Membongkar Rahsia Makhluk Bertubuh Kecil, Si Perosak Beras

NASI merupakan makanan ruji rakyat Malaysia. Hidangan nasi sering diambil pada waktu makan tengahari, malam dan juga waktu sarapan pagi. Meskipun nasi dikategorikan sebagai makanan ruji, namun sumber bekalan beras ini masih diimport dari negara luar seperti Pakistan, Thailand, Kemboja, India dan lain-lain. Import beras dijalankan bagi memastikan stok beras negara ini mencukupi untuk dijadikan stok simpanan negara sekurang-kurangnya enam bulan di gudang simpanan beras bagi tujuan biosekuriti. Apa yang menariknya, terdapat makhluk kecil yang mendiami, menginfestasi, sekaligus merosakkan bijirin beras. Di skala yang besar, pengurangan kualiti produk di gudang penyimpanan beras adalah sangat bererti dan dititikberatkan. Manakala, pada skala kecil iaitu di bekas simpanan beras di rumah-rumah dan kedai runcit, bijirin beras akan kelihatan seperti kotor dan geli untuk dimakan jika terdapat kehadiran ratusan mahupun ribuan makhluk kecil ini.

Makhluk kecil? Spesies apakah yang dirujuk? Makhluk kecil ini merujuk kepada spesies serangga yang dikenali sebagai serangga perosak bijirin beras, merujuk kepada serangga kumbang dan rama-rama. Spesies ini merosakkan atau menginfestasi bijirin beras. Antara spesies yang sering ditemui adalah bubuk beras, Sitophilus oryzae (lesser grain weevil) dan Oryzaephilus surinamensis (sawtoothed grain beetle). Kedua-dua spesies ini dikategorikan sebagai spesies perosak lepas tuai atau postharvest dalam Bahasa Inggerisnya (Rajah 1). Spesies ini agak kerap ditemui di stok simpanan beras di rumah-rumah jika bijirin telah disimpan dalam tempoh yang lama. Tempoh yang lama ini membenarkan telur serangga berkembang menjadi peringkat larva, pupa dan dewasa. Di samping merosakkan beras, kebanyakkan spesies ini juga menjadi perosak kepada produk stok simpanan kering seperti kekacang, rempah, tepung, susu formula, buah-buahan kering dan juga lain-lain.

Rajah 1. Beras yang diinfestasi serangga perosak

Terdapat dua kumpulan serangga perosak bijirin beras yang dikategorikan berdasarkan kepada corak kerosakan yang dibuat terhadap beras. Kumpulan pertama dikenali sebagai spesies primer yang merosakkan bijiran beras secara langsung dengan memakan bijirin dan menebuk bijirin tersebut untuk bertelur di dalamnya, seterusnya menjadikan medium tersebut sebagai tempat pembiakannya. Antara spesies primer pada bijirin adalah S. oryzae, Rhyzopertha dominica (lesser grain borer) dan Cryptolestes ferrugineus (rusty grain beetle). Manakala, kumpulan kedua dikenali sebagai spesies sekunder yang menjadi perosak bijirin beras dengan memakan sisa bijirin yang telah dirosakkan oleh spesies primer. Oryzaephilus surinamensis, Tribolium castaneum (red flour beetle) dan Cadra cautella (dried currant moth) adalah antara contoh spesies sekunder. Selain dari itu juga, psocids yang tidak tergolong dalam spesies primer atau sekunder, turut dikenalpasti sebagai perosak bijirin beras disebabkan kehadiran dan kelimpahan yang tinggi di dalam stok beras. Spesies psocid ini bertindak memakan serangga-serangga perosak yang telah mati merujuk kepada perosak primer dan sekunder (Rajah 2).

Rajah 2. Psocid

Rata-rata spesies perosak bijirin beras ini merujuk kepada spesies kumbang dan adakalanya ia dipanggil bubuk beras. Ia juga turut dikenali dengan panggilan kutu beras, meskipun tidak tergolong di dalam kumpulan spesies kutu yang sebenar iaitu order Phiteraptera.  Kumpulan ‘kutu’ ini merujuk kepada kutu rambut, kutu kucing dan lain-lain yang menjadikan perumah sebagai ektoparasit. Melalui beberapa siri penyelidikan yang dijalankan, terdapat juga spesies rama-rama yang menjadi perosak kepada bijirin beras ini. Kitar hidupnya yang menjalankan metamorfosis lengkap (telur-larva-pupa-dewasa) (Rajah 3) menjadikannya bertindak sebagai perosak dengan lebih berkesan pada peringkat larva dan juga dewasa. Satu kitaran lengkap untuk satu generasi rama-rama memakan masa hampir tiga bulan, namun tempoh ini akan berbeza mengikut spesies masing-masing.

Rajah 3. Kitaran hidup lengkap spesies rama-rama perosak beras, Cadra cautella. Telur, larva, pupa dan dewasa (kiri ke kanan)

Rupa bentuk atau morfologi setiap spesies perosak beras amat berbeza dan mudah untuk dibezakan antara satu sama lain. Walaubagaimana pun, ianya amat sukar untuk dilihat dengan menggunakan mata kasar. Kanta pembesar atau penggunaan mikroskop amat diperlukan bagi tujuan pengecaman dan pengenalpastian spesies. Jika kita lihat hasil gambar stereoskopik, serangga-serangga perosak ini kelihatan amat menakutkan dan mengerikan!

Mari kita lihat rupa bentuk spesies S. oryzae ini (Rajah 4). Spesies ini mempunyai alat mulut yang muncung dan panjang yang berfungsi untuk menggerudi dan menebuk bijirin beras untuk bertelur di dalamnya. Larva dan dewasanya akan memakan bahagian dalam bijirin dan berkembang di dalamnya, sekaligus menyebabkan kaviti bijirin kosong, semakin ringan dan sangat rendah kualitinya untuk jualan. Oleh sebab perkembangan hidupnya adalah di dalam bijirin, spesies ini amat sukar untuk dieradikasi atau dimusnahkan sepenuhnya. Ia berselindung di dalam kaviti bijirin dan menyebabkan ketidakupayaan racun perosak untuk menembusi bijirin untuk membunuh telur. Selain dari itu, spesies R. dominica dan C. ferrugineus juga antara spesies yang direkodkan sebagai perosak bijirin beras primer (Rajah 4).

Rajah 4. Spesies perosak primer, Sitophilus oryzae (kiri), Rhyzopertha dominica (tengah) dan Cyptolestes ferrugineus (kanan)

Selain dari itu juga, salah satu spesies perosak sekunder adalah O. surinamensis. Spesies ini juga mempunyai struktur morfologi badan yang unik dengan mempunyai struktur bergigi seperti mata gergaji di sisi kanan dan kiri pada bahagian segmen depan tubuhnya. Ciri yang dimilikinya ini sangat selari dengan nama umumnya iaitu sawtoothed grain beetle, kumbang gigi mata gergaji. Spesies ini mendapatkan makanan dengan menjadi perosak pada peringkat larva dan dewasanya dengan memakan cebisan-cebisan beras yang dirosakkan oleh perosak primer. Antara dua spesies sekunder lain yang kerap ditemui di gudang beras adalah spesies T. castaneum dan C. cautella (Rajah 5).

Rajah 5. Spesies perosak sekunder, Oryzaephilus surinamensis (kiri), Tribolium castaneum (tengah) dan Cadra cautella (kanan)

Spesies perosak ini mempunyai taburan yang meluas di seluruh dunia dan ia dikenali sebagai spesies kosmopolitan. Penyebarannya adalah melalui pemindahan guni-guni beras yang beribu-ribu tan beratnya melalui proses import dan eskport, masuk dan keluar negara pengimport dan pengeksport. Meskipun terdapat langkah-langkah kawalan ke atas spesies ini seperti fumigasi atau pewasapan di sempadan dan pelabuhan negara, namun masih ada spesies yang mampu bertahan dan tidak terkesan dengan rawatan tersebut lantas menjadikan kadar sebarannya semakin luas dan berkembang.

Apa yang ditakuti adalah dengan kewujudan spesies kumbang Khapra, Trogoderma granarium yang direkodkan sebagai spesies invasif asing perosak pertanian oleh Jabatan Pertanian Malaysia 2021-2025 (DOA 2021). Sehingga kini, spesies ini belum pernah direkodkan wujud di Malaysia melalui proses perdagangan import beras dari luar negara. Jika kehadirannya direkodkan, arahan penutupan gudang harus dibuat serta merta dari sebarang aktiviti bagi menjalankan kerja-kerja pemusnahan dan fumigasi bagi membunuhnya.

Teknik radiasi menggunakan sinaran gama pada dos yang optimum ke atas bijirin beras merupakan antara langkah efektif bagi mematikan telur perosak yang mendiami bijirin beras ini. Kaedah ini wajib dijalankan oleh negara-negara pengeluar sebelum perdagangan import dan eksport berlaku. Selain dari itu juga, mereka perlu mengikut piawaian dunia yang digariskan bagi memastikan tiada kesan negatif residu ke atas bijiran dan mampu membunuh perosak dalam skala besar. Teknik radiasi ini juga telah diguna pakai kepada buah-buahan tempatan negara untuk diesksport ke luar negara sebagai langkah lepas tuai bagi tujuan kuarantin.

Meskipun terdapat beberapa teknik moden dan terkini telah diguna pakai, namun jumlah kos yang tinggi perlu di ambil kira memandangkan ia dikomersialkan secara besar-besaran. Oleh itu, pembalutan bagi tujuan jualan yang divakumkan merupakan antara langkah yang terbaik bagi mematikan sumber-sumber telur serangga perosak yang masih kekal ada di dalam bijirin. Namun, aplikasi ini sering diguna pada beras berkualiti tinggi dan dijual dalam jumlah yang lebih mahal kerana mengambil kira kos pembalutan plastik vakum. Petua yang digunakan oleh rakyat Malaysia dengan menyimpan cili kering di dalam bekas simpanan merupakan antara langkah-langkah yang mudah, murah dan efektif bagi menilai keberadaan serangga perosak ini dengan bertindak sebagai repelen. Terdapat juga beberapa kajian yang masih dijalankan dengan menggunakan tumbuhan-tumbuhan herba bagi membantu mengawal infestasi dan kerosakan serangga perosak yang lebih mesra alam. Perkara ini diyakini kerana tanaman tersebut mempunyai sebatian yang berpotensi untuk bertindak sebagai repelen.

Kesimpulannya, industri pertanian khususnya penanaman padi di Malaysia (Rajah 6) harus digiatkan dan ditambah keluasannya bagi memastikan sumber beras ini mencukupi tanpa mengimport sumber beras daripada luar negara. Ini merupakan cadangan atau usulan terbaik bagi mengurangkan pengendalian beras serta perosaknya dalam jangka masa panjang selain menjadikan sumber beras Malaysia mencukupi. Langkah ini juga akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi meningkatkan ekonomi masyarakat Malaysia.

Rajah 6. Pemandangan sawah padi

Info Penulis;

Prof. Madya Dr. Salmah Yaakop – salmah78@ukm.edu.my

Salmah Yaakop merupakan pensyarah kanan di Pusat Sistematik Serangga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bidang kepakarannya adalah dalam Sistematik Serangga,  Kepelbagaian Serangga dan Taksonomi Braconidae (Hymenoptera). Beliau telah menerima Ijazah Doktor Falsafah dari State Universiti of Groningen, The Netherlands dalam bidang Biologi Evolusi, manakala, BSc. dan MSc. dari UKM (Zoologi-Entomologi). Beliau juga aktif menjalankan penyelidikan ke atas serangga perosak stok simpanan, serta perosak, pendebunga, pemangsa, pengurai dan parasitoid tanaman dagangan. Banyak penerbitan jurnal, buku dan bab dalam buku berkaitan bidang telah diterbitkan khususnya bagi tujuan pemuliharaan.


Dr
. Syarifah Zulaikha Syed Ahmad – syarifahzulaikha92@gmail.com

Syarifah Zulaikha Syed Ahmad merupakan seorang penyelidik khususnya berkenaan spesies perosak beras di gudang simpanan beras. Beliau telah memulakan bidang pengajiannya di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2011 dengan BSc. dan MSc. dalam bidang Entomologi, dan menerima Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dengan pengkhususan Zoologi. Meskipun sekarang beliau menceburkan diri di dalam bidang kemanusiaan, namun beliau masih aktif menulis jurnal berkenaan biologi serta genetik serangga perosak beras sebagai rujukan kepada industri beras di Malaysia.


Rujukan

DOA, 2021. National Action Plan on Invasive Alien Species 2021-2025. Jabatan Pertanian, Malaysia. Putrajaya. ISBN 978-983-047-274-4

Syed Ahmad Syarifah Zulaikha and Salmah Yaakop. 2021. Spatial and temporal aggregation of Oryzaephilus surinamensis from Peninsular Malaysia. Pakistan Journal of Agricultural Science. 58(4): 1123-1130.

Syed Ahmad Syarifah-Zulaikha, Madihah Halim, Ameyra Zuki Aman & Salmah Yaakop. 2021. Haplotype Analysis and Phylogeny of Oryzaephilus surinamensis Populations from Four Regions in Peninsular Malaysia.  Journal of Tropical Agricultural Science. 44 (3): 565 – 582.

Suhana Yusof, Ahmad Zainuri Mohamad Dzomir, and Salmah Yaakop. 2019. Effect of Irradiating Puparia of Oriental Fruit Fly (Diptera: Tephritidae) on Adult Survival and Fecundity for Sterile Insect Technique and Quarantine Purposes. Journal of Economic Entomology 2808–2816: 1–9.

Syarifah Zulaikha, S. A., Halim, M., Nor Atikah, A. R. and Yaakop, S.  2018. Diversity and abundance of storage pest in rice warehouses in Klang, Selangor, Malaysia. Serangga. 23(2): 259-267

Speak Your Mind

*