Buat pertama kali, takhta Google sebagai laman web paling popular di dunia dirampas dan menurut laporan, ia dipintas ‘pendatang baharu’ pada penghujung tahun 2021 mengikut ranking yang dikeluarkan oleh Cloudflare Radar.
Menduduki tempat pertama sebagai laman web paling popular dan dicari ramai adalah TikTok, aplikasi perkongsian video pendek yang dilaporkan mempunyai 1 billion pengguna aktif seluruh dunia.
Menurut data yang dikeluarkan Cloudflare, TikTok pada awalnya telah menduduki tempat pertama pada Februari 2021, namun ianya kekal hanya untuk sehari sebelum ‘jatuh’. Selepas itu, TikTok kembali sebagai laman web paling popular pada bulan Mac.
Difahamkan, sambutan luar biasa pengguna terhadap aplikasi ini berjaya membuatkan banyak media sosial ‘tenggelam’ terutamanya Facebook yang selama ini sering berada di belakang Google.
Tapi, bila difikirkan balik ‘penangan’ TikTok ni bukan main! Ada banyak artis tempatan atau nama ‘kecil’ yang berjaya dikenali seluruh dunia gara-gara lagu mereka digunakan sebagai lagu latar di aplikasi berkenaan.
Sebagai contoh Bella Porch, Lil Nas X, Doja Cat, Maneskin dan ramai lagi, malah artis tempatan pun sempat ‘menumpang’ populariti TikTok selepas lagu mereka menjadi siulan ramai di Indonesia gara-gara digunakan sebagai lagu latar.
Berikut adalah ranking ‘semasa’ populariti laman web seluruh dunia :
1) TikTok.com
2) Google.com
3) Facebook.com
4) Microsoft.com
5) Apple.com
6) Amazon.com
7) YouTube.com
8) Netflix.com
9) WhatApp.com
10) Instagram.com
Untuk rekod, difahamkan terdapat sekitar 4 juta pengguna TikTok di Malaysia sejak aplikasi tersebut dilancarkan secara rasmi ke pasaran dunia pada tahun 2017 dan kalau korang belum follow, Lobak Merah pun ada TikTok tau!