Alhamdulillah, saya telah diberikan kesempatan untuk berkongsi pengalaman attachment di RedQ. Ramai yang menanti dan ramai yang menunjukkan minat untuk mendengar secara langsung input daripada program attachment di RedQ ini. Walaupun ada yang kecewa tak dapat hadir atas urusan masing-masing, di bawah ini saya kongsikan slide pembentangan di hujung entri ini. Harap bermanfaat untuk rujukan dan panduan semua.

Pada slide pembentangan tersebut, saya bahagikan kepada 5 bahagian utama iaitu pengenalan, aktiviti yang saya telah sertai sepanjang tempoh attachment, fokus bidang yang saya ingin kutip iaitu penjenamaan, pengurusan acara, dan perkhidmatan pelanggan, ditambah bonus iaitu persekitaran digital. Dua bahagian terakhir adalah mesej yang boleh di bawa balik dan galeri gambar.

Disebabkan masa yang diberi terhad (1 jam), tak dapat saya kongsikan halangan dan cabaran yang saya lalui sepanjang proses memohon dan melalui tempoh attachment tersebut. Jadi, saya kongsikan yang wajib saja memandangkan separuh masa lagi diberikan pada pembentang ke-2, Saudara Fazlan yang mengikut attachment di Bomba Malaysia.

Pada awal 2018, saya dan sebahagian rakan staf pentadbir telah diberikan peluang untuk mengikut program attachment di mana-mana lokasi sekitar ASEAN (ditanggung penuh berdasarkan peruntukan pada masa itu) dengan tempoh attachment antara 7 hari bekerja sehingga maksimum 3 bulan tertakluk atas kelulusan ketua jabatan. Luar daripada ASEAN boleh katanya tetapi kos yang ditanggung perlu di semak urusetia.

Saya menyenarai pendek 3 tempat untuk dipilih iaitu Istana Negara (berdasarkan portfolio di tempat kerja), National University of Singapore (NUS) dan AirAsia. Lokasi ini dipilih atas faktor kewangan yang dibenarkan selain faktor komitmen kepada keluarga yang tidak dapat dinafikan.

Istana Negara saya ketepikan memandangkan keperluan ditempat kerja yang minimum dan tertakluk kepada hal-hal berkaitan protokol istana dan kerajaan sahaja. Manakala NUS, saya ketepikan atas faktor ramai staf telah ke beberapa universiti luar dan mungkin terlalu sedikit perbezaan untuk saya perhatikan. Akhirnya AirAsia dipilih untuk program attachment ini.

Proses untuk diterima masuk dan kelulusan mengambil masa hampir 5 bulan dan hampir gagal. Walau bagaimanapun, peluang yang ada tidak disia-siakan untuk cuba memenuhi syarat yang ditetapkan mereka. Akan tetapi terpaksa berkorban daripada segi komitmen kerja dan juga keluarga. Jika saya mengalah pada masa ini, tiadalah saya melalui pengalaman bekerja di syarikat tambang murah terbaik dunia selama 10 tahun berturut-turut ini.

13 Ogos 2018 adalah hari saya melaporkan diri di ibu pejabat mereka – RedQuarters (RedQ). Bermulalah saat saya bergelar Allstars dengan menjadi sebahagian daripada 25000 kakitangan AirAsia daripada seluruh dunia. Bidang yang ingin saya pelajari dan perhatikan adalah penjenamaan, pengurusan acara dan perkhidmatan pelanggan. Selain itu, suasana kerja secara digital di sini amat rugi jika tidak diendahkan untuk menambah pengetahuan tentang cara kerja mereka.

Kenapa AirAsia?
Empat sebab kenapa saya memilih AirAsia adalah kerana AirAsia adalah syarikat tambang murah terbaik dunia selama 9 tahun berturut-turut (pada masa itu, kini 10 tahun), ruang pejabat RedQ yang ‘cool’, AirAsia mempromosi ASEAN (peluang untuk berjumpa rakan-rakan ASEAN), dan akhir sekali adalah kerana kepelbagaian bangsa (diversity) dalam kalangan kakitangan mereka. Peluang untuk bertemu staf daripada Jepun, Filipina, India, hingga ke Brazil amat terbuka di sini. Alhamdulillah, hampir semua sempat saya temui.

Aktiviti terlibat.
Di RedQ, saya berusaha untuk menyertai semua aktiviti mereka untuk mengalami  sepenuhnya kehidupan sebagai Allstar. Salah satu yang dapat saya sertai adalah komuniti servis mereka. Antara sebahagian program yang saya sertai adalah lawatan YB Syed Saddiq ke RedQ, dan lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri, Pelancaran penerbangan pertama bagi laluan Senai (JHB) ke Ipoh (IPH) yang dihadiri Menteri Besar Perak, Pelancaran portal travel360.com dengan kerjasama DBKL dan YellowHouse (NGO yang melatih golongan gelancangan menjadi pemandu pelancong di KL) dan juga komuniti servis di Ragunan Zoo, Jakarta bersama Ape Malaysia (NGO yang menjalankan aktiviti berkaitan pelindungan hidupan liar).

Saya kongsikan slide pembentangan untuk rujukan bagi yang berminat.

Muat turun slide (pdf): Attachment Experience_ RedQ AirAsia by Faizal Jalal (shareable)