Ekspedisi Sungai Pelepah Kiri

Lama dah berhajat nak berekspedisi ke Sungai Pelepah. Alhamdulillah diberi kesempatan jua untuk ke sana. Walaupun perancangan asalnya pada tahun lepas, namun dibawa ke tahun ini kerana kawasan ditutup disebabkan oleh cuaca yang tidak mengizinkan.

Walaupun kelihatannya seperti aktiviti menyusur sungai, cuaca yang basah menyukarkan perjalanan. Hanya sehingga air terjun pertama sahaja. Tidak dapat menyertai perjalanan seterusnya kerana anak-anak mengalami kejutan akibat tragedi yang menimpa salah seorang peserta.

Moga berpeluang untuk ke sana lagi.

Kek Coklat Kak Fidah

Resepi ini dapat daripada jiran lama masa duduk di Jalan Meranti dulu. Kak Fida memang pandai memasak. Kalau pergi rumah dia, ada saja hidangan sedap-sedap yang disediakan. Sampai ke sambal kicap yang dia buat untuk cicah pisang goreng pun sangat sedap. Berikut adalah resepi kek coklat yang sempat diminta. Bancuhan tersebut menghasilkan dua buku kek yang bersaiz sedang.

Bahan-bahan:

 

  • 4 cawan tepung gandum
  • 4 cawan gula castor
  • 4 biji telur ayam bersaiz A
  • 2 cawan susu cair (1 tin dengan kandungan 400ml)
  • 2 cawan mentega yang telah dicairkan (seketul yang beratnya 250gm)
  • 2 cawan air panas mendidih
  • 2 camca teh soda bikarbonat
  • 2 camca teh baking powder
  • 2 cawan serbuk koko  (1 tin dengan berat 125gm)

Cara-cara membuatnya:

  1. Telur dan gula dipukul sehingga kembang.
  2. Tepung, serbuk koko, baking powder, dan soda bikarbonat diayak menjadi satu.
  3. Masukkan susu & mentega ke dalam adunan telur dan gula tadi. Pukul sehingga sebati.
  4. Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit sehingga habis.
  5. Masukkan air panas mendidih dan gaul sebati.
  6. Bakar pada suhu 120°C selama 45 minit atau sehingga masak.

Kuih Serabai

Tak ingat dapat kat mana resepi nie. Tapi macam sedap jer, apam yang lembut dicicah dengan serawa durian. Nyum nyum!

BAHAN-BAHAN:

  • 2 cawan tepung beras
  • 1/2 cawan nasi sejuk
  • 1/2 cawan santan pekat
  • 1 sudu kecil yis segera
  • 2 sudu gula
  • 1 1/2 cawan air
  • 1 sudu kecil garam atau secukup rasa

CARA-CARA MEMBUATNYA

  1. Masukkan gula dalam sebuah cawan diisi 1/2 cawan air suam dan masuk yis. Biarkan selama 10 minit. 
  2. Masukkan nasi ke dalam blender kisar dengan 1 cawan air sehingga hancur, masukan juga garam dan tepung beras. Kisar sehingga sebati.
  3. Keluarkan dari balang pengisar dan masukkan dalam sebuah bekas dan tuang campuran yis bersama gula tadi. Gaul serata. Peramkan selama 2 jam. Jangan terlalu lama kerana adunan akan menjadi masam.
  4. Panaskan acuan serabai atau kuali kecil. Sapukan minyak dengan sehelai daun pandan yang dicelup dengan minyak. Apabila adunan panas, tuangkan sedikit bancuhan. Masak dengan api dapur perlahan sehingga masak.

PENYEDIAAN KUAHNYA:

BAHAN-BAHAN:

  • 1 cawan gula perang
  • 1 cawan santan
  • 1/2 cawan air
  • 2 biji telur
  • 1 cawan santan pekat dan bancuh dengan 1 sudu besar tepung jagung
  • 2 helai daun pandan disimpul

CARA-CARA MEMBUATNYA

  1. Masukkan gula , air dan telur dan pukul rata.
  2. Masukkan bahan bancuhan ke dalam kuali yang sedang panas sederhana.
  3. Masak dan kacau sebatian ini dan bila mula didih, masukkan bancuhan santan dan tepung jagung.
  4. Masak hingga tepung jagung dan santan berubah warna kepada keemasan.
  5. Kepekatan terpulang pada berapa lama ia dimasak. Perlu ingat, bila sejuk kaya ini akan pekat dua kali dari masa panas. maka tentukan ia jangan terlalu pekat.

CARA MENYEDIAKAN SERAWA DURIAN

BAHAN-BAHAN

  • 2 cawan santan.
  • 100 gm isi durian.
  • 80 gm gula pasir.
  • 1/4 sudu kecil garam.
  • 1 helai daun pandan.
  • 1 biji putih telur di pukul.

CARA-CARA MEMBUATNYA

  1. Sebatikan semua bahan-bahan hingga mendidih. Masukkan putih telur terkemudian.
  2. Masak sehingga kuah sedikit pekat. Kuah dah tersedia.