Mencegah Jangkitan Penyakit Demam Denggi

Demam Denggi

Cegah Denggi

Demam denggi adalah sejenis penyakit jangkitan virus yang merebak melalui gigitan nyamuk Aedes aegypti yang telah dijangkiti.

Terdapat empat (4) jenis virus yang boleh menyebabkan demam denggi (DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4).

Jangkitan oleh salah satu jenis virus akan memberikan imuniti terhadap virus jenis itu sahaja, jika individu tinggal di kawasan jangkitan denggi, mereka boleh di jangkiti lebih dari sekali seumur hidupnya.

Bagaimanakah untuk mengetahui saya berkemungkinan menghidap demam denggi?

Pesakit akan mengalami tanda-tanda dan gejala selepas 5-6 hari gigitan nyamuk seperti:

Demam panas
Sakit kepala
Sakit tulang belakang
Sakit sendi-sendi
Loya dan muntah-muntah
Sakit biji mata
Ruam

Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?

Demam denggi terdiri daripada demam denggi biasa atau demam denggi berdarah yang boleh membawa maut.

Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:

Mudah lebam
Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut

Apakah rawatan untuk demam denggi?

Masih tiada rawatan khas untuk demam denggi. Pesakit yang mengalami tanda-tanda dan menunjukkan gejala-gejala demam denggi hendaklah mendapatkan rawatan segera. Pesakit akan diberikan ubat demam dan dinasihatkan berehat serta digalakkan minum air. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya disyaki menghidap demam denggi berdarah.

Apakah perlu saya lakukan untuk mencegah demam denggi?

Terdapat pelbagai jenis cara untuk mencegah demam denggi :

  1. Memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk
  2. Membuang bekas yang boleh menakung air
  3. Pastikan tangki air, bekas tadahan hujan seharusnya ditutup
  4. Pastikan pasu-pasu bunga dan bekas tadahan dibuang airnya sekurang-kurangnya seminggu sekali
  5. Pastikan saliran atap sentiasa mengalir
  6. Membela ikan di dalam kolam ikan untuk mengurangkan jentik-jentik
  7. Menggunakan semburan serangga untuk membunuh nyamuk
  8. Mengambil langkah-langkah melindungi diri untuk mengelakkan gigitan nyamuk seperti
    Pastikan tingkap dan pintu sentiasa ditutup
  9. Sapukan ubat penghalau nyamuk pada anggota terdedah kepada gigitan nyamuk
  10. Memakai baju berwarna cerah dan berlengan panjang dan seluar panjang sewaktu keluar rumah
  11. Pasangkan ubat lingkaran nyamuk dan ubat nyamuk elektrik di kawasan tertutup.

Petikan sumber: Infosihat.gov.my