Motivasi adalah salah satu resepi untuk berjaya, kunci kejayaan, matlamat dan impian semua orang. Ramai antara kita hanya tulis sahaja impian, kemudian bersemangat sekejap untuk beberapa hari dan jam kemudian hilang motivasi, terus lupa apa nak buat untuk capai impian itu.
Di bawah ada beberapa “tips motivasi” yang ingin saya kongsi bersama anda seperti berikut:
5 Cara Kekalkan Motivasi Diri
1. Kenali potensi diri
Dalam setiap usaha yang dilakukan, pastikan anda sedar anda juga berpotensi untuk mencapai matlamat anda.
Sebagai contoh, anda ingin menjadi ahli sukan seperti Datuk Lee Chong Wei tetapi anda tidak tahu bagaimana untuk bermain badminton, mungkin agak sukar untuk berjaya dalam bidang ini.
Walaubagaimanapun, sekiranya anda mempunyai bakat membaiki kereta dan motosikal, anda boleh membuka bengkel kereta atau motosikal anda sendiri dan belajar dari mereka yang telah berjaya untuk lebih mengenali potensi diri anda.
2. Berkeinginan kuat
Motivasi yang kuat boleh hadir hasil dari keinginan yang kuat. Anda mestilah mempunyai keinginan yang kuat sebagai pemangkin untuk menempuh apa jua situasi sulit yang bakal melanda.
Ia umpama peransang untuk anda mengorak langkah sekiranya langkah terhenti.
Apabila anda berfikiran bahawa keinginan anda kian pudar, cuba lihat kembali impian dan matlamat anda. Ia bakal menyegarkan kembali keinginan dan terus menuju ke destinasi kejayaan yang diimpikan.
3. Tahu arah tujuan
Tiada lagi kata azimat yang dapat membantu anda jika anda tidak tahu tujuan anda melakukan sesuatu usaha. Kenali tujuan anda dengan jelas dan tetapkan sasaran anda.
Tujuan yang jelas menjadi sumber inspirasi terbaik dan sebagai peransang menghadapi kesulitan dikemudian hari.
Ia membantu anda melakukan sesuatu yang dipandang mustahil bagi golongan manusia yang normal. Bila anda fikir anda telah tiada semangat untuk meneruskan perjuangan, cuba renung kembali tujuan anda dan insyaa Allah motivasi diri akan kembali dengan serta merta.
4. Berani menempuh cabaran
Kebanyakan orang gagal pada peringkat ini. Setelah menempuh beberapa cabaran, mereka akan berhenti mengejar kejayaan.
Meski pun sering diketengahkan oleh pakar motivasi bahawa anda perlu berani menempuh kejayaan sebagai bayaran sebuah kejayaan, ramai yang terkandas di sini.
Jika berhadapan dalam situasi yang sukar, fokuskan pemikiran anda untuk meneruskan langkah kehadapan. Jangan berfikir bagaimana untuk menyelesaikan perlumbaan atau berapa banyak lagi cabaran yang akan ditempuhi. Tetapi, hanya fokus untuk mengambil langkah yang seterusnya.
5. ‘Hapus’ kisah silam
Anda mahu atau tidak untuk anda kekal bermotivasi, anda perlu padamkan kisah silam anda. Pemusnah motivasi paling bahaya adalah kisah silam anda. Ia boleh menjadi beban bahu anda yang memikul.
Walaupun bagaimanapun, ia adalah sesuatu yang boleh anda tinggalkan. Anda mungkin pernah mengecewakan orang lain suatu ketika dahulu. Tetapi itu kisah dulu dan anda tidak boleh ubah apa-apa pada hakikatnya.
Apa yang anda harus lakukan adalah padamkan kisah silam anda dan lakukan permulaaan yang baru. Jadikan kesilapan dahulu sebagai tauladan dan tidak kira seteruk mana masa silam anda, masih ada masa depan yang cerah menanti jika anda berani meneruskan perjalanan.
Kesimpulannya
Terdapat pelbagai cabaran yang boleh melemahkan motivasi seseorang. Pasti ada faktor-faktor lain yang boleh kita bincangkan. Apa yang penting kita fahami 5 cara kekalkan motivasi diri sedalam-dalamnya dan mula praktikkan sebaik mungkin.