Archives for June 27, 2016

MUDAHKAH MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN?

Ketika anda sedang melintasi landasan keretapi anda dapati ada sekumpulan kanak-kanak (mungkin 8-10 tahun) sedang bermain agak jauh dari tempat anda berada. Salah seorang dari mereka sedang leka bermain di satu landasan yang sudah lama tidak digunakan manakala yang lain bermain di landasan yang masih aktif. Tiba-tiba sebuah keretapi penumpang bergerak laju menuju ke arah anda yang seterusnya akan melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik bermain. Anda pada masa itu berada berhampiran Interchanger (gear untuk mengubah laluan keretapi).

Mustahil bagi anda untuk menghentikan keretapi tersebut, begitu juga untuk memberi amaran pada kanak-kanak yang sedang bermain kerana jaraknya yang agak jauh. Mungkin yang mampu anda lakukan ialah menukar laluan keretapi ke landasan yang lain dimana terdapat seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain. Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu anda ambil dalam situasi tersebut? Membiarkan keretapi penumpang tersebut merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di landasan aktif atau mengubah laluannya kelandasan di mana hanya terdapat seorang budak.

Kebanyakan orang akan membuat keputusan untuk mengorbankan seorang kanak-kanak demi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak. Ini adalah keputusan yang dikira paling wajar diambil, paling rasional, emotional dan bermoral. Ini adalah perkara yang sering berlaku, masyarakat akan lebih cenderung kepada nilai majoriti berbanding nilai minoriti, walaupun kadang-kadang pendapat minoriti lebih menghampiri kebenaran. Kepentingan ramai menjadi nilaian utama untuk mengukur kebenaran sedangkan kebenaran itu mungkin didokong oleh seorang individu.

Namun untuk membuat keputusan yang tepat beberapa perkara perlu diberi pertimbangan;

  • Kanak-kanak yang bermain bersendirian telah mengambil keputusan yang betul iaitu bermain di landasan yang tidak lagi digunakan kerana disitu dia akan lebih selamat. Jadi kenapa dia yang telah membuat keputusan yang betul perlu dikorbankan kerana kecuaian pihak yang lain.
  • Sekumpulan kanak-kanak yang bermain dilandasan yang masih beroperasi menyedari hakikat bahaya yang mungkin terjadi. Oleh itu mereka akan lebih berwaspada dan peka dengan bunyi atau kehadiran keretapi. Mereka akan lari ke tempat lain jika mereka mendengar bunyi keretapi yang begitu hampir.
  • Kanak-kanak yang bermain sendirian di landasan yang tidak lagi berfungsi tidak akan pernah menyangka bahawa keretapi akan melalui landasan tempat dia bermain. Oleh itu walaupun bunyi keretapi sudah begitu hampir dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan menyelamatkan diri.
  • Landasan yang tidak lagi beroperasi dan sudah lama tidak digunakan lagi itu mungkin terlalu uzur untuk menanggung berat keretapi yang bakal lalu di atasnya. Kesannya kemungkinan keretapi yang penuh dengan penumpang itu akan terbalik dan menyebabkan korban yang lebih ramai.

Mudahkah membuat sesuatu keputusan?

Antara lobak merah, telur dan kopi, kita yang mana?

Assalamualaikum wbrt 🙂

Sebuah cerita…

Seorang anak mengeluh pada ayahnya mengenai kehidupannya dan bertanya mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan menyakitkan baginya. Dia tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya dan hampir menyerah kalah dalam kehidupan. Setiap kali satu masalah selesai, timbul pula masalah baru.

Ayahnya yang bekerja sebagai tukang masak membawa anaknya itu ke dapur. Dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menjerangkannya diatas api. Setelah air didalam ketiga periuk tersebut mendidih, dia memasukkan lobak merah didalam periuk pertama, telur dalam periuk kedua dan serbuk kopi dalam periuk terakhir. Dia membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil memikirkan apa yang sedang dilakukan oleh ayahnya. Setelah 20 minit, si ayah mematikan api.

Dia menyisihkan lobak dan menaruhnya dalam mangkuk, mengangkat telur dan meletakkannya dalam mangkuk yang lain dan menuangkan kopi di mangkuk lain.

Lalu dia bertanya kepada anaknya, “Apa yang kau lihat, nak?” “Lobak, telur dan kopi”, jawab si anak. Ayahnya meminta anaknya merasa lobak itu. Dia melakukannya dan berasa bahawa lobak itu sedap dimakan.

Ayahnya meminta mengambil telur itu dan memecahkannya. Setelah membuang kulitnya, dia dapati sebiji telur rebus yang isinya sudah keras.

Terakhir, ayahnya meminta untuk merasa kopi. Dia tersenyum ketika meminum kopi dengan aromanya yang wangi. Setelah itu, si anak bertanya, “Apa erti semua ini, ayah?” Ayah menerangkan bahawa ketiga-tiga bahan itu telah menghadapi kesulitan yang sama, direbus dalam air dengan api yang panas tetapi masing-masing menunjukkan reaksi yang berbeza.

Lobak sebelum direbus kuat, keras dan sukar dipatahkan. Tetapi setelah direbus, lobak menjadi lembut dan mudah dimakan. Telur pula sebelumnya mudah pecah dengan isinya yang berupa cairan. Tetapi setelah direbus, isinya menjadi keras.

Serbuk kopi pula mengalami perubahan yang unik. Setelah berada didalam rebusan air, serbuk kopi mengubah warna dan rasa air tersebut.

“Kamu termasuk golongan yang mana? Air panas yang mendidih itu umpama kesukaran dan dugaan yang bakal kamu lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan itu mendatangimu, bagaimana harus kau menghadapinya ?

Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi ?” tanya ayahnya.

Bagaimana dengan kita ? Apakah kita adalah lobak yang kelihatan keras, tapi dengan adanya penderitaan dan kesulitan, kita menyerah menjadi lembut dan kehilangan kekuatan. Atau, apakah kita adalah telur yang pada awalnya memiliki hati lembut, dengan jiwa yang dinamis ? Namun setelah adanya kematian, patah hati, perpisahan atau apa saja cabaran dalam kehidupan akhirnya kita menjadi menjadi keras dan kaku.

Dari luar kelihatan sama, tetapi apakah kita menjadi pahit dan keras dengan jiwa dan hati yang kaku? Atau adakah kita serbuk kopi ? Yang berjaya mengubah air panas, sesuatu yang menimbulkan kesakitan, untuk mencapai rasa yang maksimum pada suhu 100 darjah celcius.

Ketika air mencapai suhu terpanas, kopi akan terasa semakin nikmat. Jika kita seperti serbuk kopi, ketika keadaan menjadi semakin buruk atau memuncak, kita akan menjadi semakin baik dan membuat keadaan disekitar kita juga menjadi semakin baik.

Samalah halnya dengan serbuk kopi yang berjaya mengubah air panas yang membakarnya menjadikan ia lebih sedap dan enak untuk diminum.

Antara lobak merah, telur dan kopi, kita yang mana?