Taklimat Jurutera Profesional Sokong Kerjaya Akademik di UTM

KUALA LUMPUR, 17 Disember 2025 – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTM KL) Bersama Unit Latihan Ikhtisas dan Kelayakan Profesional Pembangunan UTM, CTLD telah menganjurkan Sesi Taklimat Profesionalisme Kejuruteraan bertajuk “Kerjaya Jurutera Profesional di Malaysia: Peranan, Peluang & Cabaran Pensyarah Universiti” bertempat di UTM Kuala Lumpur.

Sesi taklimat ini menampilkan Ir. Megat Johari bin Megat Mohd Noor, Jurutera Profesional Berdaftar dengan Sijil Amalan serta Ahli Lembaga Jurutera Malaysia (BEM), sebagai penceramah jemputan. Beliau juga merangkap Chairman of Examination & Qualification Committee. Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada pensyarah akademik khususnya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi mengenai laluan kerjaya ke arah pentauliahan sebagai Jurutera Profesional (PE), selaras dengan keperluan pembangunan profesional dan kenaikan pangkat akademik.

Dalam ucapannya, penceramah menekankan kepentingan pengalaman praktikal industri, kefahaman terhadap keperluan dokumentasi, serta peranan pensyarah universiti sebagai profesional kejuruteraan yang menyumbang secara langsung kepada pembangunan negara. Beliau turut berkongsi panduan teknikal berkaitan proses pra dan pasca permohonan PE, termasuk isu lazim yang dihadapi oleh warga akademik.