Sekilas berkaitan peristiwa al-ifki
Pada kebiasaaannya, apabila Rasulullah SAW pergi keluar untuk berperang atau bermusafir, Baginda SAW akan membuat undian bagi isteri-isteri Baginda SAW bagi memilih siapa dalam kalangan mereka yang akan menemani Baginda SAW dalam permusafiran tersebut. Pada ketika permusafiran Baginda SAW ke peperangan Bani Mustaliq tersebut, undian tersebut memihak kepada Saidatina Aisyah R.Anha dan beliau terpilih untuk menemani Baginda SAW.
Dalam perjalanan pulang daripada peperangan tersebut, Baginda SAW dan tentera Islam berhenti seketika di satu tempat yang tidak jauh daripada Madinah al-Munawwarah dan bermalam di situ. Apabila rombongan berhenti di situ, maka Saidatina Aisyah R.Anha keluar bagi menunaikan hajatnya dengan memakai rantai di lehernya. Setelah dia pulang daripada menunaikan hajat, dia mendapati rantai di lehernya hilang tanpa disedari olehnya. Oleh itu, dia kembali ke tempat itu semula untuk mencari rantai yang hilang tersebut.
Dalam ketika dia mencari rantainya yang hilang, rombongan yang dipimpin oleh Rasulullah SAW tersebut telah bersiap untuk bertolak pulang ke Madinah al-Munawwarah. Haudaj iaitu yang dibina untuk membawa Saidatina Aisyah di atas unta tersebut diangkat oleh para Sahabat tanpa menyedari bahawa Saidatina Aisyah tiada di dalamnya. Ini kerana keadaan fizikal Saidatina Aisyah yang kecil dan ringan menyebabkan para Sahabat tidak dapat membezakan bahawa Saidatina Aisyah ada di dalamnya ataupun tidak. Lantas, apabila rombongan tersebut mendengar sahaja panggilan untuk bergerak, mereka terus berangkat tanpa memeriksa haudaj tersebut.
Apabila Saidatina Aisyah kembali ke tempat rombongan tadi berada, dia mendapati bahawa rombongan tersebut telah pun beredar menuju ke Madinah. Lalu dia duduk dan terbaring di situ dengan membungkuskan dirinya dengan kain jilbabnya. Ini kerana apabila rombongan tersebut menyedari ketiadaan Saidatina Aisyah R.Anha, mereka akan kembali mencarinya di tempat tersebut.
Dalam keadaan Saidatina Aisyah seperti itu, maka selepas itu datang Saidina Safwan Ibn al-Mu’atthil al-Sulami RA yang ketinggalan di belakang kerana melaksanakan tugasannya. Apabila beliau sampai di tempat rombongan Rasulullah SAW tadi berada, beliau mendapati ada sebuah benda yang disangkanya barang yang tertinggal daripada rombongan Rasulullah SAW. Lalu beliau datang mendekati benda tersebut dan mendapati bahawa itu ialah isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah R.Anha. Beliau bertanya, apakah yang menyebabkan dia tertinggal, namun Saidatina Aisyah tidak menjawabnya. Beliau pun mendekatkan kuda kepada Saidatina Aisyah R.Anha untuk dia naik menunggangi kuda. Kemudian dia naik ke atas kuda tersebut dan Saidina Safwan menarik kepala kuda tersebut dan bertolak dengan segera menuju kepada rombongan yang telah beredar tersebut.
Fitnah ini merupakan satu peristiwa yang sangat pahit untuk dihadapi oleh Ummu al-Mukminin Aisyah R.Anha. Ia menimpa rumah tangga dan keluarga manusia yang paling mulia, iaitu Nabi Muhammad SAW dan ahli keluarga sahabat terdekat baginda SAW iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA. Fitnah ini berlarutan selama sebulan.
Walaubagaimanapun, Aisyah R.Anha tidak tahu-menahu walaupun sedikit berkaitan fitnah yang telah tersebar mengenai kesucian maruahnya tersebut. Dia hanya merasai perubahan sikap dan suasana disekelilingnya dan juga perubahan yang ada pada Rasulullah SAW setelah kepulangannya daripada peperangan Bani Mustaliq.
Saidatina Aisyah R.Anha pada satu ketika keluar bersama-sama Ummu Misthah menuju ke tempat menunaikan hajat di malam hari. Pada ketika itu, Ummu Misthah tergelincir disebabkan pakaiannya sendiri dan beliau melatah, “Celakalah Misthah!”. Apabila Saidatina Aisyah mendengarkan perkataan itu, Saidatina Aisyah R.Anha menegurnya dengan tegas kerana Misthah merupakan ahli Badar. Lantas, Ummu Misthah menyedari bahawa Aisyah masih tidak mengetahui mengenai berita tersebut, lalu menerangkan dan menceritakan segala perkara yang berlaku dan tuduhan kaum munafiq padanya.
Lalu setelah Saidatina Aisyah mendengar cerita itu, dia segera pulang dan menemui ibunya dan meminta penjelasan. Seorang wanita Ansar pun datang menemui mereka dan menceritakan segala-galanya dengan terperinci sehinggakan kejutan yang diterima ini menyebabkan Saidatina Aisyah R.Anha jatuh pengsan. Ketika beliau sedar dari pengsan, Rasulullah SAW datang menjenguknya, namun beliau meihat perubahan pada baginda kerana bagida hanya memberi salam dan bertanyakan keadaan Aisyah lalu lantas keluar. Disebabkan melihat kepada perubahan tersebut, beliau meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk menetap sementara waktu di rumah orang tuanya dan Rasulullah SAW membenarkan.
Apabila fitnah masih lagi berterusan yang tidak menunjukkan hentinya, Baginda SAW mengambil keputusan untuk meminta pendapat sahabatnya. Baginda SAW memanggil Saidina Ali bin Abi Thalib RA dan Usamah bin Zaid RA. Usamah bin Zaid RA menegaskan bahawa beliau tidak dapat membenarkan tuduhan tersebut terhadap Saidatina Aisyah R.Anha kerana tuduhan berat itu dianggap sebagai satu perkara yang pembohongan dan rekaan semata-mata. Tambahan pula, kesemua sahabat dan Rasulullah SAW sendiri mengenali Saidatina Aisyah sebagai seorang wanita yang solehah, taat dan bertaqwa.
Berbeza pula keadaannya dengan Saidina Ali Ibn Abi Talib disebabkan oleh rasa simpatinya dan kecintaannya kepada Rasulullah SAW, beliau menjawab: “Ya Rasulullah, masih banyak lagi wanita lain.” Lalu beliau menyarankan kepada Nabi agar bertanyakan tentang Aisyah kepada pembantu Aisyah sendiri iaitu Barirah kalau-kalau ia mengetahui tentang apa yang sebenarnya terjadi. Lalu Barirah dibawa untuk menemui Baginda SAW. Maka Baginda SAW pun bertanyakan tentang hal Saidatina Aisyah R.Anha kepada Barirah. Lalu dia berkata: “ Aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Demi Allah, Aisyah sungguh lebih baik daripada emas yang baik.”
Setelah mendengar penjelasan Barirah, Rasulullah bertanya pula kepada isteri Baginda SAW iaitu Zainab binti Jahsy RA mengenai peribadi Ummul Mukminin, Saidatina Aisyah. Sebagaimana yang telah diketahui, Zainab Bint Jahys RA sering bersaing dengan Aisyah R.Anha memenangi hati Rasulullah SAW. Namun begitu, ketika Rasulullah SAW bertanyakan mengenai Aisyah berhubung peristiwa fitnah ini, Zainab RA menjawab dengan baik, “Wahai Rasulullah, aku selalu menjaga pendengaran dan penglihatanku. Aku tidak ketahui daripada diri Aisyah ini melainkan kebaikan semata.”
Setelah mendengar pelbagai pandangan, Rasulullah SAW mengambil keputusan untuk bertemu dengan Saidatina Aisyah R.Anha sendiri di rumah mertuanya dan bertanyakan kepadanya secara langsung. Bagi Rasulullah SAW, kaedah ini dilihat sebagai satu kaedah yang terbaik untuk memperolehi kebenaran. Di rumah Abu Bakar RA Rasulullah SAW telah berkata kepada Saidatina Aisyah R.Anha, jika dia benar melakukannya maka hendaklah dia bertaubat kepada Allah SWT, sesungguhnya Allah SWT menerima taubat yang dilakukan oleh hamba-hambaNya.
Kata-kata Rasulullah SAW tersebut membuatkan Saidatina Aisyah terluka dan berkecil hati kerana seolah-olah Baginda SAW mempercayai tuduhan tersebut. Saidatina Aisyah kemudiannya memandang kepada kedua orang tuanya,untuk melihat reaksi mereka terhadap apa yang dikatakan oleh Rasulullah SAW. Akan tetapi keduanya berdiam diri tanpa sepatah kata. Aisyah mengerti mengapa keduanya berdiam diri kerana hanya dirinya sahaja yang mampu menjawab kata-kata Rasulullah SAW tadi.
Aisyah menjawab kepada Rasulullah SAW dalam keadaan menangis dengan menafikan tuduhan tersebut dan enggan bertaubat kerana dia tidak melakukan maksiat tersebut. Dia berkata bahawa bersabar lebih baik dan hanya kepada Allah sahajalah dia memohon pertolongan atas apa yang dituduhkan kepadanya.
Ketika Rasulullah SAW ingin pulang, wajah Baginda SAW mula berubah dan keadaan Baginda SAW pada ketika itu nampak begitu berat dan berpeluh, sedangkan ketika itu adalah musim sejuk. Selepas daripada itu, lahir kegembiraan daripada wajah Rasulullah SAW, Baginda SAW tersenyum gembira dengan berkata: “Wahai Aisyah, bergembiralah kerana Allah ‘Azza wa Jalla telah membebaskan dirimu.” Lalu Saidatina Aisyah mengucapkan tahmid kepada Allah SWT.
Sesungguhnya Allah SWT telah membersihkan nama Saidatina Aisyah R.Anha daripada fitnah itu dengan turunnya wahyu iaitu ayat 11-19, Surah al-Nur bagi menjelaskan hakikat sebenar yang berlaku. Ayat selepas itu menerangkan tentang hukuman terhadap orang yang melemparkan tuduhan (qazaf) terhadap wanita yang suci dengan menghukumnya dengan hukuman sebatan. Hukuman qazaf dilaksanakan ke atas sahabat yang membicarakan dan mempercayai fitnah tersebut seperti Saidina Hasan Ibn Thabit RA, Masthath RA dan Hammanah RA. [3]
Pengajaran daripada kisah
Banyak pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah yang telah diceritakan oleh Aisyah. Ianya sangat berkait rapat dengan apa berlaku di zaman kita ini. Apatah lagi pada zaman kita berkembangnya teknologi dan ianya boleh dimanipulasi sesuka hati oleh sesiapa pun.
Al-Qadhi Iyadh menyatakan bahawa di dalam kisah ini banyak faedah dan pengajaran yang boleh kita ambil. Antaranya ialah:
berhukum dengan yang zahir,
sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin khususnya mereka yang terkenal dengan kebaikan dan soleh seperti Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attal.
Begitu juga, jangan pedulikan pembohongan yang secara terang-terangan dibuat seperti mana yang ditunjukkan oleh kebanyakan kaum muslimin ketika mana Aisyah R.Anhanha dituduh.
Beliau juga menyebut bahawa di dalam kisah ada isyarat agar segala apa yang diuji dan dituduh serahkan sepenuhnya pada Allah SWT,
Banyakkan berdoa dan bertaubat kepada-Nya. (Rujuk Kamal Al-Mu’lim Syarh Sahih Muslim, 8/142)
Imam Al-Bukhari meletakkan kisah ini juga di dalam bab ‘ Jika seseorang membuat pengakuan dengan mengatakan : tidak kami tahu tentang orang ini melainkan yang baik-baik sahaja’ (باب: إِذَا عَدَّلَ رَجُلٌ أَحَدًا فَقَالَ لاَ نَعْلَمُ إِلاَّ خَيْرًا، أَوْ قَالَ مَا عَلِمْتُ إِلاَّ خَيْرًا) yang dimuatkan di dalam Kitab Penyaksian (الشهادات). Yang menariknya Maulana Zakariya Al-Kandahlawi menyatakan bahawa jika orang ramai sudah mengaku bahawa seorang individu sememangnya terkenal dengan kebaikan maka pengakuan itu boleh diambil. (Rujuk Al-Abwab Wa Al-Tarajim Li Sahih Al-Bukhari, 4/142).
Kita juga boleh belajar daripada sikap Ummu al-Mukminin Zainab Binti Jahsyi ketika mana Aisyah R.Anha dituduh berzina. Ketika Rasulullah SAW bertanya kepada beliau tentang apa yang berlaku pada ketika itu beliau menyebut :
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَحْمِي سَمْعِي وَبَصَرِي وَاللَّهِ مَا عَلِمْتُ عَلَيْهَا إِلَّا خَيْرًا قَالَتْ وَهِيَ الَّتِي كَانَتْ تُسَامِينِي فَعَصَمَهَا اللَّهُ بِالْوَرَعِ
Maksudnya : Wahai Rasulullah aku menjaga telinga dan mataku. Tidak aku tahu berkenaan Aisyah melainkan yang baik-baik sahaja. Dia memang sentiasa menyaingi aku akan tetapi Allah menjaganya dengan kewarakan yang ada padanya.”
Riwayat Al-Bukhari (4381)
Melihat sikap Zainab sudah cukup menginsafi kita. Walaupun Aisyah merupakan pesaing Zainab namun Zainab tidak langsung bercakap buruk tentang Aisyah. Boleh sahaja beliau memburuk-burukkan Aisyah agar Rasulullah SAW tidak lagi melebihkan Aisyah seperti sebelum-sebelum ini, namun iman dan akal yang sihat mendahului nafsu. Beliau sentiasa mengatakan yang baik tentang Aisyah tatkala keadaan pada ketika itu menjadi kacau bilau dek kerana fitnah yang sedang melanda.
Sheikh Abu Hasan Ali Al-Nadwi menyatakan lagi beberapa pengajaran yang boleh diambil daripada kisah ini. Antaranya :
Pertama : Fitnah yang tersebar luas dan tidak dapat dibendung akan menimbulkan implikasi yang buruk dengan menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan hidup dalam kalangan masyarakat. Ini kerana masyarakat akan saling berprasangka dan menuduh di antara satu sama lain pada perkara yang belum pasti samada ia benar ataupun tidak. Lalu menimbulkan perasaan yang kurang senang antara satu sama lain.
Kedua : Tuduhan jahat dan fitnah walaupun ia merupakan sesuatu yang sukar dipercayai, namun masih sahaja terdapat golongan yang terpengaruh dan mempercayai bahawa fitnah tersebut benar-benar berlaku. Ini seperti yang terjadi kepada beberapa orang sahabat yang mempercayai fitnah Hadith al-Ifk tersebut seperti Misthah RA, Zaid Ibn Thabit RA, Hammanah Binti Jahsy RA dan lain-lain.
Ketiga : Tipu-daya dan komplot daripada golongan kafir dan munafiq untuk memecah-belahkan umat Islam daripada dalam, selepas mereka terhina dengan kekalahan peperangan Al-Ahzab. Apabila mereka mendapati bahawa mereka tidak dapat mengalahkan Nabi Muhammad SAW dengan kekuatan ketenteraan dan persenjataan, maka mereka menggunakan serangan saraf yang melemahkan umat Islam daripada dalam dengan menimbulkan fitnah. Ini menyebabkan umat Islam tidak lagi bersatu hati dan timbul perasaan tidak senang dalam kalangan mereka.
Keempat : Tujuan golongan munafiq menyebarkan fitnah ini dalam kalangan masyarakat adalah untuk menyakiti Nabi SAW dengan menuduh orang yang paling disayangi oleh Nabi SAW iaitu isterinya, Saidatina Aisyah R.Anha. Sekaligus, ia menimbulkan ketidakpercayaan masyarakat terhadap ahli keluarga yang rapat dengan Baginda SAW, yang pada akhirnya akan menggugat kepercayaan kepada Baginda SAW sendiri.
Kelima : Tindakan para Sahabat yang membela Saidatina Aisyah R.Anha untuk menjaga maruah dirinya daripada dipermainkan oleh golongan munafiq merupakan sesuatu yang wajar dipuji kerana ia memberi kekuatan kepada orang yang dituduh oleh fitnah yang besar tersebut. Ini seperti yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA yang membela anaknya tersebut daripada tuduhan tersebut.
(Rujuk Sirah Al-Nabawiyah Li Al-Nadwi, hlm 273)
Kami melihat suasana yang berlaku pada hari ini hampir membetuli apa yang diutarakan oleh Abu Hasan Ali Al-Nadwi
Saranan al-quran dalam menghadapi fitnah
Apabila kita selusuri satu persatu ayat daripada Surah Al-Nur kita akan dapati bahawa Al-Quran memberikan saranan dan cara bagaimana menghadapi fitnah yang sedang melanda. Saranan-saranan ini datang sejurus selepas Allah membebaskan Saidatina Aisyah daripada tuduhan zina bersama Sofwan Bin Mu’attol pada ayat yang ke 11. Antara saranan tersebut ialah :
Pertama : Sentiasa bersangka baik dengan orang mukmin. Ini dapat dilihat melalui firman Allah SWT :
لَّوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ ظَنَّ ٱلْمُؤْمِنُونَ وَٱلْمُؤْمِنَـٰتُ بِأَنفُسِهِمْ خَيْرًا وَقَالُوا۟ هَـٰذَآ إِفْكٌ مُّبِينٌ
Maksudnya :” Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang-orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri. dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata”.
(Surah Al-Nur : 12)
Inilah yang dilakukan oleh sebahagian sahabat Nabi ketika mereka mendengar berita tentang Aisyah dan Sofwan Bin Mu’attol. Di antaranya ialah Abu Ayub Al-Ansari dan keluarganya. Mereka tidak langsung terlibat dalam komplot penyebaran mahupun mempercayainya. (Rujuk Al-Kasyaf ‘An Haqaiq Ghawamid Al-Tanzil, 3/212)
Kedua : Datangkan bukti atas setiap berita yang datang. Firman Allah SWT :
لَّوْلَا جَآءُو عَلَيْهِ بِأَرْبَعَةِ شُهَدَآءَ ۚ فَإِذْ لَمْ يَأْتُوا۟ بِٱلشُّهَدَآءِ فَأُو۟لَـٰٓئِكَ عِندَ ٱللَّـهِ هُمُ ٱلْكَـٰذِبُونَ
Maksudnya :” Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”
(Surah Al-Nur : 13)
Ketiga :Jangan sesekali memperkecilkan dan meremehkan fitnah yang berlaku. Ini adalah perkara yang amat penting untuk diamati. Sikap orang Islam sepatutnya tidak melibatkan diri dalam apa-apa komplot untuk memburukkan orang lain dengan melemparkan tuduhan yang tidak berasas. Ini dapat dilihat melalui firman Allah :
إِذْ تَلَقَّوْنَهُۥ بِأَلْسِنَتِكُمْ وَتَقُولُونَ بِأَفْوَاهِكُم مَّا لَيْسَ لَكُم بِهِۦ عِلْمٌ وَتَحْسَبُونَهُۥ هَيِّنًا وَهُوَ عِندَ ٱللَّـهِ عَظِيمٌ
Maksudnya :” Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.”
(Surah Al-Nur : 15)
Keempat : Nasihat orang ramai agar jangan bercakap dan menyebarkan fitnah. Ini juga adalah sikap yang paling penting dalam menghadapi fitnah yang sedang melanda. Orang beriman lidahnya penuh dengan tanggungjawab. Dia tidak akan sewenangnya percaya dan menyebarkan berita fitnah yang datang. Dia juga menasihati orang lain agar jangan terlibat dalam penyebaran fitnah yang tidak diketahui kebenarannya. Firman Allah SWT :
وَلَوْلَآ إِذْ سَمِعْتُمُوهُ قُلْتُم مَّا يَكُونُ لَنَآ أَن نَّتَكَلَّمَ بِهَـٰذَا سُبْحَـٰنَكَ هَـٰذَا بُهْتَـٰنٌ عَظِيمٌ
Maksudnya :” Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau (ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan”.
(Surah Al-Nur : 16)
Dan termasuklah menyebarkan berita melalui media massa tanpa usul periksa di samping masing-masing mengutarakan pendapat tanpa pengetahuan yang sebenar.
Semoga Allah tunjukkan kita perkara yang sebenar. Banyakkan berdoa :
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya :” Maksudnya: Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”
Wallahu’alam.