Perkongsian Hadis

PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS

*Rasulullah SAW Amat Pemurah Di bulan Ramadan*

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدَ مَا يَكُونُ فِي شَهْرِ رَمَضَانَ إِنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام كَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ سَنَةٍ فِي رَمَضَانَ حَتَّى يَنْسَلِخَ فَيَعْرِضُ عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْقُرْآنَ فَإِذَا لَقِيَهُ جِبْرِيلُ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ

_*Daripada Ibnu Abbas RA dia berkata; “Rasulullah SAW adalah orang yang paling pemurah berbuat kebajikan, terutama di bulan Ramadan. Kerana setiap tahun Jibril selalu menemui baginda tiap-tiap malam, hingga habis bulan Ramadan. Rasulullah SAW memperdengarkan bacaan Quran kepadanya (dan Jibril menyemak). Apabila Jibril mendatanginya, baginda lebih banyak lagi berbuat kebajikan melebihi angin yang berhembus.”*_ (Sahih Muslim No: 2308) Dar Ihya Kutub Arabiyyah. Status: Hadis Sahih

*Pengajaran:*

1. Rasulullah SAW adalah contoh terbaik antaranya dalam sifat pemurah yang perlu kita ikuti.

2. Setiap kita perlu berlumba-lumba untuk melakukan kebajikan di bulan Ramadan tanpa memikirkan sebarang kerugian antaranya bersedekah kerana balasan amat besar di sisi Allah di hari akhirat kelak.

3. Bersedekah termasuk di dalamnya menyediakan berbuka puasa kepada orang-orang yang berpuasa juga kepada golongan fakir miskin.

4. Konsep “memberi” (bersedekah) harus diterapkan secara maksimum bukan sahaja selama Ramadan bahkan di bulan lain kerana bersedekah memberikan pengaruh yang baik pada peribadi – menghakis sifat kedekut dan mempereratkan ikatan kemesraan anggota masyarakat tanpa mengira taraf dan kedudukan seseorang itu.

5. Sedekah yang diterima dan bernilai di sisi Allah adalah sedekah yang ikhlas, bukanlah untuk menunjuk-nunjuk.

6. Harta yang kita infak atau sedekah akan kekal pahalanya, namun harta yang ada pada kita atau yang kita tinggalkan bila kita mati, belum tentu mendatangkan manfaat dan pahala. Firman Allah SWT:

مَا عِنْدَكُمْ يَنْفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ

“Apa saja yang ada di sisimu (wahai manusia) akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal” (QS an-Nahl: 96)

7. Tadarus al-Quran juga antara amalan yang digalakkan agar dapat menyemak bacaan yang betul.

_*Jom rebut peluang bersedekah*_

 

18hb Mei 2019
13hb Ramadan 1440H