MUDAHKAH MEMBUAT SESUATU KEPUTUSAN?

Ketika anda sedang melintasi landasan keretapi anda dapati ada sekumpulan kanak-kanak (mungkin 8-10 tahun) sedang bermain agak jauh dari tempat anda berada. Salah seorang dari mereka sedang leka bermain di satu landasan yang sudah lama tidak digunakan manakala yang lain bermain di landasan yang masih aktif. Tiba-tiba sebuah keretapi penumpang bergerak laju menuju ke arah anda yang seterusnya akan melalui kawasan kanak-kanak yang sedang asyik bermain. Anda pada masa itu berada berhampiran Interchanger (gear untuk mengubah laluan keretapi).

Mustahil bagi anda untuk menghentikan keretapi tersebut, begitu juga untuk memberi amaran pada kanak-kanak yang sedang bermain kerana jaraknya yang agak jauh. Mungkin yang mampu anda lakukan ialah menukar laluan keretapi ke landasan yang lain dimana terdapat seorang kanak-kanak yang sedang leka bermain. Apakah tindakan yang paling wajar yang perlu anda ambil dalam situasi tersebut? Membiarkan keretapi penumpang tersebut merempuh sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain di landasan aktif atau mengubah laluannya kelandasan di mana hanya terdapat seorang budak.

Kebanyakan orang akan membuat keputusan untuk mengorbankan seorang kanak-kanak demi menyelamatkan sekumpulan kanak-kanak. Ini adalah keputusan yang dikira paling wajar diambil, paling rasional, emotional dan bermoral. Ini adalah perkara yang sering berlaku, masyarakat akan lebih cenderung kepada nilai majoriti berbanding nilai minoriti, walaupun kadang-kadang pendapat minoriti lebih menghampiri kebenaran. Kepentingan ramai menjadi nilaian utama untuk mengukur kebenaran sedangkan kebenaran itu mungkin didokong oleh seorang individu.

Namun untuk membuat keputusan yang tepat beberapa perkara perlu diberi pertimbangan;

  • Kanak-kanak yang bermain bersendirian telah mengambil keputusan yang betul iaitu bermain di landasan yang tidak lagi digunakan kerana disitu dia akan lebih selamat. Jadi kenapa dia yang telah membuat keputusan yang betul perlu dikorbankan kerana kecuaian pihak yang lain.
  • Sekumpulan kanak-kanak yang bermain dilandasan yang masih beroperasi menyedari hakikat bahaya yang mungkin terjadi. Oleh itu mereka akan lebih berwaspada dan peka dengan bunyi atau kehadiran keretapi. Mereka akan lari ke tempat lain jika mereka mendengar bunyi keretapi yang begitu hampir.
  • Kanak-kanak yang bermain sendirian di landasan yang tidak lagi berfungsi tidak akan pernah menyangka bahawa keretapi akan melalui landasan tempat dia bermain. Oleh itu walaupun bunyi keretapi sudah begitu hampir dia tidak akan mengambil apa-apa tindakan menyelamatkan diri.
  • Landasan yang tidak lagi beroperasi dan sudah lama tidak digunakan lagi itu mungkin terlalu uzur untuk menanggung berat keretapi yang bakal lalu di atasnya. Kesannya kemungkinan keretapi yang penuh dengan penumpang itu akan terbalik dan menyebabkan korban yang lebih ramai.

Mudahkah membuat sesuatu keputusan?

Comments

  1. FAIZAHTUL SOFIA KAMALUDIN says

    assalamualaikum, Dr.

    Benar post ini. kekadang saya rasa terlalu sukar untuk membuat sesuatu keputusan tu. sehingga mengambil keputusan untuk berdiam dari mengambil apa-apa risiko. Tapi setelah membaca post Dr. ni, saya dapat rasa lah yang bahawa sangat bijak untuk memberanikan diri untuk memikirkan keputusan yang paling bijak dalam menyelesaikan sesuatu masalah atau situasi yang mudah sekali pun. kerana ia sukar sebenarnya. alhamdulillah berkat suluhan dari Allah tu, mampulah jua bezakan dulu mana yang baik dan yang buruk.

    Rasulullah pernah bersabda, “…Kamu lebih mengetahui urusan duniamu.” (HR. Muslim, no. 2363.

    Jadi, izinkan saya belajar lebih lagi daripada post Dr ni.

    p/s: looking forward on your next post. Walaupun post-post lama x habis baca dan belajar lagi. assaalam.

Speak Your Mind

*