sifat atau ciri yang wujud zaman dulu kala, leluhur terdahulu mempunyai insang untuk membantu mereka bernafas. Malah, teori sedu yang diterbitkan dalam jurnal BioEssays menyatakan, kunci kepada tindak balas sedu terletak pada sekumpulan ikan primitif yang boleh menghirup udara yang kebanyakannya makhluk dua alam.
Punca sedu?
- Menelan terlalu banyak udara
- Makan secara lahap
- Berasa bimbang atau teruja
- Merokok
- Mengambil alkohol berlebihan
Kaedah menghilangkan sedu?
- Tahan nafas selama beberapa saat. Pastikan duduk dengan tenang
- Segera minum segelas air suam atau makan sesudu teh gula atau madu
- Bernafas dalam plastik udara
- Tenangkan jiwa dan minda
Sumber – Berita Harian, Foto – antsonafarm