Akademi Sukan Berkuda Di Pusat Ekuin UTM

utm 10

JOHOR BAHRU 13 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) akan menubuhkan Akademi Ekuin bagi menawarkan pengajian dalam bidang sains sukan berkuda di negara ini dalam tempoh terdekat.

Bagi tujuan itu, UTM menjalinkan kerjasama dengan Kolej Hartpury, England dan Northern Melbourne Institute of TAFE (NMIT), Australia.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang berkata, kolej berkenaan bersedia membantu UTM menawarkan kursus di peringkat sarjana muda dalam bidang Sains Ekuin dan Pengurusan Ekuin.

“Langkah menubuhkan Akademi Ekuin selaras dengan saranan Majlis Ekuin Malaysia yang meminta UTM menyediakan program pengajian dan penyelidikan berkaitan kuda dan ekuestrian untuk ditawarkan kepada umum.

“Memandangkan terdapat pelbagai kemudahan dan prasarana dalam bidang berkenaan di Pusat Ekuin di kampus Johor Bahru, UTM berminat dengan saranan tersebut. Pengambilan kumpulan pertama 20 penuntut dijangka dibuat tahun depan,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini baru-baru ini.

Zaini menandatangani MoU itu bagi pihak UTM, manakala Kolej Hartpury diwakili Pengetuanya, Malcom Wharton dan NMIT oleh Ahli Lembaga Pengarahnya, Chris Watson.

Beliau memberitahu, kerjasama dengan Kolej Hartpury yang terletak di bawah kendalian Universiti of West England yang berpengalaman dalam bidang pengurusan kuda dapat membantu membangunkan Akademi Ekuin UTM.

“Antara program yang dikenal pasti adalah pengurusan ekuin, kelakuan dan kebajikan haiwan, pemakanan, prestasi kuda dan penunggang, selain fisiologi dan terapi kuda,” katanya.

Menurutnya, UTM juga akan mengadakan program pertukaran penuntut dan kakitangan serta menjalankan penyelidikan berkaitan prestasi kuda dan bagaimana haiwan itu boleh menyesuaikan diri dengan cuaca panas di negeri ini.

Dalam pada itu, sempena UTM International Johor Horse Show (UTMIJHS) yang bermula hari ini hingga Ahad ini, penganjur turut mengadakan Seminar Ekuin Antarabangsa UTM yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Belia dan Sukan negeri, Md. Jais Sarday.

Md. Jais berkata, kerajaan negeri akan memberi sokongan penuh kepada UTM dalam penganjuran program seperti itu bagi menyemarakkan lagi arena sukan berkuda tanah air.

Sumber: Utusan.com.my