AGROMADANI Raih Johan AI Showcase @ FAI 2026

Kuala Lumpur, 24 Jun 2026 – Projek AGROMADANI, sebuah rover autonomi berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) untuk pemantauan kesihatan tanaman, berjaya merangkul tempat pertama kategori pelajar prasiswazah (UG) dalam pertandingan AI Showcase @ FAI 2026 yang dianjurkan oleh Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Projek yang dibimbing oleh Ir. Ts. Dr. Norulhusna Ahmad ini dibangunkan oleh pasukan yang diketuai oleh Dakshina Narrayana A/L Selvavinayagam bersama ahli kumpulan beliau (Risikesan A/L Yogeswaran, Kirthiggan A/L Saravanan, ⁠⁠Kavinnesh A/L R Chadraguptha) sebagai penyelesaian pintar bagi membantu petani mengenal pasti simptom awal penyakit dan tekanan tanaman secara automatik. Sistem AGROMADANI menggunakan teknologi penglihatan komputer (computer vision) untuk menganalisis keadaan daun dan tanaman secara masa nyata, sekali gus membolehkan tindakan awal diambil sebelum kerosakan menjadi lebih serius.

Berbeza dengan kaedah konvensional yang bergantung kepada pemeriksaan manual atau imej udara, AGROMADANI beroperasi di aras tanah menggunakan platform rover autonomi empat roda. Pendekatan ini membolehkan sistem memantau bahagian bawah daun dan batang tanaman yang sering menjadi lokasi awal jangkitan penyakit. Apabila tanda-tanda ketidaknormalan dikesan, rover akan berhenti, merekodkan lokasi dan menghantar maklumat untuk tindakan lanjut.

Selain kejayaan AGROMADANI, AI Showcase @ FAI 2026 turut menyaksikan pencapaian cemerlang projek-projek lain yang dibimbing oleh ahli U-BAN Research Group. Projek AutoBMS yang dibimbing oleh AP Ir. Dr. Rudzidatul Akmam Dziyauddin meraih tempat kedua kategori prasiswazah (UG), manakala projek AI-Broiler memperoleh hadiah saguhati bagi kategori pascasiswazah (PG). Ahli-ahli U-BAN turut mempamerkan pelbagai inovasi lain termasuk AGRO TRACK CATTLE, SMART, GreenPulse IoT Enhanced Smart Camera System for Plant Disease Monitoring, SPENZER: An Autonomous Eldercare Companion Robot, Vigil AI, dan AZEC Finance App.

Pencapaian ini membuktikan kekuatan budaya penyelidikan dan bimbingan dalam U-BAN Research Group, dalam melahirkan bakat-bakat muda yang mampu menghasilkan produk AI berimpak tinggi. Kepelbagaian projek yang dipertandingkan merangkumi bidang pertanian pintar, tenaga lestari, penternakan digital, robotik, pengangkutan pintar dan teknologi kewangan, sekali gus mencerminkan pendekatan multidisiplin yang menjadi teras kepada kecemerlangan penyelidikan UTM.

Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan AGROMADANI serta semua pemenang dan peserta daripada U-BAN Research Group atas kejayaan yang membanggakan ini. Semoga pencapaian ini menjadi pemangkin kepada lebih banyak inovasi AI yang mampu memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan pembangunan mampan di peringkat nasional dan global.