Pihak UTM Campus Sustainability merasakan terdapat pelbagai rungutan dan komen yang dilemparkan mengenai tatacara pengurusan sisa (termasuk sisa pukal dan domestik). Ini adalah berkaitan dengan kos pengurusan pengendalian sisa di UTM yang perlu dikurangkan serta melibatkan tindakan pengurangan kos operasi di PTJ/Unit. Justeru itu, pihak kami mengambil inisiatif untuk menyediakan sedikit perkongsian bagi membantu meningkatkan kesedaran pengurusan sisa, yang boleh dimainkan oleh setiap warga kampus.
1. Pengurusan Sisa Makanan di Pejabat/Unit
Bagi menangani masalah ketidakcukupan dan pengurusan pengendalian sisa seperti ini, pihak kami mencadangkan agar sisa makanan ini tidak dicampur dengan tong-tong sampah yang diletakkan diluar bilik atapun pejabat. Tong sampah 3R juga tidak disediakan bagi tujuan ini. Justeru, pihak kami mencadangkan agar sisa makanan ini hanya dibuang di luar bilik, pejabat ataupun mana-mana kawasan yang difikirkan strategik untuk pengumpulan. Tong tersebut haruslah BERTUTUP, mempunyai BEG PLATIK HITAM, berlabel “SISA MAKANAN” dan sentiasa dipastikan meminimumkan kandungan air (LEBIHAN AIR) di dalam tong tersebut. Sisa-sisa makanan ini haruslah diasingkan tanpa dicampur dengan lain-lain sisa seperti sudu, cawan, pinggan ataupun plastik sampah. Sisa makanan ini akan dibawa ke tapak “BioRecycling Centre” UTM yang akan mengitar semula sisa-sisa ini.
2. Cadangan Menyediakan Tong Sampah Khas
Pihak kami mencadangkan supaya setiap “pantry” ataupun ruangan dapur yang terdapat di dalam bangunan pentadbiran, bilik2 pensyarah dan sebagainya seharusnya mempunyai tong sampah berkapasiti 5L – 10L sebagai tong khas sebelum sisa-sisa makanan ini dibawa sendiri oleh rakan-rakan yang mempunyai minda lestari ke tempat proses pengumpulan. Kebiasaannya, ini akan mengambil sedikit jarak untuk dilupuskan di lokasi yang terpilih. Bagaimanapun, kebijaksanan dan minda lestari yang proaktif mampu dicerna hasil daripada tanggungjawab bersama. Ini akan membantu mengurangkan bebanan pengendali pembersihan di lokasi-lokasi seperti ini.
3. Cadangan Label dan Makluman Sisa Menerusi “Green Manager”
Lokasi yang ditandai dengan label-label serta maklumat mengenai pembersihan bolehlah disampaikan kepada semua Green Manager yang telah dilantik oleh pihak Universiti. Dengan menggunakan koordinasi seperti ini, kaedah pelupusan dan tanggungjawab mengenai kelestarian pengurusan sisa ini akan sama-sama dijadikan asas kepada segenap warga kampus. Sebarang maklumbalas ataupun cadangan mengenai isu ini bolehlah disampaikan kepada mereka dan pihak kami di UTM CS tiada masalah untuk membantu bersama-sama dengan Unit Pengurusan Sisa UTM.
Insyallah, dengan sedikit perkongsian ini diharapkan agar semua pihak dapat menangani sebarang masalah yang berkaitan. Sekiranya adalah masalah berbangkit, pihak UTM CS akan cuba membantu.
Sumber info; UTM Campus Sustainability .
Sumber grafik: Hal Ehwal Korporat (HEK), UTM