Projek pemindahan ilmu yang berteraskan kepada teknologi simenfero ini telah dilaksanakan pada 26 Ogos dan 2 September 2020 yang lalu. Namun apa yang menjadikan program kali ini lebih unik dan istimewa adalah, ianya dilakukan secara atas talian menggunakan konsep webinar. Ini berikutan krisis Pandemik Covid-19 yang mana telah membataskan pergerakan masyarakat umum.
Komuniti sasaran adalah peserta atas talian. Program dilaksanakan menggunakan platform Facebook dan aplikasi Streamyard. Oleh itu, program ini sekaligus dapat memberi pengalaman yang mendalam kepada pengendali program dalam melaksanakan program atas talian, serta isi kandungan dan pendekatan program yang perlu disesuaikan mengikut keadaan.
Program dikendalikan oleh seorang pensyarah dan seorang pengajar. Malah turut dibantu dengan penglibatan 29 orang pelajar Diploma UTM KL dari pelbagai bidang dan latar belakang.
Program dilaksanakan dalam dua sesi. Sesi pertama dilaksanakan pada Rabu, 26 Ogos 20 dan tema untuk sesi pertama ini adalah Produk Simenfero Berasaskan Landskap. Seramai lima orang penyampai dan seorang moderator telah berhadapan dengan peserta secara live. Tajuk yang telah dibentangkan adalah Laluan Pejalan Kaki, Rak Pasu Bunga, Pasu Bunga, Cendawan Hiasan, dan Kerusi Taman.
Manakala sesi yang kedua pula dilaksanakan pada Rabu, 2 September 2020. Tema untuk sesi kedua ini pula adalah Produk Simenfero Yang Berlandaskan Bukan Landskap. Seramai empat orang penyampai dan seorang moderator telah berhadapan dengan peserta secara live. Tajuk yang telah dibentangkan pula adalah Rak Kasut, Tab Mandi Burung, Meja Kopi, dan Tempat Abu Rokok.
Program sesi pertama telah menarik peserta seramai 150 orang peserta dari pelbagai lapisan masyarakat manakala untuk sesi kedua pula, hanya mampu menarik seramaii 30 orang peserta sahaja.
Kedua-dua sesi berlangsung selama satu jam sahaja, tidak termasuk sesi QNA dari pada peserta program. Semua peserta diberikan e-sijil secara otomatik melalui sistem pendaftaran yang telah dibangunkan oleh pelajar.