Jasa dan Peranan Seorang Guru Tidak Ternilai

Hari Guru

Setiap tarikh 16 Mei setiap tahun menjadi hari yang ditunggu-tunggu oleh semua warga bergelar guru atau panggilan keramatnya ‘Cikgu’. Tema Hari Guru yang dipilih pada 2016 ialah ‘Guru Pembina Bangsa’. Tema ini dipilih buat kali ketiga selepas tema sama diraikan pada 2009 dan 2010. Apa yang ingin dirungkaikan ialah di sebalik tema yang dipilih setiap tahun, sudah pasti terselit peranan dan tanggungjawab serta jasa seorang yang bergelar Guru. Begitulah betapa rencamnya peranan guru.

Bentuk Kualiti Murid

Kini, Hari Guru disambut lagi buat kali ke-45 dengan meletakkan peranan guru sebagai Pembina Negara Bangsa. Peranan guru dilihat sebagai individu yang membina dan membentuk kualiti murid dalam aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek bagi memenuhi aspirasi pendidikan negara. Dalam konteks Negara Bangsa pula, guru perlu menyuntik dalam diri setiap murid untuk memiliki jati diri yang kukuh, patriotik, berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai moral serta hidup dalam masyarakat penyayang, berbudaya saintifik dan bersatu padu. Begitulah betapa besar dan hebat amanah serta komitmen yang harus dipikul oleh guru.

Apabila kita membuat refleksi mengenai sambutan Hari Guru pada tanggal 16 Mei, maka sudah pasti terbayang di minda kita sambutan penuh meriah peringkat kebangsaan, daerah dan sekolah. Tujuannya hanya satu iaitu ‘Jasamu Guru Disanjungi, Jasamu Guru Dihargai’. Tanpa guru, kita tidak akan berada pada posisi sekarang dengan pelbagai kejayaan, ketinggian ilmu dan jawatan disandang. Setinggi mana kejayaan digapai oleh muridnya, tidak akan terlintas langsung rasa cemburu di sanubari seorang guru. Keikhlasan seorang guru menjadikan mereka mampu tersenyum puas apabila melihat kejayaan anak didiknya.

Falsafah seorang guru

Cukup mudah, tetapi mendalam iaitu kejayaan anak didiknya adalah kejayaan guru jua, walaupun mereka tidak menerima apa-apa ucapan atau hadiah akan sumbangan dan jasa mereka. Cukuplah sekadar melihat dari kejauhan anak didik yang diasuh, menjadi ‘manusia’ berguna kepada negara bangsa dan yang lebih penting meraih kejayaan dunia dan akhirat. Setiap tahun silih berganti, datang dan pergi anak murid yang dididik, namun seorang guru yang ikhlas dan memiliki integriti yang tinggi akan setia dengan tugasnya untuk menyebarkan ilmu serta membimbing murid mereka tanpa rasa prejudis. Sebagai seorang bekas pengetua, saya dapat berasakan bahawa jika kita ikhlas dan amanah dalam tugas, sudah pasti hasilnya di luar jangkaan.

Kejayaan saya membawa Sekolah Menengah Teknik Tawau suatu masa dahulu menjadi sekolah cemerlang adalah kerana dengan izin Tuhan serta kerja yang dilakukan oleh guru dan staf sokongan dengan penuh keikhlasan serta berintegriti. Saya melihat peranan guru dan staf sokongan sekolah adalah satu keutamaan dan aset yang sangat penting untuk memacu kecemerlangan sekolah. Bagi saya, penghargaan dan keraian perlu diberikan selayaknya dengan peranan dipertanggungjawabkan kepada mereka. Sebagai pemimpin sekolah, bukan sekadar hanya menunggu Hari Guru barulah guru diraikan dengan pelbagai juadah, hadiah dan ucapan. Sebaliknya, letak dan kalungkan penghargaan itu kepada guru sewajarnya dan pada tempatnya. Pendekatan ARRAS (Accept, Respect, Recognise, Appreciate, Support) yang menjadi amalan saya sehingga kini dan selaku pengetua ternyata berjaya memenangi hati warga sekolah serta mewujudkan hubungan yang bertatasusila antara warganya. Kejeleketan yang diwujudkan ini akhirnya menjadikan SM Teknik Tawau muncul sebagai sekolah disegani peringkat kebangsaan dengan pelbagai kejayaan.

Motivasikan Guru

Justeru, seorang pengetua mesti mempunyai kecergasan fizikal, kemahiran komunikasi berkesan, kecerdasan emosi dan kecerdasan sosial yang tinggi untuk memenangi hati guru, staf sokongan dan murid supaya mereka berasa sebagai satu pasukan dihormati dan dihargai. Penghargaan dan keraian kepada guru sememangnya sentiasa menjadi keutamaan saya sebagai satu daripada cara memotivasikan guru. Guru yang bermotivasi sudah pasti mampu menggalas apa juga tanggungjawab yang diletakkan di bahu mereka. Mana mungkin guru yang tidak dihargai dan tertekan dengan pelbagai kerenah pentadbiran sekolah akan mampu melaksanakan tugas dan agenda pendidikan negara.

Sempena Hari Guru 2016, saya ingin menyeru kepada semua kepemimpinan sekolah, ibu bapa, murid serta masyarakat agar menghulurkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada guru dalam apa juga cara dan acara. Sebagai ibu bapa, semaikan rasa penghargaan dalam diri anak untuk menghargai guru kerana anak yang boleh menghargai orang lain sudah pasti akan menghargai diri sendiri dan ibu bapa mereka. Sememangnya pengorbanan dan jasa guru tidak mampu diungkapkan dengan kata-kata. Jasamu guru perlu disanjung kerana ‘guru menyentuh masa depan’ dan ‘merekalah yang membuat perubahan’. ‘Jasamu Guru Dikenang, Budimu Guru Ditatang’, bersyukur dan berbanggalah kerana anda seorang guru!

Selamat Hari Guru, Guru Pembina Negara bangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *