ASAL USUL ‘SERVIS SIDEK’
Kehebatan adik-beradik Sidek ni mula mendapat nama dalam arena badminton peringkat antarabangsa selepas satu teknik servis digunakan oleh mereka. Dikatakan ia merupakan teknik ajaran daripada Datuk Sidek dan juga kebijaksanaan Misbun dalam menyempurnakannya. Teknik ini kemudian dikenali dengan nama ‘Servis Sidek’ atau ‘S-serve’ yang mana ia merupakan satu teknik yang tak terfikir boleh dilakukan oleh mana-mana pemain badminton di dunia.
Dengan kehadiran teknik ini, sesetengah pengulas berpendapatan adik-beradik Sidek telah mencetuskan satu fenomena dan juga hasil kemenangan yang hebat. Ramai pemain-pemain handalan yang tewas di tangan mereka, dan mata demi mata berjaya diperolehi melalui teknik ‘Servis Sidek.’ Walaupun ia merupakan teknik ciptaan keluarga Sidek, tetapi ia tetap digunakan oleh pemain-pemain negara lain yang cuba untuk menguasai teknik tersebut. Pemain dari Indonesia dan juga China antara pemain yang berjaya menguasai teknik ini.
CARA MELAKUKAN SERVIS SIDEK
Mungkin kepada yang selalu main badminton dengan kawan-kawan tu boleh cuba belajar teknik servis ni. Caranya adalah dengan sebelah tangan memegang kepala bulu tangkis ke arah atas, yang mana bahagian bulunya menghala ke arah bawah. Kemudian tangan yang memegang raket perlu berada dalam kedudukan untuk memukul pukulan backhand. Bila dah berada dalam posisi yang betul, maka pukulan servis akan terkena ke bahagian bulu.
Bulu tangkis yang dipukul sebegitu akan berpusing-pusing melayang ke arah gelanggang lawan, dan ia dikatakan sangat mengelirukan pihak lawan. Bila pukulan ini sampai ke pihak lawan, mereka perlu betul-betul pastikan bila bulu tangkis yang berpusing-pusing tu akan menghadap ke arah mereka sebelum ia boleh dipukul kembali. Kalau salah pukul ia akan menyebabkan hantaran tidak sempurna, atau lebih teruk bulu tangkis melekat pada jaring raket pihak lawan.
SERVIS SIDEK DIHARAMKAN
Disebabkan adik-beradik Sidek dan juga mereka yang telah menguasai teknik ini sering berada dalam kedudukan advantage, maka berlaku lah perdebatan dan juga kontroversi mengenai ‘Servis Sidek.’ Memang dunia badminton ketika itu terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu mereka yang mahir menggunakan teknik ini dan mereka yang tidak mahir. Mesti lah yang tak mahir tu akan membantah habis-habisan. Negara Denmark dan England pada awalnya membantah penggunaan servis ini kerana ia dipercayai melanggar peraturan permainan.
Pada bulan Mei 1981, dalam mesyuarat pertama Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF), negara Denmark dan England sekali lagi mencadangkan agar ‘Servis Sidek’ diharamkan. Ketika itu Malaysia dan juga Indonesia membantah larangan ini. Negara China yang sudah menguasai teknik ini juga bersama-sama membantah cadangan ini. Tetapi undian keseluruhan gagal mencapai majoriti mudah untuk mengharamkan teknik ini.
Setahun kemudian semasa Terbuka All England di Wembly pada Mac 1982, Razid dan Jailani Sidek yang mewakili Malaysia berjaya memenangi kejohanan tersebut dalam kategori beregu. Kemenangan mereka dikatakan hasil daripada penggunaan teknik servis ini semasa menentang pasangan dari Scotland. Disebabkan itu semakin lantang lah mereka yang mahu mengharamkan ‘Servis Sidek’ kerana dilihat sebagai melanggar peraturan.
Pada 15 Mei 1982, akhirnya ‘Servis Sidek’ mendapat undian majoriti untuk diharamkan. Justifikasi yang dinyatakan oleh Denmark adalah, jika titik sentuh pertama terhadap bulu tangkis bukan di bahagian kepalanya, maka ia menjadi satu kesalahan. Tak tahu lah apa relevannya alasan ini, tetapi bermula 1 Julai 1982 ‘Servis Sidek’ tidak lagi kelihatan dalam mana-mana kejohanan dunia selepas ia diharamkan.