Archives for December 2021

Siklamat, Pemanis Tiruan Tanpa Zat Berisiko Jadi Penyebab Kanser

BARU-BARU ini tular mengenai Facebook mengatakan baby nenas (Ananas commosus) dari Thailand yang didakwa mengandungi bahan kimia pemanis siklamat dan beracun.

Adakah pemanis siklamat dibenarkan untuk digunakan di Malaysia?

Mengulas secara terperinci mengenai pertanyaan itu, SinarPlus berkongsi pandangan daripada Pensyarah Kanan Kimia, Universiti Teknologi Mara, Dr Fatimah Salim.

Dr Fatimah Salim.

Terang Dr Fatimah Salim di platform Facebooknya, siklamat merupakan sejenis pemanis tiruan tanpa zat (artificial sweetener) berkod 952 yang mempunyai tahap kemanisan 30 ke 50 kali lebih daripada gula putih atau sukrosa.

“Siklamat biasanya digunakan bersama dengan pemanis lain seperti saccharin (bernisbah 10:1) untuk mendapatkan rasa manis yang optimum dan harganya juga murah,” beritahu beliau.

Sebenarnya, bahan kimia itu juga ada digunakan untuk mengurangkan rasa pahit untuk sesetengah ubat seperti antibiotik.

Bukan itu sahaja, ia dijadikan pemanis di dalam masakan, pembuatan kek dan pastri.

Namun demikian, berdasarkan dapatan kajian pada tahun 1966, sesetengah bakteria di dalam usus besar boleh menukarkan siklamat kepada bahan kimia toksin cyclohexylamine.

Kajian-kajian lain pula melaporkan, siklamat dan persediaannya juga berpotensi menjadi punca kepada masalah kanser.

Pun begitu, sehingga kini, isu siklamat penyebab kanser sebenarnya masih lagi kontroversi.

“Walaupun Kesatuan Europah (European Union) masih lagi mengkategorikan siklamat adalah selamat, namun atas dasar mementingkan keselamatan pengguna, ia telah diharamkan di Amerika Syarikat dan di kebanyakkan negara lain.

“Di Malaysia pula, Peraturan-peraturan Makanan 1985 tidak membenarkan siklamat dalam buah-buahan segar termasuk yang telah dikupas atau sedia dimakan,” ujar Dr Fatimah Salim.

Oleh itu, SinarPlus ingin menasihati orang ramai agar tidak mengambil makanan yang boleh menimbulkan keraguan sehingga boleh menjejaskan masalah kesihatan pada kemudian hari.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca. Selamat berehat!

Tangan Sering Berpeluh? Anda Mungkin Terkena Tujuh Penyakit Ini

Tangan sering berpeluh? Anda mungkin terkena tujuh penyakit ini

BERPELUH merupakan sesuatu yang biasa bagi seseorang manusia, namun keadaan berpeluh boleh menjadi satu masalah yang serius sekiranya didapati berlebihan terutama pada bahagian tangan dan ia dikenali sebagai Hyperhidrosis.

Masalah seperti ini boleh menganggu aktiviti harian bagi mereka yang mengalaminya terutama bagi masalah tangan berpeluh.

Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad berkata masalah tangan berpeluh atau dikenali sebagai Hyperhidrosis adalah masalah di mana seseorang individu menghasilkan peluh yang lebih banyak berbanding dengan mereka yang normal sehingga boleh mengganggu aktiviti harian.

Katanya, masalah ini boleh berlaku seawal peringkat usia kanak-kanak atau remaja.

“Bahagian anggota badan yang boleh mengalami masalah berpeluh yang banyak adalah seperti tapak tangan, tapak kaki, ketiak dan muka.

“Keadaan ini sebenarnya boleh membawa kepada tekanan perasan, perasaan malu untuk bersosial dan gangguan terhadap prestasi kerja.

“Ia turut menjadi lebih rumit sekiranya masalah tersebut berlaku di bahagian tangan.

“Masalah berpeluh berlebihan pada keseluruhan bahagian badan boleh disebabkan oleh masalah saraf autonomi iaitu yang melibatkan saraf sympathetic,” tulisnya di Facebook.

Menurutnya, masalah berpeluh juga boleh berpunca daripada masalah-masalah lain seperti:

1. Demam
2. Kanser
3. Lemah jantung
4. Masalah kerisauan (Anxiety problem)
5. Masalah metabolik seperti hipertiroid, hipoglisemia, gout
6. Pengambilan ubat seperti propanolol, physostigmnine, pilocarpine dan lain-lain lagi
7. Peminum alkohol yang mengalami ketagihan kronik

Tangan sering berpeluh? Anda mungkin terkena tujuh penyakit ini

Sementara itu, kata Dr Zubaidi, masalah berpeluh di bahagian tapak tangan dan tapak kaki pula boleh berpunca daripada faktor keturunan.

“Mereka yang mempunyai masalah berpeluh ini selalunya mengalami simptom ini bermula pada peringkat usia kanak-kanak atau remaja.

“Namun, jika simptom ini berlaku pada peringkat usia dewasa atau warga emas, pemeriksaan lanjut hendaklah perlu dilakukan untuk mengenalpasti penyakit lain yang mungkin boleh membawa kepada masalah berpeluh tersebut.

“Saraf sympathetic merupakan saraf yang berperanan menyediakan badan seseorang supaya berada dalam keadaan bersiap sedia untuk berlawan atau berlari.

“Ketika berada dalam keadaan seperti tersebut, denyutan nadi akan semakin bertambah, gula dalam darah juga bertambah dan mental akan menjadi lebih fokus. Namun, pada ketika ini juga, secara tidak lansung ia akan meransang kelenjar peluh untuk mengeluarkan peluh.

“Oleh sebab itu, keadaan seseorang yang mengalami masalah berpeluh berlebihan akan menjadi semakin teruk apabila dia berada di dalam keadaan yang takut ataupun ketika hendak berlawan,” ujarnya.

Katanya lagi, adalah amat sukar untuk merawat Hyperhidrosis secara efektif.

“Namun, masalah ini tidaklah sampai membawa kepada kematian. Bagi peringkat yang lebih teruk, mereka yang mengalami masalah ini akan merasa kehidupan mereka menjadi terganggu.

“Berpeluh adalah sesuatu keadaan yang memalukan, boleh mengotorkan pakaian, mengganggu hubungan sosial serta menjadikan komunikasi menjadi lebih sukar.

“Bagi kes yang teruk, ia mungkin akan membawa kepada masalah untuk menulis, memegang stering kereta atau berjabat tangan dengan orang lain.

“Dengan kewujudan cara rawatan yang terbaru dan pelbagai jenis, pesakit berpeluang untuk mendapatkan rawatan yang lebih berkesan,” ujarnya.

Antara rawatan yang boleh dilakukan;

1. Ubat sapuan

Ubat sapuan yang selalu digunakan untuk merawat masalah ini adalah ubat sapuan yang mengandungi aluminium chloride hexahydrate.

Ubat ini perlu disapu pada kawasan yang mempunyai masalah tersebut ketika sebelum tidur.

Sapuan tersebut hendaklah dibilas setelah bangun daripada tidur untuk mengelakkan berlaku iritasi (kerengsaan).

2. Iontophoresis

Rawatan ini menggunakan air yang mempunyai arus elektrik yang rendah. Ia diberikan pada keseluruhan kulit yang mempunyai masalah peluh
berlebihan. Rawatan ini memerlukan masa selama 30 minit pada setiap hari.

Oleh sebab itu, kebanyakan pesakit tidak akan memilih rawatan seperti ini kerana ia akan mengambil masa yang lama.

3. Suntikan botox

Suntikan botox mengandungi bahan yang dinamakan sebagai toksin botulinum. Bahan ini berfungsi sebagai perencat kepada kalenjar peluh
dalam menghasilkan peluh. Rawatan ini terbukti dalam mengurangkan masalah peluh berlebihan.

4. Pembedahan

Oleh kerana masalah berpeluh ini adalah disebabkan oleh ketidakseimbangan fungsi saraf sympathetic, pesakit boleh mendapatkan rawatan pembedahan untuk membuang sebahagian saraf tersebut. Rawatan ini dikenali sebagai sympathectomy.

Semoga bermanfaat!

Tetapkan Masa Anak Bermain Tik Tok, Ibu Bapa Perlu Tegas

PADA tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan berusia 4 tahun di Filipina mengejutkan ibunya apabila meniru aksi seperti membunuh diri selepas si kecil itu menonton satu video menerusi laman Tik Tok.

The Northern Mindanao Times melaporkan, menerusi rakaman itu, si cilik berkenaan dilihat bersembunyi di sebalik langsir di dalam bilik rumahnya dan mengikat leher dengan menggunakan tali lalu melompat-lompat.

“Tindak tanduk itu umpama perlakuan seseorang membunuh diri. Mujur tindakan itu disedari ibunya dan segera dihentikan. Setelah siasatan dilakukan, kanak-kanak tersebut mengakui tindakan itu meniru satu video melalui laman TikTok,“ lapor akhbar berkenaan.

Berbanding dengan aplikasi media sosial lain, Tik Tok menjadi medium terkini yang sangat diminati generasi muda disebabkan ciri-cirinya yang lebih istimewa, trendy dan menyeronokkan.

Boleh dimuat turun secara percuma, pengguna boleh melakukan pelbagai bentuk gerakan mulut, tarian atau lakonan ringkas menggunakan latar belakang bunyi atau nyanyian kegemaran mereka.

Menurut sensortower.com, aplikasi TikTok berada di tangga kelima yang banyak dimuat turun selain berada di carta pertama di App Store dan kedudukan ke-9 di Google Play Store (2018). Di Malaysia pula, aplikasi TikTok berada di kedudukan ke-22 sama dengan hampir 4 juta pengguna.

Aplikasi berkenaan yang diasaskan oleh Zhang Yiming dari China sebenarnya mempunyai banyak kelebihan jika digunakan dengan sebaiknya.

Sebagai contoh, trend terkini menyaksikan Tik Tok dijadikan medium untuk berdakwah, mengajar resipi mahupun menyalurkan ilmu pengetahuan.

Persoalannya, adakah platform berkenaan memberi implikasi tidak elok pada kanak-kanak sehingga boleh mengancam keselamatan golongan itu?

Tetapkan had masa

Bagi merungkai persoalan itu, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Psikiatri dan Timbalan Dekan (Klinikal), International Medical School, Management and Science University (MSU), Prof Dr Muhammad Najib Mohamad Alwi.

Prof Dr Muhammad Najib.

Ujar Dr Muhammad Najib, tidak salah menjadikan TikTok sebagai alternatif untuk berseronok. Pun demikian, tempoh penggunaan dan kandungan yang ditonton oleh kanak-kanak mestilah dipantau dan ditapis oleh ibu bapa.

“Semua sedia maklum, terdapat elemen-elemen lucah dalam sesetengah rakaman TikTok yang tidak sesuai untuk tatapan kanak-kanak. Jadi, perkara yang paling utama adalah keupayaan ibu bapa untuk mengawal tempoh penggunaan dan kandungan aplikasi itu,“ ujarnya.

Menjawab satu soalan lain, beliau berkata, anak-anak yang terlalu leka dengan teknologi itu boleh mendorong kepada masalah ketagihan yang akhirnya boleh mengalihkan tumpuan si cilik untuk belajar.

“Ketika era pandemik ini, (ketagihan) TikTok boleh memberi kesan buruk kepada pembelajaran kelas dalam talian memandangkan ia boleh dibuka serentak ketika sesi pembelajaran rasmi dijalankan jika anak-anak ini tidak dipantau,“ ujarnya.

Jika terlalu obses dengan TikTok, ia secara tidak langsung menyebabkan golongan itu gagal berenggang dengan gajet, kata Dr Muhammad Najib.

“Kita lihat sekarang ini, kanak-kanak zaman sekarang biasanya sangat pantas dan ‘pandai‘ mengemudi sebarang aplikasi. Macam-macam yang boleh dilayari mereka termasuk video kurang sihat atau lucah. Ia secara tak langsung akan memberi kesan negatif kepada perkembangan minda dan tingkah laku mereka,“ beritahu beliau.

Justeru, apakah pendekatan terbaik dalam menangani situasi sedemikian? Jawa Dr Muhammad Najib, ibu bapa disyorkan agar mengehadkan tempoh masa penggunaan aplikasi tersebut.

“Ramai pakar mencadangkan, had maksimum untuk kanak-kanak bermain dengan gajet adalah tidak melebihi dua jam sehari. Jadi, gajet boleh ditetapkan (setting) menjadi autokunci selepas tempoh yang dibenarkan bermain TikTok berakhir,“ kata pakar berkenaan.

Selain itu, ibu bapa juga boleh menerapkan pendekatan dengan hanya membenarkan penggunaan TikTok jika si anak berjaya melakukan sesuatu seperti yang diminta.

“Misalnya, si anak tadi diminta membantu ibu di dapur, sebagai reward (hadiah), mereka dibenarkan bermain TikTok selama sejam,“ katanya.

Pun demikian, Dr Muhammad Najib berkata, adalah lebih baik kanak-kanak didedahkan dengan aktiviti yang boleh merangsang kreativiti dan daya fikir seperti permainan papan, aplikasi permainan yang bercorak pendidikan atau permainan yang memerlukan aktiviti fizikal seperti Wii.

“Jika ada kesempatan, lebih bagus jika melakukan aktiviti riadah lain seperti bermain di taman permainan.

“Ibu bapa perlu menggunakan skil komunikasi yang ada dengan berbincang dengan anak-anak bahaya internet dan sesetengah aplikasi tidak elok,“ ujar beliau.

ANEKDOT

5 IMPLIKASI penggunaan TikTok kepada kanak-kanak jika tiada pengawalan daripada ibu bapa:

1. Kanak-kanak boleh menjadi sasaran pemangsa.TikTok membolehkan pengguna menghubungi sesiapa sahaja yang mereka mahu. Sudah tentu, kelebihan itu sangat membahayakan.

2. Kandungan yang tidak sesuai.Walaupun tetapan akaun diubah kepada peribadi, kanak-kanak mungkin masih terdedah kepada kandungan seksual atau ganas yang dihantarkan ke suapan awam.

3. Menyumbang kegelisahan.Pengguna TikTok dapat menggunakan fungsi ‘reactions‘ untuk video yang digemari dengan aksi rakaman diri sendiri. Dalam hal itu, mereka mungkin berdepan tekanan untuk menghasilkan kandungan video yang lebih banyak dan menarik.

4. Pengguna mungkin menjadi mangsa buli siber.Tidak seperti Twitter atau Facebook, aplikasi TikTok mungkin tidak selamat untuk kanak-kanak kerana ia boleh menyebabkan buli siber dan trolling. Dalam aplikasi itu, mana-mana individu boleh membuat banyak akaun palsu dan menggunakannya dengan menyasarkan kepada mereka yang tidak disukai.

5. Anak boleh gunakan TikTok tanpa mendaftar akaun.Mereka mungkin tidak boleh membuat hantaran video tanpa akaun, tetapi mereka boleh membuat carian dan menonton hampir kesemua video yang terdapat dalam aplikasi TikTok.

Sumber: hellodoktor.com

Kisah Kuih Kura-Kura Merah, Signifikan Dengan Masyarakat Cina, Baba Nyonya

KUIH angku merupakan salah satu kuih-muih tradisional masyarakat Tionghua dan Baba Nyonya di negara ini.

Pada zaman dahulu kala, ia dikenali sebagai kuih kura-kura merah atau red tortoise cake lantaran rupa bentuknya seakan-akan menyerupai haiwan berkenaan yang sedang berehat.

Seorang peniaga kuih berkenaan, Siti Nabilah Mahmud yang berasal dari Bintulu, Sarawak berkata, kuih berkenaan diwarnakan dengan warna merah kerana ia melambangkan kebahagiaan dan kegembiraan, manakala kura-kura pula melambangkan ketabahan, panjang umur dan kuasa bagi kaum Cina.

“Warna yang dibubuh pada kuih pun menggunakan warna yang diekstrak daripada buah-buahan, tumbuh-tumbuhan atau sayur-sayuran.

“Sebagai contoh, warna oren atau ungu diambil daripada ubi keledek, warna hijau pula daun pandan dan warna biru daripada bunga telang,” katanya ketika dihubungi SinarPlus baru-baru ini.

“Namun, pada zaman sekarang, sudah ada bermacam-macam warna seperti kuning, hijau, ungu dan hitam,” kata suri rumah sepenuh masa itu.

Kepada mereka yang berjinak-jinak mahu membuat kuih tersebut, ia tidak semudah yang disangka.

Pertama sekali, ujar Siti Nabilah, seseorang perlu membeli acuan kuih sama ada jenis plastik atau kayu yang banyak dijual di kedai perkakasan kek dengan harga bawah RM10.

Mengenai tip menghasilkan kuih angku yang enak dan tahan lama, pastikan nisbah tepung pulut dan kentang itu sama dan wajib mengawal api semasa proses mengukus.

“Pastikan setiap 3 minit sekali penutup periuk pengukus dibuka seketika agar bentuknya tidak menjadi leper. Bukan itu sahaja, tekapkan kain kering pada bahagian dalam penutup periuk pengukus agar wap panas tidak menitik di atas kuih angku semasa dalam proses memasak,” beritahunya.

Menariknya, kuih angku boleh bertahan sehingga tiga hari jika disimpan di dalam peti sejuk.

“Cuma, ia perlu dikukus semula (sekejap sahaja) sebelum dijamah ketika sarapan pagi atau minum petang,” pesan Siti Nabilah.

Selain masyarakat Cina dan Baba Nyonya, kuih angku juga digemari sesetengah masyarakat Melayu kerana rasanya yang manis dan tekstur yang lembut.

“Struktur dan intinya sedikit lebih kurang sama seperti kuih koci, tetapi dari segi bentuk, ia berbeza,” katanya sambil memberitahu biasanya, kuih berkenaan menggunakan inti kacang merah, kacang hijau atau labu.

PROFIL

  • Nama: Siti Nabilah Mahmud
  • Umur: 29 tahun
  • Asal: Bintulu, Sarawak
  • Menetap: Seri Alam, Johor Bahru
  • Facebook: Cik Nana Nabilah

RESIPI KUIH ANGKU

Bahan-bahan

  • 200 gram tepung pulut
  • 200 gram kentang
  • 40 gram gula pasir
  • 80 gram air panas
  • 50 gram minyak masak
  • Pewarna
  • Daun pisang
  • Inti kacang

Cara penyediaan:

  1. Kukus kentang sehingga lembut, kemudian dilenyek sehingga lumat.
  2. Seterusnya, masukkan tepung bersama kentang ke dalam mangkuk dan gaul sehingga sebati sambil dimasukkan sedikit demi sedikit air panas.
  3. Masukkan gula dan pewarna ke dalam adunan.
  4. Uli sehingga adunan tidak melekat pada tangan.
  5. Ambil adunan dan leperkan lalu diletakkan inti ditengah-tengahnya (digentel sehingga menjadi bulat).
  6. Seterusnya, tekan ke dalam acuan angku lalu sisipkan bahagian tepi untuk memudahkannya keluar dari acuan.
  7. Alaskan dengan daun pisang dan susun di dalam pengukus.
  8. Tunggu air mendidih, kemudian letakkannya di dalam periuk pengukus.
  9. Kuih angku dikukus selama 10 minit dengan menggunakan api sederhana kecil sebelum dihidangkan.

Sumber: Siti Nabilah Mahmud         

ANEKDOT

RESIPI KUIH GEDUNG CAK

Bahan-bahan

  • 3 cawan tepung pulut
  • 5 cawan kelapa parut
  • 2 cawan gula pasir atau gula merah
  • 3 cawan air
  • Daun nipah

Cara penyediaan:

  1. Gula pasir atau gula merah dimasak bersama air sehingga menjadi air gula. Ketepikan seketika.
  2. Kemudian, tepung pulut digaul dengan kelapa parut dan masukkan air gula yang telah sejuk.
  3. Daun nipah dibuang tulangnya dan dipotong serta dibentuk secara memanjang (seperti dalam gambar).
  4. Seterusnya, adunan disendukkan ke atas daun nipah dan dilipat lalu hujung daun nipah disisipkan dengan bilah lidi yang telah dipotong.
  5. Kiuh dibakar di atas api yang sederhana selama 5 ke 10 minit.

Sumber: Facebook Aneka Kuih Muih

Lebihan Roti Jangan Dibuang, Cuba Dijadikan Cucur Sedap!

Lebihan roti jangan dibuang, cuba dijadikan cucur sedap!

BAGI penggemar roti, korang perlu mencuba resipi cucur yang sedap ini.

Jika ada roti yang hampir tarikh luput atau tidak habis dimakan, jangan dibuang. Gunakan sebaiknya!

Cucur roti ini sesuai dinikmati bersama keluarga untuk sarapan pagi atau minum petang.

Mama jangan lupa mencuba resipi mudah ini, pasti anak-anak sangat menggemarinya!

Ia rangup di luar dan lembut di dalam.

Bahan-bahan;

  • 5 keping roti
  • 2 sosej
  • 1 biji bawang merah kecil ( dipotong dadu)
  • 1 inci lobak (dipotong dadu)
  • 2 biji telur
  • Secubit serbuk ayam
  • Secubit garam
  • Isi ayam (dicincang)
  • Daun bawang dihiris
  • 1 batang lada merah ( dipotong dadu)
Lebihan roti jangan dibuang, cuba dijadikan cucur sedap!

Cara-cara membuatnya;

1. Siat atau koyak-koyakkan kepingan roti. Masukkan sosej, bawang dan lobak.

2. Masukkan telur dan perasakan dengan serbuk ayam dan garam. Tambah daun bawang dan isi ayam.

3. Gaul semua bahan dan gumpalkan menjadi bebola kecil.

4. Panaskan minyak dan goreng menggunakan api perlahan hingga cucur bertukar keperangan.

Selamat mencuba! Semoga bermanfaat.

Sumber: Jalilah JJ

Pengambilan Garam Berlebihan Beri Impak Sangat Buruk Pada Kesihatan, Hati-Hati!

GARAM merupakan sebatian bukan organik yang mengandungi mineral penting yang diperlukan oleh tubuh manusia dalam jumlah yang kecil.

Ia turut dikenali sebagai natrium klorida dengan menggunakan simbol NaCl.

Menurut pakar pemakanan, Adibah Zakaria, natrium pula adalah mineral yang terkandung dalam garam.

Tulisnya di Facebook, sebenarnya, natrium dijumpai dalam kebanyakan makanan.

“Satu sudu teh garam bersamaan dengan 5 gram (g) garam membekalkan sebanyak 2000 miligram (mg) atau 88 milimol seliter sodium.

“Selain dalam bentuk natrium klorida, natrium juga hadir dalam bentuk monosodium glutamate, sodium nitrate dan sodium benzoate,” beritahu beliau.

Walaupun garam adalah penting untuk metabolisme tubuh, pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.

Persatuan Kesihatan Dunia melaporkan, seramai 1.13 bilion orang seluruh dunia menghidap penyakit hipertensi.

Tekanan darah tinggi atau hipertensi merupakan keadaan kesihatan yang bahaya dan menjadi faktor utama kematian utama seluruh dunia.

Lazimnya, beritahu Adibah, natrium dijumpai secara semula jadi dalam pelbagai jenis makanan seperti susu, daging dan makanan laut.

“Ia juga terdapat dalam makanan terproses seperti roti, biskut, daging terproses dan makanan ringan (jajan).

“Dalam pencicah atau perasa (condiments) juga mengandungi kandungan natrium yang tinggi,” ujarnya.

Oleh itu, diet yang mengandungi banyak makanan terproses dan kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan segar juga mengandungi kandungan natrium yang tinggi.

Dalam pada itu, pada tahun 2012, tinjauan terhadap petugas kesihatan di Malaysia mendapati pengambilan garam sehingga 8.7g setiap hari, melebihi 1.75 kali lebih banyak daripada saranan pengambilan 5g setiap hari. Bahaya!

Tinjauan berkenaan juga menunjukkan banyak garam tersembunyi dalam perasa seperti sos dan kicap (termasuk kicap, sos tiram, stok ayam, perasa, sambal dan pes) yang menyumbang kepada 60 peratus garam dan makanan terproses menyumbang sehingga 37 peratus.

Selain itu, menurut kajian MySalt (2019), secara amnya seramai 79 peratus orang Malaysia yang mengambil lebih dari 2000 mg natrium atau 1 sudu teh garam setiap hari.

Oleh itu, berikut saranan pengambilan garam menurut Unit Pemakanan Daerah Hulu Langat Selangor:

i) Pastikan pengambilan garam kanak-kanak dan bayi lebih rendah berbanding orang dewasa.

Ia adalah kerana buah pinggang mereka masih tidak matang untuk memproses jumlah garam yang berlebihan.

Sekiranya seseorang bayi menyusu susu ibu, bayi tersebut akan mendapat jumlah garam yang mencukupi dari susu ibu sahaja.

“Pada masa sama, tidak digalakkan menambah garam pada makanan bayi dan memberi makanan yang bukan dikhaskan untuk bayi kerana kebiasaannya mengandungi kandungan garam yang tinggi,” tambahnya.

ii) Gantikan garam dengan perasa semula jadi seperti rempah ratus dalam masakan.

iii) Elak makanan segera yang tinggi kandungan natrium seperti kentang goreng, nugget, burger, pizza, mi segera, sup segera dan keropok lekor.

iv) Kurangkan makan di luar.

Ia kerana makanan di luar selalunya mengandungi garam yang lebih tinggi dari masakan di rumah.

v) Kawal pengambilan makanan jeruk atau asin.

Perasa seperti sambal, sos, cencaluk dan budu juga harus diambil secara sederhana.

Pengambilan makanan terproses juga perlu dikurangkan lebih baik makan makanan yang dibuat sendiri di rumah.

Pilih sayur-sayuran dan buah-buahan yang segar berbanding yang dijeruk.

“Ingat, tidak perlu menambah serbuk asam atau kicap semasa mengambil buah-buahan,” pesannya.

Pun demikian, jika mengambil makanan dalam tin, lebih baik ditoskan terlebih dahulu air garam dalam tin berkenaan.

Jika mengambil makanan kering seperti ikan bilis, ikan masin atau udang kering pula, makanan tersebut boleh direndam terlebih dahulu untuk mengurangkan kandungan garam sebelum dimasukkan ke dalam masakan.

“Paling penting, selalu amalkan memilih produk makanan yang ada label kurang garam atau tiada garam.

“Oleh itu, tidak susah pun, makanlah sayur-sayuran dan buah-buahan segar. Senang kan,” kata Adibah.

Ganti Ubat Gigi Dengan Baking Soda, Beri Risiko Rosak Enamel Pada Gigi

BAKING soda merupakan bahan kimia ionik yang mempunyai formula molekul NaHCO3.

Ia adalah bahan bersifat bes dan mudah bertindak balas dengan bahan bersifat asid dan mempunyai pelbagai kegunaan dalam kehidupan seharian termasuklah sebagai bahan pengembang dalam pastri, bahan dalam pembuatan bunga api dan bahan pemadam api, ubatan, bahan pembersih, penyerap bau dan pelbagai lagi.

Berdasarkan perkongsian doktor gigi di Klinik Pergigian Azila Bangi, Dr Azila Mohd Kasim menerusi entri Facebooknya, beliau mendapati ramai yang menggunakan bahan itu ketika memberus gigi.

Apakah ia selamat?

Menjawab persoalan itu, Dr Azila menjelaskan, baking soda adalah alternatif yang baik untuk menggantikan ubat gigi biasa terutamanya bagi orang yang bimbang dengan kandungan kasar sesetengah ubat gigi untuk membersihkan enamel.

“Namun demikian, penggunaan soda yang berlebihan boleh membahayakan enamel gigi kerana sifat kasar baking soda.

“Selain itu, baking soda bukanlah pengganti ubat gigi kerana ia tidak mengandungi fluorida untuk melawan kaviti (karies),” beritahu Dr Azila.

Menjawab satu soalan lain, beliau berkata, fluorida adalah mineral yang wujud secara semula jadi dalam banyak jenis makanan dan air.

Setiap hari, terdapat tambahan dan kehilangan mineral daripada lapisan enamel gigi melalui dua proses iaitu demineralisasi dan remineralisasi.

“Kehilangan mineral (demineralisasi) daripada lapisan enamel gigi berlaku akibat serangan asid yang terhasil daripada tindak balas bakteria dalam plak dengan gula dalam mulut.

“Demineralisasi yang berlebihan tanpa remineralisasi yang mencukupi untuk memulihkan lapisan enamel akan menyebabkan kerosakan gigi,” kata doktor gigi itu.

Ujar Dr Azila lagi, sebenarnya fluorida bertindak dengan mempercepatkan pembinaan semula struktur enamel dan boleh menghentikan ataupun membolehkan ‘kebalikan’ proses pereputan gigi.


Pada masa sama, fluorida boleh membuatkan enamel lebih tahan kepada asid yang menyebabkan demineralisasi berbanding keadaan asalnya.

Jadi, bolehkah ubat gigi baking soda digunakan setiap hari?

Jawabnya, disebakan oleh komposisi abresifnya, ia lebih berbahaya daripada selamat.

“Enamel seseorang mungkin terluka dan mudah berkaviti jika anda menggunakan baking soda setiap hari untuk membersihkan dan memberus gigi.

“Kesannya, gigi anda akan menjadi lebih sensitif dan terdedah kepada kaviti gigi serta ia boleh merosakkan enamel sekali gus menyebabkan gigi menjadi lebih sensitif terhadap suhu panas atau sejuk selain menyebabkan rasa sensitif ketika memberus gigi,” katanya.

Beritahu Dr Azila lagi, jika menggosok gigi menggunakan baking soda setiap hari, sebilangan orang mungkin mendapati bahawa mulut mereka sensitif terhadap sifat bahan itu, tetapi secara amnya, baking soda tidak membahayakan atau menyebabkan kerosakan gigi jika digunakan secara berkala.

“Masalahnya timbul apabila seseorang memberus dengan kuat atau agresif apatah lagi bersama dengan baking soda, ia boleh menghilang atau berpotensi merosakkan enamel,” tambah Dr Azila.

Diharapkan orang ramai di luar sana lebih cakna dengan kepentingan ubat gigi berflorida. Semoga bermanfaat.

Penyakit Tiroid Banyak Serang Orang Muda, Ini Gejala Dan Rawatannya

Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

TIROID merupakan kelenjar yang berbentuk rama-rama yang terletak di bahagian hadapan leher yang bertanggungjawab di dalam penghasilan hormon tiroid.

Kelenjar tiroid menggunakan zat iodin (sumber yang diperolehi daripada diet pemakanan seperti garam dan makanan laut) dalam menghasilkan hormon tiroid.

Seperti sebuah perkongsian Pengamal Perubatan Am, Dr Zubaidi Ahmad yang mengatakan hormon tiroid adalah amat penting dalam mengawal metabolisme dan fungsi tubuh badan manusia seperti tumbesaran dan mengawal metabolisme protein dan lemak dalam badan.

Terdapat dua jenis hormon tiroid iaitu tiroksin (T4) dan triiodotironin (T3), yang masing-masing mewakili 99.9% dan 0.1% hormon tiroid.

Selepas dirembes keluar dari kelenjar tiroid, jumlah T4 yang banyak akan ditukarkan kepada T3, yang merupakan hormon yang paling aktif daripada segi biologi dalam memberi kesan metabolisme ke atas sel-sel badan.

Masalah tiroid boleh diklasifikasikan kepada dua kumpulan utama iaitu; 

1. Masalah yang berpunca daripada fungsi penghasilan hormon tiroid yang tidak normal.

a) Hipertiroidisme (kelenjar tiroid terlebih aktif).

Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti penyakit graves, goiter multinodular toksik, nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan dan pengambilan iodin secara berlebihan.

b) Hipotiroidisme (kelenjar tiroid kurang aktif).

Antara penyebab-penyebab utama adalah seperti tiroiditis Hashimoto, dan masalah keradangan pada kelenjar tiroid (tiroiditis).

2. Masalah yang berpunca daripada struktur kelenjar tiroid itu sendiri.

a) Goiter

Ia bukan sejenis penyakit tetapi merupakan suatu keadaan di mana kelenjar tiroid membengkak.

b) Nodul tiroid

Bermaksud terdapat ketulan yang abnormal di dalam kelenjar tiroid dan boleh disebabkan oleh ‘benign cysts’ dan ‘benign tumor’ serta jarang-jarang berlaku iaitu barah tiroid.

c) Barah tiroid adalah lebih banyak berlaku di kalangan wanita dewasa jika dibandingkan dengan lelaki ataupun remaja.

Terdapat beberapa jenis barah tiroid. Ia bergantung kepada jenis sel barah itu berasal.

Hipertiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid terlebih aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang berlebihan.

Gejala-gejala hipertiroidisme adalah seperti;

1. Tangan menggeletar (tremor)
2. Rasa gementar
3. Degupan jantung yang laju
4. Mudah berpeluh dan panas
5. Susut berat badan
6. Lesu dan cepat berasa letih

Hipotiroidisme merupakan keadaan di mana kelenjar tiroid kurang aktif dengan menghasilkan hormon tiroid yang rendah.

Gejala-gejala hipotiroidisme adalah seperti;

1. Lesu
2. Sukar untuk menumpukan perhatian dan tahap pemikiran yang lembab
3. Kulit kering
4. Sembelit
5. Sentiasa berasa sejuk
6. Pendarahan haid yang banyak dan lama bagi wanita

Goiter merupakan pembengkakan pada kelenjar tiroid dan boleh mempunyai gejala-gejala hipertiroidsme, hipotiroidisme ataupun eutiroid (fungsi tiroid yang normal).

Nodul tiroid pula boleh terdapat satu nodul ataupun berbilang. Apabila nodul terlalu besar, ia boleh menekan struktur-struktur berhampiran dan boleh menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau suara menjadi kasar.

Barah tiroid terjadi apabila terdapat gejala-gejala seperti ketulan pada kelenjar tiroid, suara menjadi kasar, kesukaran bernafas atau menelan, noda-noda limfa yang membengkak di bahagian leher, batuk atau sakit tekak yang berterusan dan sakit pada leher yang berterusan.

Hipotiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut;

1. Risiko penyakit jantung kerana kandungan kolesterol yang tidak baik (LDL) akan meningkat.

2. Masalah mental seperti kemurungan dan pemikiran yang lembab.

3. Masalah saraf seperti kebas-kebas dan sakit-sakit di bahagian saraf yang terlibat.

4. Myxedema – merupakan keadaan yang serius dan boleh meragut nyawa di mana pesakit boleh datang dalam keadaan koma.

5. Masalah kemandulan bagi wanita (infertiliti).

6. Masalah perkembangan dan tumbesaran bayi dalam kandungan daripada segi fizikal dan mental.

Hipertiroidisme yang tidak dirawat boleh menyebabkan masalah-masalah berikut;

1. Masalah jantung seperti “atrial fibrillation” dan lemah jantung boleh terjadi akibat degupan jantung yang terlalu laju dan tidak terkawal.

2. Masalah tulang rapuh (osteoporosis) akibat gangguan ke atas metabolisme kalsium di dalam badan.

3. Masalah mata boleh berlaku bagi penyakit grave di mana bola mata akan terbonjol, merah dan bengkak.

4. ‘Thyroid storm’- keadaan yg amat serius dan boleh meragut nyawa di mana terdapat gejala-gejala seperti demam panas, denyutan jantung yang laju dan keadaan tidak sedarkan diri.

Penyakit tiroid banyak serang orang muda, ini gejala dan rawatannya

Goiter yang terlalu besar boleh menyebabkan masalah kesukaran bernafas atau menelan di samping masalah daripada segi kecantikan atau kosmetik.

Barah tiroid boleh berlaku semula walaupun selepas pembedahan membuang kelenjar tiroid dijalankan, lebih-lebih lagi dalam tempoh lima tahun selepas pembedahan.

Pemeriksaan dari semasa ke semasa perlu dilakukan bagi mengesan barah tiroid daripada berlaku semula. Barah tiroid yang berlaku semula boleh dirawat sepenuhnya.

Masalah tiroid boleh dirawat menggunakan ubat-ubatan atau pembedahan. Ia bergantung kepada jenis masalah tiroid tersebut.

Bagi masalah hipotiroidisme, hormon tiroid boleh diganti dengan pengambilan pil sintetik hormon tiroid secara oral.

Bagi masalah hipertiroidisme, penghasilan hormon tiroid oleh kelenjar tiroid dapat dikurangkan melalui ubat-ubatan yang diambil secara oral.

Bagi mengawal gejala-gejala yang disebabkan oleh hipertiroidisme seperti denyutan jantung yang laju, terdapat ubat-ubatan yang boleh diberi secara oral juga.

Jika masalah hipertiroidisme tidak dapat dikawal secara ubat-ubatan, rawatan ablasi radioaktif dapat digunakan untuk mematikan tisu kelenjar tiroid secara selektif.

Rawatan secara pembedahan adalah perlu bagi masalah tiroid yang terdapat kemungkinan merupakan barah tiroid.

Pembedahan juga boleh dijadikan sebagai rawatan jika goiter terlalu besar hingga menyebabkan gejala seperti kesukaran bernafas atau kesukaran untuk menelan juga untuk kes nodul tiroid yang menghasilkan hormon tiroid berlebihan yang tidak dapat dikawal dengan ubat-ubatan.

Semoga bermanfaat!

4 Cara Senaman Mata Elak Rabun, Perlu Amalkan Selalu

JIKA diamati kini, kanak-kanak yang berusia seawal empat atau tujuh tahun sudah memakai cermin mata kerana mempunyai masalah rabun jauh.

Lapor rootofscience.com, pada awal usia kanak-kanak sehingga dewasa, mereka akan menghidapi rabun jauh, manakala kebanyakan warga emas berdepan dengan masalah rabun dekat.

Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia, pelajar-pelajar di sekolah akan menjalani pemeriksaan mata sekurang-kurang setahun sekali.

Mereka yang mempunyai masalah penglihatan akan diberi nasihat dan rawatan secara berterusan melalui peruntukan yang diberi.

Jadi, pada hari ini SinarPlus ingin kongsikan 4 petua mengurangkan rabun paling berkesan seperti yang disyorkan oleh laman web onhealth.com. Berikut perinciannya:

i) Sekiranya menggunakan komputer, pada setiap 10 minit anda disarankan melihat ke arah objek yang jaraknya lebih kurang 3 meter.

Lihatlah apa sahaja yang jaraknya tiga meter. Namun, lebih baik kita melihat ciptaan alam semula jadi seperti pokok.

Pandang objek berkenaan dalam lima minit sebelum mata kembali melihat skrin komputer.

Jika anda juga seorang pembaca tegar, juga boleh amalkan kaedah di atas.

ii) Jangan bermain permainan video seperti playstation, Xbox dan sebagainya.

Cuba kurangkan had bermain seperti dua kali seminggu dan tidak melebihi daripada satu jam. Kemudian, kurangkan lagi kepada satu minggu hanya sekali sahaja.

Permainan video akan memberi ketegangan yang tinggi pada mata, jika dibiarkan tanpa kawalan akan menyebabkan kerosakan mata.

iii) Cuba melihat hanya pada benda-benda fokus sama ada jauh mahupun dekat.

Sebagai contoh, jangan melihat semua benda sambil mata melilau ke kiri kanan.

Ia akan menyebabkan mata kita cepat letih dan melambatkan proses penyembuhan mata. Jangan paksa sehingga menyebabkan ketegangan mata yang tinggi.

iv) Tampalkan setem pada tingkap rumah ataupun pejabat.

Berdiri berhadapan dengan setem dengan jarak mata dengan setem hanya 30 sentimeter.

Lihat setem itu sehingga fokus atau setajam yang boleh. Kemudian, lihat benda jauh di luar tingkap dan kemudian lihat setem kembali. Ulang langkah tersebut sebanyak 41 kali.

Apabila kita berasa otot mata sudah mula kuat, kita boleh tambah bilangan.

Ia adalah latihan hebat untuk melatih kekuatan otot mata dan meningkatkan proses penyembuhan mata.

Pun demikian, Pertubuhan Kesihatan Sedunia pernah berkongsi masalah rabun jauh (nearsighted) atau rabun dekat (nearsightedness) juga berpunca daripada persekitaran.

Ia berlaku kerana mereka yang tidak meluangkan masa yang banyak di luar rumah untuk melakukan aktiviti di luar menyebabkan masalah rabun berlaku.

Semoga ilmu yang dikongsikan di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Kenali Manusia Kerdil, Antara 8,000 Penyakit Jarang Jumpa Dunia

DALAM kehidupan seharian kita, pasti kita akan berjumpa dengan individu kerdil atau dwarfism.

Walaupun sudah berusia, misalnya mencecah 40 tahun, tubuh badan mereka masih kecil dan ketinggian yang dimiliki seperti budak darjah satu.

Pun demikian, rata-ratanya menyifatkan golongan itu sangat comel dan individu dwarfism yang pernah penulis kenali ketika di zaman universiti pun, seorang yang periang dan berkeyakinan tinggi.

Menariknya lagi, mereka tidak mengasingkan diri, sebaliknya bersama-sama melibatkan diri melakukan pelbagai aktiviti dengan insan normal lain.

Dalam konteks perubatan, dwarfism merupakan salah satu daripada lebih 8,000 penyakit jarang jumpa (PJJ) dan dihidapi oleh sebilangan kecil daripada populasi dunia.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, punca PJJ lazimnya berkaitan dengan faktor genetik, manakala selebihnya bukan diwarisi, tetapi disebabkan oleh faktor luaran seperti pendedahan kepada bahan kimia semasa mengandung, jangkitan dan kanser.

Di negara ini, Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia merekodkan seramai 996 orang kerdil setakat tahun 2018.

Bercakap lebih lanjut berkenaan dwarfism, SinarPlus mendapatkan pandangan Pakar Perunding Kanak-kanak dan Genetik Klinikal, Jabatan Pediatrik, Universiti Sains Malaysia, Dr Rowani Mohd Rawi.

Dr Rowani.

Kata pakar perubatan itu, dwarfism adalah gangguan pertumbuhan tulang yang dicirikan oleh badan yang tidak seimbang dan terbantut.

“Keadaan ini adalah salah satu gangguan pertumbuhan tulang yang paling biasa berlaku,” ujarnya.

Beritahu Dr Rowani, penghidap dwarfism lazimnya mempunyai ukuran sternum yang normal, tetapi lengan dan kaki yang pendek menyebabkan penghidapnya mempunyai tubuh kerdil.

Rata-rata ketinggian golongan itu mencecah 131 sentimeter (sm) bagi lelaki dewasa, sementara wanita dewasa pula 124sm.

“Walaupun mempunyai keadaan fizikal yang berbeza, namun tahap kecerdasan mereka adalah normal seperti orang lain,” jelas beliau.

Mutasi gen FGFR 3

Memperincikan lebih lanjut, Dr Rowani berkata, dwarfism berlaku disebabkan mutasi genetik pada gen faktor pertumbuhan fibroblas 3 (FGFR 3) yang merupakan gen untuk menghasilkan protein jenis itu.

Protein tersebut memainkan peranan penting dalam proses pengoksidaan, ujarnya.

“Mutasi pada gen FGFR 3 inilah yang menyebabkan protein tidak berfungsi dengan baik sehingga mengganggu perubahan tulang rawan menjadi tulang. Kesannya, tulang akan tumbuh lebih pendek dan mempunyai bentuk yang tidak normal terutama tulang pada lengan dan kaki,” maklum beliau.

Mutasi gen FGFR 3 pada penghidap penyakit dwarfism boleh berlaku dengan dua cara iaitu:

i) Spontan.

  • Hampir 80 peratus kelompok dwarfism disebabkan oleh mutasi pada gen yang tidak diturunkan daripada ibu bapa. Mutasi itu berlaku secara spontan dan penyebabnya tidak diketahui.

ii) Keturunan.

  • Sebanyak 20 peratus kes dwarfism diwarisi daripada ibu bapa. Sekiranya seorang ibu bapa menghidap dwarfism, peratusan anak yang menderita penyakit berkenaan boleh mencapai 50 peratus.
  • Bagaimanapun, jika kedua ibu bapa menghidap dwarfism, risiko anak untuk menghidap keadaan itu adalah:
  1. 25 peratus peluang kanak-kanak bersaiz normal.
  2. 50 peratus kemungkinan anak mempunyai satu gen yang cacat dan menyebabkan dwarfism.
  3. 25 peratus kemungkinan anak mewarisi dua gen yang cacat iaitu menyebabkan dwarfism yang boleh membawa maut atau homozigot achondroplasia.

Menjawab satu soalan lain, Dr Rowani berkata, bayi dengan kes dwarfism dapat dikenali oleh ciri-ciri fizikal seperti:

i) Ukuran lengan, kaki dan jari pendek.

ii) Saiz kepala lebih besar dan dahi yang menonjol.

iii) Gigi yang tidak selaras dan melekat.

iv) Mempunyai kecacatan tulang belakang yang boleh berupa lordosis (melengkung ke depan) atau kyphosis (melengkung ke belakang).

v) Tulang belakang yang sempit.

vi) Anggota badan berbentuk O.

vii) Tapak kaki pendek dan lebar.

viii) Kekuatan otot yang lemah.

Kepada SinarPlus, Dr Rowani memberitahu, dwarfism dapat didiagnosis sejak bayi atau lebih tepatnya ketika bayi dilahirkan.

“Selepas bayi dilahirkan, doktor akan memeriksa simptom fizikal yang dialami dan melakukan soal jawab dengan ibu bapa mengenai sejarah perubatan keluarga.

“Untuk mengesahkan diagnosis, doktor juga boleh melakukan ujian lanjut dengan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) iaitu dengan mengambil sampel DNA daripada darah untuk analisis, kemudian mengesan kemungkinan kelainan pada gen FGFR 3,” jelasnya.

Bagi fasa semasa kehamilan pula, diagnosis dwarfism juga dapat dilakukan.

“Ultrasound digunakan untuk memeriksa keadaan janin pada rahim dan mengesan tanda-tanda dwarfism seperti ukuran kepala lebih besar daripada biasa. Ia boleh dilakukan melalui dinding perut ibu (transabdominal) atau melalui faraj (ultrasound transvaginal),” terang beliau.

Bukan itu sahaja, pengesanan mutasi gen FGFR 3 juga boleh dibuat semasa bayi masih dalam kandungan dengan mengambil sampel cairan amniotik (amniosentesis) atau sampel tisu plasenta (sampling villi chorionic).

“Bagaimanapun, ada sesetengah kes, pengesanan ini berisiko menyebabkan keguguran,” beritahunya.

Penawar

Persoalannya, adakah terdapat metologi khusus untuk mencegah atau merawat dwarfism?

Jawab pakar tersebut, sehingga kini masih tidak ada kaedah, penawar mahupun rawatan untuk mengubati penyakit berkenaan.

“Rawatan yang diberikan hanya bertujuan untuk menghilangkan gejala atau mencegah dan mengatasi komplikasi yang timbul.

“Antaranya pemeriksaan perubatan rutin bagi memantau pertumbuhan tubuh pesakit, terapi hormon untuk meningkatkan pertumbuhan tulang pada kanak-kanak, pemberian antibiotik dan ubat antiradang untuk mengelak gangguan sendi,” katanya.

Sebaliknya, jika pesakit memerlukan pembedahan pula, ia akan melibatkan operasi dan prosedur ortopedik bagi membaiki bentuk kaki O, merawat stenosis tulang belakang dan mereka yang menghidap hidrosefalus (penumpukan cecair pada rongga otak).

Pun demikian, bagi wanita hamil dengan masalah dwarfism dan mempunyai pelvis kecil, mereka disarankan untuk melahirkan dengan cara pembedahan caesarean.

“Prosedur ini juga dilakukan jika janin didiagnosis dengan dwarfism untuk mengurangkan risiko pendarahan kerana kepala janin terlalu besar untuk dilahirkan secara normal,” beritahu Dr Rowani.

Oleh yang demikian, saran beliau, sekiranya sesiapa antara kita memiliki ahli keluarga yang mempunyai sejarah dwarfism, anda disarankan untuk melakukan ujian genetik sebelum merancang kehamilan untuk mengetahui risiko penyakit berkenaan kepada janin.

“Sekiranya ada ahli keluarga anda telah didiagnosis dengan dwarfism, perlu berjumpa doktor dengan kerap untuk mengelakkan komplikasi. Perlu diingat, risiko komplikasi pada pesakit PJJ itu meningkat dari semasa ke semasa,” pesannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan PJJ Malaysia(PPJJM), Datuk Hatijah Ayob ketika dihubungi SinarPlus berkata, pihaknya sedaya upaya membantu komuniti yang berdepan dengan masalah PJJ.

Datuk Hatijah Ayob.

“Komuniti PJJ khususnya kanak-kanak biasanya berdepan dengan pelbagai cabaran saban hari. Justeru, pada tahun 2007, golongan itu dibantu melalui penubuhan PPJJM.

“Antaranya memberi panduan bagaimana untuk mengatasi sebarang cabaran, cadangan penyelesaian kepada masalah-masalah yang mungkin berlaku dan aktiviti yang mampu memberi galakan yang mampu menyuntik keyakinan pesakit,” katanya.

Selain itu, pihak persatuan juga ujar Hatijah, turut memberi perhatian kepada hal kebajikan komuniti dan memainkan peranan signifikan dalam memberi kesedaran kepada masyarakat awam tentang PJJ.

“Bagi PPJJM, meskipun pesakit PJJ hanya mempengaruhi sebilangan kecil penduduk, ia memerlukan advokasi yang boleh disalurkan kepada orang ramai.

“Misalnya, penubuhan kumpulan advokasi belia PJJ ‘WAUlahh’ atau ‘ART’ yang disokong PPJJM telah mengadakan pelbagai aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kondisi PJJ. Ia termasuklah kumpulan ibu bapa yang juga turut berkongsi tentang pengalaman mereka membesarkan anak-anak mereka dengan kondisi berkenaan,” katanya.

PPJJM ujar beliau, mempunyai seorang ahli aktif yang sentiasa menyumbang kepada aktiviti persatuan iaitu keluarga Allida Muhammad Said, ibu kepada Amir Hamzah Fadhil Hassan Ismail Yassin yang juga penghidap dwarfism.

ANEKDOT

ANTARA komplikasi kesihatan yang boleh dialami oleh penderita dwarfism:

  1. Boleh berdepan dengan masalah obesiti.
  2. Keupayaan berlaku jangkitan pada telinga berulang kerana saluran pada telinga sempit.
  3. Pergerakan terbatas kerana kelainan bentuk lengan dan kaki.
  4. Masalah stenosis spinal iaitu penyempitan pada saluran tulang belakang yang mengakibatkan saraf tertekan pada sumsum tulang belakang.
  5. Hidrosefalus iaitu penumpukan cairan di rongga di dalam otak.
  6. Masalah sleep apnea iaitu keadaan yang berlaku apabila seseorang kerap berhenti bernafas ketika tidur. Setiap ‘episod’ pernafasan akan terhenti selama 10 saat atau lebih.

Sumber: halodoc.com