TELINGA merupakan organ yang biasanya menghasilkan kotoran. Namun demikian, dalam keadaan kesihatan tertentu, telinga akan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.
Telinga yang mengeluarkan bau yang menyesakkan hidung pastinya akan membuat individu itu dan orang di sekelilingnya merasa sangat tidak selesa.
Jadi, jangan hairanlah kalau orang lain akan menjauhkan diri daripada kita dek kerana situasi itu.
Menurut portal kesihatan antarabangsa, healthline.com, sebenarnya, telinga yang berbau boleh menjadi petanda bahawa terdapat masalah kesihatan pada kawasan telinga kita.
Punca telinga berbau mesti dimaklumkan dengan jelas agar kesihatan organ pendengaran terpelihara.
Perilaku melengah-lengahkan rawatan akan membahayakan salah satu daripada deria terpenting manusia itu.
Berikut antara sebab mengapa telinga seseorang berbau tidak kira dalam kalangan dewasa mahupun kanak-kanak:
1. JANGKITAN BAKTERIA, KULAT.
Jangkitan telinga tengah dan luar adalah penyebab bau yang paling biasa. Biasanya, jangkitan boleh disertai dengan nanah. Sebab itulah bau yang ‘dihasilkan’ tidak menyenangkan.
Selain itu, jangkitan bakteria dan kulat pada telinga juga menjadi punca.
Justeru, pemeriksaan telinga penting untuk mendedahkan punca jangkitan tersebut.
Setelah diagnosis jangkitan telinga disahkan, pesakit akan diberi antibiotik untuk mengurang atau menghilangkan bau itu.
2. AMALAN MENJAGA KEBERSIHAN TELINGA YANG KURANG.
Bukan hanya masalah kotoran pada lubang, kawasan kulit di depan dan di belakang cuping telinga juga boleh menyebabkan bau busuk.
Ia kerana ‘aroma’ tersebut boleh terhasil daripada peluh, minyak, habuk dan sebagainya.
Kebersihan perlu dipertimbangkan dengan teliti, terutamanya di kawasan belakang cuping telinga.
Ini kerana kawasan tersebut mempunyai lipatan kulit yang berpotensi menjadi tempat pembiakan kuman dan kotoran.
Biasanya, kawasan berkenaan juga mudah ‘dilupakan’ untuk digosok ketika mandi, bukan?
Selain itu, anda tidak perlu membersihkan kawasan di dalam lubang telinga (baik dengan kapas atau alat lain) kerana kerana earwax dapat keluar dengan sendirinya secara berterusan dan biasanya tidak dapat dilihat melalui mata kasar.
3. KOLESTEATOMA.
Kolesteatoma merupakan satu keadaan yang mana pertumbuhan sel kulit yang tidak normal berlaku pada kawasan tengah telinga.
Bagaimanapun, pertumbuhan sel di kolesteatoma tidak berpotensi menjadi barah atau kanser.
Kolesteatoma dapat berkembang dan merosakkan tisu telinga dan tulang tengkorak di sekitarnya.
Pada peringkat awal, gejalanya adalah telinga akan berbau busuk. Kemudian, terdapatnya tekanan atau kesakitan pada belakang telinga sehingga boleh menjejaskan pendengaran seseorang.
Ketahuilah bahawa kolesteatoma boleh mempengaruhi pendengaran, keseimbangan badan dan fungsi pada otot muka.
4. OBJEK ASING.
Objek asing adalah antara sebab telinga berbau.
Ia biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka gemar meletakkan objek tertentu dalam telinga. Biasanya si kecil tidak memberitahu perilaku itu kepada ibu bapa.
Objek asing yang dimaksud adalah seperti makanan, mainan atau serangga.
Bau benda asing di dalam telinga boleh datang daripada objek itu sendiri atau mungkin berpunca daripada jangkitan yang telah merebak.
Namun demikian, bergantung pada ukuran objek, gangguan pendengaran juga mungkin berlaku. Bahayanya!
5. KETUMBUHAN.
Dalam beberapa kes, tumor boleh menyebabkan bau yang tidak menyenangkan daripada telinga.
Tumor yang paling kerap berlaku pada telinga biasanya berlaku dari sel saraf pada dalam telinga.
Gejala lain yang muncul termasuk kehilangan pendengaran secara beransur-ansur, kehilangan keseimbangan, vertigo dan kebas pada wajah.
Selain itu, barah juga boleh menyerang tisu yang sihat dan menyebabkan luka yang kemudiannya akan menyebabkan jangkitan bakteria.
Keadaan tersebut akan mencetuskan keluarnya nanah dari telinga yang disertai dengan bau yang sangat tidak menyenangkan.
Selain itu, ini satu peringatan penting. Sekiranya anda mengalami masalah telinga berbau, elakkan menitiskan apa-apapun jenis ubat atau memasukkan alat pembersih ke telinga tanpa arahan doktor!
Semoga ilmu yang dikongsi ini memberi manfaat kepada pembaca. #kitajagakita