Archives for December 2021

Dapur Elegan Estetika Jepun Pelengkap Kediaman Cik Manggis

dekorasi rumah

SELEPAS menunggu hampir tiga bulan, ahli kumpulan De Fam, Manggis bersama suami, Syazmin Firdaus akhirnya menarik nafas lega apabila ruang dapur di kediaman peribadi mereka selesai menjalani proses pengubahsuaian.

Jika sebelum ini desain dapur impian dilakar di atas kertas, namun kini segala-galanya diterjemahkan secara fizikal. Umpama mimpi menjadi realiti, kata pasangan berkenaan.

Keterujaan Manggis dengan persekitaran ruang dapur baharu itu semakin memuncak, tambahan pula transformasi yang dilakukan persis foto dekorasi di dalam laman sosial Pinterest.

DEKORASI RUMAH

Menurut Manggis atau nama sebenarnya, Nurshazwani Shamsuddin, beliau menerapkan konsep Japanese Coastal Aesthetic bagi mencipta kelainan di ruang memasak tersebut.

dekorasi rumah
RUANG dapur konsep Japanese Coastal Aesthetic yang turut menggabungkan rekaan ala industri minimalis.

“Lagipun saya dan suami amat meminati rekaan dapur ala industri yang tampak tersusun. Berikutan itu, kami memilih kombinasi simen dan kayu kekemasan minimalis bagi mendapatkan vibes diingini.

“Dari segi pemilihan kayu, kami tidak memilih kualiti cantik dan baharu. Sebaliknya, meminta khidmat pereka hiasan dalaman menerapkan kelengkapan berasaskan kayu yang tidak sempurna supaya bersesuaian dengan elemen industri,” katanya kepada SinarPlus pada Selasa lalu.

Berbicara lanjut, Manggis berusia 32 tahun memberitahu, lantai yang diterapkan di ruang dapur merupakan material terracotta. Idea sedemikian diinspirasi daripada kediaman adiknya yang menetap di Australia.

dekorasi rumah
KOMBINASI jubin terracotta bersama simen menyuntik mood segar dan unik di ruang dapur kediaman Manggis yang terletak di Sungai Buloh, Selangor.

“Lazimnya, jubin jenis terracotta diletakkan di luar, tetapi tak sangka apabila diaplikasi di dalam rumah khususnya bahagian dapur elemen tersebut membantu menyuntik mood segar dan unik,” ujarnya yang menempah khas perabot dan membeli secara dalam talian dari luar negara antaranya New York, Amerika Syarikat.

Pun begitu, paling menangkap perhatian penulis ialah tiga buah bangku bar konsep tradisional yang diletakkan di pulau dapur konkrit. Pada pandangan mata kasar mungkin ia tiada beza dengan kerusi lain, tetapi tidak bagi Manggis dan pasangan.

dekorasi rumah
NILAI SENTIMENTAL. Fabrik membaluti permukaan tempat duduk bangku bar menggunakan kain batik dan kain pelikat milik arwah ibu dan ayah mertua Manggis.

Kesemua kerusi tersebut mempunyai nilai sentimetal tersendiri. Masakan tidak, fabrik yang membaluti permukaan tempat duduk bangku bar itu menggunakan kain batik dan kain pelikat milik arwah ibu dan ayah mertua Manggis.

“Secara tidak langsung, kami mengembalikan memori malar segar dan seolah-olah mertua sentiasa bersama di dapur.

“Sehinggakan, kain pelikat ayah berlubang akibat cucuh rokok pun jelas kelihatan di permukaan tempat duduk kerusi bar. Sayang pula nak buang kesan tersebut,” katanya yang turut menjelaskan sengaja menempatkan satu sahaja jendela di dapur tanpa tinted dan tidak ‘terperangkap’ di dalam jeriji besi.

dekorasi rumah

Pemilihan jendela di bahagian sinki yang boleh dibuka luas itu bertujuan mendapatkan pengaliran udara dan pencahayaan lebih baik, kata Manggis.

dekorasi rumah
dekorasi rumah
dekorasi rumah


PROFIL

cik manggis

Nama: Cik Manggis
Umur: 32 tahun
Kerjaya: Penyanyi, pelakon dan jurucakap
Jenis kediaman: Tanah lot

Penggoreng Udara Dikatakan Boleh Sebabkan Kanser? Ini Penjelasan Pakar

BARU-BARU ini tular di media sosial mengenai satu kenyataan menyatakan alatan memasak iaitu air fyer atau penggoreng udara dapat menyebabkan kanser.

Menjelaskan situasi itu, Pakar Perunding Ginekologi Onkologi Medical Mythbusters Malaysia, Dr Mohd Rushdan Md Noor berkata, sehingga kini belum ada bukti yang menunjukkan penggunaan air fryer boleh menyebabkan kanser ke atas manusia.

“Sememangnya semua perkara di dunia ini ada baik dan buruknya. Jika kebaikan lebih banyak daripada keburukan, maka baiklah perkara tersebut,” tulis pakar itu melalui Facebooknya.

Perlu diketahui bahawa proses kejadian kanser bukan mudah.

Beritahu Dr Mohd Rushdan, banyak faktor yang terlibat dan prosesnya sangat kompleks.

“Syukur kepada Tuhan yang mencipta sistem badan manusia yang sangat cekap memulih dan memelihara sel-sel secara semula jadi walaupun sepanjang masa terdedah kepada penyebab kanser di udara, daratan dan makanan,” ujarnya.

Pun demikian, ungkap beliau, di samping faktor semula jadi, gaya hidup dan makanan yang diambil oleh manusia boleh bertindak sebagai penawar ataupun pelindung kepada serangan agen penyebab kanser.

Air fryer ada kebaikannya seperti boleh mengurangkan pengambilan minyak dan kalori di dalam makanan.

“Keburukannya adalah jika makanan berkanji dan berasaskan tumbuhan (kentang, roti, bijirin, kopi, buah kering dan lain-lain) dipanaskan pada suhu lebih daripada 120 darjah Celsius dalam masa yang panjang boleh menghasilkan satu bahan dikenali sebagai acrylamide,” jelas Dr Rushdan.

Bagaimanapun, acrylamide tidak semestinya dihasilkan oleh alatan memasak air fryer sahaja, sebaliknya apa sahaja kaedah pemanasan boleh menghasilkannya termasuklah dapur arang.

Jelas beliau lagi, sebenarnya, banyak lagi bahan makanan yang mengandungi acrylamide seperti jus prun, minyak zaitun hitam, buah prun kering, buah pear kering dan lain-lain.

Ia juga ditemui di dalam asap rokok dan digunakan di dalam industri membuat kertas, fabrik, pemekat dan pewarna.

Persoalannya benarkan acrylamide boleh menyebabkan kanser? Jawab Dr Rushdan:

“Jawapannya ya jika diberikan dalam dos tinggi kepada tikus.

“Ada dua kata kunci iaitu dos yang tinggi dan tikus. Itupun melalui kajian makmal dan melibatkan dua hingga tiga jenis kanser sahaja (daripada lebih 150 jenis kanser),” beritahu pakar itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum ada kajian ke atas manusia yang mengesahkan kebenaran berkenaan.

“Semakan ke atas banyak kajian atau case control dan epidemiologi belum lagi menemui bukti kukuh bahawa acrylamide boleh menyebabkan kanser ke atas manusia,” tambah beliau.

Selain itu, kajian terhadap pekerja-pekerja industri makanan yang terdedah kepada acrylamide (dua kali lebih tinggi daripada tahap biasa) mendapati tidak ada kaitan antara bahan berkenaan dengan kanser.

Kenyataan di atas diakui oleh semua pertubuhan kanser termasuk Pertubuhan Kanser Amerika dan National Cancer Institute.

“Mungkin metabolisme acrylamide di dalam tikus berbeza dengan manusia.

“Tambahan pula kuantiti acrylamide yang dihasilkan melalui kaedah pemanasan makanan termasuk dengan menggunakan air fryer jauh lebih rendah daripada yang diberikan kepada tikus di dalam kajian makmal (ekstrak acrylamide yang ditulenkan). Acrylamide juga dikaitkan dengan masalah saraf tetapi kesan ini hanya boleh berlaku jika kuantiti yang diambil lebih daripada 500 kali lebih tinggi daripada purata pengambilan,” terang Dr Rushdan panjang lebar.

Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau menggunakan air fryer untuk memasak dengan syarat menggunakannya dengan betul dan bersederhana dalam semua segi.

“Ingat, jangan hari-hari makan kentang goreng (kalau tanpa air fryer pun tidak elok ambil kentang goreng banyak-banyak), elak garam berlebihan, memasak jangan sampai terlalu garing (perang kehitaman), jangan makan dalam kuantiti yang banyak dan pastikan makanan mempunyai nutrien yang cukup dan seimbang,” pesan Dr Rushdan.

Air fryer boleh digunakan untuk memasak banyak makanan lain yang tidak berkanji ataupun kurang kandungan kanjinya.

Selain amalan hidup sihat, tidak merokok, tidak minum alkohol, tidak mengalami kegemukan, mengambil banyak sayuran atau buah-buahan, bersenam dan lakukan ujian saringan, maka anda akan dapat menurunkan risiko menghidap kanser walaupun menggunakan air fryer.

Dengan amalan itu, air fryer akan menjadi salah satu alat memasak yang baik untuk anda, lebih-lebih lagi jika ianya digunakan untuk tujuan mengurangkan pengambilan lemak dan kalori. Semoga bermanfaat!

Jangan Abaikan Rungutan Anak Jika Mereka Mengadu Gatal Pada Bahagian Dubur

KEGATALAN pada bahagian dubur kanak-kanak sememangnya tidak boleh diambil mudah.

Ia diakui oleh seorang pegawai perubatan, Dr Ahmad Luqman Bukhari. Ini kerana katanya, sudah banyak kes direkodkan angkara ibu bapa hanya buat tidak tahu sahaja.

“Pada awalnya, kanak-kanak itu hanya mengadu gatal pada bahagian dubur sahaja.

“Namun, disebabkan tiada sesiapa yang mengambil endah, lama-kelamaan simptom itu menjadi teruk,” katanya melalui entri Twitter beliau @drluqman.

Jadi, ibu bapa perlu tahu, ada juga anak-anak kecil yang menunjukkan perubahan secara tiba-tiba seperti asyik mengamuk, ujar beliau.

“Rupa-rupanya apabila diperiksa, anak itu sedang mengalami jangkitan cacing.

“Ia mungkin kedengaran seperti okey lagi tetapi lebih menyayat hati apabila ada kes yang perlu dikejarkan ke unit kecemasan,” katanya.

Berkongsi mengenai detik cemas itu, kata beliau, jika diikutkan melalui maklumat yang diperoleh daripada doktor yang merawat anak kecil itu, pada awalnya beliau hanya mengadu demam dan susah untuk membuang untuk air besar sahaja.

“Lebih parah, selepas beberapa hari, keadaannya merosot teruk.

“Tubuhnya menjadi lemah dan jantung berdegup laju sehinggakan anak kecil itu sukar untuk bernafas dan memerlukan bantuan oksigen,” beritahu beliau.

Sejurus itu, kanak-kanak berkenaan termuntah beberapa kali hingga terkeluar tiga hingga empat ekor cacing yang sangat panjang saiznya.

“Pada masa itu, doktor telah menjangkakan terdapat banyak cacing yang membiak di dalam perutnya sehingga perutnya sangat kembung,” ungkapnya.

Oleh sebab itu, beritahu Dr Ahmad Luqman, ibu bapa perlu peka dengan keadaan anak kecil terutamanya jika mereka mengadu rasa yang tidak selesa pada bahagian dubur.

“Anak kecil yang alami kecacingan ini kadangkala kita boleh nampak beliau akan cepat penat, hilang selera makan, perut kembung, gatal-gatal pada bahagian anus dan berat badan sukar naik,” kongsinya.

Ibu bapa juga perlu tahu bahawa penyakit berkenaan sangat kerap berlaku pada anak-anak kecil kerana mereka yang tidak selalu mencuci tangan dengan bersih sebelum menyuap makanan atau sering tidak memakai kasut semasa bermain pasir atau tanah.

Kata Dr Ahmad Luqman lagi, pada masa sama, bayi juga tidak terlepas dengan masalah itu.

“Ia kerana kecacingan mudah menjangkiti mereka kerana suka memasukkan jari ke dalam mulut selepas bermain dengan sesuatu.

“Jadi, tolong ajar anak kecil mengenai penjagaan kebersihan dan bawalah mereka untuk dapatkan ubat cacing sekurang-kurangnya sekali seumur hidup,” pesan Dr Ahmad Luqman.

Oleh itu, nasihat SinarPlus kepada ibu bapa di luar sana, jangan sesekali mengambil mudah jika anak kecil mengadu tidak selesa dan gatal-gatal pada bahagian dubur mereka kerana itulah petanda anak anda sedang mengalami kecacingan.

Semoga perkongsian tersebut memberi manfaat kepada semua.

Kubis Goreng Telur Versi ‘Eat Clean’ Buat Si Diet

Kubis goreng telur versi 'eat clean' buat si diet

SALAH satu dilema yang akan dialami oleh orang yang nak diet adalah memikirkan makanan sedap yang perlu ditinggalkan.

Kurang gula, garam dan kurang segalanya adalah kriteria makanan yang perlu diambil oleh korang yang ingin kurus dan sihat.

Salah satu cara diet ialah mengamalkan pemakanan ‘eat clean’ iaitu makanan yang sihat dan bersih, selain memberikan khasiat yang tinggi pada badan.

Apabila mengamalkan eat clean, pilihan utama dalam diet adalah makanan menyeluruh seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Korang boleh cuba resipi kubis goreng telur versi eat clean ini. Enak dan menyelerakan!

Bagi yang tidak diet, bolehlah dinikmati bersama nasi putih dan lauk-lauk lain.

Bahan-bahannya;

  • 1/4 biji kubis (dipotong halus)
  • 6 ulas bawang putih cincang
  • 3 biji telur
  • 1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
  • Garam secukup rasa
  • 1/2 sudu kecil minyak bijan
  • 1 sudu besar minyak zaitun
Kubis goreng telur versi 'eat clean' buat si diet

Cara-cara membuatnya;

1. Tumis bawang putih dengan sedikit minyak zaitun sehingga kekuningan. Tambahkan sedikit air jika suka.

2. Masukkan kubis. Kacau rata.

3. Buat lubang di tengah-tengah kubis. Pecahkan telur ke dalamnya tanpa kacau.

4. Tambahkan serbuk lada sulah dan garam. Tutup telur dengan kubis. Biarkan seketika. Kemudian kacau rata.

5. Tambahkan sedikit minyak bijan. Kacau rata.

Semoga bermanfaat!

Sumber: Sesimple Loralin

Kulit Kering, Sensitif Punca Kulit Kepala Dipenuhi Kelemumur. Ini Rawatan Yang Disyorkan Pakar

RAMAI di antara kita yang mempunyai masalah kelemumur yang boleh mengganggu aktiviti seharian gara-gara kegatalan yang berlaku pada kulit kepala.

Apatah lagi ia sering menghantui para wanita yang berhijab sehingga terpaksa menggaru-garu meskipun berada di khalayak ramai.

Pastinya, banyak iklan syampu yang dipaparkan sama ada di media sosial atau media elektronik, namun ia mungkin hanya berkesan untuk sebilangan orang sahaja.

Mengulas mengenai situasi berkenaan, SinarPlus berkongsi pandangan seorang pegawai perubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Dr Iskandar Mirza.

Menerusi ciapan Twitternya @DIskandarmirza, tulisnya, masalah kelemumur berlaku apabila kulit pada badan atau kepala menjadi keruping.

“Ia tidak berjangkit atau merupakan sakit yang serius.

Namun, ia boleh mengurangkan tahap keyakinan diri seseorang apabila berjumpa kenalan di luar,” beritahu Dr
Iskandar Mirza.

Sebenarnya, kelemumur yang sedikit boleh diatasi dengan menggunakan syampu setiap hari.

“Jika ia tidak berkesan, orang ramai boleh mencuba syampu yang mengandungi ubat.

“Walaupun jika dalam suatu masa kelemumur itu sudah hilang, ia juga mempunyai kemungkinan untuk datang semula,” terangnya.

Kata pakar itu lagi, antara simptom biasa yang boleh dilihat adalah keruping pada kulit badan dan kepala, kulit kepala gatal serta bersisik.

“Bagaimanapun, ada simptom tersebut menjadi lebih teruk semasa seseorang itu berhadapan tekanan (stres) dan ketika musim sejuk dan kering,” tambah beliau.

Berikut adalah antara penyebab kelemumur:

i) Kulit sensitif dan berminyak.

ii) Tidak menggunakan syampu dengan kerap.

iii) Terdapat jangkitan kulat pada kulit kepala.

iv) Kulit yang kering.

v) Kulit sensitif terhadap produk.

v) Sakit kulit kronik seperti psoriasis dan ekzema.

Oleh itu, Dr Iskandar Mirza menyarankan agar sesiapa yang mempunyai masalah kelemumur boleh mencuba beberapa rawatan seperti menggunakan pyrithione zinc shampoo seperti Head and Shoulders atau DermaZinc.

Selain itu, mereka juga boleh mencuba mengaplikasikan tar-based shampoo iaitu Neutrogena T/Gel yang mana boleh memperlahankan kematian sel-sel kulit pada kepala daripada menjadi keruping.

“Syampu yang mempunyai salicylic acid (Neutrogena T/sal, Baker’s P&S) juga membantu membuang sisik kelemumur,” tambah beliau.

Namun demikian, jika ia masih tidak berkesan, cubalah syampu yang mempunyai selenium sulphide dan ketoconazole kerana ia mempunyai unsur antikulat dan dapat membunuh kulat pada kulit kepala.

Oleh itu, jika anda mempunyai masalah untuk memilih jenis rawatan termasuklah syampu yang bersesuaian, segeralah berjumpa dengan pakar kulit.

“Insya-ALLAH, mereka dapat membantu anda,” katanya.

Ikan Kembung Percik Enak Memukau Selera

Ikan kembung percik enak memukau selera

APABILA sebut sahaja resipi percik, sudah terbayang-bayang keenakan masakannya.

Selalunya kita dengar tentang ayam percik, namun kali ini SinarPlus ingin berkongsi resipi menu ikan percik pula.

Jarang didengari kan? Tetapi enak sekali! Biasanya masakan ini menggunakan ikan kembung atau selar yang diperap terlebih dahulu dan dibakar di atas bara api.

Fuh! Aroma asap itu menjadikan ikan percik ini mempunyai bauan tersendiri sebelum disiramkan kuahnya yang lemak dan pekat.

Kuah percik yang bewarna kemerahan ini amat terkenal di Pantai Timur terutamanya Kelantan dan Terengganu.

Istimewanya kuah percik ini daripada gabungan santan pekat bersama rempah ratus menghasilkan kuah yang pekat elok dan mampu menawan selera sesiapa sahaja.

Bahan-bahan;

Bahan ikan

  • 5 ekor ikan kembung (dibasuh bersih dan dikelar)
  • 2 batang serai (dihiris nipis)
  • 5 ulas bawang putih (dihiris nipis)
  • 1 inci halia (dihiris nipis)
  • 1 ½ inci kunyit hidup (dihiris nipis)
  • ¾ sudu besar garam
  • 1 sudu kecil serbuk perasa Hilal atau jenama lain

Bahan kuah percik

  • 5 biji bawang merah saiz syiling 20 sen
  • 2 ulas bawang putih
  • ½ halia (dihiris nipis)
  • Secubit belacan
  • ½ sudu besar serbuk ketumbar (disangai dan dikisar halus)

Bahan lain

  • 6 senduk santan segera
  • 1 senduk air kosong
  • 1½ sudu besar cili kisar *optional
  • 1 hiris limau nipis
Ikan kembung percik enak memukau selera

Cara-cara untuk membuatnya;

1. Untuk ikan, kisarkan semua bahan ikan kecuali ikan kembung hingga lumat.

2. Lumur rata bahan kisar pada ikan dan perap selama 20 minit.

3. Untuk kuah percik, kisar semua bahan hingga lumat. Masukkan bahan kisar kuah percik ke dalam periuk. Tambahkan santan dan air kosong.

4. Masukkan cili kisar jika mahu warna kuah menjadi merah. Menggunakan api perlahan, masak di atas dapur. Perahkan limau nipis.

5. Masukkan 2½ sudu besar gula, ½ sudu besar garam dan secubit serbuk perasa. Menggunakan api sederhana besar, kacaukan kuah. Tutup api setelah kuah berbuih mendidih. Siap untuk kuah percik.

6. Bakar ikan di atas bara api. Jangan bakar hingga terlebih kering atau garing supaya isinya kekal ‘juicy’.

7. Sendukkan kuah percik tadi dan ratakan atas badan ikan. Salutkan dua kali untuk hasil yang cantik.

Sedia untuk dihidangkan. Selamat mencuba!

Sumber: Afy AL Habibi

4 Jenis Makanan Yang Perlu Dihindarkan Jika Alami Masalah Sakit Sendi

PADA masa ini, terdapat banyak pecahan penyakit yang sering dikaitkan dengan sendi.

Memetik informasi menerusi laman web kesihatan antarabangsa, medicalnewstoday.com dan healthline.com, artritis dan osteoartritis adalah antara penyakit yang berkaitan dengan keradangan kronik pada sendi seseorang.

Kira-kira 40 peratus lelaki dan 47 peratus wanita didiagnosis menderita osteoartritis sepanjang hayat mereka.

Bagaimana untuk mengatasi masalah tersebut? Berdasarkan penyelidikan ilmiah, ‘campur tangan’ diet seperti berpantang makanan dan minuman tertentu dapat mengurangkan gejala sakit sendi.

Berikut antara makanan yang perlu dijauhi untuk kesihatan sendiri seperti yang dikongsikan dalam Telegram @PetuaDankesihatan:

i) Makanan bergoreng dan makanan diproses perlu dikurangkan.

Para penyelidik dari Mount Sinai School of Medicine telah mengkaji pencegahan penyakit melalui pemakanan.

Keputusan analisis menunjukkan, sekiranya seseorang kurang mengambil makanan bergoreng dan siap diproses seperti ayam goreng dan makanan sejuk beku, ia boleh mengurangkan keradangan dan benar-benar membantu memulihkan sistem pertahanan semula jadi badan.

ii) Turunkan paras toksin AGE.

Advanced Glycation End Product (AGE) merupakan sejenis toksin yang muncul apabila sesuatu makanan itu dipanaskan, dipanggang, digoreng atau dipasteur.

AGE akan merosakkan protein tertentu dalam badan. Tubuh akan cuba memusnahkan AGE dengan menggunakan cytokines iaitu ejen yang menyebabkan berlakunya keradangan.

Ia bergantung pada bahagian mana terbentuknya AGE.

Apa yang boleh anda lakukan adalah mengurangkan jumlah makanan dimasak pada suhu yang tinggi.

iii) Kawal pengambilan gula, karbohidrat tinggi.

Jumlah kandungan gula yang tinggi dalam diet akan menyebabkan peningkatan toksin AGE.

Peningkatan toksin AGE akan mencetuskan keradangan.

Oleh itu, elakkan atau kurangkan pengambilan makanan manis seperti gula-gula, makanan kotak, air soda dan lain-lain bagi untuk mengurangkan sakit artritis.

Selain itu, hadkan pengambilan nasi. Jangan makan terlalu banyak kerana karbohidrat tinggi seperti nasi, roti putih dan sebagainya kerana paras gulanya yang tinggi.

iv) Kadar pengambilan produk tenusu perlu dikawal.

Produk tenusu boleh menyumbang kepada sakit sendi disebabkan oleh sejenis protein yang terkandung di dalamnya.

Menurut Physicians Committee for Responsible Medicine, protein berkenaan boleh menyebabkan sesetengah individu berasa rengsa pada tisu di sekeliling sendi.

Sesetengah penghidap artiritis berjaya menghindarkan perkara itu dengan mengelak daripada mengambil produk tenusu.

Jadi, cuba elakkan pengambilan protein daripada sumber daging dan tenusu dan gantikannya dengan sumber daripada sayur-sayuran seperti bayam, tauhu, kacang, kekacang dan sebagainya.

Pun demikian, menghadkan beberapa jenis makanan dapat memberi manfaat kepada kepada masalah sendi dan sekali gus membantu mengurangkan tahap keradangan di dalam badan.

Antara manfaat lainnya adalah ia turut sama membantu mengawal berat badan anda!

Ubat Nyamuk Lingkaran Beri Impak Bahaya Pada Kesihatan. Ini Penjelasannya

KALAU kita pulang ke kampung halaman terutama di ceruk kampung yang berhutan, mak kita mesti nyalakan ubat nyamuk lingkarankan?

Apa kata, selepas membaca artikel ini, kita nasihatkan mereka supaya menghentikan amalan itu.

Mengapa? Ini kerana asap daripada ubat nyamuk berkenaan boleh memberi impak buruk pada kesihatan kita.

Terdapat banyak kajian telah menunjukkan bahawa hampir keseluruhan jenis ubat nyamuk yang terdapat di negara ini memberi kesan sampingan yang merbahaya.

Baru-baru ini, SinarPlus terbaca mengenai berita tular yang mengaitkan sejenis ubat nyamuk yang dikatakan cukup berkesan membunuh serangga itu dengan pantas.

Namun, apa yang ditakuti adalah jenama hebat yang diuar-uarkan itu didapati tidak berdaftar dengan Lembaga Racun Makhluk Perosak!

Hal tersebut menarik perhatian Facebook Public Health Malaysia (PHM).

PHM antara lain berpesan kepada semua rakyat Malaysia agar jangan berani untuk gunakan produk tidak berdaftar secara sesuka hati kerana ia mungkin mengandungi bahan beracun yang mendatangkan bahaya kepada kesihatan khususnya kepada kanak-kanak.

Ujar PHM lagi, ubat nyamuk Zenden Micro-Smoke yang diimport dari China, misalnya dikesan mengandungi bahan Class 1A carcinogen yang boleh menyebabkan kanser.

“Begitu juga dengan Tian Hong Mosquitos Coil, Lengen Mocro-Smoke 12 Hours, Jianbao Mosquito Coil yang masih dijual secara berleluasa.

“Mana-mana premis atau individu yang didapati menjual produk tersebut akan didakwa di bawah Seksyen 20 (3) Akta Racun Makhluk Perosak 1974 yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya,” kata PHM menerusi entri yang dimuat naik baru-baru ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan, terdapat dua produk lingkaran nyamuk yang dilarang penjualannya di pasaran tempatan.

Ia terdiri daripada ubat nyamuk jenama Zenden Micro-Smoke dan Jianbao Mosquito Coil keluaran negara China.

ALTERNATIF LAIN HALAU NYAMUK

Sebenarnya, terdapat cara lain untuk menghalau nyamuk di rumah.

Antara kaedah yang disarankan oleh laman web infosihat.gov.my adalah pastikan tiada air bertakung yang boleh menjadi tempat pembiakan nyamuk.

Selain itu, terdapat juga pelbagai jenis tanaman yang bersifat mampu mencegah nyamuk seperti serai ataupun daun selasih.

Oleh yang demikian, anda boleh cuba pelbagai cara lain selain menggunakan ubat nyamuk jenis lingkaran.

Marahkan Nyamuk, Kesihatan Tergadai..

Baru baru ini telah tular sejenis ubat nyamuk yang dikatakan cukup berkesan…

Posted by Public Health Malaysia on Sunday, March 7, 2021

Mencegah lebih baik daripada merawat. Persekitaran yang bersih boleh mengelakkan kesan buruk yang bakal menimpa anda dan keluarga.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua pembaca.

Ibu Bapa Pelik Bila Lihat Anak Tak Menangis Walau Kepala Terhantuk Di Sana Di Sini, Penjelasan Pakar Buatkan Mereka Terkedu…

KEBIASAANNYA, bayi atau kanak-kanak akan menunjukkan reaksi seperti menangis apabila ingin mengadu atau menunjukkan tanda protes.

Namun demikian, tidak semua mempunyai perilaku seperti itu.

Baru-baru ini, seorang pakar perubatan mendedahkan situasi yang berlaku pada satu keluarga.

Pendedahan itu dilakukan menerusi thread pada ciapan Twitternya, @DrRedzaZainol baru-baru ini.

Seperti yang diceritakan oleh pasangan suami isteri kepada Dr Redza, anak mereka digambarkan seorang yang sangat kuat.

Sejak kecil, si cilik itu tidak pernah menangis, meskipun kepalanya terhantuk di sana-sini.

“Ada sekali itu kami letakkannya di dalam buaian. Beliau meronta-ronta tidak mahu duduk di dalam buaian berkenaan. Saya paksa juga anak saya untuk bermain kerana melihat kanak-kanak lain semua seronok bermain.

“Apa yang mengejutkan kami adalah setelah dipaksa, tindakan itu berakhir dengan insiden yang mana anak kami terjatuh sehingga berdarah pada dahinya. Kami sangat pelik kerana beliau langsung tidak menangis seolah-olah tidak merasai kesakitan itu,” demikian kata-kata yang dikongsikan suami isteri kepada pakar pediatrik itu.

Kata Dr Redza lagi, setelah beberapa ketika, pasangan berkenaan mula menyedari bahawa anak mereka yang berusia tiga tahun itu suka bermain dan senyum seorang diri.

Si kecil itu akan menghabiskan masa seorang diri dengan kereta mainan dan akan menyusunnya memanjang dan akan mengamuk jika diganggu.

Lebih menghairankan, meskipun sudah menginjak umur tiga tahun, anak tadi masih belum boleh bercakap, waima hanya sekadar panggilan ibu atau ayah.

Mengulas mengenai situasi yang dihadapi oleh keluarga itu, Dr Redza menjelaskan bahawa kanak-kanak berkenaan sebenarnya menunjukkan ciri-ciri autisme.

Berikut antara tanda-tanda awal autisme seperti yang dihuraikan Dr Redza:

i) Tiada kontak mata.
ii) Tidak memberi respons apabila dipanggil.
iii) Tidak suka dipeluk dan gemar bermain seorang diri.
iv) Suka mengulangi perkataan yang disebut oleh orang lain (echolalia).
v) Kerap melakukan pergerakan badan yang berulang-ulang seperti mengayunkan badan, berpusing-pusing dan mengepak-ngepakkan tangan.
vi) Obses yang mendalam terhadap sesuatu objek.
vii) Lambat bercakap atau tidak boleh bercakap.

Justeru, kata Dr Redza yang sering berkongsi mengenai ilmu kesihatan kanak-kanak dan kekeluargaan, pasangan itu akhirnya telah mendapatkan jawapan yang selama ini dinanti-nantikan oleh mereka.


“Abaikan gerak hati daripada keluarga dan saudara-mara yang kadangkala hanya untuk menyedapkan hati ibu bapa sahaja. Bantulah anak kecil anda.

“Bantu juga saya sebarkan ilmu ini supaya lagi ramai mak ayah jadi lebih peka dengan kesihatan anak. Moga anak-anak ni dapat dibantu dari awal lagi,” katanya.

Sementara itu, menurut laman web autismmalaysia.com, masalah autisme tidak dapat dikenal pasti hanya dengan melihat secara fizikal.

Autisme dapat dilihat melalui defisit dalam komunikasi sosial dan interaksi serta tingkah laku yang berulang.


“Autisme adalah gangguan spektrum. Ini bermakna bahawa sesetengah individu terjejas dengan autisme pada tahap yang rendah, sesetengah di peringkat sederhana dan sesetengah di tahap yang tinggi.

“Masalah itu lazimnya muncul pada usia awal kanak-kanak (sebelum 3 tahun) dan boleh dikenal pasti seawal usia 18 bulan,” kata laman web itu.

Seperkara lagi, tidak ada punca sebenar autisme, tetapi ia mempunyai kaitan dengan faktor genetik, persekitaran dan biologi.

Mulut Berasid, Air Liur Kering Punca Gigi Ibu Hamil Mudah Rosak. Ini Cara Terbaik Untuk Atasinya

KEHAMILAN akan membuatkan seseorang mengalami perubahan fisiologi badan dari aspek fizikal dan rohani termasuklah kesihatan mulut.

Ketika mengandung, terdapat kes yang mana ibu hamil mengadu mereka mengalami masalah gusi yang mudah bengkak.

Seorang doktor gigi, Dr Azila Mohd Kasim melalui entri Facobooknya menjelaskan, gusi wanita yang sedang mengandung sememangnya mudah bengkak dan terdedah kepada jangkitan.

Dr Azila Mohd Kasim.

“Keadaan ini berpunca daripada perubahan hormon yang menyebabkan bertambahnya pengaliran darah di dalam badan yang dikenali sebagai pregnancy gingivitis,” beritahu beliau.

Bagaimanapun, kongsi Dr Azila, ibu hamil juga cenderung mengalami pregnancy epulis yang merujuk keadaan seperti tumbuh benjolan kecil pada gusi antara celahan gigi.

“Paras hormon yang meningkat sewaktu kehamilan juga boleh menyebabkan tisu pemegang gigi atau ligamen dan tulang rahang di sekeliling akar gigi terjejas lantas menyebabkan gigi longgar,” jelas Dr Azila.

Justeru, kata pakar itu, ibu-ibu tidak perlu bimbang kerana situasi berkenaan normal dan ia boleh berlaku kerana perubahan hormon. Ia akan mengecut selepas bersalin.

PEMERIKSAAN BERKALA

Mengulas lanjut, selain masalah gusi, kerosakan gigi adalah masalah kedua sering dialami ibu hamil, beritahunya

“Hal itu biasanya berlaku kerana mulut cenderung berasid dan air liur kering.


“Kebanyakan ibu hamil mengalami mabuk pada waktu pagi (morning sickness) dan muntah. Ketika muntah, jus gastrik bersifat asid dari perut akan termasuk ke dalam mulut yang akhirnya boleh menghakis permukaan gigi,” tambah beliau.

Jadi, bagi mengatasi gigi rosak, saran Dr Azila, ibu hamil perlu sentiasa berkumur dengan air kosong atau air masak untuk membilas keluar asid di dalam mulut.

Selain itu, mereka juga disarankan minum air masak secukupnya untuk mengurangkan kesan asid.

“Kadangkala, ubat gigi juga boleh menyebabkan loya. Jadi, saya sarankan bakal ibu supaya sentiasa mencuba perisa ubat gigi berbeza sehingga berjumpa yang sesuai.

“Jika tetap tidak boleh menggunakan sebarang ubat gigi, pilih ubat kumur berflorida ada manfaatkan ubat kumur untuk meneutralkan kembali keadaan mulut. Ini bagi membantu remineralisasi lapisan gigi yang telah diserap asid,” ulasnya panjang lebar.

Sehubungan, pesan Dr Azila, wanita mengandung tidak boleh mengambil mudah dengan kesihatan mulut.


Mereka perlulah menjalani pemeriksaan yang berkala bagi mengelakkan sebarang masalah pergigian daripada terjadi ketika mengandung.

Kesedaran dan pengetahuan yang tinggi tentang bagaimana untuk menjaga kebersihan mulut dengan berkesan adalah penting.

Semoga perkongsian di atas memberi manfaat kepada semua ibu hamil di luar sana.

ANEKDOT

TIP untuk ibu hamil bagi mengawal masalah kesihatan mulut:

1. Semasa hamil, anda wajib ke klinik gigi untuk dapatkan pemeriksaan dan maklumkan kepada doktor gigi keadaan terkini.

2. Setiap kali selepas makan atau muntah, hendaklah berkumur-kumur atau minum air masak bukannya minum air manis.

3. Kurangkan minum minuman bergas atau asam-asam kerana ia menghasilkan asid dan membuatkan gigi cepat haus dan sensitif.

Sumber: Dr Azila Mohd Kasim.