Tuntutan Ibadat Korban Bagi Yang Berkemampuan

 

عَنْ مِخْنَفِ بْنِ سُلَيْمٍ كُنَّا وَقُوفًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَةَ فَقَالَ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّة

“Dari Mikhnaf bin Sulaim, kami berwukuf di Arafah bersama Rasulullah SAW dan aku mendengar baginda bersabda: Wahai sekalian manusia, sesungguhnya keatas setiap ahli sebuah rumah, satu ibadah korban pada setiap setahun” HR Ibnu Majah No 3112 (Status hadis: albani – hasan)

Pengajaran:

1.  Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulamak beranggapan, Ibadah korban adalah sunat kifayah bagi setiap rumah (suatu sunat yang amat dituntut). Dalam mazhab Syafie ibadat korban ini sunat Muakkad.

2.  Bagi Imam Abu Hanifah dan ulamak bermazhab Hanafi telah menetapkan bahawa menyembelih korban adalah wajib sekali setahun bagi orang bermukim dan berkemampuan daripada penduduk tempatan

3.  Ibadat korban ini adalah sebahagian dari syiar agama sebagai memperingati pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Ismail. Melaksanakan ibadat ini akan membangkitkan kesedaran untuk sentiasa membelanjakan harta dan berkorban semata-mata meninggikan syiar agama Allah

4.  Jika kita mampu membayar bil handset RM 40 – 50 sebulan, sanggup membayar bil astro RM 60 bulanan, membeli surat khabar dan majalah tidak kurang RM 50 sebulan – sewajarnya kita juga mampu menyimpan RM 50 – 60 sebulan untuk membeli satu bahagian daripada korban pada Hari Raya Korban ini.