Universiti awam sedia terima pelajar di kampus

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/09/860153/universiti-awam-sedia-terima-pelajar-di-kampus

KUALA LUMPUR: Pengurusan universiti awam (UA) giat melakukan persiapan menjelang pembukaan semula sesi pengajian secara bersemuka pada Oktober ini, yang berkemungkinan dibuat secara berperingkat.

Antara persiapan ialah mendapatkan maklumat status vaksinasi pelajar dan memastikan mereka divaksin sebelum memulakan kuliah di kampus.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan, berkata pihaknya masih menunggu keputusan rasmi Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung perkara itu.

“Secara umumnya, KPT sudah menetapkan tarikh dan akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kemasukan mungkin dibuat secara berperingkat iaitu pelajar yang sudah lengkap divaksinasi dan pelajar yang belum menerima vaksinasi.

“Bagi pelajar yang lengkap vaksinasi, mereka akan terus mendaftar di kolej kediaman masing-masing manakala yang belum menerima vaksinasi tetapi tergolong dalam kelompok berkeperluan khas perlu menjalani proses isolasi di dua lokasi kolej kediaman ditetapkan,” katanya kepada BH, hari ini.