Nak Design Sistem Solar DIY?

Ramai tak yang berminat nak buat sistem solar DIY? sistem solar ni byk gunanya tau.. bole jadikan projek isi masa lapang untuk aktiviti luar rumah.. contohnya spt aktiviti berkebun, camping, lampu limpah kawasan tepi rumah, reban ayam, kolam ikan, dan lain-lain. Mungkin ramai yang kata sistem solar ni susah, tapi sebenarnya xd la susah mana nak design kan dia.

Di zaman IT sekarang ni, semua maklumat di hujung jari. Mudah jek kita nak cari ilmu sebenarnya. Lepas da pandai design, mudah juga nak beli dan cari barang-barang solar. Sekarang ni, smua orang beli barang online jek. Disini sy share sedikit ilmu ttg sistem solar yg sy da buat utk tujuan berkebun. Tapi utk jadikan ia lebih mudah, pengiraannya sy tukar sikit kpd sist solar utk tujuan camping la ya..

Langkah 1 : Kenal pasti tujuan projek solar yang hendak direkabentuk

Setiap aplikasi solar yg hendak direkabentuk, pastinya akan mempunyai sistem yg berbeza. Ini disebabkan kerana load atau beban yang nak digunakan itu juga adalah berbeza. Peralatan elektrik yang biasa digunakan untuk sistem solar adalah seperti pam air, lampu, kipas, solenoid valve, sensor, motor, dan lain-lain. Ianya juga bergantung kepada jenis aplikasi penggunaan sistem ini samada ianya nak digunakan dalam bidang pertanian, ternakan, camping, dan lain-lain. Namun, dari segi asas pengiraan dalam merekabentuk sistem ini adalah sama.

Langkah 2 : Mengira jumlah beban maksima

Bagi mengira jumlah beban maksima, peralatan elektrik yg hendak digunakan dalam sistem tersebut hendaklah dikenalpasti terlebih dahulu. Ianya bagi menentukan jumlah kuasa (watt) yang akan digunakan nanti. Asas pengiraannya adalah seperti berikut:

kuasa (W) untuk 1 load x jumlah load x anggaran tempoh penggunaan sehari x anggaran tempoh hari boleh bertahan tanpa cas semula = Total Load (jumlah beban)

Contoh pengiraan bagi penggunaan 4 biji lampu LED yang berkuasa 10W setiap satu, penggunaan sepanjang malam bermula jam 7.00 petang hingga jam 7.00 pagi, dan boleh bertahan selama 3 hari tanpa cas semula. Sistem ini adalah bagi tujuan aktiviti camping. Maka pengiraannya adalah:

10W x 4 unit x 12 jam x 3 hari = 1,440W

Oleh yang demikian, jumlah beban maksima untuk sistem ini adalah 1,440W.

Langkah 3: Mengira anggaran saiz bateri yang sesuai

Teknik mengira anggaran saiz bateri yang sesuai pula adalah seperti berikut:

Total load ÷ saiz Volt bateri yang ingin digunakan = Ah bateri + 20% = Anggaran Ah bateri yang sesuai

Tambahan 20% adalah kerana mengambilkira bahawa tahap kecekapan bateri hanya sekitar 80% sahaja dari spesifikasi yang dinyatakan oleh pembekal.

Sekiranya mengambil contoh beban maksima dari rekabentuk sistem solar untuk tujuan aktiviti camping tadi, maka pengiraan anggaran saiz bateri yang sesuai untuk digunakan adalah seperti berikut:

1,440W ÷ 12V = 120Ah + 20% = 144Ah

Maka yang demikian, saiz anggaran bateri yang sesuai digunakan bagi sistem ini adalah bateri yang bersaiz minima 144Ah. Walaubagaimanapun, saiz bateri terhampir yang berada di pasaran adalah bersaiz 150Ah.

Langkah 4: mengira anggaran saiz panel solar yang sesuai

Akhir sekali, adalah macam mana nak tentukan saiz panel solar yang sesuai. Caranya mudah sahaja.

Saiz Volt bateri yang digunakan x saiz bateri yang digunakan ÷ tempoh cas bateri (optimum sun hour).

Dengan mengambilkira saiz Volt bateri adalah 12V dan purata tempoh mengecas setiap hari (optimum sun hour) sekitar 4 jam, maka pengiraan nya adalah seperti berikut.

12V x 150Ah ÷ 4 jam (optimum sun hour) ÷ 3 hari (tempoh bateri bertahan tanpa cas)

1,800Wh ÷ 4jam ÷ 3 hari = 150W

Kesimpulannya, untuk sistem ini, penggunaan 4 unit lampu LED berkuasa 10W setiap satu, digunakan 12 jam setiap hari dan mampu bertahan selama 3 hari tanpa cas, memerlukan bateri bersaiz 12VDC, 150Ah dan panel PV minimum 150W.

Maka, selesai lah sudah aktiviti merekabentuk sebuah sistem solar yang mudah. Pengiraan ini sesuai untuk sistem-sistem yg mudah sahaja, sbb ia tak mengambilkira beberapa faktor yang lain spt tahap kecekapan peralatan, spesifikasi sebenar bateri dan solar panel, beban lain yang tersembunyi seperti rintangan kabel, BMS, penggunaan Inverter dan lain-lain lagi.

Bila da design, lepas ni tinggal beli jek peralatan tu kat online. mudah kan..? Selamat mencuba!!