Archives for February 2021

Tazkirah Hati

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda,”Jauhilah bersangka buruk, kerana bersangka buruk adalah ucapan yang paling dusta; janganlah kalian saling mendiamkan, janganlah suka mencari-cari isu, saling mendengki, saling membelakangi, serta saling membenci tetapi jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara” (Sahih Bukhsri No 5604, hadis sahih)

TIP MENGHADAPI INDIVIDU TOKSIK

Jika kita mempunyai rakan-rakan yang bersifat energetik dan memiliki pemikiran yang positif, ia adalah satu anugerah. Namun, dalam hidup kita tidak akan lari dengan manusia yang toksik. Mungkin di tempat kerja kita juga ramai yang menjadi rakan toksik.

Semasa dalam kuliah psikologi positif saya, ramai pelajar saya bertanya bagaimana kita nak hadapi individu atau kawan yang toksik. Nah..di sini saya kongsikan beberapa tip bagaimana nak mengahadapi manusia yang toksik.

1. Kenal pasti ciri diri mengapa menjadi mangsa atau sasaran

Menilai ciri diri kita tidak bermakna kita salah dan membenarkan individu lain untuk sentiasa menyalahkan kita. Adakalanya, sikap kita yang bersifat ‘melayan’ menjadikan diri kita sebagai sasaran mudah individu toksik ini untuk melepaskan kemarahan dan vibe negatif mereka.

Mengapa?

Ini kerana anda kelihatan seperti terlalu baik atau tidak mempunyai pendirian yang kukuh. Oleh itu, untuk mnegelakkan diri dari individu toksik hendaklah ada pendapat sendiri dan pendirian yang kukuh agar individu toksik ini tidak sewenang-wenangnya mempergunakan kita. 

2. Percayakan naluri anda sendiri

Ada individu yang terpaksa berada dalam perhubungan rakan sekerja yang bersifat toksik kerana mereka kurang percayakan diri mereka sendiri. Mereka cuba untuk merasionalkan kelakuan toksik rakan sekerja mereka atau sering memberikan peluang yang tidak berasas. 

Inilah saat di mana anda sepatutnya berhenti daripada bertindak sebegitu. Anda tidak boleh sering memaafkan kelakuan mereka atau berfikiran positif sepanjang masa terhadap kelakuan negative mereka. Kita juga insan biasa, kesabaran pun ada hadnya. Jangan sampai ‘mereka memijak kepala kita sendiri’

3. Tetapkan sempadan untuk diri

Sesetengah daripada kita mungkin terpaksa berhadapan dengan manusia toksik setiap masa. Boleh jadi individu tersebut boss di tempat kerja di mana kita terpaksa melayan kerenahnya setiap hari. 

Cara terbaik adalah dengan menetapkan sempadan tertentu bagi tingkah laku mereka yang anda rasakan melampau. Tidak perlu bersikap kasar atau biadap dengan mereka, hanya perlu bersifat tegas dan tetap pendirian. Nyatakan apa yang benar dan apa yang salah terhadap perlakuan mereka. 

Dalam situasi tempat anda bekerja, jika Tindakan individu tersebut melampau, salurkan aduan kepada saluran yang betul seperti ke Bahagian Pengurusan Sumber Manusia. Ada berani?

4. Elakkan sikap normalisasi

Anda mungkin seorang yang baik hati sehinggakan bersikap positif sepanjang masa walaupun anda menjadi mangsa.

Jangan sesekali menormalkan setiap tindakan salah yang dilakukan oleh individu-individu toksik ini. Ingat, anda tidak perlu untuk mengiyakan segala kata-kata mereka. Salah tetap salah!!

5. Teruskan hidup anda tanpa mereka

Sekiranya hidup anda merana disebabkan oleh sikap individu toksik ini, tanya diri anda adakah berbaloi untuk anda tetap Bersama dengan individu toksik tersebut?

Adakala anda mungkin perlu memaafkan, bersabar dan memberikan mereka masa, dengan harapan agar mereka dapat berubah secara perlahan-lahan. Tetapi persoalannya, sampai bila? Ada masanya lebih baik untuk anda melepaskan sesuatu daripada terus memegangnya.

REALITI KENAIKAN PANGKAT SEORANG PENSYARAH: PENERBITAN BUKANLAH UKURAN MUTLAK

Saya ingin menarik perhatian tentang laporan sebuah akhbar yang melaporkan bahawa Malaysia berada pada tangga kelima dalam kecenderungan menerbitkan jurnal predatory journal disebabkan sikap ahli akademik yang mahukan kenaikan jawatan ke profesor madya dan profesor dengan jalan pintas. Data itu diperoleh daripada penyelidikan antarabangsa melibatkan 172 negara dalam empat bidang iaitu sains kesihatan, sains hayat, sains fizikal dan sains sosial untuk tempoh dua tahun dari 2015 hingga 2017.

Hakikatnya, kenaikan pangkat seseorang pensyarah bukanlah hanya bergantung kepada penerbitan semata-mata sebagai kriteria mutlak untuk seseorang pensyarah dipertimbangkan kenaikan pangkat sebagai profesor dan profesor madya di universiti.  Terdapat banyak lagi kriteria lain kenaikan pangkat sebagai profesor yang merangkumi sekurang-kurang 7P iaitu Pengajaran, Penyeliaan,Penyelidikan, Penerbitan buku dan artikel jurnal terindeks, Perkhimatan kepada masyarakat serta Pentadbiran Akademik yang menggambarkan kepimpinan akademik dan pengurusan.   

Manakala, bagi memohon kenaikan pangkat seseorang ahli akademik perlulah mengemuka permohonan kenaikan pangkat yang akan melalui pelbagai proses saringan ketat untuk memenuhi syarat kecemerlangan akademik yang telah diperakukan oleh Senat sebagai badan akademik tertinggi di universiti dan diluluskan oleh Lembaga Pengarah Universiti sebagai pihak berkuasa tertinggi di universiti. Sebelum ke peringkat ini, seseorang pensyarah perlu mengemukakan permohonan melalui Dekan dan jika ia disokong oleh fakulti berkenaan, suatu jawatankuasa yang dianggotai oleh profesor di peringkat fakulti itu akan menapis dan menilai kewajaran permohonan calon. Sekiranya calon gagal melepasi saringan dalaman ini, permohonan tidak akan dipanjangkan kepada jawatankuasa penapis di peringkat universiti. Namun, apabila permohonan dibawa ke jawatankuasa penapis di peringkat universiti, ia akan disaring dan dinilai oleh jawatankuasa yang dianggotai antaranya oleh ahli Senat yang bertaraf professor.

Dari segi penerbitan pula, pihak jawatankuasa penapis di peringkat universiti akan mendapatkan pengesahan data penerbitan setiap calon melalui portal carian rasmi laman sawang Scopus atau Web of Science (WoS). Jika terdapat sebarang artikel jurnal yang tidak dapat disahkan atau tidak diindekskan oleh Scopus atau WoS, artikel yang disenaraikan oleh calon akan ditolak. Pada peringkat ini, mana-mana predatory journal akan dapat dikesan oleh pihak jawatankuasa.  Jika melepasi saringan ini, permohonan calon akan dikemukakan kepada penilai luar yang terdiri daripada profesor dalam bidang yang berkaitan. Berdasarkan garis panduan, permohonan calon perlu mendapat sokongan sekurang-kurangnya tiga  penilai luar yang terdiri daripada professor dalam bidang. Dari segi aspek penerbitan, sekali lagi pada peringkat ini ia akan disahkan oleh penilai luar yang dilantik bahawa penerbitan calon adalah penerbitan yang sememangnya berwibawa. Keseluruhan proses ini menggambarkan sesuatu permohonan kenaikan pangkat ke jawatan profesor atau profesor madya akan disaring dan dinilai secara telus. Langkah ini adalah untuk menjamin ahli akademik yang diperakukan kenaikan pangkat merupakan mereka yang terbukti pencapaian dalam bidang kesarjanaan masing-masing.

Kenaikan pangkat pensyarah adalah berdasarkan merit dan tahap kecemerlangan akademik serta kesarjanaan dalam bidang masing-masing dan tidak tertakluk kepada sistem berasaskan masa sebagaimana pekerjaan lain seperti guru dan sebagainya.