PERKONGSIAN 1 HARI 1 HADIS
Amalan Iktikaf 10 Hari Terakhir Ramadan
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا زَوْجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ
Daripada Aisyah Radhiyallahuanha, bahawa Nabi SAW beriktikaf pada sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadan sampai Allah mewafatkan baginda, kemudian isteri-isteri baginda (tetap) beriktikaf sepeninggalan baginda. (Sahih Bukhari No: 1922) Dar Ibn Kathir. Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Iktikaf ialah tetap tinggal di dalam masjid dengan niat beriktikaf dan bertujuan beribadat kepada Allah
2. Mengikut Imam Syafie, iktikaf boleh dilakukan sekadar masa lebih sedikit daripada tomakninah dalam solat.
3. Imam Maliki mensyaratkan iktikaf sekurang-kurangnya sehari semalam dan yang paling baik ialah tidak kurang daripada 10 hari
4. Sunnah iktikaf yang dilakukan Rasulullah SAW ialah sepuluh hari terakhir daripada bulan Ramadan. Baginda melaksanakan sejak berpindah ke Madinah sehingga baginda wafat.
5. Amalan iktikaf sepuluh hari terakhir Ramadan antara sunnah Rasulullah SAW yang dilupakan oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Dr Wahbah Zuhaili menyatakan: “Sungguh pelik manusia, bagaimana mereka boleh meninggalkan iktikaf. Rasulullah SAW melakukan sesuatu dan meninggalkan sesuatu tetapi baginda tidak meninggalkan iktikaf sehinggalah baginda wafat”.
6. Amalan itikaf dapat mengembalikan kita untuk mengimarahkan masjid (rumah Allah). Rumah yang menghimpunkan kebaikan untuk dunia dan akhirat.
Mengimarahkan masjid adalah tanda orang beriman. Firman Allah:
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ
“Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat.” (At-Taubat: 18).
Rebut peluang beriktikaf dan menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan.
RAMADAN MUBARAK MEMBIN
24hb Mei 2019
19hb Ramadan 1440H