Sistem penyampaian perkhidmatan awam yang cekap amat diperlukan bagi menjamin kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan dasar dan strategi pembangunan negara. Sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap juga perlu, bagi memenuhi tuntutan rakyat dan masyarakat perniagaan yang terus meningkat.
Sebagai makluman, fungsi utama Jawatankuasa PEMUDAH UTM adalah dalam mengkaji semula sistem penyampaian perkhidmatan di UTM meliputi proses kerja, polisi/peraturan, prosedur dan sumber manusia bagi tujuan penambahbaikan. Selain itu, polisi, strategik dan prosedur dipantau ke arah meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian di Universiti serta meminimumkan birokrasi di setiap bahagian dan fakulti.
Penjawat awam bukan hanya memberi khidmat, malah juga penerima khidmat. Dalam urusan seharian, kadang kala kita sendiri berurusan dengan jabatan dan agensi Kerajaan. Kalau kita mahukan perkhidmatan yang cekap, kita harus terlebih dahulu memberikan perkhidmatan yang sama.
Apabila secara kolektif kita meningkatkan tahap perkhidmatan, manfaatnya akan dinikmati oleh kita juga. Sehubungan itu, marilah penjawat awam membuat suatu perubahan yang positif bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam agar lebih efisien, profesional dan cemerlang.
Setakat ini, realitinya rakyat dan para pelanggan masih memandang sistem perkhidmatan awam negara ini merimaskan; dikongkong birokratik; tidak berorientasikan pelanggan walaupun terdapat Piagam Pelanggan; dan urusan pemproses yang lembap di kebanyakan jabatan dan agensi Kerajaan.
Pihak Biro Pengaduan Awam juga melaporkan bahawa antara rungutan dan aduan paling kerap yang dilaporkan oleh orang ramai ialah terhadap jabatan dan agensi Kerajaan yang tidak memaklumkan status sesuatu permohonan yang telah dihantar. Perkara ini tidak boleh dipandang remeh, dan perlu diberi perhatian yang serius.
Selain itu, Ketua-ketua serta pegawai-pegawai kanan di jabatan dan agensi Kerajaan perlu meningkatkan usaha untuk mengenal pasti, menilai dan mengkaji semula amalan-amalan masa kini bagi meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan masing-masing. Ini termasuk mengkaji semula sistem dan prosedur kerja sedia ada, undang-undang dan peraturan yang diguna pakai, peralatan dan kelengkapan yang digunakan, serta tahap kemahiran anggota organisasi yang melaksanakan tugas.
Untuk itu adalah amat wajar sekiranya penggunaan ICT dimaksimumkan. Penggunaanya yang bersesuaian berupaya memberi manfaat dalam meningkatkan prestasi sistem penyampaian perkhidmatan. Sistem dan aplikasi ICT yang dibangunkan berupaya memendekkan masa penyampaian perkhidmatan, mudah dan sentiasa boleh dicapai oleh pelanggan serta tidak membebankan semua peringkat pengguna dengan mengambil kira perkhidmatan utama yang boleh disampaikan melalui ICT berpandukan kehendak dan ekspektasi pelanggan.
Dalam masa yang sama, Ketua-ketua jabatan dan agensi perlu rajin ‘turun ke padang’ serta memantau usaha-usaha yang sedang dijalankan bagi memastikan usaha-usaha pembaharuan dan penambahbaikan adalah menyeluruh dan meluas hingga ke akar umbi.
Untuk mencapai tahap kecemerlangan sesebuah agensi sebenarnya bukan bergantung pada kecekapan segelintir warganya sahaja. Sebaliknya ia memerlukan semua warganya bersama-sama berganding bahu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.
Oleh itu, adalah penting setiap warga penjawat awam sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan diri masing-masing di dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
Oleh yang demikian adalah amat penting setiap dari kalangan kita memberikan komitmen penuh ke atas semua perancangan serta pelaksanaan program latihan yang telah disediakan.
Dalam masa yang sama kita perlu berusaha berterusan menimba ilmu selaras dengan dasar Kerajaan yang menekankan falsafah pembelajaran sepanjang hayat atau life-long learning, sebagai persediaan menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang.
Antara cabaran utama bagi warga perkhidmatan awam pada hari ini, adalah untuk menukar cara bekerja dari menjalankan tugas-tugas yang rutin kepada peranan yang lebih besar sebagai Knowledge Workers, yang sentiasa kreatif dan inovatif dalam menangani cabaran-cabaran baru, mampu meramal perubahan-perubahan yang bakal berlaku, dan berani membuat pertimbangan dan keputusan, serta sanggup menghadapi risiko.
Untuk itu kata-kata hikmah daripada Imam Ghazali, “Manusia akan dihormati bukan kerana kekuatan dirinya, tetapi kerana ilmunya,” seharusnya terpahat kukuh di sanubari kita.
Peralihan kepada cara bekerja yang lebih mencabar ini, sudah tentu memerlukan kemahiran dan pengetahuan baru.
Antara kemahiran yang perlu dipupuk di kalangan anggota perkhidmatan awam ialah kemampuan untuk mengolah atau menganalisis maklumat. Kemahiran ini akan membolehkan kita bertindakbalas dengan lebih yakin, tegas dan cepat, selaras dengan perkembangan pesat yang berlaku di sekitar kita.
Perubahan ke atas pendekatan dan cara bekerja ini sudah tentu memerlukan kesediaan bukan sahaja dari segi fizikal tetapi yang lebih penting adalah kesediaan dari segi mental.
Dalam era ICT masa kini, data, fakta dan pengetahuan begitu cepat menjadi lapuk. Maka kemahiran perlu sentiasa diperbaharui dan ditingkatkan untuk memastikan kemahiran yang ada, sentiasa seiring dengan perkembangan semasa.
Selain itu, adalah penting bagi penjawat awam membina keazaman untuk terus menambah ilmu pengetahuan dan kemahiran, agar perkhidmatan awam terus berada di hadapan, serta memberi hala tuju kepada rakyat dan Kerajaan ke arah pencapaian matlamat pembangunan negara.
Borang PEMUDAH/2 (GoogleDocs) ATAU Borang PEMUDAH/1 (doc) – Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada Timbalan Pendaftar Kanan, Bahagian Pengurusan Organisasi, Pejabat Pendaftar, UTM Johor Bahru atau melalui fax no: 07-5545755 atau email kepada m-jalel@utm.my / norqamariah@utm.my
Semoga dengan komitmen Y.Bhg Dato/Prof.Dr./Saudara dapat membantu merealisasikan Pelan Global UTM 2012-2020 (Fasa II: 2015-2017) dalam Bidang Tumpuan Utama 5: Pembudayaan Perkhidmatan Berprestasi Tinggi.
Sumber :
Bahagian Pengurusan Organisasi / Organisational Management Division,
Pejabat Pendaftar / Office of the Registrar,
Universiti Teknologi Malaysia,
81310 Johor Bahru, Johor