Sebenarnya, sedari masa attachment kat AirAsia lagi telah dengari angin-angin sepoi mengatakan aku bakal dirisik ke pejabat baru. Terkejut ada, risau ada, tapi macam biasa la aku buat-buat kool selagi mana tiada ‘hitam putih’ yang boleh dijadikan asas.

Beberapa bulan selepas itu, angin sepoi masih bertiup dan aku masih buat tak tahu saja. Tapi sejujurnya, mental aku telah aku persiapkan andai kata khabar tersebut benar belaka. Bayangkan secara mentalnya aku terpaksa untuk bersedia awal memandangkan tempat baru tu, bukan lah biasa-biasa. Aku sendiri kurang semak apa kelebihan pada aku yang buatkan aku dipilih untuk berada di tempat tu.

Tanggal 3 April 2019, itulah tarikh keramat aku bertugas di pejabat baharu – Pejabat Naib Canselor untuk perpindahan kali ke-3 dalam tempoh 9 tahun 6 bulan. Tempat yang aku tak pernah terfikir untuk aku berada dalam tempoh berkhidmat di UTM ni. Menggalas tugas sebagai Pegawai Khas kepada Naib Canselor bukanlah mudah. Sesetengah orang mungkin suka untuk attach dengan seseorang yang berjawatan penting. Tapi bukan aku.

Tanggungjawab ini aku galas tidak lebih, sebagai amanah yang perlu aku laksanakan untuk organisasi. Bukan untuk berbangga, dan jauh sekali untuk menunjuk-nunjuk. Aku cuba laksanakan yang terbaik dengan mendalami dan memahami lenggok individu yang memimpin organisasi besar. Aku sasarkan 3 bulan untuk aku serap dengan kehidupan sebagai pegawai khas ni.

Keluarga adalah perkara utama dalam hidup. Komitmen kepada mereka tidak boleh aku abaikan. Aku akan cuba untuk seimbangkan keperluan keluarga dan kerjaya. Saat paling mencabar adalah bila Sang Isteri bakal melahirkan cahaya mata dalam tempoh kurang 4 bulan dari tarikh aku berpindah. Jadi, bertambah lagilah ‘kepala’ yang perlu aku uruskan tahun ni.

Bagaimana aku hadapi semua ni? Pertama, diplomasi, yang kedua, positif dan yang ketiga, bertolak ansur. Diplomasi adalah bila mana aku perlu berterus terang  dan ‘memberitahu’ komitmen sama ada dengan BigBos atau dengan sang isteri. Komunikasi dan berpaham-paham, sangat-sangat penting.

Sentiasa positif dalam segala aspek. Cuba elak dari berfikir negatif. Dari situ, kau akan bertindak dengan lebih relevan berbanding cuba mencari alasan untuk bertindak negatif. Maaf, dalam hidup ni, aku cuba untuk mengelak daripada memberikan alasan. Alasan cuma diberi kalau ‘terpaksa’ untuk menjawab.

Dan akhir sekali, saling bertolak ansur, terutamanya tentang hal keluarga. Setiap keputusan yang melibatkan keluarga dan kerja perlu diputuskan dan dipertimbangkan dengan baik. Bertolak ansur penting untuk menjaga hati mereka disekeliling terutama isteri dan anak-anak. Kerjaya tetap datang nombor 2. Sebab apa, sepanjang hayat kita adalah bersama keluarga.

Perkara utama dan yang paling penting di posisi ini adalah amanah, kerahsiaan dan menjaga hubungan baik dengan semua pihak. Aku pun sangat baru. Masih belajar dan terus belajar. Harapan aku di tempat baru ni adalah untuk belajar sebanyak mungkin hal-hal kepimpinan dalam menguruskan universiti dan mengoptimumkan kepakaran yang  aku ada untuk manfaat tugasan. Doakan aku mampu menggalasnya.