Apabila hendak melancong ke sesebuah negara, pastinya kita akan membaca pantang larang serta budaya di negara itu sebagai persediaan. Misalnya, jika ke Jepun, antara etika yang kita perlu tahu ialah cara menggunakan eskalator di negara Matahari Terbit itu.
Di Jepun, kita dinasihatkan untuk berdiri di sebelah bahagian untuk mereka yang bukan dalam keadaan tergesa-gesa dan sebelah bahagian lagi untuk mereka yang ingin cepat ke sesuatu destinasi.
Dilihat bertapa berdisiplinnya mereka, Malaysia turut dididik untuk berbuat sedemikian sehinggakan terpampang papan arahan kepada mereka yang menaiki tangga bergerak ini berdiri di sebelah bahagian sahaja untuk beri laluan kepada mereka yang ingin cepat.
Bagaimanapun, amalan ini sebenarnya sedang diubah masyarakat Jepun. Pada 2018, syarikat Kereta Api Jepun Timur (JR East) melancarkan kempen menggesa penumpang untuk berjalan atau berlari di eskalator.
Papan tanda dipampang sekitar stesen kereta api serta diperdengarkan pengumuman agar penumpang berdiri di kedua-dua bahagian eskalator.
Sebenarnya, Jepun bukanlah negara pertama menghentikan budaya ini. Menurut City Lab, bandar besar seperti Hong Kong, London dan Washington DC turut mendidik penduduk mereka untuk mengubah amalan berdiri di sebelah bahagian eskalator.
Amalan ini perlu diubah apabila sebuah kajian oleh The Japan Elevator Association mendapati lebih 880 kemalangan di eskalator sepanjang tahun 2013 dan 2014. Ia berpunca daripada orang ramai menggunakan eskalator dengan cara yang tidak betul seperti berjalan dan berlari di situ yang akhirnya menyebabkan tergelincir dan jatuh sehingga boleh membawa maut.
Bukan itu sahaja, berjalan semasa menaiki eskalator lebih merugikan masa! Ia akan mewujudkan perbezaan besar di antara jumlah kapasiti pengguna yang mampu menggunakan eskalator dalam satu masa.
Contohnya, apabila kita mengosongkan satu laluan eskalator yang sepatutnya boleh memuatkan dua orang, kita sebenarnya menyempitkan ruang yang boleh memuatkan pengguna lain dan akhirnya ia amatlah merugikan masa semua orang.
Justeru, masa lebih banyak dijimatkan apabila semua orang berdiri di kedua-dua bahagian eskalator dan semua orang boleh bergerak ke sesuatu destinasi dengan aman.