Kepentingan Fluorida pada Gigi Kanak-kanak: Antara Kebenaran dan Mitos

Tahukah anda, gigi berlubang atau karies adalah masalah kesihatan oral yang serius dalam kalangan kanak-kanak.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menemukan kira-kira 60% hingga 90% kanak-kanak di seluruh dunia menghadapi masalah ini. Malah kajian terkini yang dijalankan ke atas kanak-kanak sekolah di Malaysia mendapati 3 daripada setiap 10 orang kanak-kanak mempunyai masalah pergigian ini (NOHSS 2017). Amalan penjagaan kesihatan mulut yang baik seperti memberus gigi adalah penting untuk memastikan masalah karies ini dapat dicegah.  Namun ramai ibu bapa tidak mengetahui kepentingan untuk memberus gigi kanak-kanak menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida.  Sehingga kini masih ramai yang salah tafsir tentang fungsi dan keselamatan fluorida.

Kebanyakkan ibu bapa beranggapan fluorida adalah bahan bukan semula jadi dan boleh membahayakan kesihatan kanak-kanak. Sebenarnya, fluorida ialah bahan mineral yang wujud secara semula jadi.  Ianya berasal daripada ion fluorine dan boleh didapati daripada pelbagai sumber seperti makanan, air, tanah dan batu. Fluorida didapati dapat membantu menguatkan gigi dan sangat berkesan mencegah pembentukan gigi berlubang.  Malahan ia juga mampu memulihkan pembentukan karies awal pada permukaan gigi.  Kajian oleh Walsh et. al. (2019) membuktikan memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi berfluorida dua kali sehari sangat berkesan untuk mencegah kerosakan gigi.

Bagaimana fluorida berfungsi pada gigi kanak-kanak   

Secara umumnya, fluorida berfungsi untuk menghalang proses kehilangan mineral (demineralisasi) daripada lapisan enamel gigi, meningkatkan penambahan mineral (remineralisasi) pada permukaan gigi dan juga bertindak sebagai antibakteria.

Proses demineralisasi dan remineralisasi pada lapisan enamel gigi berlaku pada setiap hari.  Apabila kita makan, terutamanya makanan yang mengandungi gula, bakteria di dalam mulut akan bertindak balas dan menghasilkan asid. Asid yang terhasil akan menyerang lapisan enamel gigi dan menyebabkan kehilangan mineral (demineralisasi) kalsium-fosfat menghasilkan karies awal (lesi putih) pada permukaan gigi.  Setelah tahap keasidan di dalam mulut berkurang, mineral kalsium-fosfat yang terdapat didalam air liur akan ditambah (remineralisasi) semula ke permukaan gigi yang telah terjejas. Jika proses demineralisasi berlaku lebih kerap berbanding remineralisasi, ia akan menyebabkan pembentukan kaviti pada gigi.

Kehadiran fluorida di dalam air liur semasa proses demineralisasi dan remineralisasi membantu pencegahan kaviti gigi. Fluorida bertindak meningkatkan kualiti struktur permukaan gigi menjadikannya lebih kuat dan tahan kepada asid.  Pada masa yang sama, fluorida mampu mempercepatkan pembinaan semula struktur enamel dengan menggalakkan proses penambahan semula mineral kalsium-fosfat yang telah terurai semasa demineralisasi.  Selain itu, fluorida didapati dapat membantu melemahkan aktiviti bakteria dalam menghasilkan asid yang secara tak langsung boleh mengurangkan proses demineralisasi.

Keselamatan penggunaan fluorida

Fluorida adalah selamat untuk digunakan jika diambil pada kepekatan dan kuantiti yang dibenarkan.  Ia telah digunakan sejak lebih 70 tahun.  Sepanjang tempoh tersebut banyak bukti-bukti kajian yang kukuh menunjukkan fluorida sangat berkesan untuk membantu mencegah kejadian karies gigi dan selamat digunakan.

Walaubagaimanapun pengambilan fluorida yang berlebihan boleh menyebabkan fluorosis iaitu kecacatan pada lapisan permukaan luar gigi.  Ianya boleh berbentuk tompok-tompok putih atau yang lebih teruk terdapat lubang-lubang kecil berwarna perang.  Keadaan ini terjadi sekiranya pengambilan fluorida yang berlebihan berlaku semasa proses pembentukan dan pertumbuhan gigi.

Pengambilan fluorida yang berlebihan dalam kalangan kanak-kanak biasanya terjadi bila mereka menelan ubat gigi berfluorida secara tidak sengaja semasa memberus gigi.  Ini kerana kebanyakkan kanak-kanak suka dengan rasa ubat gigi berfluorida yang telah ditambah dengan pelbagai perisa.  Perkara ini jugalah yang menyebabkan ibu bapa bimbang dan menganggap fluorida sebagai bahan yang toksik. Fakta ini adalah tidak tepat dan masalah ini boleh dielakkan dengan mengikut panduan penggunaan yang disarankan disamping pengawasan sepenuhnya daripada ibubapa.

Fluorosis yang teruk terutamanya pada gigi hadapan boleh menyebabkan masalah estetik.  Namun, fluorosis boleh dirawat dan dibaiki.  Ibu bapa boleh mendapatkan nasihat dan rawatan sepenuhnya daripada pakar pergigian pediatrik.

Penggunaan ubat gigi berfluorida yang betul pada kanak-kanak

Ubat gigi berfluorida boleh mula digunakan pada kanak-kanak sebaik sahaja gigi mula tumbuh.  Kajian yang sama oleh Walsh et. al. (2019) mendapati, penggunaan ubat gigi berfluorida yang berkepekatan 1000ppm dan ke atas sangat berkesan mencegah kejadian karies.  Kepekatan optima fluorida yang dibenarkan di dalam ubat gigi adalah mengikut peringkat umur dan ia juga bergantung pada tahap risiko kejadian karies pada setiap individu kanak-kanak.  Ibu bapa memainkan peranan untuk memantau dan membantu anak-anak memberus gigi bagi memastikan ubat gigi berfluorida yang digunakan mengikut kuantiti yang disyorkan dan supaya mereka tidak tertelan ubat gigi.

Bagi kanak-kanak yang berumur bawah 3 tahun, Akademik Pergigian Pediatrik Amerika (AAPD) menyarankan pengunaan hanya secalit tipis (smear) atau sebesar butir beras sahaja ubat gigi berfluorida (Gambar 1).  Manakala bagi kanak-kanak berumur 3 tahun dan ke atas, saiz yang disyorkan adalah sebesar kacang pis (Gambar 2).  Apabila kanak-kanak berumur 7 tahun ke atas, kepekatan ubat gigi berfluorida yang digunakan perlu sama dengan kepekatan ubat gigi dewasa (1350-1500ppm). Kuantiti yang disarankan ini sudah mencukupi untuk membantu mencegah kejadian karies dan selamat digunakan.

Gambar 1 : Bawah 3 tahun = secalit tipis/ butir beras
Gambar 2 : 3 tahun dan ke atas = kacang pis

Anggaran kuantiti penggunaan ubat gigi berfluorida pada kanak-kanak mengikut umur
(sumber : mouthhealty)

Kebanyakkan ubat gigi berfluorida kanak-kanak yang berada di pasaran berkepekatan sekitar 500-600ppm, di bawah paras optima yang disarankan untuk membantu mencegah karies.  Bagi mendapat kebaikan yang maksima, ibu bapa disarankan untuk memilih ubat gigi berfluorida yang berkepekatan sekurang-kurangnya 1000ppm.  Disamping itu, ubat gigi berfluorida kanak-kanak juga di buat dengan pelbagai perisa untuk menggalakkan kanak-kanak memberus gigi.  Ini boleh menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung untuk tertelan ubat gigi kerana sukakan perisa-perisa tersebut.  Ubat gigi berperisa ini disarankan hanya digunakan pada peringkat awal ketika memperkenalkan ubat gigi kepada anak-anak.  Ibu bapa boleh memilih apa sahaja jenama ubat gigi berfluorida yang terdapat di pasaran namun dinasihatkan untuk membaca label pada ubat gigi bagi menyemak kandungan fluorida seperti yang disarankan.

Panduan memberus gigi kanak-kanak menggunakan ubat gigi berfluorida

Amalan memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida adalah sangat berkesan untuk mencegah kejadian karies.  Ibu bapa boleh memberus gigi anak-anak pada waktu pagi dan sebelah malam sebelum tidur.  Memberus gigi pada waktu malam seeloknya dilakukan selepas selesai makan atau minum susu.  Ini untuk memastikan tiada sisa makanan pada permukaan gigi kanak-kanak semasa tidur pada waktu malam.  Semasa tidur, penghasilan air liur berkurangan dan ini menyebabkan proses demineralisasi berlaku lebih kerap menyebabkan gigi menjadi lebih cepat rosak.  Ibu bapa disarankan untuk memberus gigi anak-anak selama 2 minit menggunakan berus gigi yang lembut.

Ibu bapa perlu mengikuti anggaran kuantiti penggunaan ubat gigi berfluorida seperti yang disarankan dengan betul. Ibu bapa juga dinasihatkan untuk sama-sama membantu memberus gigi kanak-kanak terutamanya yang berumur lebih kecil (6 tahun ke bawah).  Ini untuk memastikan gigi dan mulut anak-anak benar-benar bersih kerana pada umur ini biasanya mereka tidak dapat memberus gigi dengan betul disebabkan sistem pergerakan tangan mereka masih belum matang.  Ibu bapa disarankan untuk menyelia dan bantu anak-anak semasa memberus gigi sehingga mereka berumur 7 tahun dan mampu memberus gigi sendiri dengan efektif.  Kanak-kanak juga perlu dididik supaya meludah selepas memberus gigi dan tidak menelan atau menjilat ubat gigi berfluorida.

Kanak-kanak perlu dibawa untuk pemeriksaan gigi secara berkala seawal gigi pertama kelihatan mula tumbuh bagi membiasakan mereka dengan suasana di klinik pergigian.  Langkah ini juga penting untuk membolehkan ibu bapa mendapat maklumat yang betul dalam penjagaan gigi anak-anak terutamanya teknik memberus gigi dan info berkenaan penggunaan ubat gigi berfluorida.  Pemeriksaan berkala ini boleh dilakukan sekurang-kurangnya setahun sekali.

Kesimpulannya, memberus gigi menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida adalah sangat penting untuk membantu pencegahan kejadian karies di kalangan kanak-kanak. Fluorida di dalam ubat gigi adalah selamat untuk digunakan.  Walaubagaimanapun, ibu bapa hendaklah memastikan bahawa ubat gigi berfluorida digunakan sepertimana yang disarankan bagi mendapatkan kesan positif yang maksima. Selain itu, ibu bapa juga mestilah mengambil tanggungjawab untuk mengawasi, membantu dan mendidik anak-anak untuk memberus gigi dengan betul agar mereka memiliki kesihatan oral yang baik dan terus membesar dengan sihat.

Rujukan 

  1. World Health Organization (WHO). Available at https://www.who.int/health-topics/oral-health
  2. Walsh T, Worthington HV, Glenny AM, Marinho VCC, Jeroncic A. Fluoride toothpastes of different concentrations for preventing dental caries. Cochrane Database of Systematic Reviews 2019, Issue 3. Art. No.: CD007868. DOI: 10.1002/14651858.CD007868.pub3. Accessed 17 November 2021.
  3. Oral Health Division, Ministry of Health Malaysia. National Oral Health Survey for School Children 2017 (NOHSS 2017).
  4. American Dental Association (ADA). Available at https://www.mouthhealthy.org/en/babies-and-kids/healthy-habits
  5. American Academy of Paediatric Dentistry (AAPD). Available at http://www.aapd.org/media/Policies_Guidelines/G_fluoridetherapy.pdf

Kredit Foto :  heathline

Speak Your Mind

*