REALITI KENAIKAN PANGKAT SEORANG PENSYARAH: PENERBITAN BUKANLAH UKURAN MUTLAK

Saya ingin menarik perhatian tentang laporan sebuah akhbar yang melaporkan bahawa Malaysia berada pada tangga kelima dalam kecenderungan menerbitkan jurnal predatory journal disebabkan sikap ahli akademik yang mahukan kenaikan jawatan ke profesor madya dan profesor dengan jalan pintas. Data itu diperoleh daripada penyelidikan antarabangsa melibatkan 172 negara dalam empat bidang iaitu sains kesihatan, sains hayat, sains fizikal dan sains sosial untuk tempoh dua tahun dari 2015 hingga 2017.

Hakikatnya, kenaikan pangkat seseorang pensyarah bukanlah hanya bergantung kepada penerbitan semata-mata sebagai kriteria mutlak untuk seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai profesor dan profesor madya di universiti.  Terdapat banyak lagi kriteria lain kenaikan pangkat sebagai profesor yang merangkumi sekurang-kurang 7P iaitu Pengajaran, Penyeliaan,Penyelidikan, Penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, Perkhimatan kepada masyarakat serta Pentadbiran Akademik yang menggambarkan kepimpinan akademik dan pengurusan.   

Manakala, bagi memohon kenaikan pangkat seseorang ahli akademik perlulah mengemuka permohonan kenaikan pangkat yang akan melalui pelbagai proses saringan ketat untuk memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang telah diperakukan oleh Senat sebagai badan akademik tertinggi di universiti dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti sebagai pihak berkuasa tertinggi di universiti. Sebelum ke peringkat ini, seseorang pensyarah perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan dan jika ia disokong oleh fakulti berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti itu akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon. Sekiranya calon gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti. Namun, apabila permohonan dibawa ke jawatankuasa penapis di peringkat universiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf professor.

Dari segi penerbitan pula, pihak jawatankuasa penapis di peringkat universiti akan mendapatkan pengesahan data penerbitan setiap calon melalui portal carian rasmi laman sawang Scopus atau Web of Science (WoS). Jika terdapat sebarang artikel jurnal yang tidak dapat disahkan atau tidak diindekskan oleh Scopus atau WoS, artikel yang disenaraikan oleh calon akan ditolak. Pada peringkat ini, mana-mana predatory journal akan dapat dikesan oleh pihak jawatankuasa.  Jika melepasi saringan ini, permohonan calon akan dikemukakan kepada penilai luar yang terdiri daripada profesor dalam bidang yang berkaitan. Berdasarkan garis panduan, permohonan calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga  penilai luar yang terdiri daripada professor dalam bidang. Dari segi aspek penerbitan, sekali lagi pada peringkat ini ia akan disahkan oleh penilai luar yang dilantik bahawa penerbitan calon adalah penerbitan yang sememangnya berwibawa. Keseluruhan proses ini menggambarkan sesuatu permohonan kenaikan pangkat ke jawatan profesor atau profesor madya akan disaring dan dinilai secara telus. Langkah ini adalah untuk menjamin ahli akademik yang diperakukan kenaikan pangkat merupakan mereka yang terbukti pencapaian dalam bidang kesarjanaan masing-masing.

Kenaikan pangkat pensyarah adalah berdasarkan merit dan tahap kecemerlangan akademik serta kesarjanaan dalam bidang masing-masing dan tidak tertakluk kepada sistem berasaskan masa sebagaimana pekerjaan lain seperti guru dan sebagainya.