Deprecated: Function add_custom_background is deprecated since version 3.4.0! Use add_theme_support( 'custom-background', $args ) instead. in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-includes/functions.php on line 6078
June 16, 2024 | Stop Being Busy

Archives for January 5, 2022


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Riak, Menunjuk-Nunjuk Semata-Mata Mahu Meraih Pujian Manusia Boleh Membinasakan Iman Kita

AWAL Februari lalu, media sosial meledak dengan kewujudan sebuah halaman Facebook yang dinamakan Riak Apa Hari Ini? Seperti menongkah arus, pengendalinya membenarkan setiap pelayar memuat naik segala aktiviti dan gambar.

Selari dengan namanya, kebanyakan foto menunjukkan sisi kekayaan seseorang. Antaranya seperti barang kemas dengan kapsyen yang agak angkuh. Paling dikesali, perbualan di antara lelaki dan perempuan ajnabi berlangsung bebas tanpa batas agama.

Perkembangan itu sangat mengecewakan ramai sehingga agamawan terkenal negara, Asma’ Harun menegur pengendali halaman berkenaan menerusi satu hantaran di platform Facebooknya.
Beliau antara lain berkata: “Mohon pengendali halaman tukar tajuk atau tutup terus. Pelbagai kemungkaran dan dosa sedang dihalalkan atas nama gurauan. Jangan indahkan perkataan keji, riak atas nama gurauan.”

Namun, pandangan tersebut seperti dipandang sepi, sedangkan dalam Islam, perilaku riak atau meninggi diri adalah penyakit rohani yang sangat ditegah. Ini kerana hidup dan jiwa seseorang akan penuh dengan kebohongan dan kepalsuan semata-mata.

Tidak ikhlas

Sinar Islam Plus kemudian berdiskusi lanjut dengan pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil mengenai sikap mazmumah tersebut.

Ujar beliau, riak merupakan satu sifat yang menyaksikan seseorang melakukan sesuatu perkara kebaikan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk ataupun mahu mendapat pujian orang sekeliling.

Dalam bahasa mudahnya, mereka melakukan ‘kebaikan’ tanpa niat yang ikhlas, sebaliknya hanya mahu mendapat sanjungan dan penghormatan dalam kalangan masyarakat agar diri sentiasa dipandang mulia.
Memperkukuhkan lagi kenyataannya, pendakwah itu kemudian memetik bait-bait kata Al-Hafidz Ibnu Hajar al-Asqolani dalam kitabnya Fathul Baari yang berbunyi: “Riak adalah menampakkan ibadah dengan tujuan dilihat manusia, lalu mereka memuji pelaku amalan itu.”

Jelas beliau, sifat berkenaan sangat tidak baik dan boleh memakan diri sendiri. Ia berbeza jika sesuatu yang dilaksanakan bertujuan untuk mendidik.

“Sebagai contoh, seorang ayah menderma ke dalam tabung masjid dan dilihat oleh anaknya, lalu si ayah berpesan agar mencontohi amalan yang dilakukannya itu. Perbuatan ini tidak dipanggil sebagai riak,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengapa segelintir manusia memiliki kecondongan bersikap meninggi diri, Mohamad Amiro Safwan atau Amiro menjelaskan sebab musababnya.

“Banyak faktor yang mendorong mereka suka berbuat demikian. Namun, alasan yang paling ketara adalah disebabkan harta yang melimpah,” ujarnya menoktahkan kata.

Dalam hal tersebut, Imam Ahmad Ibnu Hanbal pernah menyebut: “Kekayaan yang datang kepada seseorang, boleh mengubah akhlak yang pada awalnya baik menjadi sebaliknya. Jika kamu berjaya mengurus kekayaan dengan jalan yang diajarkan oleh ALLAH SWT, maka kekayaan akan menjadikan kamu lebih dekat kepada-NYA.”

Dalam pada itu, apa perbezaan di antara riak dan takabbur? Kata pendakwah itu, kedua-dua perkataan berkenaan memberi definisi yang berbeza.

Riak terang beliau, lebih menjurus kepada perbuatan iaitu seseorang insan menunjuk-nunjuk, menayang sesuatu yang mahal yang mana kebanyakan orang tidak mampu memilikinya.

Sementara takabbur lebih cenderung kepada perkataan. Kata-kata yang keluar daripada mulut seseorang akan menggambarkan betapa angkuhnya percakapan yang dibutirkan.

Antara contoh ayat, ‘aku tak solat pun, tapi hati aku baik, suka tolong orang.’ atau ‘tuhan pun tak panah aku dengan petir, kau yang sibuk-sikut ajak aku sembahyang dah kenapa, kuburkan lain-lain.’
“Dalam dunia yang fana ini, pertuturan itu sudah dianggap berlebihan. Apabila tiba pada hari pembalasan kelak, dialah juga orang yang paling sengsara.

Ia tidak akan seseorang melayari syurga ALLAH SWT yang mahal, tetapi menuju ke seburuk-buruk tempat yang penuh kehinaan,” katanya yang mahu umat Islam segera mengubah tingkah laku jelek berkenaan jika sudah terlanjur melakukannya sebelum ini.

Tipu daya iblis

Sementara itu, pendakwah Hamizul Abdul Hamid berkata, riak adalah permainan iblis untuk menggoda manusia.

“Ia juga boleh dikategorikan sebagai masalah hati yang sukar dilihat dengan mata kasar. Disebabkan itu, tiada sesiapa pun yang dikecualikan daripada terjerumus ke dalam sifat tersebut. Golongan alim ulama pun cenderung untuk bersifat sebegini jika hatinya terpesong walaupun sesaat,” katanya berterus terang.

Namun begitu, ujar Hamizul, iblis telah mengaku di hadapan ALLAH SWT bahawa hanya satu golongan manusia sahaja yang selamat iaitu mereka yang ikhlas dalam amalannya.

Firman ALLAH dalam Surah al-Hijr, ayat 39 hingga 40: “Wahai Tuhanku (kata Iblis), oleh kerana ENGKAU telah memutuskan bahawa aku sesat, pasti aku akan menjadikan mereka (umat manusia) memandang baik (kepada perbuatan maksiat) di muka bumi, dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya (melakukan kemungkaran termasuk riak dalam beramal), kecuali hamba-hamba ENGKAU yang ikhlas di antara mereka.”

Melihat kepada ayat suci berkenaan, agamawan berkenaan menjelaskan, menerapkan sifat ikhlas dalam diri adalah wajib.

“Namun, ikhlas mestilah bermula dengan ilmu dan diasah dalam kehidupan sehari-hari,” katanya.

Hamizul yang juga Ketua Jabatan Sekretariat Dakwah Lembaga Zakat Selangor menambah, kewujudan karakter riak boleh berlaku bergantung kepada keadaan dan kedudukan.

Tidak dinafikan lebih mudah bagi mereka yang diberikan sesuatu kelebihan atau mempunyai kedudukan tertentu untuk terpengaruh dengan sifat riak, katanya.

“Misalnya lelaki yang bersuara sedap, merdu dan lunak, lalu dia diangkat menjadi muazzin masjid. Apabila dia melaungkan azan, maka suaranya yang sedap itu menarik ramai orang dan menjadi buah mulut sehingga ramai orang yang memujinya.

Dari situ, timbul rasa bangga dalam diri sehingga terdetik di dalam hatinya mahu menunjuk-nunjuk kehebatan yang dimiliki. Akhirnya, setiap kali mahu azan, dia melaungkan azan dengan cara terbaik demi manusia. Inilah yang mencetuskan perasaan riak,” ujarnya.

Bagaimanapun, masih terdapat ruang dan peluang untuk muazzin tersebut memperbetulkan kembali niatnya.

“Lelaki itu kena segera beristighfar, luruskan kembali niat kerana ALLAH SWT. Kena ingat, amalan yang dibuat kerana manusia, tidak akan mendatangkan pahala dan manfaat di sisi-NYA,” ungkap beliau.

Dalam Surah al-Baiyyinah, ayat 5, ALLAH berfirman: “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepada-NYA.”

Melanjutkan bicaranya, Hamizul turut menyentuh kedudukan seseorang yang dipertanggungjawabkan oleh masyarakat untuk menggalas jawatan pemimpin.

“Sebagai individu yang berjawatan, pasti mereka banyak melakukan kebaikan, antaranya membantu golongan fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas, membaiki fasiliti awam serta lain-lain perkara lagi. Orang ramai pasti akan memuji tindak-tanduknya.

“Di sini akan terjatuh riak jika mereka gagal menata hati untuk lurus dan ikhlas semata-mata kerana ALLAH SWT. Bagi orang yang berilmu sekali pun, hakikatnya mereka tetap boleh berpelakuan riak jika tidak berhati-hati,” kata beliau.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Sifat Riak, Sombong Boleh Membuatkan Manusia Mudah Lupa Kepada YANG MAHA ESA

MENURUT pendakwah Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, ALLAH SWT sangat membenci hamba-NYA yang bersifat riak.

Mengapa? DIA mengetahui bahawa perbuatan tercela itu akan menyebabkan manusia melupakan-NYA. Ia juga menjadi punca persengketaan sesama manusia sehingga mampu menumpahkan darah jika tidak diatasi sebaik-baiknya.

Disebabkan itulah ALLAH SWT mengutuskan junjungan besar Nabi Muhammad SAW yang mempunyai semua sifat terpuji kepada umat akhir zaman,” kata Timbalan Dekan Jaringan dan Alumni, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Justeru, ujar beliau, seluruh umat Islam disarankan menjauhi sifat riak kerana ia merupakan perbuatan yang amat tidak disenangi oleh ALLAH SWT dan juga Nabi Muhammad SAW.

Daripada Abdullah Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW berkata: “Tidak akan masuk ke dalam syurga, seseorang yang di dalam hatinya (walaupun sebesar zarah) sifat riak (sombong).” (Hadis Riwayat Muslim)

Merujuk kepada hadis berkenaan, beliau berkata, sifat terkutuk berkenaan jika terus diamalkan boleh mengheret seseorang terus ke neraka.
Selain ditimbuni harta yang melimpah seperti yang disebut oleh pendakwah Mohamad Amiro Safwan Mohamad Kamil, penceramah itu berkata, segelintir individu memilih bersikap sedemikian rupa kerana sentiasa berfikir dirinya sahaja yang betul.

Mereka juga dilihat gemar memperlekehkan kemampuan orang lain kerana baginya, hanya dia yang mampu melakukannya. Golongan itu juga rasa tiada orang yang lebih hebat melainkan dirinya saja dan dia memiliki lebih daripada orang lain. Tidak kurang yang sangat berbangga dengan pangkat dan darjat serta keturunan yang dimiliki,” ujarnya.

Selain riak, manusia juga kata beliau, dicegah daripada berperlakuan sombong selama mana mereka bernafas di muka bumi ini.
Dalam Surah Lukman, ayat 18: “Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong), dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya ALLAH tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”

Sesungguhnya, ikhlas beribadah semata-mata kerana ILAHI dengan sendirinya akan memperkuatkan mental kita daripada menjauhi riak, kata Dr Mohd Izhar.

Justeru, bagi menghindarinya, kita dianjurkan membaca doa ‘Allahumma inni a’udzubika an usyrika bika wa ana a’lamu wa astagfiruka lima la a’lam.’

Ia membawa maksud: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepada-MU daripada perbuatan menyekutukan-MU di saat aku mengetahui dan aku mohon ampunan dari riak di saat aku tidak mengetahui.”


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Harta Pusaka Seringkali Menjadi Pendebatan Oleh Ahli Waris Si Mati. Berikut Antara Inti Pati Yang Kita Wajib Tahu

MENURUT Islam, harta pusaka bermaksud harta peninggalan orang mati yang akan diagihkan kepada waris yang berhak. Menurut istilah undang-undang sivil pula, ia adalah harta benda yang ditinggalkan oleh orang mati untuk warisnya atau orang lain, tetapi tidak termasuk harta yang telah diserahkan kepada orang lain semasa hayatnya.

Sejak dulu lagi, harta pusaka seringkali menjadi isu pendebatan dalam kalangan ahli waris si mati.

Hakikatnya, harta itu seharusnya ditadbir urus oleh seorang pentadbir atau pemegang amanah yang dilantik oleh waris dengan membuat permohonan pusaka melalui Borang A di Pejabat Tanah Daerah atau Negeri di mana ia (harta) itu terletak.

Harta terdiri daripada harta alih dan harta tidak alih. Harta alih merangkumi wang tunai, kenderaan, insurans, barang kemas dan sebagainya. Harta tidak alih pula termasuklah tanah dan kepentingan hak atau faedah yang terdapat atau didapati daripada tanah.

Secara umumnya, tiga agensi iaitu Pejabat Tanah, Amanah Raya Berhad dan Mahkamah Tinggi Sivil yang menguruskan permohonan dan pembahagian harta pusaka berdasarkan nilaian dan jenis.

Pemohon atau waris si mati perlu mengenal pasti harta pusaka si mati terletak di bawah bidang kuasa siapa? Jika daripada harta tidak alih bersekali dengan harta alih yang nilaiannya di bawah RM2 juta dan tidak mempunyai wasiat, mereka boleh memfailkan permohonan di Pejabat Tanah. Harta tersebut dikenali sebagai harta pusaka kecil.

Sekiranya di bawah kategori harta pusaka besar iaitu nilaiannya melebihi RM2 juta bagi harta alih dan tidak alih serta mempunyai wasiat, permohonan boleh dikemukakan di Mahkamah Tinggi Sivil.

Namun, harta pusaka yang melibatkan harta alih sahaja dan nilaiannya kurang daripada RM600,000, mereka yang terbabit boleh menuntut harta pusaka ringkas di Amanah Raya Berhad.

Hak

Sebenarnya, harta pusaka si mati bukan sahaja dianggap sebagai aset, tetapi juga meliputi liabiliti di dalamnya. Menurut jumhur ulama seperti Imam Hanafi, Imam Maliki dan Imam Syafie, liabiliti (hak) yang berkaitan dengan harta pusaka terbahagi kepada lima kategori iaitu:
i) Hak barangan.
ii) Hak mempersiapkan penggebumian jenazah si mati.
iii) Hak melangsaikan hutang.
iv) Hak melaksanakan wasiat.
v) Hak mengagihkan baki harta peninggalan si mati kepada semua waris yang berhak menurut hukum faraid.

Hukum faraid atau dikenali sebagai undang-undang pusaka Islam merupakan pilihan terakhir waris jika tiada kesepakatan sesama waris. Berdasarkan ijmak para fuqaha, liabiliti harta pusaka mempunyai turutan atau susunan mengikut keutamaan yang perlu diraikan antara satu sama lain.

Susunan pertama: Hak barangan si mati. Sebagai contoh, apabila harta si mati telah digadaikan dan masih berada di bawah kuasa pemegang gadaian, maka mereka (pemegang gadaian) merupakan orang yang paling berhak untuk memiliki harta gadaian tersebut.

Susunan kedua: Perbelanjaan pengebumian dan pengurusan jenazah termasuklah kos lain seperti memandikan, mengkafankan, menggali kubur dan membawa jenazah ke liang lahad. Kesemua perbelanjaan hendaklah diambil daripada harta peninggalan si mati jika mempunyai harta. Jika tiada, ia perlu ditanggung oleh waris si mati.

Namun, seandainya waris juga tidak mampu, menjadi tanggungjawab Baitulmal untuk menanggungnya kerana mengurus jenazah adalah fardhu kifayah.

Susunan ketiga: Melangsaikan hutang si mati. Ia perlu dilunaskan daripada harta peninggalannya dan menjadi kewajipan ahli waris untuk menjelaskannya.
Hutang terbahagi kepada dua iaitu hutang ALLAH (zakat, kaffarah, nazar, dan fardhu haji) dan hutang sesama manusia (termasuk harta sepencarian).

Susunan keempat: Perlaksanaan wasiat terhad kepada satu pertiga daripada keseluruhan harta peninggalan si mati dengan persetujuan ahli waris, setelah ditolak kos pengurusan pengebumian jenazah dan dijelaskan hutang-piutang si mati.
Sekiranya wasiat melebihi daripada jumlah itu, ia hanya sah setakat satu pertiga sahaja dengan keizinan waris.

Susunan terakhir: Pengagihan harta pusaka kepada ahli waris yang berhak seperti yang dinyatakan dalam al-Quran, sunnah dan ijmak. Bagaimanapun, waris juga boleh membuat pembahagian secara sama rata (muafakat) atau menolak bahagian kepada waris lain semasa sesi perbicaraan pusaka di Pejabat Tanah atau mengisi Borang DDA sekiranya waris tidak dapat hadir semasa perbicaraan berlangsung.

Kesimpulannya, apabila seseorang meninggal dunia dan meninggalkan harta, waris akan mewarisi aset peninggalan si mati berserta liabiliti.

Ahli waris kemudian diberi amanah untuk mentadbir dan mengagihkan harta pusaka serta menunaikan hak dan tanggungjawab si mati selepas hayatnya.

Jikalau semua waris tahu dan sedar kepentingan mengurus, jumlah harta pusaka yang tidak dituntut atau berstatus beku dan tergantung dapat dikurangkan.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Suami Sempat Tulis Lafaz Cerai Kepada Isteri Kedua Melalui WhatsApp Sebelum Meninggal Dunia

MESKIPUN pertemuan di antara Syazwan Abdillah, 55, dan Khadijah Abu Kasim, 42, (bukan nama sebenar) singkat, mereka memutuskan untuk berkahwin.

Nampaknya, hubungan kedua-duanya cukup bahagia dan kasih sayang semakin bertaut apabila pasangan itu dikurniakan sepasang cahaya mata yang comel.

Pun demikian, selepas 20 tahun membina mahligai, rumah tangga Syazwan dan Khadijah dilanda badai.

Itu semua gara-gara kehadiran orang ketiga, Fadilah Mohd yang telah mencuri hati Syazwan. Bapa kepada dua anak tersebut tanpa rasa bersalah bermain cinta dengan janda dua anak.

Episod kecurangan lelaki itu akhirnya sampai ke pengetahuan Khadijah. Walau berkali-kali dipujuk, Syazwan tetap dengan pendiriannya untuk menikahi Fadilah yang 15 tahun lebih muda daripadanya.
Akhirnya, dengan penuh rasa pasrah, Khadijah merelakan keputusan suaminya bagi mengelak lelaki tersebut terus ‘dihurungi‘ maksiat.

Pun demikian, selang beberapa tahun, Syazwan meninggal dunia akibat penyakit jantung. Ketika bergelar suami isteri, Syazwan dan Fadilah tidak memiliki cahaya mata.

Sebelum menutup mata, rupa-rupanya lelaki tersebut sempat menulis mesej di aplikasi Whatsapp mengenai pengakuannya yang telah menceraikan isteri kedua, Fadilah dengan menggunakan lafaz cerai.
Bagaimanapun, wanita itu tidak tahu menahu dirinya diceraikan. Malah, sebaik pemergian Syazwan, Fadilah terus mendaftarkan namanya bersama anak-anak (zuriat bersama bekas suami pertama) sebagai waris sah untuk menerima pencen arwah.

Selang beberapa ketika, hal tersebut menjengah ke telinga Khadijah.

Bagaimanapun, selepas meneliti Whatsapp Allahyarham suaminya, wanita itu mendapati, tiada langsung perkataan cerai yang boleh menjatuhkan talak kepada madunya.

Namun, beliau bukanlah orang yang layak menentukan semuanya. Sehubungan itu, Khadijah mengambil keputusan untuk merujuk ke mahkamah syariah.

Beliau antara lain membuat permohanan agar mahkamah menyekat wang pencen Ali daripada terus diterima oleh Fadilah dan dua anaknya.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Jatuhkan Talak Guna Alat Komunikasi Moden Kaedah Yang Tidak Tepati Adab Penceraian

PEGUAM Syarie dari Tetuan Wan Rosmawai & Associates, Wan Rosmawati Wan Ali berkata, lafaz cerai melalui WhatsApp dikategorikan sebagai lafaz cerai kinayah, sama ada ia (lafaz) jelas atau tidak.

Ujar Wan Rosmawati, berdasarkan undang-undang syariah, untuk mensabitkan lafaz cerai sah atau tidak, perlu merujuk kepada niat si mati atau orang yang melafazkan cerai tersebut atau sekurang-kurangnya si mati telah menzahirkan lafaz tersebut secara lisan di hadapan saksi-saksi.

“Di mahkamah syariah, lafaz cerai yang dibuat seumpama ini memerlukan pengakuan suami.

“Lafaz cerai tidak disabitkan sah jika suami tidak mengaku dan mengatakan tiada niat, hatta telah menulis ‘aku ceraikan kau‘ dan kemudian terus menghantar mesej itu menerusi WhatsApp kepada pasangan,“ terang beliau ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam kes di antara Syazwan Abdillah dan Fadilah Mohd (kedua-duanya bukan nama sebenar), peguam syarie itu menjelaskan, terdapat sedikit keraguan memandangkan mesej tersebut tidak menggambarkan bahawa Ali benar-benar menceraikan Fadilah.

Kebiasaannya di mahkamah, suami akan disiasat sama ada setelah menaip lafaz cerai tersebut, dia ada membaca semula dengan lisan lafaz ditaip tersebut sebelum menekan butang hantar atau sama ada suami membaca sambil menaip lafaz tersebut dan kemudian terus hantar. Penting untuk mengetahui pengakuan suami itu kerana menjadikan lafaz yang dihantar sah atau sebaliknya. Ini kerana lafaz yang ditulis dan dibaca kemudian dihantar sah, meskipun suami menafikan berniat semasa hantar lafaz tersebut,“ katanya.

Wan Rosmawati menambah, suami memainkan peranan sangat penting dalam hal-hal sebegitu kerana kesan yang akan ditinggalkan kepada waris-waris yang sah adalah bergantung kepada tindakan yang dibuat olehnya.

“Justeru dalam kes ini, Fadilah selaku isteri kedua masih lagi waris yang sah kepada Ali, melainkan mahkamah mengesahkan lafaz yang dibuat oleh Syazwan kepada isteri kedua sah dan jatuhkan talak. Kesilapan yang dilihat kecil, tetapi memberi impak begitu besar dalam kehidupan waris,“ ujarnya.


Sementara itu, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menulis dalam ruangan Al-Khafi li al-Fatawi: 1014 bertajuk Cerai Menggunakan Aplikasi WhatsApp berkata, talak yang dilakukan dengan menggunakan alat komunikasi moden (seperti Whatsapp) adalah kaedah yang tidak menepati adab penceraian yang digariskan syarak.

Hal itu kata beliau, bertepatan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-59 yang menyatakan bahawa talak dalam bentuk tulisan yang jelas daripada suami yang ditujukan kepada isterinya secara khusus seperti melalui faksimili, pesanan ringkas, e-mel dan sebagainya adalah talak secara kinayah. Ia sah sekiranya disertai dengan niat.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Hati Kita Sifatnya Berbolak-Balik, Jangan Dibiar Usang Jadi Lubuk Dosa

hati

SIFAT hati adalah berbolak-balik. Kadang ke kiri dan kadang ke kanan. Ada kala menuju kebaikan dan ada kalanya menyukai keburukan. Itulah hakikat hati.

Justeru, hati perlu diberikan perhatian selalu. Hati perlu dipelihara dan dijaga. Jangan dibiar usang menjadi lubuk dosa. Bersarang kegelapan dan merosakkan keimanan.

Belajarlah untuk bersangka baik kerana ia akan menyebabkan kehidupan kita lebih baik dan teratur. Hati akan menjadi tenang tatkala sangka baik menjadi satu kebiasaan.

“Tidak halal seorang Muslim yang mendengar suatu perkataan daripada saudaranya, lalu dia terus bersangka buruk dengannya sedangkan dia mampu mengandaikan sesuatu maksud yang baik sebagai jalan keluar.” – Umar Al-Khattab

Lihatlah orang lain lebih baik daripada diri kita. Hal ini dapat menjaga hati dari dihinggap penyakit hati seperti dengki, sombong, riyak dan sifat-sifat mazmumah yang lain.

Kita sering menitikberatkan makanan dari segi jasmani. Namun makanan rohani pula bagaimana?

Rohani kita juga turut memerlukan makanan yang cukup. Jangan dibiarkan berlapar dan tidak terisi.

Apa kata kita seiringkan juga makanan untuk rohani kita. Supaya hati kita lebih kuat dan berkualiti. Antara makanan untuk rohani adalah:

1- Membaca al-Quran

2- Berzikir

3- Berpuasa sunat

4- Berselawat

5- Bersedekah

Jangan malas bersedekah, tak perlu tunggu Ramadan. 5 janji ALLAH orang rajin sedekah

6- Berbakti kepada kedua ibu bapa

7- Memelihara anak yatim

8- Membantu orang miskin

Firman ALLAH SWT yang bermaksud:

“Dan Kami telah menjadikan di bumi gunung-ganang yang menetapnya, supaya bumi itu tidak menggegar mereka; dan Kami jadikan padanya celah-celah sebagai jalan-jalan lalu-lalang, supaya mereka dapat sampai kepada mencapai keperluan rohani dan jasmani.” – Surah Al-Anbiya’ 21:31

Selain itu, hati juga perlukan kekuatan. Jangan hanya menfokuskan kepada kekuatan jasmani semata. Rohani dan jasmani saling berkait dan tidak boleh hanya salah satu sahaja yang ada kekuatan.

Hati juga jangan sombong! Sombong hanya menyebabkan diri kita di dalam kerugian. Tidak ada apa yang patut kita banggakan kerana semua yang kita ada adalah milik ALLAH SWT. Semuanya hanya pinjaman. Ia akan ditinggalkan juga pada suatu hari nanti.

Bersihkan hati daripada sifat sombong kerana ia dapat merosakkan segala kebaikan. Rugi sahaja kebaikan dibuat tetapi terselit dengan secebis kesombongan.

Jadi, jangan biarkan hati terus mati dan gelap. Sinarilah ia dengan cahaya keimanan. Cucilah dengan kalimah zikir dan alunan al-Quran.

Semoga hati kita semua ditetapkan dalam Islam dan iman. Hati yang suci menghadirkan ketenangan walau dalam kesusahan.

Sumber: Fazli Abdullah


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Bermain Kutu Ganti Adalah Haram Kerana Melibatkan Peserta Makan Harta Orang Lain Secara Batil

Oleh DR SHAMSIAH MOHAMAD
Berpengalaman sebagai Penyelidik Isu-Isu Kewangan Islam dan Syariah

SAYA ada menerima satu pertanyaan melalui WhatsApp mengenai kutu ganti. Sebelum saya membicarakan lebih lanjut tentang kutu ganti, saya jelaskan dahulu tentang permainan kutu.

Permainan kutu merujuk kepada sekumpulan orang yang bersepakat untuk sama-sama mengeluarkan sejumlah wang dalam tempoh tertentu seperti setahun dan diserahkan kepada ibu kutu (pengurus wang kutu).

Setiap peserta akan membuat undian bagi menentukan bulan giliran masing-masing untuk mendapat jumlah wang terkumpul. Sebagai contoh, seramai 10 orang bersepakat untuk mengeluarkan wang sebanyak RM100 seorang setiap bulan selama 12 bulan. Jadi jumlah terkumpul setiap bulan adalah sebanyak RM1,200. Oleh itu, setiap peserta akan mendapat RM1,200 bila tiba bulan gilirannya.

Berbalik kepada isu kutu ganti, ia akan berlaku apabila ada di antara peserta lama yang menarik diri. Ibu kutu akan mencari peserta lain untuk menggantikan tempat peserta yang menarik diri tersebut.

Berdasarkan penerangan daripada ibu kutu melalui mesej bersuara yang dipanjangkan kepada saya, dinyatakan bahawa peserta kutu ganti ini hanya perlu membuat bayaran sehingga setakat bulan giliran peserta lama yang menarik diri itu sepatutnya mendapat jumlah terkumpul.

Contohnya, giliran peserta lama yang menarik diri untuk mendapat jumlah terkumpul adalah pada bulan Disember. Dia menarik diri mulai bulan September.

Oleh itu, pada bulan Januari tahun berikutnya, peserta kutu ganti akan mendapat bayaran balik jumlah keseluruhan wang telah dibayar kepada ibu kutu selama tiga bulan dan selain daripada itu dia juga akan diberi bayaran tambahan.

Bayaran tambahan ini diambil daripada wang yang telah dibayar oleh peserta lama dalam tempoh Januari hingga Ogos kerana peserta yang menarik diri tidak akan mendapat kembali wang yang telah diserahkan kepada ibu kutu.

Berdasarkan iklan yang dipanjangkan kepada saya melalui WhatsApp, jika peserta kutu ganti membayar sebanyak RM250 selama tiga bulan, pada bulan terakhir iaitu September misalnya, dia akan mendapat RM750 + RM150. Jika yang dibayar adalah RM1,500 selama tiga bulan, maka pada bulan terakhir yang diganti itu, dia akan mendapat RM4,500 + RM1,000.

Sangat menarik tawaran pulangan yang dijanjikan oleh ibu kutu tersebut sebagai gula-gula untuk menarik minat peserta kutu ganti. Ibu kutu turut menyatakan bahawa para peserta jangan risau tentang soal riba kerana semuanya ada akad yang dilakukan dan dengan itu isu riba tidak berbangkit kerana semua sudah ada persetujuan bersama.

Dalam ruang terhad ini, saya ingin jelaskan bahawa permainan kutu ini adalah satu permainan pinjaman wang (qard). Para peserta saling pinjam meminjam dalam tempoh yang ditetapkan. Peserta kutu ganti juga telah meminjamkan wangnya dalam tempoh bulan gantian berkenaan.

Oleh itu, bayaran tambahan yang diterima oleh peserta kutu ganti adalah RIBA dan ia diharamkan dalam Islam. Alasan ibu kutu bahawa sudah ada akad yang dipersetujui bersama tidak menjadikan bayaran lebihan itu halal kerana Allah mengharamkan riba.

Begitu juga dengan tindakan ibu kutu yang tidak memulangkan kembali jumlah wang yang telah dibayar oleh peserta lama yang menarik diri. Riba dan tidak memulangkan kembali wang peserta lama  temasuk dalam bab memakan harta orang lain secara batil.

Oleh itu, umat Islam disarankan menjauhi permainan kutu seumpama ini kerana ia mengandungi unsur memakan harta orang lain secara salah (batil). Memakan harta orang lain secara batil adalah diharamkan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan dalam firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’, ayat 29.

Wallahu a’lam.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

ALLAH Perihalkan Tentang Hari Kiamat Dalam Surah Al-Zalzalah. Ini Antara Inti Sari Penting Perlu Kita Ketahui

DUNIA bukanlah satu kehidupan yang hakiki. Ia tidak lebih daripada sebuah jambatan yang menghubungkan manusia dengan kehidupan di akhirat.
Dunia pada satu tarikh yang dirahsiakan ALLAH akan melabuhkan tirainya selepas muncul tanda-tanda kiamat. Bagi umat Islam, kiamat adalah kenescayaan. Beriman kepada hari kiamat juga salah satu daripada daripada Rukun Iman yang wajib diyakini.

Pada hari penghakiman itu nanti, segala amal baik dan buruk manusia akan diadili dengan sempurna oleh ALLAH YANG MAHA BERKUASA.

Sehubungan itu, sepanjang kita bernafas di muka bumi ini, sentiasa bersiap sedialah untuk mendepani saat getir itu. Jangan terlalu hanyut dengan nikmat dunia. Dalam Surah Ali Imran, ayat 185, ALLAH berfirman: “Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.“

Justeru, apakah amalan yang bakal menjadi penolong kita kelak? Sudah pasti, salah satunya adalah dengan membasahkan bibir dan mentadabbur ayat al-Quran dengan memahami, menghayati isi kandungan serta mengamalkannya setiap hari.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran, sebab ia akan datang memberikan syafaat pada hari kiamat kepada pemilik kepada pembaca, pengamalnya.“ (Hadis Riwayat Ahmad)

Sesungguhnya, perihal hal kiamat secara jelas telah dinyatakan dalam Surah al-Zalzalah yang bermaksud kegoncangan atau gegaran.
Mempunyai lapan ayat dengan 36 perkataan dan 158 huruf, ia termasuk dalam surat Madaniyyah yang diturunkan selepas Surah an-Nisaa.
Apakah inti sari pengajaran dan pedoman di sebalik surah berkenaan? Benarkah dengan melaziminya, ia menyamai pahala membaca sebahagian al-Quran?

Bumi hancur

Sinar Islam Plus menghubungi pendakwah Nurul Syafiqah Mohamed Hanafiah atau Da‘i Syafiqah untuk mendapatkan huraian lanjut mengenai Surah al-Zalzalah.

Ujar beliau, berdasarkan ayat suci berkenaan, ALLAH menjelaskan kepada manusia tentang sebahagian suasana pada hari kiamat dan keadaan yang akan terjadi di padang mahsyar kelak.

“Ya, semua yang dinyatakan itu benar-benar akan berlaku. Manusia akan menyaksikan kegoncangan dan gempa yang teramat kuat di alam semesta sebaik tiupan sangkakala yang pertama.

“Inti pati yang sama turut dinyatakan dalam Surah al-Hajj, ayat 1 yang membawa pengertian: “Wahai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada ALLAH, sesungguhnya goncangan pada hari kiamat itu adalah sangat dahsyat,“ katanya baru-baru ini.

Berdasarkan ayat-ayat tersebut, pendakwah berkenaan mahu manusia merenung sejenak mengenai kegoncangan yang dimaksudkan.

Cuba bayangkan, sekarang ini pun, gempa bumi yang ALLAH turunkan hanya sedikit, tetapi ia telah mengakibatkan banyak nyawa terkorban dan kemusnahan yang sungguh menakutkan. Bagaimana pula nanti gempa dan goncangan pada hari kiamat? Sudah pasti ia akan menghancurkan kesemua yang ada di dalam isi perut bumi ini,“ soalnya.

Mengulas lanjut, Da‘i Syafiqah berkata, dalam Surah al-Zalzalah juga, ALLAH SWT memberitahu, bumi pada ketika itu akan mengeluarkan segala beban berat yang di dalamnya dalam dua keadaan.

Pertama, semua mayat yang tertanam semenjak dari awal sehinggalah yang terakhir disemadikan akan bangkit. Kedua, bumi juga akan membongkarkan segala khazanah yang ada di dalam perutnya.

Hal yang sama kata beliau, turut diperihalkan dalam Surah al-Insyiqaq ayat 3 dan 4 yang bermaksud: “Dan apabila bumi ini diratakan dan dilemparkan apa yang ada di dalamnya dan menjadi kosong.“

Ketika itu ujar pendakwah berkenaan, manusia akan berasa kebingungan dan tertanya-tanya apakah yang menyebabkan bumi menjadi sedemikian rupa? Ini kerana sebelum ini, bumi ini tetap, tidak bergoyang dan manusia dapat hidup di atasnya.

“Bumi juga akan mengkhabarkan segala apa yang dilakukan oleh setiap manusia, sama ada yang baik mahupun yang buruk,“ jelasnya.

Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW membaca ayat ke-4 dalam Surah al-Zalzalah kemudian baginda bertanya: “Tahukah kamu apa beritanya?“ Lalu sahabat berkata: “ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui.“

Baginda kemudian bersabda: “Sesungguhnya bumi mengkhabarkan beritanya iaitu bumi menjadi saksi setiap yang dilakukan dari lelaki dan perempuan dengan apa yang telah dilakukan. Bumi berkata, dia telah melakukan amal sekian sekian pada hari sekian sekian, begitulah bumi mengkhabarkan beritanya.“ (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kata Da‘i Syafiqah, apa yang berlaku pada bumi pada tempoh berkenaan adalah menuruti dan taat kepada perintah-NYA.

“Apa yang terjadi selepas itu adalah manusia akan bangkit dan keluar dari kubur masing-masing dalam keadaan berkelompok dan terpisah.

“Ada yang wajahnya berseri-seri, namun ada juga yang wajahnya hitam, suram dan ketakutan. Keadaan mereka itu sebenarnya memperlihatkan setiap amalan yang mereka lakukan semasa di dunia yang fana ini,“ katanya.

Kehidupan abadi

Sinar Islam Plus kemudian mendapatkan pandangan pendakwah Mohammad Aizuddin Abdul Aziz pula. Ketika ditanya pada waktu bilakah yang paling afdal untuk umat Islam membasahkan bibir melazimi Surah al-Zalzalah, jawabnya: “Umat Islam seisi alam digalakkan untuk membaca surah tersebut sebagai amalan harian tanpa mengkhususkan waktu tertentu.“

Kenyataannya itu berdasarkan catatan di dalam Kitab Amal Al-Yaum Wa Al-Lailah karya Ibn Al-Sunni, Amal Al-Yaum Wa Al-Lailah (karya Al-Suyuti) dan Tuhfah Al-Zakirin (karya Al-Syaukani).

Menyentuh mengenai pahala yang bakal diperoleh oleh individu membaca surah itu, Mohammad Aizuddin berkata, terdapat riwayat yang mengatakan, bacaannya menyamai pahala membaca sebahagian al-Quran.

Namun, melihat kepada ganjaran dan isi ayat ini, sudah pasti ia memberi impak yang besar dalam kehidupan Muslim khususnya dari aspek spiritual. Pengaruh ini (spiritual) ini diperlukan demi pengukuhan iman. Saya juga memetik pernyataan Dr Yusuf Al-Qaradawī ketika membahaskan surah ini. Dalam tafsirnya, beliau menekankan bahawa benih keimanan ini ditanam dan perlu diperkukuhkan. Sesungguhnya, iman merupakan syarat kepada penerimaan amal,“ tutur agamawan itu.

Timbalan Pengarah Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia meneruskan hujah. Katanya, terdapat beberapa teras utama yang boleh dikaitkan dengan Surah al-Zalzalah yang boleh dijadikan pedoman kepada masyarakat hari ini.

“Seperti yang kita semua maklum, tarikh berlakunya kiamat hanya dalam pengetahuan ALLAH SWT sahaja. Adapun yang dikhabarkan itu sama ada dalam surah ini ataupun selainnya, hanyalah tentang tanda-tanda kepada berlakunya kiamat.

“Oleh yang demikian, umat Islam seharusnya berhati-hati dengan dakwaan ilmu, ilham dan teori-teori tentang tarikh kiamat,“ katanya.

Surah al-Zalzalah juga beritahu agamawan tersebut, turut memberi peringatan bahawa kewujudan manusia di alam ini tidak terhenti dengan sebuah kematian.

Ketahuilah, ia bukan kitaran atau adat kebiasaan semata-mata yang bermula dengan kelahiran dan disudahi dengan kematian. Bahkan, ia akan ada lagi kesinambungan hidup selepas itu yang dinamakan sebagai kehidupan yang abadi. Sehubungan itu, jadikanlah surah hebat ini sebagai motivasi kepada kita untuk tidak berasa hina dengan pemberian yang sedikit. Pada masa sama, tidak mengambil mudah dengan maksiat walaupun sebesar zarah. Ingat, segenap perkara yang dilakukan kita akan dihisab dan diberi ganjaran meskipun sekecil-kecilnya,“ katanya.

Dalam Hadis Riwayat Muslim, baginda bersabda: “Jangan sekali-kali kalian meremehkan daripada kebaikan meskipun dengan keceriaan wajah ketika bertemu dengan kawanmu.“

Surah al-Zalzalah jawab tiga keraguan, dakwaan kaum musyrikin Quraisy

PENDAKWAH Syaari Abdul Rahman berkata, Surah al-Zalzalah telah menjawab tiga keraguan dan dakwaan yang melanda kaum musyrikin Quraisy.

Ini kerana pada zaman Nabi Muhammad SAW, ayat-ayat al-Quran yang menyentuh perihal hari kebangkitan dan akhirat tidak akan didengari dan tidak dipercayai oleh mereka.

Musyrikin Quraisy membuat dakwaan bahawa tiada kehancuran pada alam ini melainkan kematian mereka sahaja. Dakwaan yang kedua adalah mustahil untuk setiap perbuatan terdapat catatan sulit dan akan dibentangkan secara terperinci. Ketiga, mereka membuat dakwaan jika benar sekali pun kedua-dua perkara yang disebut tadi akan berlaku, ‘tuhan-tuhannya‘ akan membantu untuk memberi syafaat!,“ katanya yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Paradigma Ibrah Sdn Bhd.

Sehubungan itu, ujar Syaari, ALLAH SWT telah membalasnya dalam Surah Zalzalah dengan isi kandungan yang bernas dan padat.

Pendakwah itu menambah, intipati lapan ayat dalam surah berkenaan juga mempunyai keunikan tersendiri kerana ia menjelaskan mengenai lokasi yang menjadi perhitungan antara pahala dan dosa.

“Gambaran sebegini hanya dijelaskan dalam surah itu dan mungkin asbab inilah yang membuatkan Ibnu Umar RA sering berpindah tempat apabila beliau mahu menunaikan solat sunat selepas solat fardu,“ katanya.

Syaari turut memetik pesanan Imam al-Nawawi yang menasihatkan umat Islam untuk sentiasa memperbanyakkan tempat untuk bersujud.

“Mungkin dengan bersujud di banyak tempat, akan menjadi saksi kebaikan yang dilakukan di atas muka bumi ini,“ katanya.

Dalam pada itu, ujar Syaari, perkataan asytatan dalam Surah al-Zalzalah membawa maksud bahawa kita sudah boleh mengetahui kesudahan diri sebelum dihisab.

“Jangan terkejut apabila dibangunkan kelak kita akan dapati suami tiada, ayah tiada dan anak pun tiada di sisi,“ ujarnya.

Sebelum menutup tirai bicara, agamawan tersebut berkata, Surah al-Zalzalah memberi ruang kepada pembacanya supaya berfikir tentang satu perhimpunan manusia yang terbesar. Ia membabitkan seluruh penghuni di satu lokasi sahaja yang mana kesemuanya terdiri daripada umat sejak zaman berzaman.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Sebab Musabab Doa Kita Kita Tidak Dimakbulkan Oleh ALLAH YANG MAHA ESA. Ini Yang Selalu Kita Tak Perasan

LAILA AMINA AMIN seorang wanita yang alim. Beliau menjaga aurat, solat, taat kepada ibu bapa dan sesekali tidak akan menjebakkan diri dengan perkara-perkara yang dilarang agama.

Meskipun seusai tamat Sijil Pelajaran Malaysia dirinya tidak berpeluang menuntut di universiti kerana kekangan kewangan, beliau sedikit pun tidak mengeluh. Namun, apabila meniti usia 28 tahun, semangatnya untuk melanjutkan pengajian semakin berkobar-kobar.

“Disebabkan ibu hanya bekerja di kilang, sementara ayah bekerja sebagai buruh binaan, saya mengambil keputusan untuk bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah pada usia yang muda.

“Selain membantu meringankan beban mak ayah dan empat adik yang lain, saya menabung demi realisasikan impian untuk menyambung pengajian sekurang-kurangnya di peringkat Diploma saja,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Selain menyimpan wang, Laila Amina berterusan berdoa siang dan malam agar hasrat murninya itu dimakbulkan ALLAH SWT. Bertahun-tahun lamanya amalan itu dilakukan, namun ada sahaja halangan yang menerjah.

Lima tahun lalu saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di sebuah institusi kemahiran dengan yuran yang murah, tetapi saya tak dapat pergi kerana ibu sakit. Selepas itu, permohonan saya di sebuah universiti berjaya, tetapi sayangnya saya terpaksa dulukan duit simpanan untuk bayar yuran adik di sebuah kolej universiti. Saya tak pernah menyesal berkorban untuk mereka semua, namun dari lubuk hati yang terdalam, saya sentiasa mengharapkan cita-cita saya dapat ditunaikan,” katanya yang sering bermuhasabah diri.

Melihat kepada situasi dan karakter Laila Amina, kita mesti tertanya-tanya mengapa doa yang dipanjatkan oleh wanita baik itu masih lagi tidak terjawab? Mengapa permintaan yang kudus tersebut lambat diperkenankan-NYA? Apa yang tidak kena?

4 formula ampuh

Bagi menjawab pertanyaan itu, Sinar Islam Plus mengajak Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara, Siti Fatahiyah Mahamood untuk berdiskusi lanjut.

Pendakwah berkenaan berkata, apabila kita diuji seperti doa masih tidak tercapai, jangan terus berputus asa, apalagi bersangka buruk dengan YANG MAHA ESA.
Ujar beliau, sesungguhnya dalam kitabullah, ALLAH SWT telah menyediakan beberapa formula istimewa kepada umat Islam untuk mempersiapkan diri apabila berhadapan dengan sebarang pancaroba walau seberat mana pun.

Formula yang pertama terkandung dalam Surah al-Baqarah, ayat 286. ALLAH SWT berfirman: “Setiap ujian yang diberikan, pasti kita mampu hadapinya kerana ALLAH tidak akan uji hamba-NYA yang tidak ada berkemampuan.”

Dalam surah yang sama, ayat 45, DIA secara jelas menyatakan: “Pada saat kita berasa berat dengan ujian tersebut, mohonlah bantuan daripada ALLAH SWT dengan cara bersabar dan bersolat.”

Kedua-dua ayat yang mulia itu secara izharnya memberitahu manusia yang sedang berdepan dengan rintangan perlu bersabar dan jangan meninggalkan solat. Pada masa sama, ALLAH tidak akan mendatangkan sebarang tantangan melainkan ia mampu dipikul oleh insan yang dipilih-NYA.

Seterusnya, ALLAH turut membimbing umat Islam menerusi Surah Ghafir, ayat 60: “Di samping berusaha mencari jalan keluar, banyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh taat dan ikhlas kerana ALLAH pasti akan perkenankan doa-doa kita apabila sampai masanya kelak.”IKLAN

Begitu juga dalam Surah Al-Furqan, ayat 70 hingga 71: “Ketika kita menyulamkan usaha kita dengan doa, sabar dan solat, jangan lupa untuk muhasabah diri. Bertaubatlah di atas segala kealpaan dan keterlanjuran kita. Gandakan usaha kita dengan memperbanyakkan amal soleh agar segala taubat kita diterima ALLAH SWT.”

Siti Fatahiyah merumuskan, dengan mengamalkan empat formula yang diusulkan dalam kalamullah itu, kita semua termasuk Laila Amina akan berasa tenang dan reda, sambil berusaha mencari jalan keluar.

“Kita kena yakin bahawa setiap janji ALLAH SWT itu adalah benar! Setiap kali ALLAH menghantar ujian, DIA pasti akan iringinya (ujian) dengan kekuatan,” katanya ketika ditemu bual secara maya baru-baru ini.

Pun demikian, seandainya keinginan yang dimahukan termakbul, cepat-cepatlah melafazkan kesyukuran.

Jangan pula kita berasa sombong, bongkak dan beranggapan segala kurniaan tersebut diperoleh semata-mata kerana usaha kita. Sedarlah segala yang dimiliki adalah pinjaman semata-mata. ALLAH SWT boleh menarik balik segala yang kita ada dengan sekelip mata sahaja. Oleh itu, tambahkanlah amal ibadah, berkongsilah rezeki dan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan. Jangan lupa diri dan berasa takbur,” katanya.

1,001 hikmah

Menjawab pertanyaan sama ada doa seseorang mungkin diterima atau ditolak, Perunding Motivasi Keluarga itu berpandangan, kesemuanya adalah di atas kehendak ALLAH SWT.IKLAN

DIA mendengar setiap doa hamba-NYA. Adakala ALLAH akan terus perkenankan doa tersebut di dunia ini, jika tidak ia dimakbulkan di akhirat kelak.

Namun, apa yang pasti, percayalah setiap yang ALLAH takdirkan untuk kita mempunyai 1,001 hikmah yang terindah buat kita, ujar Siti Fatahiyah.


ALLAH pasti berikan apa yang diperlukan dan bukannya apa yang kita mahu. DIA juga akan menyelamatkan umat-NYA daripada kemungkaran, bukan membiarkan selamanya berada dalam kepompong (perbuatan mungkar) itu. Ketahuilah, ALLAH pasti akan memberikan yang terbaik, walaupun kita terpaksa melalui onak dan duri sebelum menggapai apa yang dihajati,” jelas beliau optimis.

Kepada mereka yang terlalu kecewa, nasihat pendakwah berkenaan, usah terlalu resah, jangan menyalahkan-NYA dan melakukan lebih banyak kemungkaran serta kemaksiatan. Hanya orang yang tidak waras sahaja yang akan melakukan kemusnahan demi kemusnahan dalam dirinya, tegas beliau.

“Kumpul kekuatan dan buangkan segala perkara yang menyesakkan jiwa dan minda. Seperti yang saya kata pada awal tadi, renungkanlah empat formula yang disyorkan dalam al-Quran itu,” katanya.

ALLAH sebaik-biknya perancang

Sementara itu, pendakwah Dr Mohd Faisol Ibrahim berkongsi hujahnya mengenai mengapa doa manusia tidak dimakbulkan?

Antaranya kata Dr Mohd Faisol, ia mempunyai kaitan apabila seseorang makan makanan haram.


Dalam Islam, konsep halal dan tayyibbah merupakan pelengkap antara satu sama lain. Halal tanpa wujudnya tayyibah, maka hilanglah keberkatan terhadap sesuatu. Sebagai contoh, seseorang yang membeli makanan yang bersih dan sihat serta halal menurut agama, tetapi hasil daripada aktiviti menipu dalam jualan dan memanipulasi harga dengan pelanggan.

“Apatah lagi makanan yang dibeli atau yang dimakan daripada sumber yang haram seperti menang loteri dan kemudian digunakan untuk membeli ayam goreng dan kek untuk keluarganya,” katanya.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia menegaskan, pendekatan sebegitu nescaya akan mendatangkan implikasi yang buruk kepada individu itu sendiri termasuk ahli keluarganya.

Sebagai umat Islam yang taat kepada-NYA, menjadi kewajipan ke atas kita memperoleh makanan daripada sumber yang halal. Firman ALLAH SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 168: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada dibumi yang halal lagi baik; dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.”


Tutur agamawan itu lagi, kadangkala kita berasakan sesuatu itu baik untuk kita, tetapi tidak bagi ALLAH YANG MAHA MENGETAHUI dan sebaik-baiknya perancang.

Peringatan itu ‘dikhabarkan’ dalam Surah al –Baqarah, ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia buruk untukmu. ALLAH mengetahui sedangkan kamu tidak tahu.”

Justeru, sebagai hamba, kita perlu sentiasa bersyukur sama ada berada dalam keadaan senang atau pun susah. Kedua-dua situasi tersebut mempunyai natijah yang tersendiri dan merupakan perancangan terbaik ALLAH untuk kita sebagai umat-NYA,” ujar beliau.


Deprecated: str_replace(): Passing null to parameter #3 ($subject) of type array|string is deprecated in /opt/www/people.utm.my/httpdocs/wp-content/themes/genesis/lib/functions/image.php on line 116

Jaga Adab, Pelihara Hubungan Sesama Manusia Jika Mahu Doa Kita Diperkenankan-NYA

PENDAKWAH terkenal Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau dikenali sebagai Da’i Fuad berkata, ALLAH mendengar doa setiap hamba-NYA, waima individu itu seorang pendosa menerusi sifat-NYA YANG MAHA MENDENGAR.

Ia sebagaimana doa yang dibaca semasa sujud sahwi, ‘MAHA SUCI ALLAH yang tidak tidur dan tidak lupa.’

Jelas agamawan itu, tahap kemakbulan doa sebenarnya berbeza mengikut peringkat.

“Kita perlu memahami, ALLAH SWT tidak terikat dengan kewajipan dan bebas daripada apa-apa (kewajipan) bagi memakbulkan doa kerana ada (doa) yang diawalkan dan ada yang ditundakan,” katanya.

Memberi contoh, Da’i Fuad menceritakan bagaimana hasrat Nabi Ibrahim AS yang mahu Makkah menjadi makmur. Namun demikian, DIA hanya perkenankannya pada zaman Nabi Muhammad SAW.

“Terdapat juga doa yang ALLAH makbulkan secara langsung iaitu doa Nabi Muhammad SAW ketika dalam peperangan Badar. Ada juga doa Nabi Muhammad SAW yang ditunda seperti doa baginda agar umat Islam bersatu hati seperti di Masjid Ijabah yang mana doa itu tidak diambil oleh ALLAH SWT dan menjadi ibadah di sisi-NYA,” jelasnya.

Dalam pada itu, Da’i Fuad berkata, memutuskan silaturahim juga antara sebab doa seseorang tidak sampai. Kata-kata itu diperkukuhkan dalam Hadis Riwayat Ahmad.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seseorang Muslim memanjatkan doa kepada ALLAH selama tidak ada padanya dosa dan memutuskan silaturahim (antara kerabat) melainkan ALLAH akan beri kepadanya tiga perkara iaitu ALLAH akan segera mengabulkan doanya, ALLAH akan menyimpan baginya di akhirat kelak dan ALLAH akan menghindarkan darinya keburukan yang seumpamanya.”
Para sahabat berkata: “Kalau begitu, kami akan perbanyakkan doa.” Nabi SAW lantas berkata: “ALLAH nanti yang memperbanyak mengabulkan doa-doa kamu.”

“Ya, kita mengeluh apabila ALLAH SWT tidak makbulkan doa yang dipohon, tapi dalam tidak sedar kita langsung tidak menjaga hubungan dan adab sesama manusia. Justeru, peliharalah hubungan kita bersama,” nasihatnya.

Antara tertib doa yang boleh diamalkan:

  • Bertaubat kepada ALLAH terlebih dulu dengan mengerjakan solat sunat taubat dan beristighfar.
  • Dirikan solat sunat lain seperti solat tasbih, solat tahajjud dan witir sebelum berdoa.
  • Menadah tadah tangan ke arah kiblat sambil menghadirkan rasa ikhlas di dalam hati dan bersungguh-sungguh untuk memohon hajat ke hadrat ALLAH SWT.
  • Memulakan doa dengan bertasbih seperti alhamdulillah. Kemudian berselawat ke atas baginda.
  • Lafazkan permohonan dengan rasa rendah diri dan suara yang sederhana kuat.
  • Berdoalah dengan sepenuh hati dan yakin bahawa DIA akan memakbulkan doa kita.
  • Ulangi doa sebanyak tiga kali. Akhiri doa dengan memohon keselamatan hidup di dunia dan akhirat, diikuti selawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan memuji-NYA.

Antara waktu-waktu yang mustajab untuk berdoa adalah:

  • Sepanjang bulan Ramadan terutamanya pada malam Lailatul Qadar.
  • Satu pertiga malam iaitu dari waktu tengah malam sehingga waktu fajar.
  • Pada hari wuquf di Arafah.
  • Sepanjang hari Jumaat.
  • Malam dua hari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
  • Setiap kali selepas solat fardhu.
  • Waktu antara azan dan iqamat.
  • Ketika sujud dalam solat fardhu.
  • Selepas solat Asar.