Archives for December 18, 2021

Berlin jual tiket kereta api boleh dimakan

Tiket yang boleh dimakan ini ditaburkan dengan titisan minyak ganja. – DW.com

BERLIN – Rangkaian pengangkutan metro di Berlin menjual tiket kereta api yang dicampur dengan minyak ganja (hemp oil) yang boleh dimakan, bagi mengurangkan ‘tekanan’ dalam kalangan penumpang, lapor laman berita Wionews semalam.

Minyak ganja berasal daripada sejenis tanaman ganja yang digunakan dalam perubatan.

“Dengan cara ini, anda boleh mengembara tanpa kerumitan di sekitar Berlin sepanjang hari,” kata syarikat pengendali pengangkutan metro Berlin, BVG yang terkenal dengan aksi pemasaran yang unik.

Tiket berharga 8.80 euro (RM42)  itu diperbuat daripada kepingan kertas yang boleh dimakan. 

BVG berkata, kertas yang boleh dimakan itu telah ditaburkan dengan ‘tidak lebih daripada tiga titik’ minyak tersebut.

“Minyak ganja adalah 100 peratus diperbuat daripada sayuran dan merupakan kuah salad yang enak,” tambah syarikat itu.

Kerajaan baharu Jerman yang mengangkat sumpah minggu lalu telah bersetuju untuk menghalalkan penggunaan ganja secara rekreasi.

BVG bagaimanapun berkata pihaknya ‘menentang sebarang jenis penggunaan dadah sama ada dadah yang menyalahi undang-undang atau sah’. 

488 wartawan dipenjarakan di seluruh dunia

PEGAWAI-PEGAWAI RSF menunjukkan foto wartawan yang ditahan oleh kerajaan Belarus di Salcininkai, Lithuania pada 27 Mei lalu. – AFP

PARIS – Terdapat kira-kira 488 profesional media yang menjalani hukuman penjara di seluruh dunia, angka tertinggi sejak Pemberita Tanpa Sempadan (RSF) mula melakukan catatan lebih 25 tahun lalu, kata badan bukan kerajaan(NGO) tersebut hari ini.

Sebagai perbezaan, bilangan wartawan yang dibunuh pada tahun ini iaitu 46 orang adalah terendah sejak RSF mula melakukan pengiraan tahunan tersebut. Penurunan kematian itu antara lain,  berikutan situasi yang lebih stabil di Asia Barat.

“Bilangan wartawan yang dipenjarakan kerana pekerjaan mereka tidak pernah setinggi ini sejak RSF mula menyiarkan laporan tahunannya pada tahun 1995,” kata NGO yang memperjuangkan kebebasan media itu dalam satu kenyataan.

Angka penahanan pada tahun ini meningkat 20 peratus berbanding tahun lalu. Ia disebabkan oleh operasi pihak berkuasa terhadap media di Myanmar, Belarus dan Hong Kong.

RSF berkata, pihaknya juga tidak pernah melihat sebegitu ramai wartawan wanita ditahan pada 2021  iaitu 60 orang atau satu pertiga lebih ramai berbanding 2020.

China berada di tempat pertama dengan memenjarakan 127 wartawan diikuti Myanmar (53), Vietnam (43), Belarus (32) dan Arab Saudi (31).

Dalam perkembangan berkaitan, kebanyakan daripada 46 pembunuhan wartawan atau 65 peratus adalah pembunuhan yang dirancang.

Mexico dan Afghanistan sekali lagi muncul sebagai negara paling berbahaya kepada wartawan dengan masing-masing merekodkan tujuh serta enam kematian. 

RSF turut merekodkan seramai 65 wartawan dan petugas media lain dijadikan tebusan di seluruh dunia termasuk 44 orang di Syria, 11 di Iraq dan sembilan di Yemen.

Korea Utara cuba sembunyikan hukuman mati awam

Gambar tidak bertarikh dikeluarkan daripada Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) Korea Utara pada 16 November 2021 menunjukkan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un melawat bandar Samjiyon. – AFP

Korea Utara cuba sembunyikan hukuman mati awam

PYONGYANG – Sebuah kumpulan hak asasi manusia berkata bahawa pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un cuba menyembunyikan hukuman mati awam daripada perhatian antarabangsa, sambil membanteras penyeludupan masuk bahan media dari Korea Selatan secara kejam, lapor agensi berita United Press International semalam.

Laporan oleh Kumpulan Kerja Peralihan Keadilan berpangkalan di Seoul itu adalah berdasarkan temu bual bersama hampir 700 rakyat Korea Utara yang membelot di samping  analisis imej satelit untuk melihat bagaimana hukuman mati yang dilaksanakan di tempat awam berubah  sejak Jong-un mengambil alih teraju pemerintahan 10 tahun lalu.

“Penemuan kami menunjukkan bahawa rejim Jong-un kini memberi lebih perhatian kepada isu hak asasi manusia sebagai tindak balas kepada pemantauan antarabangsa terhadap Korea Utara,” kata pengarang utama laporan itu, Ahyeong Park.

Laporan itu menyatakan bahawa lokasi pelaksanaan hukuman mati seperti di pasar awam dan kawasan berhampiran sempadan China telah dialihkan, manakala orang ramai dikawal ketat untuk mengelakkan insiden kebocoran rakaman video hukuman tersebut seperti yang berlaku pada 2005.

Kajian sama mendapati kekerapan pelaksanaan hukuman mati di tempat awam pada skala besar juga telah menurun.

“Namun, itu tidak bermakna keadaan hak asasi manusia di Korea Utara bertambah baik.

“Pembunuhan rakyat negara itu berlaku dalam cara yang mungkin tidak dilihat oleh orang ramai, sama seperti yang dilakukan sebelum ini,” kata Park.

Menurutnya, pembunuhan secara rahsia  semakin meningkat.  Korea Utara katanya, masih menggunakan hukuman mati di tempat awam untuk menghantar mesej kepada rakyat supaya tidak menentang pemerintah, malah  sering memaksa ahli keluarga  pesalah hadir menyaksikannya. 

Laporan pemetaan pembunuhan di Bawah Jong-un itu mendokumentasi 23 hukuman mati awam dan mendapati jenayah yang paling kerap disebut ialah menonton atau mengedarkan bahan video dari Korea Selatan.

Pengarah eksekutif Kumpulan Kerja Keadilan Peralihan, Hubert Younghwan Lee berkata, sebelum ini, jenayah ekonomi kecil seperti mencuri tembaga adalah sebab biasa yang menyebabkan pelaksanaan hukuman mati.

“Namun, kebimbangan utama Jong-un kini adalah media luar seperti drama dan filem dari Korea Selatan. Ia menunjukkan apa yang paling ditakuti oleh Kim Jong-un adalah kemasukan maklumat luar,” kata Lee.

Saintis temui haiwan miliki lebih 1,300 kaki

GAMBAR menunjukkan ulat gonggok Eumillipes persephone. – MAREK ET AL

Saintis temui haiwan miliki lebih 1,300 kaki

Share on facebook Share on twitter Share on whatsapp Share on email Share on telegram

SYDNEY – Saintis-saintis di Australia menemui sejenis gonggok yang memiliki lebih banyak kaki berbanding mana-mana haiwan di dunia ini, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Ulat gonggok berwarna pucat itu mempunyai lebih 1,300 kaki pada badannya yang memiliki panjang sekitar 95 milimeter.

Haiwan itu dinamakan Eumillipes Persephone dan ditemui hampir 60 meter di bawah tanah di sebuah kawasan perlombongan di Australia Barat.

Rekod haiwan mempunyai paling banyak kaki sebelum ini dipegang oleh spesies gonggok California dengan 750 kaki.

“Sebelum ini,  tiada ulat gonggok yang diketahui mempunyai sebanyak 1,000 kaki,” kata ahli entomologi, Paul Marek selaku penulis utama kajian tersebut yang disiarkan dalam jurnal Scientific Reports.

Nama saintifk,  Eumillipes Persephone itu bermaksud ‘1,000 kaki sebenar’. 

Seperti kebanyakan haiwan lain yang hidup di dalam tanah, ulat gonggok itu  tidak mempunyai mata dan warna. Saintis-saintis percaya ia hidup dengan memakan kulapuk.

Seekor gonggok betina dewasa spesies itu yang dikaji memiliki sebanyak 1,306 kaki dan seekor lagi mempunyai 998 kaki.

Ulat gonggok kali pertama muncul lebih 400 juta tahun lalu. Pada hari ini, terdapat sekitar 13,000 spesies haiwan itu di seluruh dunia. – Agensi 

Saintis beri amaran Matahari ‘tidak stabil’

Gambar daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) menunjukkan imej Matahari, kira-kira separuh jalan antara Bumi dan Matahari diambil oleh The Extreme Ultraviolet Imager (EUI) dan instrumen Polarimetric and Helioseismic Imager (PHI) di atas kapal angkasa pengorbit solar. – Twitter

LONDON – Ahli-ahli astronomi mengeluarkan amaran mengenai keadaan Matahari yang dikatakan kini tidak stabil, lapor laman berita Wion News semalam

Mereka berkata, keadaan itu berlaku selepas letusan sebutir bintang yang dikenali sebagai Bintang Naga atau EK Draconis. Bintang kerdil itu  terletak pada jarak 110.71 tahun cahaya dari Bumi. Cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat.

Saintis-saintis sebelum ini menyatakan bahawa suar suria menghamburkan jisim yang mempengaruhi alam sekitar di Bumi.

“Penghamburan  jisim ini secara teori boleh juga berlaku pada Matahari kita. Pemerhatian ini dapat membantu kami untuk lebih memahami bagaimana peristiwa serupa mempengaruhi Bumi, malah Planet Marikh sejak berbilion-bilion tahun lalu,” kata pengarang bersama kajian itu, Yuta Notsu dari Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa Lepas (LASP).

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, menunjukkan bahawa bintang merah kerdil jenis M adalah tidak stabil seperti yang disangkakan sebelum ini. Bintang-M merujuk kepada bintang yang banyak terdapat di cakerawala dan bintang paling kecil yang mempunyai bahan bakar hidrogen. Bintang jenis ini biasanya mempunyai jisim sekitar 0.6 kali ganda berbanding jisim Matahari.

Bagaimanapun, matahari kelihatan kurang aktif daripada bintang serupa dari segi variasi kecerahan yang disebabkan oleh tompok matahari dan fenomena lain.

Penyelidik-penyelidik berkenaan berkata kelmarin bahawa mereka melakukan kajian  terhadap 369 bintang yang serupa dengan matahari untuk melihat suhu permukaan, saiz, dan tempoh putarannya. Kajian itu menunjukkan bintang-bintang tersebut secara purata memaparkan perbezaan kecerahan lima kali ganda lebih banyak  daripada Matahari.

Matahari mengambil masa kira-kira 24 hari setengah untuk melengkapkan putaran pada paksinya.

‘’Perubahan kecerahan  ini disebabkan oleh bintik-bintik gelap pada permukaan bintang yang berputar,’’ kata ahli astronomi, Timo Reinhold dari Institut Penyelidikan Sistem Suria Max Planck di Jerman.

Matahari secara ringkasnya adalah sebiji bola panas terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Ia adalah bintang bersaiz biasa yang terbentuk lebih 4.5 bilion lalu dan kini dikatakan mencapai separuh usianya.

Matahari mempunyai diameter sekitar 1.4 juta kilometer, manakala suhu permukaannya adalah kira-kira 5,500 darjah Celsius. – Agensi 

17 juta haiwan mati dalam kebakaran hutan di Brazil

SEEKOR jaguar memburu buaya di kawasan tanah paya Pantanal, Brazil pada 5 September lalu. – AFP

RIO DE JANEIRO – Saintis-saintis di Brazil menganggarkan sejumlah 17 juta haiwan mempunyai tulang belakang termasuk reptilia, burung dan primat terbunuh dalam kebakaran besar yang memusnahkan tanah paya Pantanal pada 2020, lapor Perbadanan Penyiaran Britain kelmarin.

Pantanal merupakan kawasan  paya tropika terbesar dunia dan terletak di negeri Mato Grosso, Brazil hingga ke wilayah Bolivia serta Paraguay seluas hampir 195,000 kilometer persegi.

Kebakaran hutan yang marak antara Januari hingga November 2020 itu mengakibatkan 30 peratus kawasan tanah paya itu musnah.

Kajian berhubung kerugian yang berlaku itu disiarkan dalam jurnal Scientific Reports.

“Pada tahun lalu, terdapat 22,000 kejadian kebakaran hutan yang berasingan di Pantanal,” kata ketua saintis Tabung Hidupan Liar Sedunia cawangan Brazil, Dr. Mariana Napolitano Ferreira.

Menurutnya, kajian tersebut mengetengahkan betapa pentingnya untuk menghidari bencana serupa di masa hadapan.

Saintis-saintis berupaya sampai ke tanah paya itu dalam tempoh 48 jam selepas kebakaran dapat dipadamkan. Mereka melalui beberapa laluan dan memeriksa setiap haiwan mati  yang ditemui. 

Pasukan saintis itu mengenal pasti 300 spesies bangkai haiwan  sebelum melakukan eksplorasi  dan membuat anggaran bilangan haiwan yang mati secara keseluruhan. – Agensi 

Rakyat Korea Utara dilarang ketawa pada hari kematian Kim Jong-il

PYONGYANG – Penduduk Korea Utara dilarang minum minuman keras, membeli belah atau ketawa ketika negara itu menyambut ulang tahun ke-10  kematian bekas pemimpin tertingginya, Kim Jong-il, lapor akhbar Daily Star semalam.

Menurut seorang penduduk yang merahsiakan identitinya, sepanjang 11 hari tempoh berkabung, rakyat Korea Utara dilarang melakukan aktiviti tersebut atau mereka berdepan dengan hukuman.

“Sebelum ini, terdapat penduduk yang ditangkap minum minuman keras ketika tempoh berkabung rasmi dan mereka telah dibawa pergi  serta tidak kembali.

“Selain itu, meskipun terdapat ahli keluarga yang meninggal dunia ketika tempoh tersebut, kami tidak dibenarkan menangis dengan kuat.

“Mereka yang mempunyai hari lahir ketika tempoh tersebut turut dilarang menyambutnya,” kata individu berkenaan.

Kim Jong-il  yang merupakan bapa kepada pemimpin utama Korea Utara masa  kini, Kim Jong-un, memerintah Korea Utara dari 1994 hingga 2011, tahun di mana beliau meninggal dunia.

Tempoh berkabung kebiasaannya adalah 10 hari bagi tahun-tahun biasa. Namun, memandangkan tahun ini merupakan ulang tahun kesepuluh, satu hari tambahan telah diperuntukkan.

Pada tarikh sebenar kematiannya, kedai-kedai di seluruh negara akan ditutup. – Agensi

Membaca bukan hobi tapi keperluan

SESEORANG perlu memperuntukkan sedikit masa dalam kesibukan harian untuk membaca bagi menambah ilmu pengetahuan

ZAMAN ini, apabila seseorang mengatakan hobinya adalah membaca, ia kedengaran agak pelik kerana tsbist itu kini dianggap keperluan.

Dr. Raghib As-Sirjani dalam bukunya bertajuk Spiritual Reading menjelaskan, membaca adalah satu konsep dalam kehidupan dan bukan sekadar hobi. Ini bermakna kita harus memperuntukkan masa untuk membaca setiap hari.

Bayangkan seseorang tidak makan seharian, sudah tentulah akan kelaparan. Begitulah juga dengan minda, harus makan. Makanan minda adalah membaca. Namun, bukan semua bahan bacaan kita perlu baca. Bacalah buku yang mempunyai nilai manfaat.

Bagi umat Islam, mereka mengetahui bahawa kalimat pertama yang diwahyukan Allah SWT kepada Rasulullah SAW adalah perintah membaca: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).” (Surah Al-‘Alaq: 1).

Pendek kata, untuk membuka pintu gedung ilmu adalah dengan membaca. Membaca akan menyajikan kita sejuta rasa kemanisan dalam memperoleh ilmu. Membaca juga membawa seseorang
mengembara ke seluruh alam tanpa sempadan.

Membaca boleh mengubah corak fikir dan hala tuju seseorang, bahkan membina peradaban dunia. Tidak mungkin ketamadunan itu dibina tanpa penghuninya memiliki minat membaca yang mendalam terhadap ilmu dan buku. Lihat sahaja sepanjang sejarah ketamadunan manusia, pasti akan kelihatan di situ terbina perpustakaan yang besar. Ini membuktikan penghuninya mempunyai tabiat yang mendalam terhadap ilmu.

Menurut Shaharom T.M Sulaiaman dalam buku Perpustakaan Penggerak Peradaban, melalui pembacaan terletaknya kemilau ilmu yang menjadi khazanah keintelektualan sesuatu bangsa bertamadun.

Seharusnya tidak ada lagi kedengaran orang yang mengatakan, saya tidak minat membaca, saya tidak biasa membaca, membaca hanya untuk orang terpelajar atau saya cepat bosan bila membaca. Semua ini hanya ayat-ayat yang mematikan jiwa, memfakirkan pemikiran dan menghilangkan kecintaan terhadap ilmu.

Kembalilah pada wahyu pertama yang diturunkan malaikat Jibril kepada Rasulullah melalui surah Al-A’laq, ayat 1 hingga 5. Membaca kerana perintah Allah dan ia merupakan simbolik perhambaan kepadaNya. Mengangkat darjat kemanusiaan, sesuai dengan penciptaan-Nya.

Langkawi masih indah, terjaga

JANGAN lepaskan peluang mempelajari sejarah sumpahan Mahsuri dengan lebih mendalam sekiranya ke Pulau Langkawi.

KEBENARAN merentas negeri serta kelonggaran diberikan kerajaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak dipersia-siakan dan ternyata begitu ramai pelancong tempatan ke Pulau Langkawi.

Kami sekeluarga tidak terkecuali mengambil peluang ke sana. Perjalanan kali ini amat bermakna.

Masya-Allah, terpegun sejenak dengan kelestarian bumi hijau di sana. Seperti tidak percaya keadaannya kekal utuh dan nampak terjaga jika hendak dibandingkan dengan tempat-tempat lain. Bahkan, tiada satu pun kegiatan atau aktiviti menjarah tanah di lereng kaki bukit ataupun kerja-kerja menebang pokok.

Keadaan ini jauh sekali berbeza dengan apa yang berlaku di Gunung Jerai, Yan, Kedah yang difahamkan berlakunya pembalakan secara haram walaupun cuba dinafikan.

Di sisi lain, Pulau Langkawi sebenarnya bukan sahaja dikenali sebagai pusat destinasi pelancongan semata-mata bahkan masih terdapat banyak peninggalan artifak sejarah yang boleh ditelusuri terutamanya legenda Mahsuri seperti kisah sebenar pembunuhan Puteri Langkawi itu dan kisah darah putih yang terpancut keluar dari perutnya. Usah hanya bergantung pada pengetahuan menerusi pembacaan.

Pada masa sama, keindahan dan keunikan seni ukiran serta binaan masjid-masjid di sini juga menjadi daya tarikan pengunjung luar dan pelancong.

Antara masjid yang menjadi sebutan orang ramai adalah Masjid Aisyah. Mungkinkah terdapat kisah di sebalik penggunaan nama seorang tokoh wanita mulia itu? Selain itu, adakah keindahan serta keunikan seni binaan masjid-masjid melambangkan simbolik kemasyhuran legenda Mahsuri itu sendiri?

Tidak syak lagi, selain dapat merehatkan minda yang berserabut di tepi pantai, orang ramai boleh juga menikmati dan melihat panorama alam semula jadi dari dekat di samping merasa sendiri pengalaman menyeronokkan dengan menaiki kereta kabel.

Selain dapat mengambil gambar menarik sebagai kenangan, kami juga berpeluang merentasi titian gantung semasa menyeberangi Gunung Mat Cincang.

Buli bukan lagi gurauan

MENURUT Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

BULI adalah perbuatan yang berniat menunjukkan kekuatan, menggertak atau mencederakan orang yang dilihat berkeadaan lebih lemah daripada si pelaku.

Buli bukan lagi mainan dan gurauan. Sebab itu gejala ini perlu ditangani secara bersama. Hal ini kerana kes-kes buli saban hari semakin bertambah bagai cendawan tumbuh selepas hujan dan tidak terkawal.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika Syarikat, buli adalah kelakuan agresif di mana seseorang secara sengaja dan berulang kali menyebabkan orang lain cedera atau tidak tenteram.

Buli boleh terjadi secara ­fizikal, dalam bentuk perkataan atau secara lebih halus. Mangsa buli kebiasaannya tidak dapat mempertahankan diri dan dalam masa sama tidak melakukan apa-apa yang menjadikan sebab dirinya dibuli.

Menurut perspektif Islam, perbuatan buli tidak boleh dilakukan kerana ia bertentangan dengan agama dan nilai kemanusiaan. Ia juga bertentangan dengan Islam sebagai satu agama yang memelihara karamah insaniah atau kemuliaan insan.

Jika masalah ini tidak dibendung dari awal, ia akan meninggalkan kesan negatif kepada mangsa buli. Antaranya masalah kesihatan berkaitan mental, mengalami kecederaan anggota badan dek dipukul pembuli, ponteng sekolah kerana takut dengan pembuli dan pencapaian akademik merosot kerana hilang fokus dalam pelajaran.

Oleh itu, perbuatan buli harus dibendung sebelum ia menjadi tidak terkawal dan sewajarnya diberi perhatian penuh oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua atau muda.

Semua pihak mempunyai peranan mereka masing-masing bagi membendung perbuatan buli. Jika perbuatan ini tidak dibendung, ia akan merosakkan generasi muda dan generasi akan datang.

Mencegah lebih baik daripada mengubati. Pepatah menyebut, tiada penyakit yang tiada penyembuhnya.