Kepelbagaian Alam Cendawan

Cendawan merupakan organisma unik kerana ia tidak dikelaskan sebagai haiwan atau tumbuhan. Kebanyakan manusia menganggap cendawan adalah sejenis tumbuhan, namun secara saintifiknya, ia adalah berbeza dan tidak boleh dikategorikan sebagai tumbuhan kerana ia tidak mengandungi klorofil, pigmen yang berperanan penting sebagai pusat penghasilan makanan dan tenaga bagi sesuatu tumbuhan. Oleh kerana itu, cendawan dikelaskan di dalam kumpulan kulat (The Kingdom of Fungi). Di dalam kumpulan kulat pula, cendawan adalah unik kerana ia boleh menghasilkan struktur kompleks yang dikenali sebagai jasad buah (fruiting body); yang dikenali sebagai “cendawan”.

Secara umumnya, cendawan terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu hifa, miselium dan juga jasad buah. Hifa ialah jaringan bebenang halus yang kebiasannya berada di dalam tanah. Ia boleh dianggap sama seperti akar bagi tumbuhan lain. Jaringan beberapa hifa akan membentuk miselium dan gabungan beberapa miselium ini akhirnya akan membentuk jasad buah, yang kita kenali sebagai cendawan. Jasad buah adalah penting bagi sesuatu spesies cendawan kerana ia berperanan dalam penyebaran spora (benih cendawan). Apabila spora cendawan disebarkan ke tempat baru, ia akan berkembang membentuk hifa dan kitaran ini akan berulang untuk menghasilkan jasad buah yang baru. Namun begitu, kitar hidup bagi sesuatu cendawan adalah pendek, kebiasaannya kurang daripada seminggu.

Terdapat pelbagai jenis cendawan di dunia ini, dan secara amnya ia dibahagikan kepada dua iaitu cendawan beracun dan tidak beracun. Terdapat beberapa jenis cendawan yang beracun, namun begitu bilangannya adalah kecil. Di Malaysia, beberapa kes keracunan makanan akibat daripada memakan cendawan liar seperti Chlorophyllum molybdites telah dilaporkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Cendawan C. molybdites mempunyai rupa seakan-akan cendawan busut (Termitomyces sp.). Selain itu, satu lagi contoh cendawan beracun iaitu Amanita phalloides juga mudah ditemui di kawasan hutan Eropah. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak memakan cendawan ini kerana ia mempunyai toksin yang dikenali sebagai amatoksin yang sangat berbahaya dan tidak akan terhapus walaupun cendawan tersebut dimasak pada suhu yang tinggi. Antara simptom yang boleh dikesan jika termakan cendawan ini ialah individu tersebut akan mengalami kesakitan yang teruk pada bahagian abdomen, muntah-muntah, cirit-birit berdarah dan kehausan akibat kehilangan air yang cepat dari tubuh.

Walaupun terdapat lebih daripada 2000 spesies cendawan di dunia yang boleh dimakan, tetapi kurang dari 40 jenis sahaja yang ditanam secara komersil sebagai sumber makanan penduduk dunia. Umumnya, spesies cendawan yang boleh dimakan adalah rendah kandungan kalori, lemak, natrium, karbohidrat dan kolesterol tetapi tinggi dengan kandungan protein, mineral, vitamin dan serat. Dari segi gaya pemakanan keseluruhan, cendawan dianggap sebagai sumber protein yang terbaik berbanding sayur-sayuran dan daging haiwan.

Salah satu cendawan yang popular di Malaysia ialah Pleurotus sajor-caju, atau lebih dikenali sebagai cendawan tiram. P. sajor-caju menjadi pilihan usahawan cendawan di Malaysia kerana ia mudah ditanam, sesuai dengan iklim Malaysia dan kurang dijangkiti penyakit. Disamping itu, modal bagi penanaman cendawan ini juga adalah rendah jika dibandingkan dengan cendawan lain seperti cendawan butang (Agaricus bisporus) dan cendawan shitake (Lentinula edodes). Selain itu, kajian juga mendapati cendawan tiram mengandungi molekul bioaktif dalam bentuk polisakarida dan ini menyebabkan cendawan mempunyai sifat antivirus, antitumor, antibiotik, antibakteria, hipokolesterolik dan aktiviti imunomodulasi. Selain itu, penanaman P. sajor-caju juga menggalakkan proses kitar semula bahan buangan sisa industri pertanian yang lain. Ini kerana sisa pertanian seperti sisa jerami padi dan sisa kayu getah digunakan semula sebagai substrat bagi penanaman cendawan ini. Namun begitu, industri cendawan ini di Malaysia berkembang agak perlahan berbanding beberapa negara lain di dunia disebabkan oleh kekurangan kakitangan terlatih dari segi kemahiran teknikal, kekurangan makmal penyelidikan yang memberi tumpuan kepada cendawan dan juga kekurangan informasi berkaitan kebaikan dan kepentingan cendawan tersebut terhadap manusia.

Selain dari cendawan yang boleh dimakan dan cendawan beracun, terdapat satu lagi kumpulan cendawan yang dikenali sebagai cendawan bernilai tinggi seperti “truffle” (Rajah A). Cendawan truffle merupakan kumpulan cendawan yang biasanya ditemui di kawasan beriklim Mediterranean seperti Itali dan Perancis.  Harga bagi cendawan ini boleh mencecah sehingga RM15,000 bagi 500 gram, bergantung kepada kualiti cendawan tersebut. Cendawan ini adalah mahal disebabkan aromanya yang menarik, seterusnya memberikan kelainan rasa kepada masakan yang menggunakannya. Kini, cendawan ini telah dikomersilkan kepada beberapa jenis produk hiliran lain seperti minyak truffletruffle cheese dan sapuan mentega truffle. Sehingga kini, saintis masih tidak dapat menemui kaedah untuk menghasilkan cendawan ini di dalam makmal kerana ia hanya boleh tumbuh pada persekitaran semula jadinya sahaja, menyebabkan harga pasaran bagi cendawan ini kekal tinggi bagi tempoh yang lama.

Di Malaysia, terdapat sejenis cendawan bernilai tinggi yang jarang diperkatakan iaitu cendawan susu harimau (Lignosus rhinoceros) (Rajah B). Cendawan ini hanya boleh ditemui di kawasan hutan tropika seperti Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina. Cendawan ini telah digunakan dalam perubatan tradisional bagi masyarakat Orang Asli di Malaysia sejak 400 tahun dahulu. Jika truffle mempunyai nilai pasaran dalam industri makanan, cendawan susu harimau pula mempunyai nilai pasaran tinggi dalam industri perubatan kerana ia dikatakan dapat membantu mengurangkan pelbagai masalah kesihatan seperti batuk, selesema, demam dan lemah badan. Selain itu, kajian saintifik telah menunjukkan cendawan istimewa ini mengandungi ciri-ciri antiradang, antioksidan, antialahan dan antiasma serta mampu melegakan masalah ekzema, sakit sendi, selain mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi pesakit kanser. Kini, terdapat syarikat tempatan yang telah berjaya mengkomersilkan kaedah pengeluaran cendawan ini secara besar-besaran melalui kaedah kultur tisu. Produk yang dihasilkan berasaskan cendawan susu harimau ini juga telah berjaya dieksport keluar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, Singapura, Timur Tengah dan China.

Selain itu, terdapat sejenis cendawan eksotik yang baru ditemui di Malaysia oleh sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menariknya, cendawan ini mempunyai bentuk yang sangat unik, iaitu menyerupai otak manusia (Rajah C). Kajian awal melalui analisis penjujukan DNA mendapati bahawa cendawan ini adalah daripada spesies Calvatia cyaniformis. Namun begitu, kajian lanjutan perlu dilakukan untuk mengetahui samada cendawan ini beracun, atau mempunyai potensi untuk digunakan dalam bidang perubatan atau industri bioteknologi. Secara tidak langsung, ini membuktikan Malaysia juga kaya dengan kepelbagaian cendawan yang masih belum dikenal pasti dan berkemungkinan besar mempunyai potensi tinggi untuk dikomersilkan. Namun begitu, bantuan dalam bentuk geran penyelidikan asas (fundamental) dari agensi berkaitan adalah sangat-sangat dialu-alukan.

Kredit Foto : greenbay

Speak Your Mind

*