Archives for December 2021

‘Berat Badan Saya Turun 10kg Dalam Jangka Masa Seminggu Lebih Saja’

“Pada awalnya, badan saya tiba-tiba bertukar menjadi sangat lemah dan hilang selera makan. Lebih menakutkan lagi, berat badan turun jatuh dengan mendadaknya iaitu hampir mencapai 10 kilogram (kg) hanya dalam jangka masa satu minggu lebih sahaja.”

Demikian pengakuan ikhlas seorang pesakit vaskulitis, Rosli Khairullah, 51, yang disahkan mengalami penyakit tersebut beberapa bulan lalu.

Ujar Rosli, beliau tidak mahu orang lain mencontohinya kerana beliau antara pesakit yang lambat mendapatkan rawatan.

“Sebelum ini, saya melakukan ikhtiar dengan rawatan secara tradisional di kampung sahaja. Namun, setelah dipujuk oleh anak-anak, akhirnya saya bulatkan tekad untuk berjumpa pakar setelah hampir berbulan-bulan berada dalam kondisi yang sangat teruk,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

Ujar lelaki itu, beliau juga kerap berasa sakit kepala, sakit pada sendi kaki dan tangan serta demam selain kulitnya dipenuhi dengan ruam (kecil) berwarna kemerah-merahan.

“Saya jadi keliru ketika itu. Setelah ujian darah dilakukan, akhirnya doktor memaklumkan bahawa saya disahkan mempunyai masalah vaskulitis iaitu penyakit yang berkaitan dengan keradangan darah.

“Alhamdulillah, seawal dua minggu sahaja, sakit yang dialami sebelum ini berkurang. Keadaan saya kini juga semakin pulih setelah diberi ubat antikeradangan,” ujar bapa kepada empat orang anak itu.

Beliau juga secara berkala akan membuat pemeriksaan dengan doktor mengikut jadual yang telah disusun.

Ujar Rosli, simptom-simptom dan gejala-gejala yang dihadapinya bukan sembarangan dan beliau sendiri ngeri melihat keadaan dirinya sendiri ketika itu.

Sehubungan itu, lelaki itu berpesan agar orang ramai yang mempunyai kondisi serupanya segera bertindak pantas.

“Jangan berlengah lagi kerana jika kita tidak bernasib baik, penyakit yang kita alami boleh melarat,” pesannya.

Penyakit Vaskulitis: Pilih Diet Antiradang, Fokus Makan Setiap Dua Jam Sekali

BERSAMA

Pegawai Perubatan,

Klinik Ajwa Shah Alam,

Dr Arisman Wenge Abdul Rahman

SOALAN 1

DOKTOR, apakah diet yang paling sesuai untuk pesakit yang berhadapan masalah keradangan salur darah atau vaskulitis? Ia kerana salah seorang daripada keluarga saya baru sahaja didiagnos mempunyai penyakit itu, mohon penjelasan daripada doktor.

– INGIN TAHU, ROHAINA MD RASHID, 41, Bukit Kayu Hitam, Kedah.

JAWAPAN:

Pertama sekali, nasihat saya,  puan perlu membuat rundingan dengan pakar diet terlebih dulu bagi  mendapatkan cadangan mereka.

Namun demikian, pesakit disarankan agar memilih diet yang mengandungi banyak kandungan antiradang dan mengelak mengambil makanan yang menyumbang kepada keradangan.

Puan, berikut saya senaraikan makanan-makanan antiradang bagi memudahkan urusan pemilihan makanan dilakukan untuk pesakit vaskulitis:

1. Buah-buahan dan sayur-sayuran

Penyelidikan telah menunjukkan bahawa sayur-sayuran berdaun kaya dengan vitamin K seperti bayam dan kangkung yang boleh mengurangkan keradangan. Begitu juga dengan sayur brokoli dan buah-buahan seperti ceri dan rasberi.

2. Biji-bijian

Oatmeal, beras merah, roti gandum dan biji-bijian lain yang tinggi serat turut dapat membantu.

3. Kekacang

Kekacang memiliki serat yang tinggi ditambah dengan sifat antioksidannya.

4. Ikan

Salmon, tuna, dan sardin semuanya mempunyai banyak asid lemak omega-3 yang boleh melawan keradangan.

5. Herba dan rempah

Kunyit yang terdapat dalam serbuk kari mengandungi curcumin yang bertindak sebagai antioksidan baik. Begitu juga dengan bawang putih yang mengekang kemampuan tubuh badan untuk membuat sesuatu yang meningkatkan keradangan.

Berkisar mengenai diet yang harus dielakkan oleh pesakit vaskulitis pula, pastikan mereka mengelak makan makanan yang mempunyai karbohidrat halus seperti roti putih dan pastri serta makanan bergoreng seperti kentang goreng.

Selain itu, mereka juga perlu mengelak mengambil marjerin, minuman bersoda (minuman manis) dan daging merah seperti burger, stik dan daging yang diproses, contohnya sosej.

Sekiranya pesakit mempunyai masalah kurang selera makan atau penurunan berat badan yang tidak dirancang, cuba makan setiap dua jam walaupun hanya beberapa suapan dengan memberi fokus kepada makanan berkalori tinggi dan mempunyai protein tinggi.

Pada masa sama, pesakit vaskulitis juga disarankan memilih minuman dengan kalori seperti susu, jus, minuman isotonik atau smoothie.

Paling penting, ambil minuman di antara waktu makan, bukannya semasa makan.

Hindari juga makanan berlemak, berminyak, makanan pedas atau makanan yang sangat manis.

Sekiranya pesakit diberitahu bahawa sel darah putih sangat rendah dan berisiko tinggi mendapat jangkitan, pastikan mereka mengelak makan daging mentah, ikan mentah termasuk sushi, telur mentah atau susu yang tidak dipasteur.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada data yang mampu membuktikan kesan pemakanan terhadap mekanisme dalam kes vaskulitis itu sendiri.

‘Belum ada data jelas terapi alternatif vaskulitis sehingga kini

SOALAN 2:

Doktor, saya ingin bertanya, adakah terdapat beberapa pendekatan lain yang boleh dilakukan pesakit vaskulitis agar penyakit itu tidak berulang dan tanpa perlu mengambil ubat secara berterusan?

-INSAN BUNTU, ILHAM MUNIR HADZRI, 29, Kuala Terengganu, Terengganu.

Jawapan:

Tuan, sebenarnya sangat sukar untuk doktor menjawab pertanyaan tersebut kerana terdapat banyak jenis vaskulitis dan perbezaan dari segi rawatan dan prognosisnya.

Ada jenis yang ringan dan ada juga yang dikategorikan sebagai kes berat sehingga timbul komplikasi terhadap organ lain yang mempengaruhi kesihatan sepanjang hayat atau boleh mengancam nyawa.

Pada pendapat saya, jika ingin tahu mengenai terapi alternatif selain bergantung dengan ubat semata-mata, jawapanya adalah  tidak ada data yang jelas mengenai terapi alternatif untuk vaskulitis sehingga kini.

Tuan, pencetus kes vaskulitis berulang atau relapse adalah masih tidak diketahui dengan jelas. Walaupun sudah banyak persoalan telah diajukan mengenai faktor-faktor seperti jangkitan kuman baharu dan tekanan, namun tidak ada hubungan yang pasti di antara faktor itu atau pencetus lain yang mungkin terkait dengan serangan vaskulitis yang berulang-ulang.

Konsep lebih jelas untuk mendapatkan kesembuhan bagi mengelakkan komplikasi dan penyakit itu berulang dengan kerap adalah dengan mendapatkan rawatan awal.

Sebagai contoh, kes kerosakan saraf atau nerve damage. Kajian menunjukkan semakin awal vaskulitis dikenal pasti dan dirawat, semakin besar kemungkinan pemulihan daripada kerosakan saraf.

Bahayakah Jika Anak Kecil Suka Duduk Menggunakan Posisi W? Ini Fakta Kesihatan Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

ADA sesetengah daripada kanak-kanak sangat gemar duduk menggunakan posisi berbentuk huruf W.

Pernah suatu ketika dahulu, tular kenyataan di media sosial yang menyatakan bahaya anak-anak yang duduk menggunakan posisi berkenaan.

Perkara itu telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa terutamanya anak-anak yang mempunyai tabiat berkenaan.

Menurut portal kesihatan medcom.id, kanak-kanak di bawah umur tiga tahun yang duduk dalam kedudukan tersebut dinggap normal.

Bagaimanapun, jika kebiasaan itu berterusan selepas anak kecil itu menjangkau usia tiga tahun, ia boleh memberi kesan negatif terhadap perkembangan keseluruhan mereka.

Apakah keadaan itu benar?

SinarPlus kemudian menyelak informasi menerusi entri Facebook Public Health Malaysia.

Tulisnya, jika ibu bapa ternampak anak-anak duduk dalam posisi W, ia mungkin suatu perkara yang normal pada usia anak kecil sekitar tiga tahun.

Ia adalah kerana pada ketika itu, tubuh mereka masih fleksibel dan perkara itu tidak menyakitkan mereka.

Bukan itu sahaja, ia sama sekali tidak akan mendatangkan bahaya pada perkembangan otot peha sekiranya duduk dalam posisi itu sekali-sekala.

Untuk pengetahuan ibu bapa di luar sana, kanak-kanak suka akan posisi berkenaan kerana ia memberi tapak yang lebih luas dan memberi keseimbangan yang lebih stabil semasa mereka sedang bermain.

Sebenarnya, terdapatnya satu kajian yang menunjukkan 99 peratus kanak-kanak yang duduk dalam posisi W akan meninggalkan tabiat tersebut selepas mereka semakin membesar tanpa sebarang intervensi.

Jadi, usah bimbang, kajian yang sama juga membuktikan duduk dalam posisi W tidak mengakibatkan Hip Dysplasia.

Pesanan penting kepada ibu bapa adalah untuk memerhatikan pergerakan anak anak semasa beralih daripada posisi W ke posisi lain.

Ia turut diakui oleh Pakar Ortopedik Pediatrik, Hospital Johns Hopkins All Children, Amerika Syarikat, Dr Greg Hahn.

Katanya, kebanyakan kanak-kanak yang berjalan sedikit mempunyai kecenderungan memilih duduk dalam posisi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau mendapati kedudukan duduk W hanyalah variasi normal bagi kanak-kanak dan tidak memerlukan rawatan.

Namun demikian, jika mereka kelihatan kekok sama ada seperti dalam keadaan kesakitan atau tidak seimbang, segeralah dapatkan pemeriksaan doktor.

Seperkara, jika otot anak kecil kelihatan lemah, kerap jatuh, peha membengkak dan berlaku masalah koordinasi serta keseimbangan (tidak simetri), jangan berlengah-lengah lagi, ia mungkin petanda tidak baik kepada kesihatan
anak kecil berkenaan.

Oleh itu, cara lainnya, ibu bapa perlu memberi galakkan kepada anak kecil untuk berubah posisi semasa duduk dengan mencuba beberapa posisi seperti:

i) Duduk bersila
ii) Duduk melunjur
iii) Duduk bersimpuh
iv) Duduk melutut

Jadi, diharapkan dengan perkongsian ini memberi informasi yang jelas kepada ibu bapa di luar sana.

Foto: FREEPIK DAN SUMBER INTERNET

Semak Kualiti Internet Anda Guna Speedtest, Sesuai Atau Tidak Untuk Strim Video

Semak kualiti internet anda, guna Speedtest sesuai atau tidak untuk strim video

MINGGU lalu, Speedtest memperkenalkan kemampuan menyemak kawasan liputan rangkaian telekomunikasi melalui aplikasi.

Ini memudahkan pengguna untuk mengetahui pelan apa yang sesuai untuk dilanggan dan syarikat telekomunikasi mana yang patut dipilih.

Terkini, Speedtest menawarkan perkara lain pula yang mungkin boleh membantu sewaktu berkurung dalam rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Perkhidmatan penstriman video, biasanya cukup pintar untuk mengetahui resolusi apa yang patut distrim bergantung pada kelajuan internet pengguna.

Tetapi ada perkhidmatan yang memberi pilihan untuk tetapkan penstriman sentiasa pada resolusi tinggi.

Tetapi ini akan menjadikan pengalaman menonton tidak seronok kerana akan terjadi pelbagai masalah seperti tersekat-sekat dan banyak lagi.

Semak kualiti internet anda, guna Speedtest sesuai atau tidak untuk strim video

Kini, Speedtest menyertakan kemampuan menyemak kualiti internet anda sama ada mampu untuk menstrim video atau tidak.

Jika mampu, resolusi apa yang ia mampu distrim turut akan dipaparkan. Biasanya ujian kelajuan internet menguji masa muat naik, muat turun dan masa pendam.

Tetapi dengan kemaskini terbaru ini ia menguji kemampuan menstrim pada pelbagai resolusi, masa memuat dan masa penimbalan.

Secara asasnya, Speedtest kini menjadi sebagai tempat menguji tanda aras kemampuan menstrim video. Maklumat yang dipaparkan lebih banyak berbanding Fast.com dari Netflix.

Cuba buat ujian video pada Speedtest untuk iOS hari ini dengan membuka aplikasi Speedtest di telefon korang (atau memuat turunnya dari Apple App Store jika belum memilikinya).

Semoga bermanfaat!

Sumber: amanz

Pembedahan Pintasan Perut Bukan Sekadar Untuk Kurus Semata-Mata

ADA di antara kita yang sudah berusaha sepenuhnya untuk mengurangkan berat badan, namun masih menemui jalan buntu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dunia kini sedang mengalami epidemik kegemukan kerana hampir setiap dua dari lima orang (39 peratus) mempunyai berat badan berlebihan pada tahun 2016 dan 13 peratus mengalami kegemukan.

Menurut statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Nasional pada tahun 2019 pula, Malaysia mempunyai kadar obesiti dan berat badan yang paling tinggi dalam kalangan negara-negara Asia dengan 64 peratus lelaki dan 65 peratus wanita.

Pastinya, obesiti bukan satu masalah yang mudah untuk diatasi kerana terdapat banyak faktor yang mempengaruhi corak makan dan senaman sesetengah individu.

Memberi solusi kepada masalah tersebut, pembedahan pintasan perut atau bariatrik mungkin salah satu jalan keluar yang boleh dipertimbangkan.

Sebenarnya, bariatrik yang memfokuskan kepada pembedahan mengecilkan perut sesuai dijalankan ke atas mereka yang mempunyai Indeks Jisim Badan melebihi 35 dan gagal mendapatkan penurunan badan kekal dan konsisten dengan cara lain.

Perlu diingatkan, pembedahan berkenaan bukannya sebagai pembedahan kosmetik, sebaliknya fungsi utama pembedahan bariatrik bukan sekadar kelihatan kurus, tetapi lebih kepada pemulihan kesihatan kerana obesiti adalah punca pelbagai penyakit kronik.

Apakah yang berlaku selepas menjalani pembedahan berkenaan?

Jawapannya, selepas pembedahan itu dilakukan, pesakit akan berasa cepat kenyang dan kurang selera makan serta menyebabkan sistem tubuh mengambil tenaga daripada lemak pada badan sebagai ganti kepada makanan yang biasa diambil.

Hasilnya, berat badan akan berkurangan dan pesakit akan dapat melihat kesan positif seperti pengurangan berat badan yang ketara, tekanan darah menurun, memulihkan pesakit yang mengalami diabetes tahap 2 dan merendahkan kolesterol.

Selain itu juga, ia dapat memulihkan masalah pernafasan ketika tidur, pedih ulu hati, memperbaiki pergerakan anggota badan malah pembedahan tersebut juga dapat menghilangkan sakit teruk pada sendi-sendi tulang akibat berat badan yang berlebihan.

Antara berita baik manfaat pembedahan berkenaan juga dikaitkan dengan masalah kitaran haid wanita obes yang tidak teratur sehingga mengganggu kesuburan juga dapat diperbaiki.

Bukan itu sahaja, dari segi psikologi juga, ia memberi kesan bagus kerana ia meningkatkan keyakinan diri dan pengawalan emosi terutamanya ketika berada di hadapan khalayak ramai.

Pastinya, pembedahan pintasan perut telah terbukti mampu mengurangkan berat badan sebanyak 60 peratus dalam tempoh dua tahun sahaja tau!

Lebih mengujakan, pembedahan bariatrik bukan sahaja menyebabkan penampilan fizikal akan bertambah baik, malah kebanyakan penyakit metabolik seperti kencing manis, kolesterol dan darah tinggi berjaya dikawal.

Pun demikian, menurut Pakar Perunding Bedah Umum, Payudara, Endokrin dan Bariatrik, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr Kirubakaran Malapan, rata-rata pesakit yang menggunakan salah satu daripada kaedah berkenaan akan susut lebih kurang 15 kilogram iaitu kira-kira 10 ke 15 peratus daripada berat badan asal dalam masa yang sangat singkat.

“Bagaimanapun, sikap pesakit juga penting dan mereka perlu dipujuk mengurangkan jumlah makanan selain meningkatkan senaman.

“Sebagai panduan, pasukan multidisiplin terlibat akan merumuskan program lengkap untuk
membantu diet sihat, rejimen senaman dan yang paling penting adalah mengubah gaya hidup dan kesihatan individu berkenaan,” katanya menerusi satu e-mel baru-baru ini.

Beberapa selebriti tempatan popular seperti Aishah, Chef Zam, Rahim (Sepahtu) dan Micheal Ang telah menjalani pembedahan berkenaan dan hasilnya boleh dilihat pada hari ini.

Semoga perkongsian di atas bermanfaat kepada semua dan tolong ‘nyahkan’ daripada fikiran bahawa pembedahan tersebut hanya bertujuan kurus semata-mata.

Sumber: Public Health Malaysia

Terkejut Didiagnos Kanser Walau Sudah Bertahun Tinggalkan Tabiat Merokok

MOHD Jazli Jasmin, 39, tidak menyangka, batuk yang berlarutan hingga beberapa bulan lamanya merupakan petanda beliau menghidap kanser paru-paru tahap 3.

Kata bapa kepada dua orang anak itu, ujian itu amat berat baginya kerana beliau sudah hampir beberapa tahun meninggalkan tabiat merokok.

“Pada awalnya, saya fikir batuk yang agak lama itu hanyalah batuk biasa sahaja. Namun demikian, selepas dipujuk oleh isteri, saya membuat keputusan untuk melakukan pemeriksaan lanjut,” ujarnya yang merupakan seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Pasir Gudang, Johor itu.

Mohd Jazli Jasmin.

Selepas pemeriksaan dilakukan, Mohd Jazli mengakui sangat terkejut dan sukar menerima hakikat bahawa dirinya didiagnos sebagai seorang penghidap kanser paru-paru pada tahun 2019.

Mohd Jazli memberitahu SinarPlus, beliau mengakui pengetahuannya tentang penyakit berisiko itu memang agak kurang.

Lagipun, keputusannya meninggalkan tabiat merokok itu pun selepas pemergian arwah abangnya yang menderita kanser mulut kira-kira sembilan tahun lalu.

Setelah ‘diaudit’ kembali, lelaki itu berkata, punca dirinya mengalami kanser berkenaan berkemungkinan besar atas faktor asap rokok selain faktor genetik.

“Meskipun saya sudah lama tidak merokok, saya masih terdedah dengan asap rokok terutamanya ketika bersama rakan sekerja lain.

“Saya terima ketentuan takdir ALLAH. Mohon doakan agar saya dapat bertahan dan cepat sembuh daripada kanser ini dan boleh kembali bekerja seperti sediakala.

“Saya juga kini sedang mengikuti jadual rawatan yang telah ditetapkan oleh pihak hospital dan keadaan saya masih baik-baik lagi,” ujarnya pada akhir perbualan.

Dengkuran Kuat Ketika Tidur Boleh Timbulkan Komplikasi Bahaya. Ini Penjelasannya…

SATU kajian yang dilakukan oleh Yayasan Tidur Kebangsaan Amerika Syarikat sebelum ini telah merekodkan lebih 6 juta rakyat Malaysia menghidap masalah tidur berdengkur atau Obstructive Sleep Apnea (OSA).

Sebenarnya, apakah sebab-sebab dengkur boleh terjadi dan apakah ia mempunyai perkaitan rapat dengan trend hidup manusia zaman kini?

Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Dr Iskandar Mirza.

Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, beliau berkata, berdengkur adalah bunyi yang kuat dan garau berlaku semasa udara melalui bahagian sempit saluran pernafasan pada bahagian tekak dan menyebabkan bahagian tersebut bergetar semasa bernafas.

Perlu diketahui bahawa sesetengah pesakit boleh mendapat masalah dengkur kronik. Bahaya!

“Berdengkur kebiasaan berkait rapat dengan masalah OSA yang mana pemeriksaan akan dilakukan dengan lebih terperinci oleh doktor,” beritahu Dr Iskandar Mirza.

Berikut antara simptom-simptom OSA yang perlu diberi perhatian oleh seseorang:

i. Tersedar pernafasan berhenti semasa tidur.
ii. Terlalu mengantuk pada waktu pagi.
iii. Susah untuk memberi perhatian.
iv. Sakit kepala pada waktu pagi.
v. Sakit tekak semasa bangun tidur.
vi. Tidur yang tidak berkualiti.
vii. Terasa tercekik atau mengah pada waktu malam.
viii. Tekanan darah tinggi.
ix. Berdengur terlalu kuat sehingga mengganggu tidur pasangan.

Pun demikian, nasihat Dr Iskandar Mirza, jika pembaca mempunyai beberapa simptom seperti disebutkan di atas, segeralah membuat temu janji bersama doktor kerana diagnosis akan dilakukan secara pemeriksaan menyeluruh dan akan melakukan pengimejan diagnostik dan melakukan ujian tidur.

Dalam pada itu, Dr Iskandar Mirza turut menyenaraikan penyebab-penyebab kepada masalah berdengkur iaitu:

1. Anatomi mulut iaitu palate lembut (lelangit) yang tebal dan rendah boleh menyempitkan ruangan pernafasan.

2. Mengambil alkohol sebelum tidur akan membuat otot pada tekak menjadi lemah dan merendahkan sistem pertahan semula jadi untuk melawan masalah salur pernafasan sempit.

3. Masalah nasal iaitu masalah selesema yang kronik atau masalah nostril yang tidak normal boleh menyebabkan berdengkur.

4. Tidur yang tidak mencukupi kerana ia akan menyebabkan otot pada tekak menjadi lemah.

5. Posisi tidur kerana apabila tidur dalam posisi baring melintang, kesan graviti adalah paling tinggi terhadap tekak dan menyebabkan bahagian pernafasan menyempit.

Menghuraikan risiko untuk mendapat masalah berdengkur, Dr Iskandar Mirza berkata, mereka mungkin datang dalam kalangan orang lelaki yang mempunyai masalah obesiti, individu yang mempunyai masalah anatomi pernafasan, individu yang mengambil alkohol, terdapatnya gangguan nasal selain mempunyai sejarah keluarga untuk penyakit OSA.

“Jangan ambil mudah dengan masalah tidur berdengkur kerana komplikasinya sangat merbahayakan kesihatan diri.“Antara (komplikasinya) adalah mengantuk pada waktu pagi, selalu berasa hampa atau marah, susah untuk memberi perhatian, risiko tekanan darah tinggi (strok) dan risiko untuk berlaku kemalagan jalan raya kerana terlalu mengantuk,” jelasnya.Mengenai rawatan pula, beritahu Dr Iskandar Mirza, jika pesakit mempunyai masalah OSA, terdapat beberapa kaedah yang boleh dilakukan seperti rawatan oral appliances dengan membuatkan salur pernafasan sentiasa terbuka semasa tidur.

RAWATAN oral appliances.

Selain itu, rawatan continuous positive airway pressure (CPAP) juga boleh diberikan kepada pesakit dengan tekanan daripadanya boleh membuka ruangan sempit pada bahagian tekak semasa tidur selain rawatan upper airway surgery yang dilakukan oleh pakar bedah telinga, hidung dan tekak (ENT).

RAWATAN continuous positive airway pressure (CPAP).

ANEKDOT

RAWATAN tidur berdengkur yang boleh diamalkan di rumah:

1. Tukar cara dan gaya hidup seharian.
2. Kurangkan berat badan.
3. Mengelak mengambil alkohol sebelum tidur.
4. Merawat masalah selesema kronik.
5. Elak daripada kurang tidur dan tidur secara melintang.

Sumber: Pegawai Perubatan, Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Ikan Tenggiri Masak Asam Versi Kampung, Pembuka Selera!

Ikan Tenggiri masak asam versi kampung, pembuka selera!

KORANG pernah makan masakan asam? Tak kisahlah ikan, ayam atau apa sahaja.

Bila teringat pasti terasa kecur air liur kerana masakan berkuah asam begini sangat membuka selera.

Resipi ikan Tenggiri masak asam ini juga merupakan antara resepi lauk simple yang wajib dicuba. Mudah dan cepat untuk disediakan.

Walaupun dimasak dengan cara yang sangat ringkas tapi rasanya cukup lazat.

Resipi kampung ini juga sesuai untuk orang yang hilang selera makan kerana rasanya yang masam, manis dan pedas pastinya melengkapkan selera.

Makan dengan nasi panas-panas. Aduhai, sedapnya. Bertambah-tambah!

Bahan-bahan;

  • Bawang merah dan putih (dihiris)
  • Halia (dihiris)
  • Serai (dititik)
  • Ikan tenggiri (digoreng)
  • Cili api *optional
  • Bawang besar (dipotong bulat)
  • Air perahan asam jawa
Ikan Tenggiri masak asam versi kampung, pembuka selera!
Masak asam versi Terengganu.

Cara-cara membuatnya;

1. Tumis bawang putih dan merah, halia serta serai sehingga garing kekuningan. Gunakan minyak bekas gorengan ikan tadi.

2. Masukkan air perahan asam jawa.

3. Boleh dimasukkan sedikit sos tiram, jika mahu.

4. Renihkan semuanya dengan sedikit gula dan garam.

5. Masukkan cili api untuk sedikit rasa pedas, jika mahu. Masukkan bawang besar yang dipotong bulat.

Sedia untuk dihidang. Selamat mencuba!

Sumber: Syed Mohd Nazli Jamalullail

Anak Kecil Lambat Bercakap Tidak Semestinya Mereka Autisme, Ini Penjelasan Pakar

KINI, perkataan autisme bukanlah sesuatu yang asing dan janggal untuk kita dengari.

Namun, pada masa sama, kita tidak boleh sesuka hati melabel seseorang anak kecil itu mempunyai masalah autisme kerana masih ramai di antara kita yang masih belum benar-benar memahami akan masalah kesihatan itu.

Namun demikian, pasti ibu bapa di luar sana tertanya-tanya perbezaan autisme dan masalah lambat bertutur dalam kalangan anak kecil bukan?

Mengulas mengenai persoalan di atas, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pakar Psikiatri dan Pensyarah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Rozanizam Zakaria.

Melalui ciapan Twitternya, @DrRozanizam memberitahu, masalah lambat bertutur atau speech delay merupakan istilah umum yang merujuk kepada keadaan kanak-kanak yang mempunyai masalah perkembangan pertuturan yang lewat berbanding usianya.

“Jika menurut Manual Diagnostik dan Statistik Gangguan Mental, Edisi Ke-5, ia biasanya dikategorikan sebagai sejenis masalah dibawah kategori gangguan kecelaruan komunikasi,” kongsi Dr Rozanizam.

Ujarnya, antara tanda-tanda seorang kanak-kanak itu mempunyai masalah lambat bertutur adalah:

i) Lewat daripada perkembangan patah kata.

ii) Susunan ayat dan penggunaan pertuturan untuk komunikasi.

Namun demikian, tambah Dr Rozanizam lagi, kanak-kanak tersebut hanya boleh disahkan mengalami gangguan kecelaruan komunikasi jika tidak melibatkan masalah perkembangan dari aspek lain.

Sebaliknya, gangguan spektrum autisme (ASD) pula merupakan masalah perkembangan neuro yang lebih luas, bukan sekadar isu pertuturan semata-mata.

Memperincikan mengenai gelaja ASD, Dr Rozanizam menyenaraikan tiga kategori utama masalah itu iaitu:

i) Perkembangan komunikasi

  • Melibatkan pertuturan lisan dan bukan lisan.

ii) Sosial

  • Kontak mata, minat dengan rakan sebaya, perhubungan dua hala dan kapasiti bermain yang terhad.

iii) Tingkah laku

  • Tindak balas secara berulang iaitu tingkah laku stereotaip.
  • Minat yang terhad kerana dapat dilihat melalui cara bermain yang tidak tipikal.
  • Kekakuan iaitu kekakuan kognitif dan tingkah laku seperti sukar bertolak ansur dengan perubahan.
  • Peraturan sensori seperti hiperaktif atau hipoaktif dan sensitif dengan deria tertentu seperti suara dan sentuhan.

Oleh itu, bukan semua kanak-kanak yang lambat bercakap adalah mereka yang mempunyai masalah autisme, sebaliknya ia merupakan salah satu daripada ciri-cirinya sahaja.

Jadi, ibu bapa jangan terlalu panik ya. Jika anda bimbang, berjumpa dengan pakar bagi mendapatkan kepastian. Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada ibu bapa di luar sana.

Ubat Antibiotik Jenis Tetracycline, Beri Kesan Buruk Pada Gigi Anak-Anak

gigi

BUAT ibu-ibu yang tengah sarat mengandung atau ibu sedang merancang untuk mengandung dan ibu bapa yang mempunyai anak bawah 12 tahun, sedikit sebanyak perlu ambil tahu mengenai penggunaan ubat antibiotik jenis tetracycline ini.

Itulah pesan yang diungkap oleh doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim melalui Facebooknya semalam.

Dr Azila Mohd Kasim.

Sebenarnya, apakah kegunaan tetracycline?

Tulis Dr Azila, tetracycline adalah antibiotik yang digunakan untuk merawat sejumlah jangkitan termasuklah jerawat, kolera, brucellosis, wabak, malaria dan sifilis.

“Ia diambil melalui mulut.

Tetracycline adalah pilihan antibiotik pada beberapa jangkitan bakteria yang mengancam nyawa,” beritahu Dr Azila.

Namun demikian, maklum Dr Azila, tetracycline mempunyai kesan buruk.

Ujarnya, wanita hamil harus mengelak daripada mengambil tetracycline kerana ubat berkenaan mempunyai kemampuan untuk melintasi plasenta (uri) dan mengganggu pembentukan gigi janin yang sedang berkembang.

“Proses pembentukan gigi susu bermula pada usia kandungan enam hingga lapan minggu, manakala proses pembentukan gigi kekal bermula pada usia 12 minggu kandungan janin.

Tetracycline boleh mengakibatkan pewarnaan pada gigi susu bayi. Bukan itu sahaja, tetracycline juga tidak boleh diberikan kepada anak-anak di bawah usia 12 tahun kerana boleh memberi kesan negatif pada gigi kekal mereka,” tegasnya.

Kongsi Dr Azila lagi, sebilangan kecil kanak-kanak yang diberi tetracycline untuk merawat pelbagai penyakit bakteria menunjukkan bukti perubahan warna gigi.

“Pewarnaan berkadar terus dengan usia individu, dos dan jangka masa penggunaan tetracycline.

“Oleh kerana kesan buruk kekal pada gigi anak, ibu bapa harus mengelakkan penggunaan tetracycline kecuali telah dipreskripsi (surat ubat) oleh pengamal perubatan (keadaan yang jarang berlaku),” ujar Dr Azila.

Pun demikian, kata doktor gigi itu, sekiranya gigi terkena tetracycline (sama ada di dalam atau di luar utero) pada masa mineralisasi gigi atau kalsifikasi, tetracycline akan mengikat ion kalsium pada gigi.

“Sekiranya ini berlaku sebelum erupsi gigi melalui gingiva (gusi), ia akan menyebabkan perubahan warna kuning pendarfluor awal (initial fluorescent yellow discoloration).

“Tindak balas ini berlaku kerana tetracycline mengikat kalsium fosfat dan membiarkan ubat diserap oleh gigi. Situasi tersebut bakal merosakkan enamel gigi dan menyebabkan perubahan warna coklat atau kuning, berlubang dan boleh menyebabkan gigi mudah berkaviti,” kata Dr Azila.Bagaimanapun, ujar Dr Azila memutihkan gigi yang ada stain akibat mengambil tetracycline, merupakan proses yang sangat mencabar.

“Fakta ringkasnya ialah molekul warna tetracycline tidak dapat dikeluarkan sepenuhnya dari gigi. Pesakit dengan gigi tetracycline akan melihat perubahan selepas rawatan, namun hasilnya berbeza-beza bergantung pada keterukan stain.

“Sebilangan pesakit akan mendapat manfaat rawatan pemutihan di rumah sehingga sebulan atau lebih lama. Oleh itu, jumlah pemutihan yang dapat dicapai ketika menggunakan sistem pemutihan khas adalah terhad,” tambah Dr Azila.

Meskipun kajian terbukti bahawa penggunaan tetracycline belum dapat dielakkan sepenuhnya, tetapi ia tetap diambil kerana mungkin kurangnya kesedaran dalam kalangan golongan perubatan.

“Anda harus menjadualkan lawatan ke doktor gigi setiap enam bulan sekali untuk memeriksa kesihatan mulut. Ini adalah kaedah terbaik untuk memerhatikan kesan sampingan oral tetracycline dan ubat lain,” pesan Dr Azila.

Oleh yang demikian, doktor gigi akan mencadangkan rawatan yang tepat untuk perubahan warna gigi dan membantu anda menghilangkan ‘noda’ tetracycline dalam masa yang singkat. Semoga bermanfaat.ANEKDOT

TERDAPAT empat kategori gigi berstrain tetracycline iaitu:

1. Mild tetracycline staining

  • Minimum, warna stain secara seragam, warna kuning muda, coklat muda atau kelabu muda dan terhad pada bahagian insisal gigi.

2. Moderate tetracycline staining

  • Pewarnaan lebih berbeza dari segi kuantiti dan lokasi, mulai dari kuning pekat hingga coklat atau kelabu. Prognosis rawatan berubah-ubah kerana bergantung sepenuhnya pada intensiti stain.

3. Severe tetracycline staining

  • Pewarnaan coklat gelap, kelabu gelap, ungu atau biru, dengan jalur yang jelas. Prognosis untuk hasil yang efisien dan estetik tidak baik.

4. Intractable tetracycline staining (tidak dapat ditangani)

  • Pigmentasi yang kuat menggabungkan noda yang sangat gelap dengan jalur yang sangat ketara. Pemutihan tidak mencukupi rawat dalam kes seperti ini.

Sumber: Doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim.