Archives for May 24, 2016

SEBUAH PERANGKAP TIKUS

*Adaptasi daripada : cerita-tauladan.blogspot.com

 

TERSEBUT kisah pada suatu ketika, terdapat seekor tikus yang sedang sibuk mencari makanan. Si Tikus tersebut telah mengintip di celah-celah dinding kawasan rumah seroang petani dalam usaha untuk mencari sumber makanan. Si Tikus terlihat Sang Petani dan isterinya sedang membuka sebuah bungkusan. Si Tikus lantas memikirkan bahawa mungkin terdapat makanan di dalam bungkusan tersebut. Tikus menunggu sehingga Sang Petani berjaya membuka bungkusan tersebut dan alangkah terkejutnya apabila Si Tikus mendapati bungkusan itu tersimpan sebuah perangkap tikus.

Si Tikus telah berlari dengan sepantasnya menuju ke tempat persembunyiannya untuk memberi khabar kepada rakan-rakannya mengenai isi bungkusan tersebut. Si Tikus sekadar memberi peringatan kepada rakan-rakannya supaya berhati-hati dengan perangkap tikus tersebut. “Awas, ada perangkap tikus di dalam rumah Sang Petani, awaslah semua”. Kata Si Tikus kepada rakan seangkatannya.

Sang Ayam kelihatan di satu sudut sedang tenang berkokok dan menguis-nguis tanah. Si Tikus telah menceritakan kepada Sang Ayam mengenai isi bungkusan tersebut dan meluahkan perasaan tidak senangnya dengan kehadiran perangkap tikus tersebut. Sang Ayam meluahkan pendapat kepada Si Tikus supaya tidak terlalu memikirkan mengenai perkara tersebut kerana merasakan bahawa kehadiran isi bungkusan itu tidak akan dapat memberi sebarang kemudaratan kepada Si Tikus.

Seterusnya Si Tikus pergi berjumpa dengan Sang Kambing lantas menceritakan kebimbangannya tentang kehadiran perangkap tikus tersebut. Sang Kambing yang mendengar khabar berita tersebut turut bersimpati dengan Si Tikus. Tetapi apakan daya, Sang Kambing hanya mampu berdoa supaya Si Tikus terselamat daripada masuk ke dalam perangkap tikus. Sang Kambing turut menyatakan bahawa Si Tikus sentiasa berada dalam setiap doanya.

Kemudian Si Tikus menuju pula ke arah Sang Lembu. Si Tikus turut menceritakan perkara seperti yang telah diceritakan kepada Sang Ayam dan Sang Kambing. Setelah mendengar khabaran daripada Si Tikus, Sang Lembu dengan bangga dan yakin telah berkata “Oh? Sebuah perangkap tikus, jadi saya dalam bahaya besar ya?”. Lantas Sang Lembu terus ketawa. Sang Lembu kelihatan seolah-olah memperkecilkan saiz badan Si Tikus dan langsung tidak menghiraukan kegelisahan yang dialami oleh Sang Tikus. Maka, pulanglah Si Tikus dengan keadaan yang hampa, kesal dan sedih kerana terpaksa menghadapi kehadiran perangkap tikus itu secara bersendirian.

Apabila malam mula menjelma, terdengar riuh rendah di dalam kawasan rumah Si Petani tersebut. Riuh rendah seolah-olah bunyi seperti seekor tikus telah berjaya menjadi mangsa kepada sebuah perangkap tikus. Isteri petani yang mendengar bunyi riuh rendah tersebut pantas menuju ke arah perangkap tikus tersebut. Tanpa beliau sedari, dalam keadaan gelap yang menyapa terdapat seekor ular berbisa berdekatan dengan perangkap tikus tersebut. Tangan isteri petani dipatuk oleh ular berbisa tersebut dan keadaan itu disedari oleh petani. Petani terus membawa isterinya menuju ke hospital dan mereka kembali dengan keadaan isteri petani yang demam.

Apabila seseorang itu mengalami demam, mereka akan dijamu dengan makanan berkhasiat seperti sup ayam segar. Petani terus pergi ke belakang rumahnya untuk menyembelih ayam dan dijadikan sup untuk isterinya yang demam. Penyakit isterinya masih tidak sembuh. Jiran-jiran petani tersebut telah datang untuk melawat dan melihat keadaan isterinya. Sebagai usaha untuk menjamu jiran-jiran yang hadir, petani pergi menyembelih kambing untuk dijadikan hidangan kepada sesiapa yang hadir untuk melawat isterinya. Namun, keadaan semakin berlarutan dan isterinya tetap tidak sembuh.

Pada suatu hari, isteri petani yang telah lama menderita akibat bisa ular tersebut telah menemui titik nokhtah dalam kehidupannya. Isteri petani telah disahkan meninggal dunia. Ramai yang hadir pada ketika itu, dan petani membuat keputusan untuk menyembelih lembunya bagi menjamu hadirin yang hadir.

Pengajaran yang boleh didapati daripada kisah tauladan ini ialah kita perlu bantu-membantu antara satu sama lain. Kerjasama yang erat perlu dilaksanakan dalam usaha untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Walaupun masalah itu tidak mempunyai perkaitan dengan kita, tidak salah untuk kita berusaha bersama-sama dalam menyelesaikannya. Adalah lebih baik untuk berusaha membantu walaupun sedikit, daripada tidak berusaha langsung untuk membantu. Sikap kerjasama dan tolong-menolong antara satu sama lain dapat menghasilkan satu pembuatan keputusan yang efisyen selain daripada dapat mengukuhkan perhubungan antara kedua belah pihak.