Warkah Anak Merdeka

WARKAH BUAT ANAK-ANAK BUMI BERTUAH

(Sempena Sayembara Menulis Puisi Kemerdekaan Dan Patriotisme Staf UTM- April 2007)

 

Saudara…

Telah terungkap catatan sejarah dan bicara zaman
Sejak ratusan tahun di Timur ini
Betapa tanah ini benar-benar bumi bertuah
Lembah yang subur membangkit kemakmuran
Emas dan rempah melimpahkan kekayaan
Pusat perdagangan kemuncak kemasyhuran
Terhindar taufan perlindungan Ar Rahman
Penuh keamanan akidah digenggam

 

Dan anak-anak tanah bertuah ini
Menobatkan kegemilangan yang amat mengkagumkan
Seribu cerita himpunan sejarah

Kisah kesultanan pembela keadilan
Kisah pembesar penuh kebijaksanaan
Kisah ulama penuh keilmuan
Kisah kesantunan dan keluhuran adab kesopanan
Kisah kecantikan gadis-gadis rupawan
Kisah satria dan pahlawan di medan juang
Kisah laksamana yang gagah perkasa
Kisah bahasa lingua franca
Kisah genggaman kuasa di nusantara
Kisah merentas samudera menjelajah dunia
Betapa kita benar-benar merdeka

 

Saudara…

Di dalam keindahan itu ada sedihnya
ada cemburu di Barat sana
bahtera penjelajah mencari jajahan
bersama soldadu dan kelengkapan persenjataan
mencari kekayaan, menagih kemegahan, melancarkan akidah kesesatan
juga kisah Si Pitung si penderhaka durjana
talibarut musuh sembilu berbisa
gunting dilipatan pengadu domba
dan kisah pemimpin haloba yang tamakkan kuasa
tanah digadai kerana takhta
juga pembesar yang gilakan harta
saudara dibunuh musuh dimulia

Lantas kebebasan musnah satu persatu
Atas pelbagai nama yang dijulang ke mercu
Hakikatnya… negeri selat dimusnah seteru
Hakikatnya… negeri bersekutu yang tidak pernah bersatu
Hakikatnya… negeri tidak bersekutu yang tunduk membisu
berleluasalah anasir durjana
jerit tangis anak-anak bumi bertuah ini
dan lolongan kesedihan yang amat memilukan

Tolong! Tolong! Tok Janggut mati dibunuh
Tolong! Tolong! Dato’ Maharajalela mati digantung
Tolong! Tolong! Maruah kami dicemari
Tolong! Tolong! Harta bumi kami dicuri
Lantas berdekad lamanya bumi bertuah ini terjajah
Lenyaplah keperwiraan pahlawan umat
Musnahlah khazanah kebijaksanaan diusung ke barat

Aiblah pemimpin hilanglah daulat
Musafirlah cendekiawan menyelamatkan iman
Hancurlah kekayaan dimilik orang
Terkafanlah maruah sirnalah barakah
Bersemadilah akidah penyatu ummah

Saudara…

Namun kesedihan di bumi bertuah ini ada juga hikmahnya
Tatkala bergema pelbagai suara
Polemik Kaum Muda dan Si Tua
bertingkah slogan Melayu Raya
Seiring kekejaman Jepun yang melanggar nusa
Menyentak sedar bahawa Asia ini milik kita
Bangkitlah nama-nama agung menggegar negara

Tajam pena Kajai menyuntik nasihat
Puitis bicara Sako meledak semangat
Langkah Boestamam teladan dinobat
Bijaksana Zaaba sang pendita
Tekad Aminuddin mengatur didikan bangsa
Kilas Onn Jaafar menyatu watan
Teriak Rahman Putra melaung kebebasan
Alangkah gembiranya tanah bertuah ini
Haruman kebebasan mengubur tirani
Menjulang panji-panji di bumi pertiwi

Saudara…

Kini telah setengah abad berlalu kebebasan di tanah bertuah ini
Tidak terbilang usaha mengembalikan maruah anak-anak bumi bertuah ini
Dari timur, barat, selatan hingga ke utara
Dari segala dasar, polisi dan hukum bicara
Dari belukar hingga ke bandaraya
Dari segenggam tanah hingga ke pelbagai mercu tanda
Dari pacal hina ke jutawan bergaya
Dengan titisan keringat dan air mata
Dengan segala azam dan ketekadan

Namun… tanah bertuah ini masih terus meratapi
Kisah-kisah sedih yang mengguris hati
Kisah bohsia tiada maruah
Kisah dadah tak pernah sudah
Kisah pengemis merempat di celah sampah
Kisah zina melimpah ruah
Kisah sumbang mahram di dalam rumah
Kisah rogol di dalam bas
Kisah bunuh kerat lapan belas
Kisah sang sesat menghancur akidah
Kisah penguasa mengejar penjual VCD lucah
Kisah si rempit melalak megah
Kisah mangsa diragut disesah
Kisah sang kaya penuh rasuah
Kisah pemimpin pecah amanah
Kisah marhaen diherdik dijerkah
Dan seribu satu kisah yang entah bilakah sudah

Saudara…

Cukuplah kesedihan bumi bertuah ini
Marilah kita kembalikan maruah yang tercalar
Kejahilan dan kebobrokan tinggalkan terbiar
Satukan akidah dan semangat yang segar
Tumpukan pemikiran kebijaksanaan kan mekar
Laksanakan usaha dalam langkah berdegar
Ciptakan kejayaan dan kejayaan yang terus menyinar
Laungkan kemenangan dan seluruh dunia kan mendengar
Takkan berhenti keunggulan yang menggegar

Yakinilah kejayaan pasti mekar di bumi bertuah ini
Mengisi kemerdekaan yang benar-benar bererti
Insafilah semuanya bermula dalam diri
Dalam doa yang patuh pada Ilahi.

Kerana Tuhanmu telah berfirman
Aku tidak mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri yang mengubahnya (Al-Quran, 13:11).