Erti Ungkapan Susah

Monologue 1 : Susah kah Kita?

Jalan itu telah berturap

Aspalnya hitam berkilat

apabila hujan, titik-titik jernih berliuk likuk melaluinya

menuju alur-alur asli kejadian alam

Tapak-tapak yang melintas,

tiada lagi selut sedimentasi mesra di bucu seluar.

Dunia telah lama moden

generasi yang menghuninya tidak kenal lagi kesukaran meraduk lalang di denai kecil yang dilalui

Segalanya kini mudah

mereka, ada antaranya yang langsung tidak pernah kenal tangga bas awam

segala urusan hanya dihujung jari,

Namakan lah apapun, semua boleh diperolehi dan dibeli.

Jika tidak, mana mungkin kini ada istilah ‘beli jiwa’.

Bila mereka suarakan ‘susah’…

susah mereka juga dalam nada yang berlainan.

Mereka susah, tetapi masih mampu mengisi jualan mega di SOGO..

Volum kenderaan masih tetap bertambah terutamanya di musim cuti.

Homestay selalunya laris di masa ini….

juga hotel-hotel dan penginapan resort.

Dulu-dulu, istilah ‘susah’ memang betul menggambarkan peritnya hidup fakir.

Ada yang hanya mampu makan sehari sekali. Itupun hanya makanan yang sangat asas…nasi putih dengan sayur yang dipetik dari keliling rumah.

Zaman sudah berubah

pelbagai lapisan generasi bertungkus memenuhi selera antara satu sama lain.

Aspal kilat hitam….buku lali berselut…

contoh dua jurang itu.

…jun17….