Attending Advanced Elearning Course
Archives for February 2016
Sukarnya Membuat Sesuatu Keputusan
Assalamualaikum warahmatullah dan salam sejahtera.
Suka saya kongsikan beberapa cerita yang pernah dibaca untuk renungan kita bersama. Permasalahan dan pilihan adalah lumrah kehidupan. Setiap hari baru yang kita temui akan menuntut sekian banyak penyelesaian masalah dan pilihan. Oleh itu setiap kita perlu sekurang-kurangnya menguasai teknik teknik asas dalam membuat keputusan, samada secara individu atau kumpulan (organisasi).
Walaubagaimanapun untuk membuat keputusan bagi suatu kumpulan atau organisasi jauh lebih sukar dan memberi impak yang lebih besar. Membuat keputusan yang betul adalah merupakan perkara yang cukup penting untuk memastikan kelangsungan atau tercapainya matlamat organisasi. Beban ini sebahagian besarnya terpikul di atas bahu pemimpin atau barisan kepimpinan. Keputusan yang salah atau tidak matang akan berhujungkan kegagalan atau kegawatan yang boleh memecahbelahkan anggota serta melemahkan kepimpinan.
Oleh itu antara sifat yang perlu ada pada seseorang pemimpin ialah kemahirannya dalam memberikan satu penyelesaian atau jawapan dengan cepat dan tepat. Sesuatu keputusan yang lahir dari seorang pemimpin walaupun secara spontan adalah merupakan hasil renungan atau pemikiran yang tenang dan rapi. Hasil pemikiran tajam yang melihat suatu permasalahan dari segenap aspek samada negatif atau positifnya. Berbagai persoalan cuba ditimbulkan, kemudian dicarinya penyelesaian-penyelesaian bagi permasalahan yang timbul berdasarkan andaian-andaian yang dibangunkan berdasarkan pengalaman dan prinsip-prinsip yang sudah terbina di dalam dirinya.
Untuk memahami ruanglingkup atau skop berkaitan kemahiran membuat keputusan ini cuba kita selesaikan permasalahan ini;
Kes 1
Ketika anda sedang melintasi landasan keretapi anda dapati ada sekumpulan kanak-kanak (mungkin 8-10 tahun) sedang bermain agak jauh dari tempat anda berada. Salah seorang dari mereka sedang leka bermain di satu landasan yang sudah lama tidak digunakan manakala yang lain bermain di landasan yang masih aktif. Tiba-tiba sebuah keretapi penumpang bergerak laju menuju ke arah anda yang seterusnya akan melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik bermain. Anda pada masa itu berada berhampiran Interchanger (gear untuk mengubah laluan keretapi).
Mustahil bagi anda untuk menghentikan keretapi tersebut, begitu juga untuk memberi amaran pada kanak-kanak yang sedang bermain kerana jaraknya yang agak jauh. Mungkin yang mampu anda lakukan ialah menukar laluan keretapi ke landasan yang lain dimana terdapat seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain. Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu anda ambil dalam situasi tersebut? Membiarkan keretapi penumpang tersebut merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di landasan aktif atau mengubah laluannya kelandasan di mana hanya terdapat seorang budak.
Kebanyakan orang akan membuat keputusan untuk mengorbankan seorang kanak-kanak demi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak. Ini adalah keputusan yang dikira paling wajar diambil, paling rasional, emotional dan bermoral. Ini adalah perkara yang sering berlaku, masyarakat akan lebih cenderung kepada nilai majoriti berbanding nilai minoriti, walaupun kadang-kadang pendapat minoriti lebih menghampiri kebenaran. Kepentingan ramai menjadi nilaian utama untuk mengukur kebenaran sedangkan kebenaran itu mungkin didokong oleh seorang individu.
Namun untuk membuat keputusan yang tepat beberapa perkara perlu diberi pertimbangan;
- Kanak-kanak yang bermain bersendirian telah mengambil keputusan yang betul iaitu bermain di landasan yang tidak lagi digunakan kerana disitu dia akan lebih selamat. Jadi kenapa dia yang telah membuat keputusan yang betul perlu dikorbankan kerana kecuaian pihak yang lain.
- Sekumpulan kanak-kanak yang bermain dilandasan yang masih beroperasi menyedari hakikat bahaya yang mungkin terjadi. Oleh itu mereka akan lebih berwaspada dan peka dengan bunyi atau kehadiran keretapi. Mereka akan lari ke tempat lain jika mereka mendengar bunyi keretapi yang begitu hampir.
- Kanak-kanak yang bermain sendirian di landasan yang tidak lagi berfungsi tidak akan pernah menyangka bahawa keretapi akan melalui landasan tempat dia bermain. Oleh itu walaupun bunyi keretapi sudah begitu hampir dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan menyelamatkan diri.
- Landasan yang tidak lagi beroperasi dan sudah lama tidak digunakan lagi itu mungkin terlalu uzur untuk menanggung berat keretapi yang bakal lalu di atasnya. Kesannya kemungkinan keretapi yang penuh dengan penumpang itu akan terbalik dan menyebabkan korban yang lebih ramai.
Kes 2
Ketika cuti penggal, sebuah sekolah rendah yang sedang membuat persediaan menyambut ulangtahun ke 50 telah membina sebuah pintu gerbang bagi mencantikkan sekolah. Pintu gerbang yang diperbuat dari batu bata dan konkrit itu dibina pada pintu masuk utama ke kawasan sekolah.
Pada hari pertama persekolahan, sebuah bas yang sudah hampir sepuluh tahun mengangkut pelajar-pelajar, seperti biasa masuk keperkarangan sekolah. Tanpa menyedari kewujudan pintu gerbang tersebut pemandu bas terus membelok dan masuk melalui pintu gerbang tersebut. Malangnya bas itu tersangkut kerana ketinggian pintu gerbang yang tidak sesuai dengan bas tersebut. Oleh kerana ketinggian bas itu hanya beberapa sentimeter melebihi had ketinggian pintu gerbang tersebut maka sebahagian bas tersebut telah melepasi pintu gerbang.
Untuk bergerak melepasi pintu gerbang tersebut mungkin akan menimbulkan kerosakan pada bas dan pintu gerbang tersebut. Jika nak diketuk bumbung bas tersebut mungkin menimbul kerugian yang banyak pada pemandu bas yang menjadikan bas tersebut sebagai sumber mata pencariannya. Kalau nak diruntuhkan pintu gerbang tersebut tentunya pihak sekolah akan kesuntukan masa untuk membina pintu gerbang baru sedangkan acara sambutan akan berlangsung hanya beberapa hari lagi.
Di kalangan orang ramai yang menyaksikan kejadian tersebut ada yang mencadangkan supaya diketuk bumbung bas tersebut hingga bas tersebut boleh melepasi pintu gerbang tersebut tanpa merosakkannya. Ada juga yang bersimpati dengan pemandu bas lalu mencadangkan supaya dipecahkan pintu gerbang tersebut.
Apakah pandangan anda bagi menyelesaikan permasalahan ini?
Sekiranya kita hanya membataskan pertimbangan kita pada dua perkara yang dizahirkan iaitu Bas dan Gerbang maka kita akan menemui jalan buntu. Sebaliknya jika kita meneliti dari setiap sudut maka ada banyak perkara lagi yang boleh dipertimbangkan.
Ketika kekalutan itu berlarutan tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak (pelajar) memberikan cadangan yang mengejutkan semua. Katanya “Kenapa tidak dikempiskan tayar bas tersebut supaya bas tersebut boleh melepasi pintu gerbang tersebut tanpa merosakkan salah satunya?”
P/S : MUDAHKAH MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN? 🙂