Hadith hari ini

Solat Rasulullah SAW

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ شَقِيقٍ قَالَ سَأَلْتُ عَائِشَةَ عَنْ صَلَاةِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ تَطَوُّعِهِ فَقَالَتْ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ يُصَلِّي مِنْ اللَّيْلِ تِسْعَ رَكَعَاتٍ فِيهِنَّ الْوِتْرُ وَكَانَ يُصَلِّي لَيْلًا طَوِيلًا قَائِمًا وَلَيْلًا طَوِيلًا قَاعِدًا وَكَانَ إِذَا قَرَأَ وَهُوَ قَائِمٌ رَكَعَ وَسَجَدَ وَهُوَ قَائِمٌ وَإِذَا قَرَأَ قَاعِدًا رَكَعَ وَسَجَدَ وَهُوَ قَاعِدٌ وَكَانَ إِذَا طَلَعَ الْفَجْرُ صَلَّى رَكْعَتَيْنِ

Dari Abdullah bin Syaqiq katanya; aku bertanya kepada Aisyah tentang solat Rasulullah SAW, maksudnya solat sunatnya, maka dia menjawab; “baginda solat di rumahku empat rakaat sebelum zohor, kemudian keluar dan solat mengimami manusia, selesai solat, baginda melaksanakan dua rakaat sunat, dan setelah mengimami solat maghrib, baginda masuk dan solat dua rakaat, kemudian mengimami sahabat untuk solat isyak, dan masuk rumahku untuk mengerjakan solat dua rakaat, dan baginda solat malam sebanyak sembilan rakaat termasuk witirnya, baginda  mendirikan solat malam sekian lama sambil berdiri, dan juga solat malam sekian lama sambil duduk, jika baginda membaca dengan berdiri, baginda rukuk dan sujud dengan berdiri, jika baginda membaca sambil duduk, maka baginda rukuk dan sujud dengan duduk, jika fajar telah terbit, maka beliau solat (sunat) dua rakaat.” (HR Muslim No: 1201)

Pengajaran:

1.  Rasulullah SAW menunjukkan contoh untuk diikuti antaranya melaksanakan solat fardhunya  secara berjamaah di Masjid.

2.  Rasulullah SAW melaksanakan solat sunat nawafil (mengiringi waktu) sebanyak 12 rakaat dan dilaksanakan di rumah.

3.  Rasulullah juga solat malam (tahajud) 9 rakaat termasuk witir.

4.  Rasulullah SAW solat malam (tahajud) dalam keadaan berdiri dan ada kalanya dalam keadaan duduk.

5.  Jika masuk waktu subuh, Rasulullah akan melaksanakan solat sunat sebelum subuh.

Ayuh kita mencontohi amalan Rasulullah  dalam ibadat solat. Sentiasa solat fardhu berjemaah, melaksanakan solat sunat mengiringi waktu (nawafil) sebanyak 12 rakaat dan solat sunat malam 9 rakaat termasuk witir.