9,010 Penuntut Sarjana, PhD Terima Tawaran Biasiswa MyBrain15

PUTRAJAYA 24,FEB – Seramai 9,010 penuntut peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) menerima tawaran pembiayaan biasiswa MyBrain15 di Kementerian Pendidikan Tinggi pada 24 Februari 2016 lalu.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata kesemua 7,410 penuntut bagi program MyMaster dan 1,600 penuntut program MyPhD yang menerima tawaran itu merupakan mereka yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Katanya pembiayaan itu selaras dengan peruntukan tambahan RM300 juta untuk Biasiswa MyBrain15 yang diumumkan dalam pembentangan Pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Januari lalu.

“Kerajaan menyasarkan pembiayaan kepada seramai 15,000 penuntut tajaan MyMaster dan 5,000 pelajar tajaan MyPhD dengan peruntukan tambahan RM300 juta pada tahun ini.

“Ini merupakan sasaran tertinggi dalam sejarah program MyBrain15. Walaupun dalam keadaan ekonomi mencabar, kerajaan meningkatkan jumlah penerima biasiswa tahun ini, dan menjadikannya penawaran tertinggi sejak 2011,” katanya pada majlis penyampaian tawaran biasiswa MyBrain15 di sini.

MyBrain-15

Seramai lapan pelajar menerima surat tawaran pembiayaan pada majlis tersebut.

Dalam pada itu, Idris menegaskan MyBrain15 merupakan komitmen kerajaan dalam menyokong aspirasi rakyat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi dan melengkapi diri dengan kelayakan.

“Adalah menjadi harapan dengan kelayakan ini, ia dapat menambah kebolehan berdaya saing serta kebolehpasaran diri, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang kian mencabar,” tambahnya.

Sehingga Disember lalu, seramai 44,124 pelajar telah menerima penajaan di bawah program MyBrain15, iaitu sebanyak 35,919 di bawah program MyMaster dan 8,205 di bawah program MyPhD Industri.

“Tahun ini akan menyaksikan paling ramai pelajar diberi tawaran pembiayaan di bawah program MyBrain15 dan pengumuman pembukaan permohonan akan dibuat dari semasa ke semasa,” katanya.

Sementara itu, Isna Athirah Othman, 24, yang menerima biasiswa MyPhD kini melanjutkan pengajiannya dalam bidang Phyto-Kimia di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam selama tiga tahun.

“Saya sangat berminat mempelajari tentang sebatian kimia tumbuh-tumbuhan dan kajian saya akan memfokuskan pencarian ubat alternatif untuk beberapa penyakit terutamanya diabetes.

“Saya sangat bersyukur dan gembira menerima biasiswa ini yang memberi saya peluang untuk mendapatkan lebih banyak pengetahuan dan berkhidmat kepada rakyat melalui penemuan saya nanti,” kata bekas guru tusyen separuh masa dari Kelantan itu.

Seorang lagi penerima biasiswa MyPhD, R. Dhurga Devi dari Klang berhasrat untuk membangunkan satu teknologi baharu untuk alam sekitar yang mampan dalam kajian PhD Biokimia Alam Sekitar di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Pelajar itu ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke peringkat PhD selepas mendapat ijazah kelas pertama dalam Industri Biokimia di Universiti Malaysia Pahang.

Melahirkan penghargaan kepada kerajaan atas peluang yang diberikan, Mohd Azam Mohd Alwi, 30, dari Setapak berkata beliau berbangga apabila terpilih untuk menerima biasiswa bagi melanjutkan pengajian Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Sains di Universiti Malaya.

“Pada 2014, saya ditawarkan untuk melanjutkan Sarjana dalam bidang aeroangkasa di United Kingdom, malangnya saya terpaksa menolak kerana perlu menjalani pembedahan jantung. Saya ingin belajar lagi dan memulakan Sarjana dengan duit simpanan saya sendiri.

“Saya memohon MyBrain15, dan bersyukur kerana menerima bantuan dari kerajaan,” katanya yang sedang membuat kajian mengenai rektor nuklear.

Ibunya, Rokiah Ridza, seorang pesara turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan berharap program MyBrain15 akan diteruskan bagi memberi biasiswa kepada pelajar yang layak. Sementara itu di KUALA LUMPUR, penyanyi ‘Aku Suka Dia’, Ainan Tasneem Redzuan, 24, turut menyatakan kegembiraan menerusi akaun Twitternya kerana terpilih menerima biasiswa MyBrain15.

“Keputusan tawaran MyBrain dah keluar dan alhamdulillah dapat biasiswa.

Tak payah fikir pasal duit yuran untuk Master. Terima kasih Allah,” katanya.

Beliau kini sedang melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana di Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang biologi.

Seorang lagi penerima, Nur Asyikin Anhar, 26, melahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima biasiswa MyMaster berjumlah RM10,000 menerusi program itu.

“Saya memang menanti tawaran MyBrain15 ini kerana tanpa biasiswa ini, saya tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana saya menghadapi kekangan kewangan,” katanya ketika dihubungi.

Penuntut Universiti Sains Malaysia itu berkata biasiswa berkenaan juga membantu meringankan beban ibu bapanya yang tidak lagi bekerja.

sumber dari BERNAMA