Archives for December 18, 2021

Wajibkah wang hantaran?

WANG yang dihantarkan oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak pengantin pe­rempuan, itu adalah definisi wang hantaran menurut Kamus Dewan, tanpa menyebut sama ada ia wajib dihantarkan, ataupun tidak. Dalam rukun nikah, tidak juga disebut wang hantaran sebagai sebahagian daripada rukun berkenaan. Maka, di mana kedudukan wang hantaran?

Dalam ayat empat Surah an-Nisa’, Allah SWT berfirman untuk menjelaskan bahawa mas kahwin itu sebagai pemberian yang wajib, dan supaya tidak ada perkahwinan secara percuma dalam kalangan pasangan Islam, jika kita merujuk mafhum ayat 24 surah yang sama. Antara maksudnya, “Dihalalkan kepada kamu perempuan-perempuan yang lain daripada yang tersebut itu untuk kamu mencari isteri dengan harta kamu secara berkahwin, bukan secara berzina.”

Biasanya mas kahwin disebut dalam akad pernikahan. Tetapi, jika tidak disebut, maka kedua-dua pihak dalam perkahwinan harus memahami bahawa pengantin lelaki perlu membayar mas kahwin menurut konsep mahar misil. Iaitu dengan melihat berapa kadar mas kahwin yang pernah diberikan kepada saudara atau ahli kerabat perempuan di pihak pengantin perempuan ketika mereka berkahwin sebelum itu. Apa yang penting, mas kahwin mesti ada untuk isteri yang dinikahi walaupun tidak dibayar secara tunai. Sama ada secara hutang, atau beransur-ansur.

Dalam ayat 27, Surah al-Qassas menyebut yang membawa maksud bahawa, bapa pengantin perem­puan (Nabi Syuaib) berkata kepada Nabi Musa, “Aku kahwinkan kamu dengan salah seorang anak perempuanku dengan syarat kamu harus bekerja denganku selama lapan tahun.” Berdasarkan ayat ini apa yang dapat penulis fahami, walilah yang menentukan bentuk dan kadar mas kahwin secara tepat untuk perempuan yang berada di bawah perwaliannya. Cuma ia haruslah berada dalam lingkungan yang dijelaskan oleh ulama, dan yang mendapat pengiktirafan oleh masyarakat setempat.

Mazhab Hanafi dan Hanbali menyatakan kadar mahar mestilah sekurang-kurangnya sebanyak 10 dirham, berdasarkan rujukan mereka pada sebuah Hadis Rasulullah SAW. Di sini, penulis cuba mengambil kadar dirham dari mata wang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Maka, pada 1 April 2016, 10 dirham adalah bersamaan dengan RM10.65.

Dari situ, kita boleh lihat walaupun negeri-negeri di Malaysia tidak mempunyai kadar seragam dalam meletakkan jumlah minimum tertentu sebagai kadar mahar kepada wanita Islam, tetapi kadar minimum yang ditentukan oleh kerajaan negeri masing-masing tidaklah sebanyak RM10.65. Walaupun demikian, kadar-kadar yang berbeza di negeri-negeri ini perlulah disemak dari semasa ke semasa supaya dasar atau polisi yang ditetapkan tidak melangkaui apa yang dibincangkan oleh ulama.

Jangan disebabkan hasrat untuk memudahkan pasangan Islam hendak membina rumah tangga, tidak ada kadar baharu bagi mas kahwin dengan jumlah yang lebih munasabah menurut perubahan semasa. Jika ada pihak yang tidak berkemampuan walaupun ia amat minimum menurut kadar semasa, maka di sinilah peranan baitulmal atau institusi zakat. Ini kerana agama Islam tidak meletakkan status wanita Islam di tahap yang rendah, apatah lagi untuk dipandang rendah oleh sesiapa pun.

Ulama bersependapat syarak tidak menentukan kadar maksimum tertentu bagi mas kahwin. Bermakna, terpulanglah kepada wali atau pengantin perempuan untuk meletakkan kadar atau jumlah mahar yang perlu diserahkan oleh pengantin lelaki. Pengantin lelaki perlu memahami bahawa ini adalah hak bakal isterinya. Haknya adalah ruang perbincangan sekiranya mendapati kadar itu amat membebankan. Mendesak bukanlah akhlak Islam. Ini kerana agama Islam sudah pun memberikan garis panduan terbaik dalam pembinaan perkahwinan.

Jumlah yang disebut semasa akad itulah mas kahwin atau mahar. Jika ia tidak disebut, ia tetap suatu jumlah yang munasabah de­ngan neraca mahar misil. Amaunnya adalah menjadi milik sepenuhnya pengantin perempuan. Ini tidak boleh menjadi hak kepada ahli kerabatnya. Kecuali selepas pengantin perempuan menerimanya, dia menyerahkannya atau sebahagiannya kepada orang lain secara rela hati. Jika mahar tidak disempurnakan pembayarannya sehingga si isteri meninggal dunia, ia wajib dilangsaikan kerana telah menjadi pusaka pihak isteri. Maka, sekali lagi persoalan yang timbul, di mana kedudukan wang hantaran?

Jika merujuk Kelantan, istilah wang hantaran sebenarnya merujuk kepada mas kahwin ataupun mahar. Wang hantaran di Kelantan mempunyai fungsi sama sebagaimana mas kahwin ataupun mahar. Pada pandangan penulis, amalan di Kelantan lebih ringkas dan mudah. Apa pun jumlah yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, ia akan menjadi hak milik pengantin perempuan sepenuhnya.

Berbanding di negeri-negeri di Pantai Barat, walaupun wang hantaran tetap pemberian dalam bentuk wang daripada pihak pengantin lelaki, ia mempunyai fungsi agak berbeza. Ini kerana wang hantaran lahir daripada budaya, dan bukannya hukum syarak. Ada budaya yang menjadikan wang hantaran sebagai duit yang membiayai majlis perkahwinan. Ada juga budaya yang menjadikannya sebagai milik penuh kepada pengantin perempuan tetapi jumlah itu tidak disebut dalam akad pernikahan. Dari segi hukum syarak, bolehlah ia dianggap sebagai hadiah yang menjadi sebahagian daripada hibah ataupun pemberian.

Satu perkara lain, walaupun jumlah wang hantaran (bagi situasi selain Kelantan) tidak disebut dalam akad, dan tidak diserahkan kepada pengantin perempuan mengikut kepada peranannya yang merujuk kepada amalan kelompok atau daerah masyarakat Melayu tertentu, perjanjian yang dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak, perlulah ditunaikan. Sebagaimana Allah SWT menyuruh kita supaya menepati perjanjian. Menunaikan janji adalah akhlak seorang Mukmin, manakala sebaliknya adalah sebahagian daripada sifat munafik.

Akhlak Islam adalah membincangkan apa sahaja perkara dengan harmoni dan saling menjaga maruah. Jika kesepakatan gagal dicapai, pelbagai mekanisme telah disediakan Islam. Penulis berpandangan, apabila timbul krisis mengenai wang hantaran, kita seharusnya kembali semula kepada falsafah perkahwinan menurut Islam. Syariah tidak langsung membebankan umatnya dalam hal-ehwal perkahwinan. Ini kerana perkahwinan adalah perkara yang amat dianjurkan oleh Islam, dan amat dibanggakan oleh Baginda Rasulullah SAW.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Kredit artikel : Utusan Online

5 Cili Pedas Gilerrrr Di Dunia!

Setakat makan ayam spicy Mcdollah 3 kali kepedasan tu, apalah sangat berbanding dengan 5 tersenarai cili terpedas di dunia. Yang kita makan tu setakat 100 ribu skala Scoville. Tapi yang ini mencecah 2 juta lebih skala Scoville! Boleh bayangkan tak? Minum air 2 liter pun belum tentu boleh hilang pedas weh. Okey jom kita tengok cili apa yang pedas sangat tu sehingga menggigit ulu hati.

Cili merupakan sayuran berbuah yang dipercayai berasal daripada Mexico dan Amerika Selatan. Ditanam secara meluas di serata dunia terutamanya kawasan beriklim tropika, cili menjadi sejenis makanan yang menjadi keperluan dan kesukaan manusia.

Namun tahukah anda bahawa ada beberapa cili yang dikategorikan sebagai pedas giler di dalam dunia? Yang mana cili-cili tersebut tiada dijual di Malaysia? Dengan menggunakan SHU (Scoville Heat Unit), kuantiti capsaicinoid yang memberikan rasa pedas pada cili dapat dikira.

1. Carolina Reaper (SHU: 2.2 juta)

Pernah merangkul gelaran cili terpedas pada 2013, Carolina Reaper sekali lagi merangkul gelaran yang sama dengan peningkatan bacaan SHU sebanyak 71 ribu daripada 1.641 juta.

Gambaran kepedasan cili Carolina ini ialah 200 kali lebih pedas dari cili Jalapeno kerana merupakan percampuran Ghost Pepper dan Red Habanero. Melihatkan pada bentuknya yang unik iaitu seperti ekor berbisa, kepedasan cili ini sudah dapat dirasakan.

2. Trinidad Moruga Scorpion (SHU: 2.009 juta)

Bacaan yang tepat bagi kiraan SHU cili yang baru dijumpai di Moruga ini ialah 2,009,231. Sekali sahaja anda menggigit cili ini, anda akan merasai kepedasan yang semakin meningkat. Hampir menyerupai kepedasan Carolina Reaper, sekali pandang cili ini berbentuk seperti buah beri namun jangan pernah tertipu kerana rasanya langsung menyerupai beri.

3. 7 Pot Douglah (SHU: 1.854 juta)

Dikatakan mempunyai rasa yang elok, 7 Pot Douglah ini tidak mempunyai warna merah yang menggambarkan rasa pedas. Sebaliknya cili yang mempunyai bacaan SHU 1,853,936 ini berwarna coklat pekat. Turut dikenali sebagai 7 Pod Douglah, Chocholate 7 Pod dan 7 Pot Brown, cili ini mampu memperdayakan anda dengan warnanya yang gelap dan kelihatan tidak pedas.

4. 7 Pot Primo (SHU: 1.469 juta)

Mempunyai ciri ekor yang ‘kurus’, 7 Pot Primo dicipta oleh seorang ahli hortikultur iaitu Troy Primeaux. Ada diantara peladang yang cuba untuk meniru menghasilkan cili Primo dengan menghasilkan ‘ekor’ yang lebih panjang. Mempunyai rupa yang hampir sama dengan Carolina Reaper, cili 7 Pot Prima ini memang boleh tahan rasa pedasnya.

5. Trinidad Scorpion ‘Butch T’ (SHU: 1.464 juta)

Pernah memecahkan rekod sebagai cili terpedas di Guinness World Record pada tahun 2011 dari Australia, cili ini dinamakan scorpion kerana mempunyai bentuk duri sengatan seperti kala jengking di bahagian atasnya.

Dicipta oleh Butch Taylor, ada individu yang memberikan analogi bahawa makan cili ini seperti tertelan 1,000 matahari kerana rasa pedasnya sangat berbisa dan boleh menyengat seperti kala jengking.

Kalau anda perasan, bentuk 5 jenis cili yang terpedas di atas hampir sama kesemuanya, bukan? Tak perlu rasa, tengok sahaja gambar cili-cili di atas pun dah terasa pijar mulut.

Sumber: Pepper Head