Cabaran Kebun Komuniti Sg. Bunus Di Musim Pandemik

27 Jan 2021, Ts Mohd Hazri bin Ishak, Centre For Community & Industry Network (CCIN), Pejabat Timbalan Naib Canselor Penyelidikan & Inovasi, Universiti Teknologi Malaysia

SG. BUNUS – Umumnya masih ramai masyarakat sekitar Kuala Lumpur yang masih belum mengetahui tentang kewujudan sebuah projek pertanian kebun komuniti yang bertempat di Hilir Sg. Bunus, Kuala Lumpur. Namun bagi warga Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur dan beberapa kumpulan komuniti sekitarnya, ianya bukanlah suatu perkara baru buat mereka. Kebun komuniti yang telah beroperasi hampir lima tahun ini telah berjaya mendatangkan begitu banyak menfaat kepada pengusaha kebun, juga tidak ketinggalan terhadap komuniti sekitar. Menfaat yang dimaksudkan bukan hanya dari segi hasil tuaian serta produk tani sahaja, namun kebun ini juga telah banyak menyumbang kepada aktiviti kelestarian ilmu dan perpindahan teknologi kepada komuniti tersasar, melalui program-program berkala yang telah dilaksanakan setiap bulan.

Namun pada sekitar Disember 2019, kita telah dikejutkan dengan serangan wabak Pandemik Covid-19, yang tidak semena-mena telah menyerang masyarakat dunia. Seluruh dunia menerima kesannya. Tidak terkecuali juga dengan kita di Malaysia. Virus yang masih belum dapat ditentang secara saintifik ini diberi nama Coronavirus, dan ianya dikatakan berasal dari Wuhan, China.

Maka yang demikian, bermula 18 Mac 2020 kerajaan Malaysia telah mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 ini. Semua aktiviti dan operasi harian dihentikan serta merta, dan rakyat diperintahkan agar duduk di rumah. Hasilnya, ekonomi Malaysia merundum teruk dan banyak pelabur serta sektor perniagaan yang terpaksa gulung tikar.

Namun demikian, wabak Covid-19 ini berjaya diperlahankan sebarannya, sehinggakan rekod jangkitan terendah dalam sehari pernah mencapai angka 0. Lantaran itu, aktiviti yang melibatkan ekonomi dibuka semula operasinya secara berfasa.

Panas yang disangkakan sehingga ke petang, rupa-rupanya mendung dan sedikit hujan di tengahari. Ini berikutan statistik penularan wabak Covid-19 di Malaysia tiba-tiba meningkat semula, sehingga pernah menjangkau angka melebihi 4000 kes sehari. Oleh yang demikian, kerajaan terpaksa mengumumkan sekali lagi PKP versi 2.0 bermula Rabu, 13 Januari 2021.

Covid-19 berjaya merubah norma harian rakyat dunia. Aktiviti serta rutin harian rakyat Malaysia tidak lagi seagresif dahulu. Tiada lagi aktiviti keramaian, percutian keluarga, malah bersantai di kedai kopi pon telah menjadi satu kekangan dan kesalahan buat masa kini.

Begitu juga halnya dengan aktiviti pertanian dan operasi kebun komuniti di Sg. Bunus. Sehingga tarikh artikel ini ditulis, operasi dan aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg Bunus masih lagi ditangguhkan. Kebun komuniti ini juga kurang terjaga dan masih belum lagi dibuka kepada komuniti sekitar.

Situasi ini mengundang kepada persekitaran kebun yang semakin tidak terurus dan mengundang bahaya. Persoalannya, apakah masih releven aktiviti berkebun pada musim pandemik ini? Bagaimanakah pendekatan yang paling sesuai dan selamat untuk mempertahan serta menjamin kelangsungan aktiviti di kebun komuniti tersebut, pada musim Covid-19 sedang bermaharajalela ini?

Inilah dia cabaran alaf baru yang perlu ditangani oleh masyarakat moden sekarang. Dengan berbekalkan teknologi serba canggih, disusuli pula dengan bantuan informasi dihujung jari, adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk meneruskan hidup dan rutin harian dengan norma baharu, supaya ianya masih setanding dengan zaman sebelum pandemik melanda.

Pokok terung organik yang hidup subur di Kebun Bandar Sg. Bunus

Ada banyak faktor yang menjadi sebab, mengapa aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus wajar diteruskan. Salah satunya adalah disebabkan faktor jana semula ekonomi. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ekonomi negara terjejas teruk. Ramai rakyat yang telah terjejas sumber pendapatan dan peluang pekerjaan juga semakin berkurang. Pada masa ini, hasil tani dari di Kebun Bandar Sg Bunus sebenarnya sedikit sebanyak dapat membantu meringankan ekonomi keluarga komuniti yang terjejas. Bahan asas makanan harian seperti cili, ulam-ulaman, buah, juga sayuran kontan dapat dituai dengan percuma. Juga terdapat ratusan ikan tilapia yang menghuni dasar Kolam Tebatan Banjir Sg. Bunus, dan sedia untuk dipancing bagi dijadikan santapan harian. Mungkin jumlahnya tidak banyak, namun ianya memadai bagi menampung keperluan pengusaha kebun dan masyarakat sekitar yang memerlukan. Oleh yang demikian, masyarakat dapat berjimat dalam perbelanjaan harian. Sayur yang ditanam sendiri juga mempunyai kualiti yang jauh lebih baik dan meyakinkan berbanding sayuran yang dibeli di pasar. Aktiviti pertanian juga sememangya telah terbukti mampu membantu meningkatkan pendapatan dan ekonomi negara.

Antara faktor lain yang menyokong agar aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus ini diteruskan adalah kerana aktiviti pertanian ini dilihat mampu dijadikan sebagai praktis serta alternatif kepada aktiviti senaman dan gaya hidup sihat. Masyarakat sewajarnya mengambil peluang dalam mendalami ilmu dan teknik berkebun sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, dan Kebun Bandar Sg. Bunus menyediakan platfom ini. Selain daripada memulakan hobi baru, aktiviti berkebun di kebun komuniti ini juga mampu mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan. Namun larangan terhadap aktiviti mass gathering hendaklah sentiasa dipatuhi dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

Namun begitu, tahap kesedaran masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam mengekang wabak Covid-19 ini haruslah sentiasa ditingkatkan. Bilangan ahli yang terlibat dalam suatu aktiviti, pada satu-satu masa hendaklah dihadkan mengikut saranan pihak Majlis Keselamatan Negara. Sebaiknya, perbanyakan notis mahupun kain rentang berkaitan keperluan menjaga Standard Operating Prosedure (SOP) di sekitar Kebun Bandar Sg. Bunus, agar pengusaha kebun sentiasa berwaspada terhadap jangkitan wabak ini.

Antara lain, kaedah penggiliran terhadap sembilan pemegang taruh yang bertanggungjawab terhadap operasi pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus ini juga wajar dilaksanakan bagi menjamin kelestarian aktiviti pertanian ini. Ini bertujuan bagi mengelakan keadaan sesak dan situasi yang terlalu ramai di kebun komuniti tersebut. Ahli kebun juga dinasihatkan supaya dapat memastikan dirinya berada dalam keadaan benar-benar sihat, bebas dari sebarang simptom yang meragukan, sebelum hadir berkebun.

Antara tanaman lain yang ada di Kebun Bandar Sg. Bunus

Perjuangan dalam menentang penularan wabak Covid-19 ini adalah peranan semua orang. Oleh yang demikian, dalam keghairahan melaksana aktiviti pertanian di Kebun Bandar Sg. Bunus, SOP asas yang diperintahkan MKN hendaklah sentiasa dipatuhi. Sentiasa memakai penutup hidung dengan sempurna. Praktis ini telah terbukti berkesan dalam menghalang virus dari berpindah kepada orang lain. Selain itu, ahli kebun disarankan agar kerap mencuci tangan samada dengan sabun, mahupun pembasmi kuman (hand sanitiser) bagi tujuan membunuh kuman, sekiranya ada.

Peserta kebun juga disarankan agar sentiasa menjaga jarak sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain, sewaktu aktiviti berkebun dijalankan. Sebaiknya juga pastikan agar tiada berlaku sentuhan antara sesama peserta kebun. Elakan juga bersalaman dan berkongsi bekas minuman antara satu sama lain. Peraturan norma baharu ini hendaklah sentiasa dipatuhi dan dijadikan sebagai rutin dan amalan wajib bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini, dan dalam masa yang sama, aktiviti pertanian kebun komuniti di Kebun Bandar Sg. Bunus ini dapat dilaksanakan seperti biasa.

Norma baharu bagi aktiviti berkebun ini dijangkakan bakal berterusan buat masa yang panjang, berikutan masih belum ada vaksin yang benar-benar berkesan telah tercipta. Tahun 2020 dan 2021 dijangka menjadi tahun yang amat mencabar buat dunia dan masyarakat Malaysia khususnya kerana ujian serta dugaan Pandemik Covid-19 yang melanda. Diharapkan agar wabak ini akan segera berakhir bagi menjamin aktiviti pertanian dan projek Kebun Bandar Sg. Bunus dapat dilaksanakan semula seperti biasa.

Diharap agar masyarakat sentiasa mengamalkan konsep 3P dalam aktiviti harian, iaitu Pakai Pelitup Muka, Pencucian Tangan dan Penjarakan Sosial. Elakkan juga 3S iaitu Tempat Sesak, Tempat Sempit dan Sembang secara Dekat. Semoga Malaysia kembali pulih dan rakyat dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. #KitaJagaKita