Kebanyakan Muntah Paus Tulen Tidak Dijumpai di Pantai

Umpama emas terapung di permukaan lautan yang menanti pemilik bertuah untuk memilikinya begitulah boleh diibaratkan dengan ketulan lilin ambergris yang biasanya disebut sebagai muntah paus. Siapa sangka bahan sebegini mempunyai nilai yang sangat tinggi di pasaran.

Ambergris adalah bahan berwarna kelabu atau kehitaman kusam yang padat, berlilin dan mudah terbakar. Bahan berharga ini terhasil daripada rembesan saluran hempedu yang terdapat di dalam sistem pencernaan spesies Ikan Paus Sperma (Physeter catodon).

Paus Sperma

Ambergris merupakan bahan yang bernilai tinggi bagi industri pembuataan minyak wangi di mana ianya digunakan sebagai bahan penetap yang membolehkan aroma sesuatu minyak wangi yang dihasilkan tahan lebih lama.

Secara umumnya, proses yang mendorong pembentukan dan pengeluaran ambergris kurang difahami oleh penyelidik-penyelidik.

Pakar Oseanografi, Dr. Robert Henry Clarke telah membuat satu hipotesis bahawa pembentukan ambergris bermula apabila jisim yang tidak dapat dihadam terutamanya paruh dan tulang sotong berjaya melalui duodenum. Sekiranya jisim ini tersekat di dalam usus, dinding usus akan bertindak balas dengan menyerap air daripada jisim yang diresapi najis, sehingga menyebabkan ia menjadi pejal. Apabila proses ini berterusan, saiz jisim akan bertambah dengan pertambahan lapisan pepejal tambahan.

Secara realiti menurut kupasan oleh Dr. Robert di dalam jurnalnya iaitu “The Origin of Ambergris” menyatakan bahawa ambergris sangat jarang ditemui di pantai, kebanyakan daripadanya diperolehi terus daripada bangkai ikan paus.

Dr. Robert turut menyatakan bahawa terdapat ramai individu telah membawa kepada beliau ketulan busuk yang di kutip di tepi pantai dengan harapan ianya adalah ambergris, namun, tiada satu pun ketulan yang dijumpai itu adalah ambergris.

Kebelakangan ini kita seringkali mendengar media-media tempatan dan antarabangsa melaporkan beberapa individu bertuah yang telah menemui ketulan terapung ini di beberapa buah negara seperti Thailand, Indonesia, Yemen, Oman dan Britain.

Rajah 1: Perbandingan di antara ambergris tulen (kiri) dan sampel yang diperolehi daripada perairan Malaysia (kanan)

Namun, persoalannya adakah ketulan terapung yang dijumpai ini adalah benar-benar ambergris yang mempunyai nilai yang sangat tinggi di dalam industri minyak wangi atau sekadar kandungan lemak semata-mata?

Bagi ketulan muntah paus yang bernilai tinggi ianya akan mempunyai beberapa bahan aktif yang terdiri daripada ambrein (25-45%), epicoprosterol (30-40%) dan coprostanone (3-4%). Tanpa kandungan bahan-bahan aktif berkenaan ketulan yang ditemui tidak mempunyai apa-apa nilai.

Rajah 2: Molekul-molekul bagi bahan aktif yang perlu ada bagi ambergris tulen

Seperti kenyataan seorang nelayan Thailand yang menjumpai ketulan lilin ini bahawa beliau sendiri tidak pasti apakah ketulan yang dijumpai olehnya. Ketulan terapung yang ditemui beliau hanya dapat ditentusahkan sebagai ambergris hanya melalui analisa makmal.

Bersesuaian dengan harganya yang sangat tinggi di pasaran ketulenan ambergris muntah paus perlu melalui satu analisa makmal yang kompleks dan perlu dirujuk kepada satu bahan penyelidikan piawai yang khusus.

Sesuatu yang amat mengujakan apabila Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah berupaya menentusahkan ketulenan sesuatu sampel ketulan terapung yang ditemui oleh beberapa orang perseorangan yang mendakwa menemui muntah paus sebelum ini.

Rajah 3: Pegawai sedang melaksana proses pengekstrakan bahan aktif daripada ektrak organik

Pasukan teknikal makmal PPPL yang diketuai oleh Ketua Bahagian Makmal iaitu En. Asrul Azani Mahmood telah melakukan beberapa siri analisa dan mereka telah berjaya menentusahkan ketulenan 18 sampel yang dipercayai ambergris.

Rajah 4: Pegawai sedang menganalisa sampel dengan alatan gas chromatography mass spectrometry (GCMS)

Menurut En. Asrul 18 sampel yang dihantar untuk dilakukan ujian di makmal PPPL tidak menunjukkan bacaan tiga bahan aktif utama ambergris berbanding nilai bacaan bahan penyelidikan piawai.

Kemampuan menentusahkan ketulenan muntah paus ini turut dibantu oleh pakar di Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, UMT dan Plymouth Universiti iaitu Dr. Nurul Huda Abdul Wahab dan Prof. Dr. Rowlan J. Stevan.

Berdasarkan kepada kemampuan ini, pihak PPPL UMT boleh dianggap sebagai institusi pertama di Malaysia yang berupaya untuk menentusahkan ketulenan ambergris atau muntah paus secara kimia. Sekiranya diberikan kepercayaan pasukan teknikal makmal PPPL mampu untuk menganalisa sampel-sampel daripada luar negara.

Keputusan analisa ketulenan sesuatu sampel dapat dikeluarkan dalam tempoh seminggu memandangkan teknik ujian yang digunakan adalah rumit dan kompleks.

Rajah 5: Puncak-puncak yang didapati daripada alatan gas chromatography mass spectrometry (GCMS) mewakili ambrien, coprostanone dan epi-coprostero

Namun, sekiranya terdapat sampel yang dihantar itu adalah ambergris tulen maka pemilik akan tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Perikanan 1999 (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam). Ini adalah kerana ikan paus sperma termasuk di dalam kategori spesies terancam. Oleh itu, kebenaran memiliki ambergris tulen hanya boleh dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Sesungguhnya keupayaan menentusahkan ketulen ambergris ini telah menjadi satu lagi nilai tambah kepada PPPL, UMT yang baru sahaja memperolehi akreditasi penuh MS ISO/IEC 17025:2017 bagi kompetensi analisa makmal untuk analisa permukaan bahan pada tahun 2020.

Catatan: Penulis merupakan Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan, Universiti Malaysia Terengganu

Speak Your Mind

*