Bila Pemberian Hadiah Menjadi Rasuah

“Ehh hadiah ini untuk saya ke”?

Tahukah anda? perkara ini sering dipandang sepi dan remeh kerana mereka menganggap ini adalah perkara biasa dan tiada apa-apa yang pelik sebaliknya. Namun bila ia acap kali dilakukan dan akan menjadi kebiasaan dan boleh menimbulkan bermacam-macam persepsi negatif dikalangan masyarakat.

Ini kerana rasuah merupakan penyakit sosial bersifat sejagat yang boleh berlaku di mana-mana dan boleh menjejaskan kelicinan perjalanan jentera pentadbiran sesebuah negara dan berupaya membinasakan sesebuah pemerintahan.

Ia boleh disamakan dengan penyakit kanser yang apabila telah menyerang maka sukar untuk diubati dan apabila gejala rasuah menjadi budaya, ia akan sukar dibanteras malah akan melumpuhkan sistem pentadbiran awam mahupun swasta.Di sesetengah negara, rasuah dikatakan menjadi darah daging dalam sektor awam dan swasta hingga mengakibatkan negara itu kerugian lebih berbilion dolar setahun. Dalam indeks rasuah antarabangsa, Malaysia berada di tangga ke-44 daripada 163 negara manakala di antara negara-negara di Asia, Malaysia berada di tangga ke-14.

Di negara ini, walaupun BPR diberi tanggungjawab untuk membendung gejala tersebut menerusi langkah-langkah pencegahan dan penguatkuasaan undang-undang, namun tugas membanteras rasuah sebenarnya adalah tanggungjawab yang dikongsi semua secara bersama dari peringkat bawah hingga ke atas.

Apakah erti rasuah? Ia adalah sebarang penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk diri seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Ia termasuk apa jua bentuk penerimaan atau pemberian yang dikenali sebagai duit kopi atau ganjaran, suapan seperti wang ringgit, diskaun, upah, jawatan, perkhidmatan, hadiah, bonus atau undi dengan niat sebagai dorongan untuk melakukan satu tindakan berkaitan dengan tugas rasmi.

Bagi BPR, takrif rasuah juga meliputi kesalahan menawar, menjanjikan dan memberi rasuah, meminta dan menerima rasuah, menggunakan dokumen mengandungi butiran palsu, menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk kepentingan diri dan memiliki harta melebihi pendapatan. Ia melibatkan dua pihak iaitu pemberi berniat untuk mengikat penerima dan pada masa yang sama penerima bertindak memihak kepada pemberi di mana-mana sektor, organisasi, agensi atau syarikat.

Timbalan Ketua Pengarah (1) BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan berkata, ruang dan peluang gejala rasuah dapat ditutup apabila semua pihak khususnya sektor awam dan swasta berganding bahu meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam organisasi atau jabatan masing-masing.

Justeru, sektor swasta juga perlu memberi fokus terhadap usaha membendung rasuah menerusi kawalan dalaman organisasi dengan mewujudkan pelan tindakan pencegahan mereka yang lebih menepati operasi masing-masing.

Komitmen daripada pihak organisasi itu sendiri adalah perlu bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab ini sejajar dengan dasar kerajaan untuk menjadikan sistem penyampaian yang cekap, bersih dan berkualiti.

Seandainya suasana ini wujud dalam sektor awam dan swasta, saya pasti kita akan mampu untuk meletakkan Malaysia ke satu tahap yang setanding dengan beberapa negara yang menduduki tangga terbaik dalam indeks persepsi rasuah antarabangsa,” jelasnya.

Dalam hubungan itu, peranan sektor swasta, khususnya syarikat GLC adalah penting kerana ia memberi kesan secara langsung kepada persepsi, imej dan sistem penyampaian di negara ini terutama di mata pelabur asing.

Ketiadaan pelan tindakan itu akan menjadikan usaha membanteras rasuah, salah laku dan penyelewengan bergerak tanpa hala tuju jelas bahkan akan menyebabkan kakitangannya kabur terhadap garis panduan menghindari rasuah. Keadaan itu menyebabkan sesetengah kakitangan tidak menyedari telah terlibat dalam rasuah berikutan telah ‘terbiasa’ dengan perbuatan tertentu.

Sebagai contoh, kata seorang ahli panel seminar itu, Shamsun Baharin Mohd. Jamil, apabila tiba musim perayaan Tahun Baru Cina banyak syarikat yang menerima berkotak-kotak buah limau sebagai hadiah sempena perayaan itu daripada syarikat yang mempunyai tujuan tertentu.

Soalnya, adalah penerimaan itu boleh tergolong kepada perbuatan menjurus kepada rasuah?

Dalam hal ini, kakitangan itu perlu bertanya adakah dengan menerima sebiji limau atau sekotak limau boleh mengubah sesuatu keputusan atau tindakan dalam menjalankan tugas-tugas.

Dan adakah menerima hadiah itu direstui oleh peraturan dan undang-undang syarikat, kata Pemangku Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat BPR itu ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Jenayah Rasuah, Salah Guna Kuasa dan Penyelewengan serta Langkah-langkah Pencegahan.

Dalam keadaan tertentu di sektor swasta, sebenarnya ada hadiah atau pemberian yang boleh diterima oleh kakitangan sekiranya mematuhi peraturan, tidak menjejaskan tugas mereka atau mengisytiharkan hadiah tersebut kepada ketua jabatan.

Namun masalah timbul sekiranya, syarikat tersebut tidak mempunyai garis panduan dan pelan pencegahan rasuah sehingga menyebabkan kakitangan menganggap perbuatan salah atau betul tiada bezanya lalu menjadi budaya.

Shamsun Baharin berkata, terdapat juga sesetengah kakitangan tertunggu-tunggu untuk ‘dibelanja’ makan, berhibur karaoke atau bermain golf oleh syarikat-syarikat kontraktor tertentu yang cuba mendapatkan sesuatu tender, projek atau dengan tujuan mempercepatkan kelulusan tertentu.

Budaya memberi angpau atau duit raya juga kadangkala boleh menjurus kepada rasuah. Sepatutnya duit raya diberikan oleh orang dewasa kepada kanak-kanak atau mereka yang tidak bekerja, tetapi apabila ada pihak yang memberi duit raya dengan niat tertentu kepada kakitangan awam atau swasta dengan jumlah yang banyak maka ini sebenarnya rasuah,” tegasnya.

Perbuatan tersebut sebenarnya memundurkan syarikat itu, meningkatkan kos operasi serta membantutkan pembangunan sosioekonomi serta imej negara. Disebabkan keadaan itu statistik berhubung kajian persepsi terhadap rasuah yang dijalankan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 2002 mendapati sebanyak 31.6 peratus responden agensi kerajaan menganggap berlaku rasuah dalam jabatan mereka.

Sebanyak 17.9 peratus pula responden kerajaan sanggup memberi rasuah dan 12.4 peratus daripada mereka pula sanggup menerima rasuah. Walaupun peruntukan undang-undang membabitkan rasuah di negara ini dikuatkuasakan Akta Pencegahan Rasuah 1997; Kanun Keseksaan; Akta Kastam 1967; Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Akta Pengubahan Wang 2001, namun sektor swasta perlu mempunyai cara mencegah risiko berlaku rasuah menerusi sistem kawalan dalaman.

Ini kerana, bagi sektor awam kecenderungan gejala rasuah boleh dikekang dengan menggunakan Bab D Perintah-Perintah Am dan Arahan Pentadbiran Pegawai Awam. Namun, sektor swasta terutama syarikat GLC pasti menghadapi masalah untuk membendung rasuah sekiranya mereka tiada sistem kawalan tersebut serta pelan tindakan pencegahan rasuah sebagai garis panduan mencegah risiko awal berlakunya perbuatan itu.

Justeru, Pengarah BPR Perak, Samsiah Abu Bakar berkata, pelan tersebut perlu diwujudkan sebagaimana disarankan dalam Pelan Integrasi Nasional (PIN) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, baru-baru ini.

Sehubungan itu, seminar berkenaan perlu dipuji kerana mencapai maklamatnya untuk menyedarkan peserta-peserta yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan syarikat GLC tentang kepentingan pelan tersebut sehingga ada di kalangan mereka yang mengatakan seminar tersebut terlalu singkat.

Tidak kurang juga terdapat sebahagian peserta yang ditemui juga mahu seminar seperti ini diadakan secara kerap dan diperluaskan untuk pelbagai pihak. Bagaimanapun, apa yang penting ialah resolusi seminar tersebut perlu dilaksanakan oleh peserta dalam organisasi mereka bagi membanteras rasuah dan sekiranya ia tidak dilaksanakan maka objektif seminar tersebut tidak akan tercapai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *